DARI SG BULOH KE KAKI STEROID
K
awasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia memang sudah sohor di kalangan pembasikal. Latar mukabumi dengan rimbunan pohonan rimba berserta denainya memang sesuai untuk kegiatan luar pintu - rentas desa sama ada berjalan kaki atau berbasikal, menjadi aktiviti utama. Lazim hari Sabtu dan Ahad dipenuhi pengunjung
Untuk pembasikal gunung, ada dua jalan masuk yang lazim, melalui pintu depan di Kepong atau lewat denai belakang dari Hospital Sungai Buloh. Kitaran lazim biasa memberikan jarak sekitar 15km - 16km. Merentas denai-denai Rover Track, Dream Trail, 501 dan Bukit Hari. Tapi...kayuhan terbaru aku pada 10 Mei 2010 mencatat jarak 24km. Macam mana terjadi begitu? Sesat? Tidakkkk..
Pagi Ahad, 9 Mei 2010. 2 gerombolan pembasikal, BBB dari tasik Puteri dan pembasikal lasak dari tempat kerjaku, EON Bank, sepakat untuk ke FRIM. Tempat jumpa di Hospital Kusta, Sg Buloh jadi gendala sebab ada program Hari Terbuka. Parkir dialih ke Dewan Orang Ramai, Kpg Orang Asli Sg Buloh
Aku turun dengan misi. Bukan misi jururawat hospital Sungai Buloh, misi macam Tom Cruise mission impossible tu...Jentera Sang Raksa akan meredah denai buat kali pertama. Medan ujian untuk melihat prestasi kerangka EPX Hollowpoint separa alu-separa karbon. Juga akan diuji ialah sistem pacuan dari Sram X9 dan sistem brek Quad Dime pro-RA
Langit redup pagi dengan awan gemawan bertaburan menghias langit, cuaca dingin, dengan kabus (ya kabus!), masih berapungan di sekitaran membuatkan seperti berada di Cameroon...Cameron Highland daaa...bukan Cameroon. 0845hrs, gerombolan berkayuh meninggalkan laman parkir dewan orang ramai. Berbaur jersi baru BBB dengan aneka jersi lain. Antara yang hadir - Gaplek, Aboi, Ckuku, Belacan, Ketualanun, Langgark, Kelawar, Umar, Pine. Pengayuh muda - Daniel Degawan, anak Aboi, Adam (anak Umar) dan Faris (anakku). Dari EON Bank - Hazimi, Haris (bukan aku, ada sorang lagi brader nama Haris jugak), Alvin, Bharon, kawan Bharon, dan beberapa orang lagi yang aku tak boleh ingat. Harap maaf. Motherboard ngan processor generasi lama macam tulah
Jalan tar sempit sudah dinaik taraf kepada jalan berkembar. Di kiri sungai, di kanan nurseri menjual bungaan dan hiasan taman. Jalan tar terhenti dan bersambung jalan tanah merah. Berselut berlumpur sebab malamnya hujan. Pembinaan UiTM berjalan rancak. Tayar beransur menjadi kemerahan. Belum masuk FRIM lagi tu..
Kawasan tanaman rumput di kaki bukit jadi sempadan Kg Bukit Lagong dengan FRIM. Cerun curam menanti. Jalan lembab bagaikan lapisan gam membuat tayar jadi berat dan melekat pada denai. Ujian pertama Sang Raksa. Ujian mendaki. Sengaja aku set gear depan di tengah dan gear belakang juga tengah. Sedikit lajakan dari bawah kemudian cerun mula menunjukkan garang. Gear tengah sudah terasa berat dan ego eku memaksa aku menggagahi untuk terus berkayuh dengan cadence perlahan mengesot naik. Pine muncul dari belakang membuat kejutan, kemudian dengan tenang berkayuh selamba naik bukit pertama memotong orang lain yang masih terhegeh-hegeh. Cerun yang curam dengan dada yang semakin sesak memaksa ego mengalah. Tuas gear ditekan. Penukar gear X9 mengarahkan RD menaikkan rantai satu gear. Tak cukup! Tekan lagi sekali. Baru terasa gear mampu kayuh. Gambaran awal, tukaran gear rendah X9 bila perlahan agak lembap berbanding XT Shadow. Mungkin tanggapan aku salah..
Kerangka dan berat keseluruhan yang agak ringan berbanding Sang Bara jadi sedikit penawar. Sang Raksa terus mengheret aku naik ke atas cerun dengan tenang. Berhenti di puncak pertama menunggu Faris yang tercicir di belakang
Pendakian kedua juga diberesi dengan lancar walaupun pada kelajuan rendah. Deria masih lagi mengamati tindakbalas Sang Raksa dengan rupabumi. Turut sama diamati ialah perilaku komponen-komponen lain. Quad Dime Pro-RA masih belum sempat menunjukkan belang
Selepas palang, laluan bertukar corak kepada laluan beralun dengan naik turun yang pendek. Gear tinggi digunakan dan Sang Raksa meluncur pergi. Setakat itu, dirasakan kerangka cukup bagus. Cuma pada belokan tajam dan pantas terasa belakang seperti meliuk. Mungkin sifat gentian karbon agaknya yang lebih lentur dari alu
Kaki Steroid dihampiri. Ramai pembasikal berkeliaran. Macam ada acara pulak pada pagi itu. Meriah sungguh. RM3 dihulur kepada petugas FRIM yang menunggu di situ. Ufti masuk ke FRIM. Walau masuk ikut laluan mana sekalipun, bayar tetap bayar
SUNTIKAN STEROID DIPERLUKAN!
Kelaziman berhenti dulu menambah "angin" buat bekal mendaki Steroid tidak diamalkan hari itu. Dengan luncuran perlahan, aku terus mendaki Steroid. Sahabat dari BBB melihat sahaja. Hujan malam sebelumnya menyebabkan jalan becak dan berselut. Permukaan tanah bagaikan gam memegang dan memberatkan tayar. Aku menggagahkan bermain gear sedang sebelum mengalah bila sampai ke perdu buluh pertama. Pendakian atas permukaan berselut nyata menyiksakan. Terpaksa aku memakai gear "granny"
Cungap nafas dijaga. Lenguh kaki di awasi. Dengan cadence sederhana, seinci demi seinci Steroid dikerabat. Tiada kelibat insan lain, hanya aku seorang. Lat tak lama, nampak kelibat 2 basikal nun di atas, 50meter di hadapan. Datang rasa nak mengejar. Gear ditukar, cadence ditingkatkan. Kaki protes. Aku tak peduli. Aku terjah. Rasa macam dah laju, tapi basikal di hadapan masih jauh juga. Tindakan spontan itu membuatkan jantung rasa nak meletup. aku bertahan 2 atau 3minit sahaja sebelum datang suara dalam kepala memberitahu "Tak payah kejar laaaa...maintain pace supaya cukup tenaga untuk kayuh all the way". Mujur suara itu bijaksana. Suara siapakah itu? Nasib baik suara itu tak suruh berhenti...Kalau tidak, mesti aku setuju!
Mendaki Steroid dengan basikal ekor keras nyata berbeza. Setup yang lebih ringan, dengan fork yang lebih pendek, 115mm berbanding 140mm pada Sang Bara, ditokok beberapa faktor lain memberikan pendakian yang lebih lancar. Aku heret Sang Raksa terus meredah Steroid. Memadai dengan simpang bawah. Tidak perlu hingga ke atas laluan ke helipad. Aku dah tak larat. Kederat aku bukan macam Pine
Pada laluan yang melandai sebentar, aku ambil kesempatan mencuri nafas. X9 diperintahkan memberikan gear tinggi. Gabungan depan-tengah-belakang kecil dipilih buat persediaan meluncur menuruni steroid
Minit yang pertama memberikan aku sentakan. Badan yang dimanjakan dengan ampaian penuh selama2 tahun terkejut dengan gegaran ekor keras bila melonjak menuruni cerun curan steroid. Brek Quad Dime Pro-RA bekerja keras menyelamatkan keadaan. Gegaran kuat menyebabkan penurunan aku diperlahankan. Mujur Quad kuat. Daya membrek diberikan sebagaimana diminta. Cengkaman kemas dan pasti hanya dengan tarikan satu jari. Dengan ponggong terapung diawangan, bukan di atas pelana, aku menuruni Steroid dengan hati-hati. Permukaan steroid yang "berjerawat" memastikan sepanjang laluan turun berisi dengan gegaran 5 pada skala Richter
Belokan kanan kemudian kiri yang biasa aku rembat kalau dengan Sang Bara, terpaksa diambil dengan berhemah. Gegaran berterusan sehinggalah sampai ke kaki Steroid berhampiran gazebo. Kemudian, barulah hilang gegaran dan Sang Raksa meluncur pergi dengan lebih selesa hingga bertemu kembali dengan simpang denai Bukit Hari. Ahli rombongan yang tidak menjamah Steroid, termasuk Faris anakku sedia menunggu di situ..
Cuaca hari itu memang cuaca ideal untuk berkayuh. Redup dan tenang. Kerabat dari BBB mohon diri untuk meneruskan kayuhan. Aku dan geng tertinjau mencari Bharon dan Haris A yang tak kelihatan. Naikkah mereka ke atas Steroid? Di bawah juga tiada. Dalam tercangak-cangak, baru nampak kelibat mereka di bawah menghala ke Kem Perah...Dengan suara manja serak-serak garau, aku jeritkan arahan untuk teruskan kayuhan. Trail mengalir turun. Ada cabang kiri dengan papan tanda "MTB Trail" warna merah. "Ini trail baru tu agaknya", hati berkata..
RENJISAN TEKNIKAL
Selepas cabang, hampir dengan perdu buluh, ada laluan turun ke kanan. Laluan sempit, berlurah dan teknikal. Pilihan diberikan sama ada untuk turun ikut situ atau teruskan kayuhan. Aku heret Sang Raksa turun ikut laluan itu. Bermain brek dan imbangan atas laluan sempit dan curam, menyelit di celahan pokok. Kemudian menjadi lebih mesra dan pantas. Pendek sahaja dan berakhir di Taman Botanikal Kepong. Faris ikut sama. Nampak dia memang dah macam kemaruk teknikal sekarang ni. Rizal,Haris A, Hazimi dan anaknya Aiman, juga menjadi pemberani menyahut cabaran. Bharon dan Alvin ambil jalan yang satu lagi, yang lebih biasa dilalui
Bersantai seketika berkayuh tarmac di Taman Botanikal Kepong. Berhenti di persimpangan menunggu Bharon dan Alvin yang tak muncul-muncul. Kami teruskan saja mendaki sedikit sebelum meluncur pergi dengan kelajuan "tak hingat dunia". Trek batuan sedang yang sudah padat sedap dilanyak. Sang Raksa meluncur tanpa protes. Ditokok bonus bila palang yang biasa menghalang luncur diangkat tinggi. Luncuran terus hingga ke tarmac. Dari jauh terdengar lolongan. Bukan dari serigala jadian, tapi dari sorang pembasikal gunung yang menghampiri puncak orgasma...Orgasma berbasikallah, bukan senggama
Dari situ menyelinap pula ke denai 501. (Ada kena mengena dengan syarikat seluar jeans ka?). Laluan lebar di bawah teduhan rimbunan rimba. Sungguh hening. Gerutup daun kering dan reranting reput di bawah gerutu tayar basikal. Berkayuh tenang menghirup damai rimba. Tenang dan menyegarkan
Ada satu balak tumbang sebesar sepemeluk melintang jalan. Hujung sebelah kanan ditambah satu lagi kayu kecil sedikit menjadikannya seperti tanjakan. Boleh dilepasi dengan kayuhan. Sayang aku tidak mengulang. Hanya menyedari selepas ditolak yang balak itu boleh dikayuh untuk melepasi dengan tambahan tanjakan yang dibuat
Hampir di penghujung 501, ada lencongan ke kanan. Awalan yang turun mendadak dengan akar berselirat. Sebelum ini memang curam dan off-camber tapi telah diberi sedikit rawatan oleh krew MTB FRIM menjadikannya boleh dikayuh. Denai sempit mendakap lereng bukit berselirat. Akar-akar kecil menghias lantai menambahkan perisa pada kayuhan. Sang Raksa galak berlari dengan gear tengah-tengah. Tiada masalah, tiada protes. Denai berakhir dengan longkang yang telah ditutup dengan jambatan simen. Lagi hasil kerja krew MTB FRIM. Denai pendek dalam anggaran 500m. Memang tak puas
Sementara menunggu yang lain sampai, aku berkayuh ke kaki Rover Track, menjangkakan akan berjumpa Bharon dan Alvin di situ. Penat juga menerjah untuk ke situ. Seelok sampai, telefon tangan berdering. Bharon selamba beritahu dia dah sampai ke cafe. Cis! Bedebah sungguh! Penat aku bergatih ke situ mencari mereka!
MENGGAPAI IMPIAN...THE DREAMS
Tak perlu cerita panjang bab rehat di cafe. Lepas rehat dan isian semula, gerombolan menyambung acara menggapai impian. The Dreams menjadi medan permainan. Langit makin mendung dan sarat. Awan berarak lebat. Suasana kelam...Padan la pun kelam, aku pakai cermin mata gelap. Cheh! Lawak bangang!
Jam hampir 1100hrs. Masa untuk bermimpi di siang hari. Geng BBB sudah siap bersalaman dan bermaafan (macam nak raya pulak) selepas mohon undur diri. Geng EBB (EON Bank) meneruskan impian. Faris, Hazimi, anak jantan Hazimi, Haris A, Rizal, Alvin, Bharon dan Pine (racer wakil tunggal Celcom) berkayuh menuju The Dreams
Jalan tarmac menghala keluar kemudian pusingan patah ke kiri ikut Jalan Bukit Bujang. Pendakian "boleh tahan" sebagai pemanas betis ucapan selamat datang ke Dreams. Simpang kiri denai lebar menyambut kedatangan kami. Masuk ke laluan rimba dengan pokok-pokok hutan yang aku tak tahu namanya (kena tanya JoeAdnan nih) tegak melayut memayung laluan. Melandai seketika kemudian mendaki sehingga ke gerbang The Dreams. Nyamuk berdengung meyambut kedatangan. Suasana kelam semakin kelam di sebalik kaca mata hitam. Sempat aku ber potpet serba sedikit cerita al kisah The Dreams setakat yang aku tahu
Masuklah pembasikal EBB satu persatu. Akar berselirat memang pengenalan The Dreams. Denai beralun pada mula. Sang Raksa galak bermain. Kerangka dengan belakang karbon ada juga faedahnya bila denai agak teknikal. Bonggol kecil tak terlalu terasa diserap lenturan gentian karbon. Sram X9 memberikan tukaran gear lancar dan pasti. Terperasan beberapa tempat ada tambakan tanah yang sudah memadat. Ah, terima kasih sekali lagi kepada krew FRIM yang membaiki dan menyenggara denai..
Laluan kemudian meluncur cerun dengan beberapa curaman pendek. Batu-batan menambahkan lagi cabaran. Memang kena ambil posisi menunggang dengan ponggong terapung kalau bawa ekor keras. Rentak ritma pedal perlu dijaga supaya tidak terhentak pada batu. Menyusahkan, tetapi susah itu sengaja dicari. Sebab, kalau kesusahan itu dapat diatasi, terasa kepuasan besar pada diri..
Sedap meluncur turun terbantut dengan cerun sempit curam dengan bongkah batu sebesar bilik tersergam. Selama aku berkayuh di Dream, tak pernah sekalipun aku berjaya kayuh hingga ke atas. Menolak sajalah. Sekonyong terdengar irama detap detap tap tap tap tap. Langit yang sedari pagi menahan beban, melepaskan muatan. Rintik hujan turun menitik pada dedaunan bagaikan konserto percussion. Kanopi rimba menapis hujan dari jejak ke tanah. Sekaligus hawa dingin menerpa. Terasa bagai di tanah tinggi.
Dreams terus mencabar dengan beberapa dakian berakar dan berbatu. Beberapa kali tayar ditolak kasar ke kanan dan ke kiri bila hilang cengkaman bermain dengan akar. Satu isyarat supaya tayar Conti Vapor 2.1 itu diganti? Atau mungkin kerana tekanan angin terlebih? Kemudian masuk ke fasa bermain dengan belok balik (switchback). Memang seronok melayan. Belok balik ke 4 sudah terhakis agak teruk. Longkang di tengah dengan tebing luar yang curam. Selalu membuat tayar belakang menggelongsor masuk kalau dihadap terlalu perlahan. Nak laju takut terbabas kerana di depan gaung dalam menunggu. Alur air menghakis permukaan denai. Nampak lembik dan berlumpur. Rasanya, elok kalau ada penghadang air (water bar) di situ.
Dream terus beralun. Menduga basikal dan pengayuh. Dahulu, sebelum sampai ke jambatan, ada halangan berbatu dan bertingkat yang ditambah payahkan lagi dengan sebatang pokok sebasar lengan di tepi laluan. Pokok itu sudahpun ditebang. Sayang sekali kerana pokok itu warisan rimba yang seharusnya dibiarkan tumbuh dan membesar. Laluan batu bertingkat juga sudah diratakan. Memudahkan, tetapi menghilangkan rasa cabaran.
Jambatan kayu tanda penghujung Dream sudah dekat. Masa bermimpi sudah hampir tamat. Dan penamatannya memang bergaya. Lalun luncur turun yang berakhir dengan batuan. Pembina trail sengaja membiarkan jarak di antara paltform batu dengan tebing longkang. Bertujuan memaksa pembasikal turun dan tolak dengan perlahan kerana denai berakhir dengan pertemuan dengan Rover Track. Rover kawasan trafik tinggi dengan joggers, trekkers dan pembasikal lain yang mundar mandir. Pertemuan dengan Rover Track menyingkap tabir mimpi dan membawa anda kembali ke realiti...Berehat sebentar.
Bila dah sampai ke kawasan sedikit terbuka baru terasa rintik halus hujan menjamah tubuh. Rover Track lengang kerana semua manusia sudah tempiaran lari berteduh dari hujan. Masa menghampiri rembang tengahari tapi suasana seolah baru jam 8.00 pagi. Jarang dapat peluang berkayuh Rover Track yang lengang. Peluang yang tidak disesiakan untuk merempit laju dari biasa. Alun naik turun Rover Track jalur lebar dilayan laju sedikit dari biasa memang mengujakan. Seronok melihat kawan-kawan yang baru pertama kali menjamah bumi FRIM. Teruja dan gumbira. Dah ada yang berkira-kira nak datang semula dengan keluarga. Hujan terus merintik halus dengan sesekali ada trekker atas denai. Kayuhan Rover akhirnya terhenti di pertemuan dengan tarmac untuk meneruskan agenda meninjau denai baru...
HANYUT DI DARATAN
Gerombolan re-group di situ. Rancangan untuk ke denai baru dimaklumkna sekali lagi dan pilihan diberi sama ada untuk mengikut ke denai baru atau balik ikut laluan Bukit Hari. Hazimi, Aiman, Faris, Haris A dan Rizal, yang patah tuas breknya, memilih untuk tidak mengikut. Aku, Pine, Bharon, Rizaldi dan Alvin gatal menyahut cabaran.
Laluan bermula dengan laluan tarmac bengkang bengkok curam hampir 45°. Laluan penuh perdaya kerana pendakian seterusnya tersembunyi di seblaik selekoh. Pine di hadapan. Kaki racernya selamba mendaki dengan gear tengah. Aku cuba mengikut nyata kaki novis aku tak mampu bertahan. Setiap kali lepas selekoh terdengar laungan Pine bagai pengumuman yang bala menanti di hadapan. Sang Raksa membuktikan yang ia handal mendaki.
Mujur dengan segala jerih payah, aku berjaya sampai ke tangki air, penamat jalan tar, tanpa perlu menolak basikal. Satu kepuasan yang amat sangat!. Alvin, Rizaldi dan Bharon menyusul kemudian. Cuaca masih redup walaupun masa sudah tengahari rembang. Berehat sebentar sebelum menerjah masuk ke laluan seterusnya.
Denai sempit beralun kecil sepanjang laluan paip jadi sajian seterusnya. Jalan licin menambahkan deraan. Namun berjaya juga digagahkan. Rasa takut bimbang berbaur bila terpandang gaung dalam di sebelah kiri.
Laluan tidak mudah. Sekonyong tercongok di depan mata tebing curam dan licin. Memang tak boleh berkayuh langsung. Tayar belakang berpusing setempat macam cerita Tokyo Drift. Nak menolak naik juga azab kerana permukaan licin. Harus berhati mencari tempat bertapak. Sampai ke atas puncak satu kelegaan. Denai sempit di sebelah kiri menanti...
Sementara menunggu semua sampai, sempat aku tinjau denai. Pembukaan curam. Tampak nyata bekas tayar terseret turun. Seret, bukan golek. Boleh ka layan ni? Bharon sampai dengan palitan tanah dan selut pada pelindung ketingnya. Dah kecebur la tu...
Aku mulakan pencak melayan curaman. Sebaik tayar belakang melepasi tebing, brek Quad mula bekerja. Mengacip ceper brek untuk memperlahankan basikal. Denai basah dan licin membuatkan basikal hanyut. Jenuh beraksi imbangan membalas kembali hanyutan. Tayar mula mendonut. Hampir tiada cengkaman langsung. Dalam kepala terbayang kalau denai kering dan padat. Mesti seronok bermain di situ.
Denai sempit sepanjang jalan dalam aliran menurun. Sayang tak dapat dimanfaatkan kerana tayar hilang cengkaman. Denai sempit mendakap lereng bukit. Mungkin baru saja ditarah. Kesan lanyakan basikal lain jelas berserakan. Banyak tempat sudah menjadi "off camber" dengan permukaan mereng keluar ke arah gaung. Tersalah terjah, memang ke bawah la jawabnya. Terpaksa berpuas hati dengan kayuh-tolak-kayuh. Nak menolakpun kena hati-hati sebab tempat berpijakpun licin licau...
Denai sempit kembali melandai dan akhirnya bercantum dengan denai lebar. Ada haluan ke kiri dan ke kanan. Ke kiri, akan kembali ke kaki Steroid. Ke kanan, akupun tak tahu ke mana. Denai lebar menurun sederhana. Bolehlah merasa sedikit keseronokan berkayuh berbanding denai tadi yang licin macam pipi Maya Karin. Kelicinan yang membuatkan aku hanyut di daratan...
BERSALUT TANAH, SELUT DAN LUMPUR...
Gerombolan jarak tambahan bersatu kembali dengan gerombolan cilokan. Aku dan yang lain basah kuyup. Peluh berbaur renyai hujan. Tompokan tanah merah dan lumpur berserak di baju dan seluar. Sang Raksa dah jadi macam Sang Laksa. Penuh bersalut tanah juga. Tayar menjadi donut besar. Kerangka dan segenap celahan pada gear dan rantai juga tidak selamat dari serangan lumpur. Semua itu bagaikan chop "rubber stamp" tanda kepuasan...
Kayuhan bersisa sedikit lagi. Dan laluannya tidak menggusarkan. Laluan rata, kemudian beransur turun meluru laju. Sedar-sedar aku tercicir di belakang kerana yang lain bagaikan mendapat caj tenaga baru. LAJU!!!. Memang laluan dari kaki Steroid ke Sungai Buloh laluan pantas yang merembes adrenalin. Ditokok lagi dengan kebebasan jiwa dan diminda dari belenggu pemikiran yang sering membayangkan pendakian yang bakal mendatang. Kayuhan balik ke Sg Buloh tidak lagi menggusarkan. Semua melepaskan geram!!! Memang pengakhiran yang indah!
Jam 1300hrs, semua selamat kembali ke parkir di Dewan Orang Ramai, Kpg Orang Asli Sg Buloh. Meter mencatatkan jarak 24km. Prestasi Sang Raksa diuji bertubi. Aku cukup berpuas hati dengan persembahan Sang Raksa. Belum pernah aku berkayuh di FRIM sejauh itu. Kayuhan FRIM Ahad, 9 Mei 2010 mencatat sejarah baru kayuhan aku...