Monday, July 06, 2009

Meter Basikal : Topeak Panoram V-12 berwayar

Dah lebih 3 tahun saya berbasikal. Tak pernah teringinpun nak pasang meter basikal. Tak terasa keperluannya. Tapi...semenjak basikal Cik Putih (basikal isteri) dipasang dengan meter, saya tumpang seronok pulak. Dapat tau berapa jarak mengayuh, masa mengayuh, laju maksima dan sebagainya. Semua maklumat itu, dulunya tak penting bagi saya. Rupanya berguna juga maklumat-maklumat itu dalam merancang kayuhan terutama dalam acara-acara.

Akhirnya, saya juga telah memasang satu meter. Topeak Panoram V-12 mini, berwayar.

FUNGSI


Meter Topeak Panoram V-12 mini bertenggek pada tapaknya. Meter yang sama juga digunakan pada unit tanpa-wayar.
Topeak Panoram V-12 menawarkan fungsi-fungsi berikut.
  • maklumat untuk 2 basikal
  • kelajuan waktu mengayuh
  • kelajuan purata
  • kelajuan maksima
  • jarak kayuhan
  • jarak kayuhan terkumpul
  • jangkamasa kayuhan
  • masa - dalam sela 12jam atau 24jam
  • masa perjalanan
  • penunjuk turun naik kelajuan
  • pengunci butang
  • pilihan jarak dalam batu atau km
Tawaran fungsi yang lebih dari memadai. Tak sempat nak layan semua.



PEMASANGAN


Meter boleh ditanggalkan dari tapak. Tapak dipasang terapung dengan sambungan ber-rachet pada pengapit di bar hendal. Pengapit didatangkan dalam saiz Ø 25.4mm dan Ø 31.8mm


Pengesan dan magnet. Pastikan jarak kelegaan dalam julat 5mm
Pemasangan unit ini agak mudah. Tidak memerlukan kemahiran teknikal tinggi dan tidak memerlukan alatan-alatan khusus. Memadai dengan satu pemutar skru philip dan pisau pemotong.

Panduan yang disertakan mudah dan lengkap dengan penerangan dan grafik. Jika anda jenis yang mudah dan selesa dengan buku panduan, tiada masalah. Anda cuma perlu pasang tapak meter pada bar hendal, lilitkan wayar meter pada kabel brek/gear terus hingga ke fork dan kemudian memasang pengesan pada fork. Pasangkan magnet pada jejari dulu pada kedudukan di atas sedikit daripada pertindanan jejari. Anggarkan jarak pengesan dengan magnet supaya berada dalam julat berkesan 5mm. Setelah ini didapati, barulah ketatkan pengikat kabel pada pengesan. Dah siappun pemasangan.


PERSIAPAN DATA

Proses ini agak kompleks. Bermula dengan memasukkan saiz tayar yang betul, penyediaan unit jarak, paparan masa, jarak kayuhan terkumpul, masa kayuhan terkumpul dan penetapan lain. Saya tidak akan menyentuh dengan terperinci. Cuma diingatkan, proses ini harus dilakukan dengan teliti. Anda mungkin akan kelam kabut sedikit sebelum dapat membiasakan diri dengan butang reset dan butang kawalan. Sekali lagi panduan membantu. Cuma ikut arahan yang tertera.

KESELURUHAN

Saya suka dengan saiz meternya yang comel berbanding abangnya yang dua kali lebih lebar. Entah apa sebab Topeak membuat tapaknya tebal. Sama tebal dengan ketebalan meter. Nampak terjojol di atas bar hendal. Cukup merisaukan kalau kita terjatuh. Kedudukannya yang terjojol itu mendedahkan meter pada hentaman langsung.

Dari segi kegunaan, ia mudah digunakan dan paparan jelas. Kalau unit ini dilengkapi lampu lagi bagus. Sangat berguna bila mengayuh malam dalam gelap. Yang paling saya tak berkenan cara ia dipasang tergantung. Yang menyambung tapak ke basikal hanyalah satu batang penyambung berrachet yang kelihatan rapuh dan mudah patah. Topeak patut cari jalan supaya meter boleh dipasang dengan lebih tegap pada basikal sama macam cara Cateye. Dan sambungan di antara pemegang dengan tapak hanyalah dengan satu sekeru comel. Perlu diperiksa selalu takut melonggar akibat gegaran.

Setakat ini dah lebih 50km berkayuh dengan meter ini. Fungsinya cemerlang dan saya cukup berpuashati.

Unit ini dibeli dengan harga RM96.00 dari Giant Store, Sri Hartamas. Kalau berkenan, tangkaplah satu!

3 comments:

XTC said...

for a moment i tot from giant hypermarket

BC Kelolo said...

Luckily, for a moment only...

Unknown said...

Berapa speed meter boleh naek bang .??