Entah kenapa, dua tiga menjak ini isi rumahku dilanda taufan upgrade basikal. Lepas satu, satu. Mutakhir, sebuah Banshee Pyre menjadi ahli baru. Tiada sebab musabab yang terang lagi jelas. Bermula dengan cakap-cakap dan bual kosong dengan Nick Ong, orang yang bertanggungjawab membawa jenama Banshee ini ke bumi Malaysia, akhirnya aku cair dengan ayat-ayat Chief Fakawitribe ini. Nick Ong, melalui Fakawibikes membawa basikal-basikal jenama "langsuir" untuk menghasut dan merasuk pembasikal-pembasikal Malaysia, Singapura dan mungkin juga Batam.
H A R I P E R T A M A
...Banshee Pyre Si Bara. Eh...shock rigid tuuuuuu....
14 April 2009, dalam satu pertemuan sulit di lokasi yang dirahsiakan, aku berjumpa dengan Dr Ong. Cadangan asal hanya sekadar nak tengok-tengok saja frame Pyre. Jam 9.35 malam, Dr Ong sampai ke lokasi. 2 frame Pyre dijinjit di tangan. Masih berbungkus dengan plastik busa. Sambil makan, bungkusan dilondehkan dan kelihatanlah satu warna raksa berlogo hitam, satu lagi warna hitam berlogo emas. Aku jadi tak tentu arah. Kejap suka hitam, kejap suka raksa. Kejap nak ambik dua-dua. Satu untukku, satu lagi untuk isteriku. Heh...sapa mau bayar??? Dr Ong terus pot pet "Black with gold is nice. Like mak datin konsep bla...bla....bla." Kenapa tak diam sajalah doktor nih.
Kejap aku pegang yang hitam, kejap lagi aku jamah yang raksa. Sambil kelebek frame, sudu stainless steel aku pegang. Nasi goreng pattaya disuap masuk mulut. Mana boleh berfikir kalau perut kosong. Sambil menunggu keputusan warna mana jadi pilihan, kami diskusi pulak pasal harga dan kaedah pembayaran. Atas sebab keselamatan dalam negara, maklumat ini telah dikelasifikasikan sebagai TOP SECRET dan tidak boleh didedahkan kepada umum.
Setelah selamat nasi goreng pattaya disimpan di dalam perut, keputusan dicapai dan persetujuan dimeterai. Frame Banshee Pyre hitam dengan logo emas jadi pilihan. Lepas berpamitan, lokasi rahsia ditinggalkan dengan memastikan tiada saksi dan bukti transaksi telah berlaku...
Rocker arm warna keemasan...atau lebih merupai warna gangsa?
Sampai ke rumah sekitar jam 11.00 malam. Isteri menyambut di muka pintu. Wajah biasa saja kerana sudah tahu akan ada tamu baru. Mata melirik pada bungkusan yang aku jinjit. Kalau dulu mampus aku tak berani terang-terangan tunjukkan frame basikal yang harganya ribuan ringgit. Mujur setelah isteri ikut sama berbasikal, dia lebih memahami. Malah ikut sama memeriahkan fiesta naik taraf basikal. Lihatlah basikal putihnya.
Seronok dan teruja. Kalau ikut hati, mahu saja aku belasah pasang malam itu juga. Tapi...ini kerja seni. Mesti berhalus. Tak boleh terburu. Cukup sekadar melondeh bungkusan plastik busa untuk tatapan dan juga pertandingan memicit busa pada plastik. Hah...kalau nak tahu, busa tu maksudnya buih. Kan buntil angin yang macam ketuat kat plastik tu macam buih.
Aku londehkan bungkusan untuk meneliti isinya. Jemari mengusap hampir setiap inci kerangka. Memerhati apa kelainan kerangka ini berbanding jenama lain. Kerangka saiz M 17inci dari bahan aluminium 7005 yang dibentuk dengan teknik hydroforming. Tiub atas bulat dan beransur menjadi segiempat pada bahagian pangkal yang bertemu tiub kepala. Tiub kepala berbentuk "hour glass". Segitiga belakang dari batang berbentuk segiempat. Nampak kukuh utuh. Kerangka depan dan belakang disambung dengan sistem VF4P (Virtual Floating 4 Bar Pivot).
Datang bersama kerangka ialah pengapit batang pelana, dan batang pelana saiz 30.9mm bersama beberapa alat ganti.
Semua itu menjadikan tangan terasa gatal dan gian jugak nak berpomen-pomenan. Diam-diam, aku pasangkan shock belakang dulu. Fox RP23 bagai raja bersemayam di singgahsana bila sudah tercelapak pada kerangka. Tampak segak bergaya.
Kemudian, set kepala pulak. Aku tak pakai set kepala FSA dari Resaksa Ijau, sebaliknya satu set kepala Magura Rond yang aku simpan sekian lama mengambil peran. Memasang set kepala memang satu kerja yang paling aku menyampah. Sebab aku ini mekanik super-pro, maka aku tak perlu alat memasang set kepala mahal dari Park Tool. Memadai dengan alatan gubahan sendiri yang menyebabkan masuknya set kepala tu senget benget. Masalah dirawat dengan alatan paling hebat di alam semesta...mampu menyelesaikan semua masalah pemasangan basikal anda...TUKUL. Hingar bingit bunyi tukul di tengah malam. Tapi..bukan sebarang tukul daaaa, tukul getah daaa...Kalau pakai tukul besi, rabak la set kepala anda. Jangan buat pasal.
Dah...cukup dulu untuk malam itu. Yang lain besok malam saja...Boleh masuk tidor. Semoga tidurku lena, tidak lagi diganggu mimpi didatangi tok batin yang dok sibuk suruh aku menjerit macam langsuir...
Braket untuk kaliper brek cakera |
Set kepala Magura Rond siap terpasang |
Pangsi - inilah rupa VF4P |
Ampaian belakang Fox RP23 siap dipasang |
H A R I K E D U A
Menunggu habisnya waktu kerja di pejabat meringsakan. Bila malam melabuh, operasi bermula sekitar 9.30 malam. Resaksa ijau diletakkan di sebelah kerangka Pyre yang siap dipasang ampaian belakang dan set kepala. Resaksa Ijau diletakkan terlentang, lebih senang nak mengerjakannya dalam posisi begitu. Bahagian pertama beralih ialah tayar belakang. Ini untuk membolehkan Pyre berdiri bila tayar dipasang dan topang dimasukkan.
Frame yang sudah siap dipasang set kepala dan ampaian belakang. |
Resaksa Ijau menanti anggotanya dicabut satu persatu. |
Pemasangan bermula... |
Komponen utama hampir siap dipindahkan... |
Komponen pacuan jadi sasaran seterusnya. Engkol, RD, rantai dicabut dan diletakkan pada tempat yang dipasang nanti. Aku selesa dengan aturan begitu. Nanti tak payah menggagau cari komponen.
Siap komponen dilondehkan, bahagian kepala pula menjadi sasaran. Dahan dan bar diceraikan. Fork dicabut. Langsung dipasang ke Pyre. Sebaik siap fork dan tayar depan dipasang, dah ternampak gambaran rupa Pyre berdiri gagah tegak segak. Tubuh longlai Resaksa Ijau tergolek di sisi.
Bila Pyre sudah tegak berdiri, komponen unit kawalan pula dipasang. Dahan dan bar mengambil tempat. Kemudian tuas brek dan penukar gear. Kaliper brek cakera dibiar berjuntaian dulu. Jangan lupa menyendal pad brek! Takut tertekan tuas brek, nanti tak pasal kena bersusah payah menuil pad brek.
Bila rupa asas sudah terbentuk, masuk pula ke fasa halusi. Fasa yang harus dilakukan dengan tekun dan teliti. Kaliper brek depan dan belakang mengambil tempat. Dipasang dan dilaras supaya cakera dan kaliper tidak bergeser dan mengeluarkan bunyi geseran yang boleh mengetapkan gigi. Biasalah kalau proses ini terpaksa dilakukan lebih dari sekali.
Kemudian pemasangan kabel mengambil tempat. Setelah diteliti, baru perasan yang jalur laluan kabel Pyre sangat berbeza dengan kerangka-kerangka yang pernah aku kerjakan. Laluan kabel brek belakang selari dengan laluan kabel RD. Melata pada bahagian atas tiub bawah dengan 3 posisi kuncian. Kabel menyusup masuk di bawah braket ampaian belakang kemudian menyulur pada pangsi penyambung sebelum menjulur terus ke belakang. Satu lagi yang unik pada kabel Pyre ini ialah kabel RD menjalar sepenuhnya dari penukar gear hingga ke tombol pelaras RD. Tiada bahagian kabel yang terdedah. Semuanya terbungkus rapi dalam perumah kabel. Selamat dari serangan tanah, selut dan lumpur. Tiba bahagian ini aku terbantut sekejap sebab perumah kable RD warisan resaksa ijau tak cukup panjang. Gendala 1! Aku biarkan saja kabel terjuntai di situ.
Kabel FD pula menjalar pada bahagian bawah tiub bawah. Melingkar hingga melepasi perumah braket bawah dan naik semula ke sebelahnya. Penahan kabel FD berada di sebelah belakang perumah BB. Berbeza daripada kerangka lain.
Masa untuk memasang komponen pacuan. Engkol perlu dipasang sebagai penanda aras FD. Sekali lagi tersentak aku kerana engkol Alpha Drive resaksa ijau menggunakan BB saiz 73mm. Lebar perumah BB hanya 68mm. Gendala 2!
OK. Takpa. Engkol pula ditinggalkan. FD yang sudah terkapuk cuba dilaraskan. Sekali lagi gagal kerana FD kapukan bawah tidak sesuai untuk Pyre. Kabel tidak boleh dipasang kerana ruang yang terlalu pendek di antara penahan kabel dengan bolt pengunci FD. Gendala 3!!!
Malampun beralih ke pagi dan tiada apa yang boleh aku buat selain mengemas semua peralatan yang bersepah di ruang tamu. Berakhir malam 2.
H A R I K E T I G A
Siang yang menggelisahkan. Dalam kepala terfikir-fikir penyelesaian gendala-gendala. Sedang elok pulak jadinya bila Muzack, kawan sepejabat, ajak ke KSH untuk tengok frame yang dia cadang nak beli. Apa lagi! Balik ke pejabat menjinjit beg berisi XT FD dan engkol XT 09. Rabakkkkk...
Memang dalam banyak hal dalam kehidupan, afdal dibuat meniga-niga. Maka, pemasangan Pyre juga mengambil masa 3 malam. Malam 3...malam penyudah. Ubat kepada 3 masalah dibentangkan. Engkol XT dipasangkan dengan lancar. Tool Shimano diimport langsung dari Jepun dipergunakan sepenuhnya.
FD XT kapukan atas, dengan X terpamer megah terkapuk pada tiub pelana. Tiada masalah lagi. Rantai dipasang. Tirai fasa 3 - penalaan dan pelarasan unit pacuan bermula.
Pelarasan FD kiri kanan atas bawah dibereskan. Bunyi macam senang makan kacang tapi... Had bawah ditala supaya kelegaan rantai dengan dinding FD dalam hanya 1 mm. Kabel FD ditarik tegang dan dikunci ke bol pengunci. Kemudian RD pula dikerjakan. Selepas itu bermulalah proses cuba-laras-cuba ulang-ulang hingga dapat penalaan gear ynag optima. Kalau nak cerita dengan teliti, sampai terbit fajar sadiqpun tak abis.
Jam 11.55 malam, Banshee Pyre siap dipasang. Aku biarkan dia seketika sambil mata memerhati. Badan terasa penat. Mata dah mula berpinar. Tapi...rasa puas menyelubung diri. Dah siap dipasang...apa lagi? Masa untuk cuba kayuh. Aku bawa Pyre keliling taman satu pusingan sebagai tanda pemasangan siap. Hmmm...apa lagi? Masa untuk Pyre ini diberi nama. Nama apa ya? Hitam, nampak macam tak berapa ganas, tetapi boleh mempedayakan. Apa yang sesuai? Tercetus dalam akal ini sifat itu macam bara - panas dan membakar tapi apinya tidak kelihatan...Maka aku namakan Banshee Pyre hitam legam (macam aku) ini Sang Bara. Maka lahirlah...SANG BARA.
7 comments:
PerghHh...lepaih ni lagi GANAS la hang...bila nk try?..amik gambag post aku nk tengok aksi jentera baru,,,hahaha... berapa duit weh...bekenan gak aku ..!
kata ada something hot is coming.. tapi lalu depan rumah gelap je.. ingatkan takde orang...
rupanya bukak woksyop kat dalam rumah...
skang dah boleh tukaq nama..
BC kelolo => banshee kelolo
Woo hooo! One matt black replacing another, I see.
Seems that I've been doing the right thing (or at least the same as you do) when assembling my bikes.
...great minds, think alike :)
I admire your patience. 3 days is awfully long time to wait.
Ni dah masuk offroad ka ni?
Tok Wan,
Dak aihhhh...Kami orang lemah lembut lagi bersopan santun. Tak ganaih aihhh...
Shuk,
Ni suma hampa punya pasai. (Lega, ada orang nak dislahkan). Bansheek laaa...bansheek laa...Tengok, apa dah jadi???
Akmal,
Memang dok teringat angau kat Element. Sebab tu matte black jugak yang jadi pilihan.
Dah cecah tanah dahhhh...cerita coming.
heee. nanti dadah nak kawan dgn bara bley?
looks like your Element is FIRE....
wicked build!!!
fuhh!!! boleh lah test kat Chenulang, K.Krai nanti...
Body raksasa hijau tu tak mo jual ker?
Post a Comment