Monday, January 11, 2010

Projek KEMBAS 2010 - Kembara Basikal 2010

Mimpi yang tidak tergapai tangan, mimpi yang hanya hadir dalam tidur tidak menggusarkan. Kerana akal tahu tidak akan kesampaian. Tapi mimpi yang tergapai dek tangan memang mengharukan. Bikin jiwa kacau. Kerana mimpi itu boleh dicapai di dalam jaga.

Aku punya impian mahu berbasikal jelajah Malaysia. Sesuatu yang pada sifir dan kira-kira aku boleh dicapai. Tambah meluap lagi bila aku mendapat satu basikal, Specialized HardRock, yang sesuai untuk tujuan itu. Makin meluap dan gelora impian.

Bila impian makin membara, gelora dan kacau jiwa makin kuat meruntun untuk direalisasikan. Namun aku tidak mahu terburu nafsu. Harus ada perancangan teliti sebelum impian mahu dinyatakan. Untuk itu, sebagai permulaan,aku merancang KEMBAS - Kembara Basikal 2010. Pusingan pertama memadai dengan berkayuh ke Ipoh melalui jalan pantai. Jarak anggaran lebih kurang 270km. Jika anda berminat untuk menyertai, di alu-alukan.

RENCANA KEMBARA

  • TARIKH : 30/01 - 31/01/2010
    Tarikh ini dipilih kerana 1 Feb adalah cuti umum Hari Wilayah Persekutuan. Jadi ada satu hari tambahan sebagai pengalas jika perancangan terbabas satu hari.
  • FORMAT KAYUHAN
    Kayuhan dalam format touring santai. Bukan perlumbaan. Anggaran kelajuan berkitar dalam 20km/j - 25km/j. Jika laju, matlamat berkembara tidak tercapai. Ini bukan Le Tour de Parit. Tidak ada jersi kuning ditawarkan. Hanya satu rasa kepuasan yang sukar digambarkan.
  • LOGISTIK
    Kayuhan ini adalah sokongan kendiri. Tiada kenderaan sokongan. Semua barangan, peralatan, pembaikan dilakukan sendiri.
  • LALUAN

    Dari Greenwood ke Ipoh melalui jalan pantai. 270km. Ada berani?
    Laluan pantai dipilih. Menelusuri Kuala Selangor, Sabak Bernam, Teluk Intan, Bota, Seri Iskandar hingga ke Ipoh. Jarak lebih kurang 270km. Tempoh perjalanan dijangka 2 hari. Kayuhan sehala sahaja. Perjalanan pulang dengan keretapi dari Ipoh. Tak lalu rasanya nak pergi baliik dengan basikal. Lagipun, ini baru projek pertama...

    Pergerakan awal akan terbahagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan 1 akan bergerak dari Gombak ke Bdr Tasik Puteri kemudian bergabung dengan Kump 2 yang akan memulakan kayuhan dari Bdr Tasik Puteri. Seterusnya, berkayuh bersama hingga ke destinasi. Kayuhan akan berehat satu malam di penanda 220km di Bota Kanan. Kayuhan diteruskan ke Ipoh keesokan harinya.

    • Leg 1 - Greenwood - Bdr Tasik Puteri

      Leg 1 : Greenwood - BTP
      JARAK : 36.2KM
      J/MASA : 1:45
      MULA : 0700HRS
      TAMAT : 0845HRS

      Laluan melalui MRR2 > Jalan Ipoh hingga ke Rawang. Kemudian membelok kiri ke Jalan Batu Arang hingga ke Bandar Tasik Puteri. Kebanyakan laluan landai melainkan bila menghampiri Templer. Ada sedikit pendakian lanjut.

    • Leg 2 - Bdr Tasik Puteri - Kuala Selangor

      Leg 2 : BTP - Kuala Selangor
      JARAK : 32KM
      J/MASA : 1:30
      MULA : 0900HRS
      TAMAT : 1030HRS

      Kump 1 berehat seketika sementara menunggu Kump 2 bersiap. Berehat sambil menjamah aneka sarapan lazat di Medan Puteri. Buat bekalan tenaga berkayuh.
      Laluan melalui Batu Arang, Kota Puteri dan jalan Kuala Selangor. Sengaja dipilih laluan Kota Puteri untuk mengelak laluan mendaki ke menara yang mencungap. 99 peratus landai. Jalan tar dua hala dengan lorong kecemasan yang lebar. Selesa untuk berkayuh.

    • Leg 3 - Kuala Selangor - Sg Nibong

      Leg 3 : Kuala Selangor - Sg Nibong
      JARAK : 39KM
      J/MASA : 1:45
      MULA : 1045HRS
      TAMAT : 1230HRS

      Akan melalui Kuala Selangor - Tanjong Karang - Sekinchan - Sg Nibong. Laluan dua lorong dengan trafik sederhana. Landai 100 peratus.

      Kuala Selangor Cycling Club (KSCC) telah berbesar hati untuk ikut sama mengiringi dari Kuala Selangor. Terima Kasih!!!

    • Leg 4 - Kpg Sg Nibong - Kpg Seri Perkasa

      Leg 4 : Sg Nibong - Kpg Seri Perkasa
      JARAK : 30.5KM
      J/MASA : 1:30
      MULA : 1230HRS
      TAMAT : 1400HRS

      Melalui Sabak Bernam hingga melewati sempadan Selangor Perak. Berhenti rehat untuk makan tengahari, solat. KSCC akan kembali ke Kuala Selangor.

    • Leg 5 - Kpg Seri Perkasa - Teluk Intan

      Leg 5 - Kpg Seri Perkasa - Teluk Intan
      JARAK : 31.5KM
      J/MASA : 1:30
      MULA : 1500HRS
      TAMAT : 1630HRS

      Melalui Ladang Jenderata, simpang Hutan Melintang hingga ke Teluk Intan. Berlegar sebentar di Dataran Pagoda Condong, Teluk Intan.

    • Leg 6 - Teluk Intan - Bota Kanan

      Leg 6 - Teluk Intan - Bota Kanan
      JARAK : 55.1KM
      J/MASA : 2:30
      MULA : 1630HRS
      TAMAT : 1900HRS

      Leg paling panjang. Menyusur sepanjang Sungai Perak. Melalui kawasan kampung dan sawah padi. Berakhir di Bota Kanan. Tamat kayuhan untuk Hari 1. Berhenti rehat, makan, solat dan tidur. Penginapan sama ada di masjid Bota atau Pusat Pemeliharaan Tuntung, Bota Kanan

    • Leg 7 - Bota Kanan - Ipoh

      Leg 7 : Bota Kanan - Ipoh
      JARAK : 43.1KM
      J/MASA : 2:00
      MULA : 0730HRS
      TAMAT : 0930HRS

      Hari 2. Leg terakhhir berbasikal. Laluan akan melalui Seri Iskandar sebelum berakhir di Ipoh. Bergantung kepada jadual keretapi, mungkin ada sikit masa untuk putar-putar Bandaraya Ipoh dengan basikal. Jumlah jarak perjalanan 268km

10 comments:

Anonymous said...

Geng KSCC tunggu kat K.Selangor & bergabung tapi kami mengiringi hingga ke sempadan Perak/Selangor, boleh ke macam tu. Sebabnya kami ni tak ada basikal touring lagi.

BC Kelolo said...

Ijass ka ni?

Nak escort? Wah...kami sangat berbesar hati. Jangka tiba Kuala Selangor 11.30 pagi. Kamipun bukan semua basikal touring...basikal biasa saja yang ditambah beg dan pepara. Hantam saja...

Budak baru said...

Tuan Kelolo, nak bawak basikal naik kereta api ni apa prosidur dia? kene bungkus ke dengan kotak or boleh bawak naik macam motor sahaja? Berapa pula bayaran tiketnya? terima kasih.

Anonymous said...

Kami akan tunggu kalian di Masjid Sultan Ibrahim pada masa yang ditetapkan. Yang ikut tiga(3)orang saya (ijass), Sdr Nasir dan Sdr Asari, yang lain kurang teruja dengan jentera MTB masing-masing.Walaubagaimanapun mereka akan tetap bersama untuk memberikan sokongan.

Anonymous said...

Sdr Saeie (confirm) dan geng KakiKayuh.com nak ikut sama (belum tahu bilangan/mereka sedang meeting)juga akan ikut mengiringi tuan/puan sampai terlarat kederat kami baru patah balik. Silap-silap sampai ke IPOH.

Anonymous said...

Ada perubahan tentang lokasi kami menunggu kalian. Tempat baru ialah di Hentian Trem, Kaki Bukit Malawati (bukannya Masjid Sultan Ibrahim)sebabnya setiap hari Sabtu masjid mengadakan kelas pengajian agama ramai jemaah hadir kurang manis gamaknya.
Terdapat ahli KakiKayuh.com yang mengesahkan untuk turut serta, tetapi bilangannya belum pasti.Harap maklum.

BC Kelolo said...

OK Cikgu. Maklumat diterima dan difahami. Terima kasih atas makluman terkini. Hari makin hampir, debar makin getar...

Budak baru said...

Selamat pergi dan kembali!!

Anonymous said...

Kami berempat (4) iaitu saya (ijass), Sdr Asari, Sdr Saei dan Sdr Nasir memohon maaf hanya dapat mengiringi kalian hingga ke persimpangan Jalan Sg Panjang/Tg Malim kerana masa yang tidak mengizinkan. Walaubagaimanapun Sdr. Asmadi bersama kalian sehingga Sabak Bernam. Waima inilah pengalaman kami mengayuh dalam jarak yang jauh. Banyak ilmu yang dapat ditimba. Kami semua selamat sampai ke rumah-rumah masing-masing jam 8.00 mlm, terpaksa bergerak dalam kegelapan. Nasib baik para pemandu kenderaan malam itu "sporting", mungkin mereka kehairanan dengan kelibat nekad kami berkayuh pada waktu malam tanpa peralatan keselamatan. Lepas ini kami akan buat persiapan rapi untuk penjelajahan yang lebih mencabar.

BC Kelolo said...

Penghargaan melangit kepada KSCC dan Kakikayuh kerana sudi memeriahkan kayuhan KEMBAS2010. Kehadiran kalian menambahkan ceria dan membakar semangat. Terima kasih buat Ijass, Asari, Saei, Nasir, dan Asmadi. Terima kasih juga pada brader yang memandu support car (maaf, tak ingat nama) sehingga ke Sungai Besar.

Semua selamat sampai ke destinasi dan selamat pulang ke pangkuan famili masing-masing. Laporan akan menyusul,insyaAllah.

Maaf atas segala salah silap sepanjang kayuhan. Mohon dihalalkan segala belanja yang mana terlebih terkurang.

Wassalaam...