Sintok, satu ketika dulu satu nama tempat yang dikira ulu banat. Terceruk. Entah di mana tempatnya. Di lembah itu dibangunkan satu universiti - Universiti Utara Malaysia. Lembah yang pada satu ketika terceruk, berubah wajah bila satu kampus universiti terpacak di situ. Pembinaannya melalui pelbagai pahit getir. Terbabas jadual. Namun dibuka juga untuk sesi pengajian pada tahun 1990. Aku salah seorang antara beribu pelajar lapisan pertama yang menjadi penghuni UUM Sintok. Masih jelas di ruang mata pergi ke kelas dalam keadaan berdebu bersaing dengan lori hantu dan burh kontrak. Bangunan banyak yang belum siap. Rumah kongsi bersebelahan dengan asrama pelajar.
Di situ jugalah aku bertemu jodohku. Cinta kasih yang tersemai bersama nostalgia Sintok cukup kuat tersemat di dalam dada. Isteri itu, kini jadi teman setia aktiviti berbasikal. Nostalgia itu juga selalu menggamit aku untuk kembali ke Sintok. Kembali dengan basikal untuk menjelajah bukit bukau keliling lembah Sintok ynag satu ketika dulu aku redah dengan motor Suzuki TR-S burukku. Telah beberapa kali aku merancang untuk ke sana belum menjadi hinggalah kini...
Bila Xtreme Bike Alor Setar menganjurkan UUM XC-R 09, satu peluang ternganga luas di hadapan. Lebih bagus lagi bila isteriku juga berminat untuk pergi sama. Sintok...aku datang! (dengan isteriku)
No comments:
Post a Comment