Tuesday, January 19, 2010

Berbasikal Seharian...Gombak - Kuala Selangor - Gombak

Bagaimana rasanya bila seharian berbasikal. Dari 7.00 pagi hingga 7.00 petang? Letih, lenguh, kebas, kematu semua bercampur aduk. Macam mana boleh tergamak dan terdorong untuk berkayuh seharian? Kerja gila apakah ini?

Semua bermula apabila tercetus idea untuk mengembara dengan basikal. Cita dan angan besar. Jadi, aku mulakan dengan projek kecil dulu. Tercetuslah KEMBAS2010. Untuk berkayuh sejauh itu, tidak bolehlah diterjah sembarangan. Terasa ada perlunya membiasakan diri dengan kayuhan jarak jauh sebagai persediaan KEMBAS2010. Destinasi Kuala Selangor dipilih. Jarak yang tidak terlalu jauh, jalannya kebanyakan landai. Sesuai sebagai medan pelaziman.

Pengumuman yang dibuat bagai tidak bersahut. Datang pagi yang dijadualkan, 9 Januari 2010, hari Sabtu. Semua yang ingin turut serta menarik diri pada saat akhir. Mujur satu SMS yang masuk pada awal pagi selepas fajar sadiq menyinsing menyelamatkan suasana. Shuk bersedia menyahut cabaran. Aku yang dah lepak sebab ingat akan berkayuh sorang diri, kelam kabut bersiap sebab Shuk sudah on the way. Fino juga akan ikut serta, tapi dengan kereta. Ada juga support car.


Shuk dengan CIOCC, aku dengan Rock n Blues. Depan Shell Greenwood circa 0725hrs.
Lazim berjumpa bersalaman. Sebuku roti jadi sarapan. 0730hrs kayuhan di mulakan. Langit redup. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Sedikit dingin terasa bila angin pagi menjamah kulit. Trafik pagi dah mulai sibuk memenuhi lebuhraya MRR2. Greenwood ditinggalkan. Berkayuh dalam kelajuan 22.2km/j. Sedikit was-was dan curiga berbaur dalam hati. Bolehkah aku berkayuh lebih 100km nih?

Susah juga pada mulanya berkayuh dengan kenderaan laju menderu di sisi. Dengan Shuk di depan, menarik kayuhan, aku cuba mengawal diri daripada berasa terganggu dengan kenderaan yang menderu. Jiwa yang mulai tenteram, terganggu sekali lagi bila melewati bulatan untuk ke Selayang. Bulatan dihampiri dengan hati-hati. Terasa sungguh lama berkayuh sebelum dapat keluar pada susur keluar pukul 3. Lega bila dapat keluar dari situ dengan selamat.

Kemudian barulah dapat berkayuh dengan tenang dan malar sebelum ritma berubah mendera pada pendakian menghampiri Templer. Panjang dna lanjut. Kelajuan pada GPS mencatat penurunan demi penurunan. Sementara nafas makin kencang disertai degup jantung. Satu nikmat bila sampai ke puncak. Bebanan terasa terangkat dan basikal meluncur laju menuruni bukit pada kelajuan melebihi 30kmj.


Menghampiri Rawang. Nampak tanah gondol di sodok? Projek LATAR - Lebuhraya Templer - Asam Jawa.
Punya la lajaknya sampai melepasi Templer Golf Club masih ada lajak lagi. Dah lebih setengah jam berkayuh, rasa seriau pada kenderaan yang banyak menderu dah ansur-ansur hilang. Kawasan Batu 16 makin sibuk dengan Tesco yang sudah hampir siap. Di sebelahnya pula projek Reef. Kami kayuh terus hingga ke susur Jalan Batu Arang. Mata sempat memerhati jalan lingkaran luar Rawang yang dah hampir siap. Nanti, kenderaan ke Utara tak perlu lagi masuk ke pekan Rawang.

Kami membelok ke kiri, ke Jalan Batu Arang - Batang...Opppsss...dah tukar nama ke Bestari Jaya. Apa pulak Batang Berjuntai ya? Kenderaan berpusu-pusu, nak ke lebuhraya. Lepas simpang ke tol Rawang, kenderaan mulai surut. Langit masih lagi redup. Sedap sungguh berkayuh. Sesekali datang angin kepala (headwind), seolah menolak kami ke belakang...Ishh..penat lawan angin.


Dah nak sampai Bdr Tasik Puteri
Lawan angin tidaklah sampai naik angin. Kayuhan diteruskan melepasi Emerald, Country Homes, Velox dan kubur...Assalamualaikum ya ahlil kubur. Semoga tenang bersemadi. Simpang Tasik Puteri di depan mata. Aku melaung pada Shuk supaya membelok kiri. Shuk angguk-angguk dan mengambil tindakan membelok ke kiri.

Jalan Bdr Tasik Puteri dua lorong sehala macam lebuhraya. Pagi hening dengan mentari makin galak bersinar. Terguris hati melihat paya mengkuang yang sudah banyak ditimbus. Kawasan paya itu dulunya kawasan bangau bersarang. Siap diwartakan sebagai kawasan perlindungan burung. Malah menara pemerhati juga dibina untuk peminat pemerhati burung. Menara masih tercongok di situ tapi paya sudah ditimbus. Mana perginya kekuatan warta? Kayuhan sepanjang jalan itu menghimbau kembali memori silam berkayuh seorang diri di situ...

0845hrs, Medan Puteri dijejaki. GPS mencatat 36.1km. Tompokan gerai menawarkan aneka hidangan pagi. Perhati juga sekeliling kot ada sorang dua ahli BBB yang nak ikut. Satu kelibat basikalpun tak kelihatan. Kami berehat seketika sementara menunggu Fino sampai. Kesempatan diambil untuk mengisi tangki yang tadi di isi setakat simpanan saja. Kesian kue tiau jadi mangsa Shuk. Akupun belasah juga. Kuih seri muka buat awet muda dan nasi lemak pengawet perut. Fino sampai kemudiannya. Hai...bawa keretapun sampai kemudian dari basikal?


Di bawah naungan gerbang rimbunan hijau
0930hrs, Medan Puteri ditinggalkan. Laluan diubah sedikit setelah mendapat tahu laluan Batu Arang - Kota Puteri sudah dibuka. Legaaaaaa...Kenapa? Tanya geng BBB pasal laluan menara...Dari BTP ikut jalan belakang ke Batu Arang. Dalam galak, Shuk terbabas. Nasib baik naik basikal. Sedas saja buat U-turn pusing balik. Simpang kiri ke Kota Puteri diambil. Jalan diteduhi gerbang rimbunan pohonan. Namun, itu hanya sementara. Bila masuk ke Kota Puteri, jalan luas terbentang dengan dedahan langsung tanpa segan silu. Berdenyut rasa kulitku yang gebu ini dimamah mentari.

Laluan hangat Kota Puteri bertemu dengan Jalan Kuala Selangor (54). Kami membelok kanan menghala ke Ijok. Jalan dua hala melandai sepanjang jalan. Satu kelegaan kerana lorong kecemasannya lebar memberi ruang selesa untuk berkayuh. Dalam perjalanan terpandang pengayuh-pengayuh berjersi LeTua dari arah berlawanan. Mereka sudah dalam perjalanan balik sedang kami baru terhegeh-hegeh nak ke Kuala Selangor. Bergilir la kami berdua dok "menarik" satu sama lain. Pakatan awal kelajuan antara 20 - 20km/j jadi terbabas sikit bila masing-masing jadi bertambah galak. Maklum la jalan landai...


Di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor
Kelegaan yang hakiki datang menerpa bila ternampak papan tanda Asam Jawa. Bermakna Kuala Selangor dah makin dekat. Dah boleh bau Kuala Selangor. Lampu isyarat Asam Jawa jadi saksi. Seronok sebentar cuma bila sebenarnya sasaran yang dituju jauh lagi. Jalan Kuala Selangor sibuk dengan kenderaan tak seperti Jalan Ijok - Asam Jawa tadi. Kayuhlah kami pelan-pelan dengan saki baki tenaga yang ada. Lega yang amat bila sampai ke kaki Bukit Malawati. Jam terpacak 11.20 pagi. Tamat kayuhan hala pergi. Jarak dicatatkan 69.40km. Dan di mana lagi kalau tidak Bukit Malawati, mercu tanda Kuala Selangor, dijadikan tempat rehat santai berhenti penat. Tapi...sebelum boleh berehat, kena dera kali terakhir berkayuh memanjat Bukit Malawati. Bukan pembasikal sejati kalau naik Bukit Malawati dengan trem.

Sempat diluangkan masa sekejap berehat kat situ melihat alam sekeliling ciptaan Allah s.w.t. Monyet-monyet dari spesis Lotong (bulu hitam, muka putih) banyak kelihatan. Semua melepak pada ranting dan dahan pokok. Aku difahamkan lotong ni dari spesis beradab. Baik kelaku, tak mengambil barang orang sebarangan. Memang ya aku perhatikan. Mereka tak usik kacang panjang yang dijual melainkan kalau dihulur. Sudah puas berehat dan bergambar, kami berkayuh turun (sebenarnya tak kayuhpun, cuma bergolek turun saja). Sedang elok di kaki bukit ada restoran (tak ingat la pulak nama). Ikan bakar yang dipamerkan menggamit selera dan kami ambil keputusan untuk makan tengahari di situ. Fino dengan support car tiada khabar berita. Tahu-tahu muncul waktu makan. Rupanya, dia dah lama sampai siap sempat beli ikan di tambatan. Ikan bakar, pajri terung dan aneka lauk pauk jadi santapan. Bahan bakar untuk enjin bekerja bagi 70km kayuhan balik.

Jam 1300hrs, gandingan 2 pengayuh meninggalkan kaki Bukit Malawati. Menyusur kembali jalan Kuala Selangor. Haluan balik tidak mengikut Asam Jawa, sebaliknya mengambil laluan Bestari Jaya melalui kampung Kuantan, kampung yang terkenal dengan kunang-kunang. Mentari tengahari yang galak membakar tiada simpati. Berbelang tanganku dengan jelaga kehitaman. Terasa juga peritnya. Kereta sokongan sempat singgah beli air dan jambu di tepi jalan, sementara dua pengayuh terkial-kial menunjal pedal untuk mendapatkan 22km/j. Mujur laluan landai sepanjang jalan melewati estet kelapa sawit, kampung-kampung dan beberapa hentian bas baru yang jelas besar tertera penajanya dari "pusat". Limpahan pilihanraya kecil gamaknya.


Saling bersandaran...Masjid Bestari Jaya
Kayuhan ritma nusantara diteruskan. Dari kejauhan nampak jalan muali membukit naik. Tanda ucapan selamat datang dari Bestari Jaya. Cerun menaik seolah mencabar dan mengejek dua pembasikal yang kian letih longlai. Cabaran tidak disahut semerta sebaliknya kami membelok ke kiri. Jam sudah pukul 2.00. Singgah di masjid untuk mengusaikan tuntutan wajib. Support car sudah santai berteduh di bawah pokok di luar pagar masjid. Shuk sempat mandi menyegarkan diri. Aku berpuashati cuma dengan berwudhuk dan bersolat. Sungguh dalam lenguh-lenguh urat itu, gerakan solat rukuk, sujud, duduk antara dua sujud membantu menyegarkan kembali tubuh. Subhanallah...Maha mengetahui ke atas ciptaanNya.


Cerun "Selamat Datang" Bestari Jaya
Hampir jam 1430hrs, dua basikal meninggalkan perkarangan masjid. Support car dah lama ruyup. Kena cepat, kalau tidak ikan busuk. Bukit yang tadi dielak, terpaksa ditempuh. Shuk memang suka mengasah betis memanjat bukit. Mencanak CIOCCnya dipacu. Aku hanya mampu mengikut dengan kelajuan gemalai pada gear rendah. Berjaya juga menggagahi walau Shuk dah jauh ke depan. Kemudian meluncur laju turun sebelum terbantut dengan lampu merah. Jalan susur cilok dicelapak untuk mengelak lampu isyarat dan berkayuh langsung melepasi simpang ke Unisel, Bestari Jaya. Jalan lebar luas. Panas tidak lagi terlalu menyengat kerana langit sudah dilapisi awan. Lega sikit rasanya berkayuhan landai santai...Sampai bila landai begitu?


Selangor Fruit Valley
Tak perlu tunggu lama untuk menjawab soalan itu. Tak lama lepas tu bermula pendakian. Nampak macam mudah, tapi makin lama gear makin rendah sampai terpaksa gunakan piring tengah pada engkol. Shuk nampak tenang dan selamba saja mendaki. Aku buat-buat tenang tapi kaki dah menggeletar, dada dah rasa sesak. Kawasan lapang terbuka dan gondol dipanah mentari petang. Memang azab...Ada 3 atau 4 bukit yang perlu dikerabat. Tak seronok langsung. Mujur digagahi, habis jugak semua bukit selamat dikayuh.

Jalan lebar terlentang terentang tamat. Jalan kembali sempit dua hala cantik berhias dengan bengkang bengkok naik dan turun. Aku terpaksa akur yang aku dah tua. tak berdaya lagi dah. Beri isyarat pada Shuk supaya berhenti sekejap. Lega kaki, tangan, ponggong, dada dan seluruh anggota sekejap. Mujur bahagian itu sudah teduh kerana diselubung pohonan rimbun. Kawanan beruk dan monyet macam kehairanan memerhati gelagat kami. Keletihan membuatkan aku dah tak peduli di mana aku duduk. Akibatnya, beberapa ekor semut api mensedeqahkan gigitan bisa pada tangan aku. Adoiiiii...berdenyut, pedih dan gatal.

Semut memang sengaja tak kasi peluang aku rehat lama-lama. Basikal dicelapak dan kayuhan diteruskan menggunakan tenaga rizab. Laluan bengkang-bengkok beralun naik turun. Memang kalau banyak kederat sedap melayan jalan Fruit Valley - Batu Arang. Oh, sebelum terlupa, laluan itu adalah sebahagian laluan LTDL - Le Tour de Langkawi. Mujurlah rimbunan pohonan menjadikan kayuhan sedikit nyaman.

Lepas simpang ke Batu Arang, laluan bertukar corak menerpa turun. Kenderaan banyak termasuk lori-lori besar yang lapar...asyik makan jalan. Kami layan semahunya lauan bengkang bengkok dengan cerun menurun. Lazatttt...Tapi kena hati-hati sebab kenderaan banyak. Kegalakan berterusan hingga melepasi simpang ke Tasik Puteri.

Sebaik melepasi jambatan dan bertemu simpang ke Kundang, datang idea spontan untuk menikmati hirupan air kelapa gula merah. Terbayang saj sudah sedap. Tambahan dalam keadaan berpeluh hangit dan keletihan. Imaginasi semakin meliar...Shuk bersetuju dengan cadangan dan kami menyimpang ke kiri untuk ke Kundang. Jam sudah 1500hrs.

Sebenarnya aku dah tak berapa larat untuk berkayuh. Tapi, demi ayarg nyok gula merah, aku gagahkan juga. Kelajuan makin lama makin menurun. Mujur jalan landai sepanjang tasik. Bila menyimpang masuk ke Kundang, kaki makin protes. Terasa perlu berhenti sangat-sangat. Tapi ramai la pulak orang di tepi jalan. Segan la...Mujur lepas selekoh di pekan kecil itu, jalan lengang. Terus aku bagi isyarat pada Shuk untuk berhenti. Dapat berhenti sekejap jadilah. Urat kaki dikendurkan. Urat pinggang rasa macam nak putus. Lepas 5 minit, kayuhan diteruskan. Misi ayarg nyok kena dipenuhi. Ish...jalan memanjat pulak. Lanjut saja panjatannya melepasi pekan Kundang.


Selamat. Dua gelas besar air kelapa gula merah dan sepinggan pisang goreng jadi mangsa kerakusan.
Bila sampai ke kawasan Kelab Golf Kundang, tak semena aku mula memecut. Bayangan ayarg nyok gula merah makin kuat. Terkejut beruk Shuk bila aku memecut sehingga 25km/j. Masih ada kederat simpanan. Dada memberontak, kaki memprotes. Aku tak peduli lagi. Ayarg nyok gula merah...ayarg nyok gula merah. Dan lega yang amat sangat bila Tasik Biru berada di depan mata. Terus aku melibas masuk dan meletak RnB di depan gerai. "Air kelapa gula merah satu!", pesanan dilaung sebelum sempat punggung dilabuhkan. Dengan pantas abang gerai menghantar pesanan. Shuk juga memesan air yang sama. Ahhhh....nikmat sungguh menyedut air kelapa gula merah yang disulam dengan pisang goreng panas-panas...


Kembali garang selepas isian semula.
Kesedapan minum dan makan terpaksa dipendekkan. Perkayuhan masih jauh. Tasik biru kami tinggalkan dengan catatan jarak 122km. Bukan jalan mudah meninggalkan Kundang. Terkuang-kuang kami di Kuang seketika. Dua bukit terpaksa digagahi sebelum sampai ke Rahman Putra. Kemudian melalui kawasan perindustrian Sungai Buloh. Kenderaan petang Sabtu menderu. Jalan kotor berdebu. Langit pula mula diwarnai kelabu. Tanda akan runtuh ribuan liter air dari langit. Kami cemas seketika. Kaki digagahi berkayuh hingga terasa tak berdaya. Sempat melencong seketika ke Sri Damansara, singgah di kedai ABC Uncle Ong.

Singgahan sekadar menunjukkan kepada Shuk di mana kedudukan kedai. Sambil aku mencuri masa untuk mengendurkan urat kaki yang makin lenguh, letih, sengal. Tak sia-sia singgah kerana terjumpa bahan menarik untuk RnB. Satu combo shifter usang terbiar sesuai dengan RnB. Aku sambar saja dengan pembayaran secara buku 555. Mujur Uncle Ong senang dibawa berkira.

Kayuhan bersambung kembali. Kenderaan menuju MRR2 pada petang Sabtu makin banyak dan menderu. Tak berani kami ambil laluan atas. Terpaksa mengesot saja ikut laluan bawah lebuhraya yang tiangnya dibaiki dengan kosa jutaan ringgit.

Sebaik lepas simpang ke Kepong, langit memuntahkan muatan. Sela masa dari renayi ke lebat sungguh pantas. Tau-tau sudah kuyup kami berdua. Kami gagahkan memecut sehingga stesen minyak Petronas untuk berteduh. Elok la jugak berhenti di situ. Sambil berteduh, solat Asar ditunaikan. Khalas...


Kayuhan lembap.
Bila hujan mereda, kayuhan disambung. Jalan yang digenang air bersekongkol dengan tayar basikal memercikkan air kepada kami. Tak dipedulikan sangat lagi dah. Kepala dimotivasikan dengan bayangan rumah. Kami keluar pada susur kuil Batu Caves. Menyusur di bawahnya mengikut jalan Perusahaan, kemudian mengikut Jalan Batu Muda 16, mengikut laluan biasa kayuhan malam GLC. Titik perpisahan semakin hampir. Kami berpisah kemudiannya selepas saling mengucapkan tahniah ringkas kerana berjaya menamatkan kayuhan. Shuk meneruskan kayuhan ke Taman Pelangi. Aku membawa haluan sendiri. Bau rumah semakin kuat.


Testimoni
Aku meredah laluan Taman Koperasi Polis, mencari lorong untuk memanjat jejantas ke sebrang jalan untuk ke Taman Koperasi Polis Fasa 1. Jalan Lembah Melewar diambil melepasi Taman Koperasi Polis dan Taman Rowther sehingga bertemu dengan Jalan Marmar. Membelok ke Jalan Marmar 1 dengan penuh rasa kelegaan sehingga akhirnya berhenti di depan pintu pagar rumah. Tamat seharian di atas basikal. Greenwood > Kuala Selangor > Taman Melewar. Jam menunjukkan pukul 6.44 petang. Jarak dilalui 150km. Letih...tapi puas.


T A M A T

Gambar-gambar lagi boleh dilihat di Album Kayuhan Kuala Selangor.

2 comments:

Anonymous said...

Lain kali datang K.Selangor inform saya atau mana-mana ahli-ahli KSCC, kami tunggu dan belanja makan tengahari. Dulu basikal tak dibenarkan naik sampai puncak bukit sewaktu trem ada. Tetapi sejak KSCC menjajah di situ mereka bagi izin kepada mana-mana pembasikal dengan syarat bagi keutamaan laluan kepada trem, tidak tumpang atau bergayut pada trem dan berhati-hati di jalan raya. Lain kali jika ada masalah logistik tolong maklumkan kepada Datuk Daerah di talian 019sixninefivethreeeightzeronine.

BC Kelolo said...

Sudah semestinya. Rasa macam kurang beradab pulak bila masuk ke Kuala Selangor tanpa memaklumkan Datuk Daerah Kuala Selangor. :). InsyaAllah, kalau tersampai lagi dua tayar ini, akan saya maklumkan Datuk Daerah...