Monday, November 10, 2008

GLC Kayuh Malam ke Menara KL

Khamis, 30 Okt, 2008. Gombak League of Cyclists (GLC) berkelana lagi. Menerjah malam kota metro Kuala Lumpur. Kayuhan kali ini agak berbeza. Berbeza kerana beberapa sebab. Satu, bilangan peserta ramai dari biasa. Dua, bilangan kumpulan peserta yang terpecah 3. Tiga, ada wajah-wajah baru menyertai GLC. Empat, laluan baru ke Menara KL.


Beskal Fino - Beskal Lanz
Bermula 9.30 malam di Sri Gombak, seorang demi seorang, muncul mengisi ruang parkir. Fino tercegat awal sekali. Bagai penanda aras bagi GLC. Kemudian aku, isteri dan seorang kenalan baru dari kejiranan yang sama, Azlan, ikut serta. Tak lama lepas muncul pula Dino. Mengheret sama Pak Sham dan adik Pak Sham. Namanya juga Azlan. Azlan muncul dengan jentera klasik Maverick Pak Sham. Sempoiiiii... 7 orang akan bermula dari Sri Gombak - Fino, aku, Ummu, Lanz, Pak Sham, Dino, Azlan


Lanz, Dino, Pak Sham, Azlan, Lanz
Kelipan blinker dan lampu hadapan memeriahkan suasana bila 7 pengayuh beredar dari Medan Parkir Sri Gombak, berkayuh santai menghala ke Greenwood kemudian membelok kanan ke DUKE. Jam di tangan menunjukkan pukul 9.45 malam. Sasaran seterusnya persimpangan Bandar Dalam. Mesej dari ToyolPemalu mengatakan dia sedang menunggu di Esso Dato Senu. Rancangan diubah minta dia teruskan ke simpang Bandar Dalam.


Memasang lampu pada beskal Toyol.
Gambar oleh : ToyolPemalu
Yang lain terus naik ke DUKE sementara aku dan Ummu keluar untuk menunggu Toyol di bawah jejambat. Tak lama lepas tu nampaklah kelibat basikal menyelinap pantas meredah dan melompat segala pembahagi jalan. Dasat ToyolPemalu nih. Nyata nama yang dipakai tidak melambangkan orangnya. Salam perkenalan ringkas menyusul. Aku ambil sedikit masa untuk memasang lampu pada beskal Toyol seperti yang dijanjikan. Mereka yang lain ternanti-nanti di atas DUKE. Sambil aku pasang lampu, sang Toyol dah mula beraksi dengan kamera DSLRnya. Jadi bintang la aku sekejap.


Tripod bawak sesaja buat penat
Usai pasang lampu kami mengorak kayuhan kembali memanjat DUKE. Dino sudah bimbang dan berpatah balik mencari. Kumpulan bercantum kembali. Disebelah kiri dalam kegelapan malam, nampak seperti ada kebakaran. Semarak api dengan kepulan asap mengotori langit KL yang sedia kotor. Dari kejauhan latar malam cahaya Kuala Lumpur dan kelipan lampu dari KLCC mencetus idea pada Toyol untuk diabadikan. DSLR dikeluarkan. Tripod siap terpacak. Sebaik kamera mahu dipasang, Toyol terkilan kerana plet pencantum kamera pada tripod tidak di bawa. Cheh.."Gagal betul...", rungut beliau sambil menggeleng kepala.

Kecewa benar Toyol. Rancangan dipinda. Yang lain akan meneruskan perjalanan di atas DUKE ke Titiwangsa sementara aku, Ummu dan Toyol akan keluar ke Bdr Baru Sentul. Toyol mahu ambil plet tripod dari rumah. Sementara menunggu Toyol mnyelongkar rumah mencari plet, aku sempat berposing-posing di bawah sinaran lampu jalan di simpang Bandar Baru Sentul.


Merida kembar - Dank's ngan Sabri's
Kami bertiga kemudian langsung ke Titiwangsa. Dank dengan Sabri serta anggota gerombolan lain sudah siap menunggu. Aku cepat-cepat meneruskan urusniaga lampu-lampuan dengan Dank sepertimana dijanjikan. Siap pasang lampu, gerombolan menerjah merentasi Taman Tasik menuju Jalan Tun Razak.


Sesi buang air-isi air
Singah sebentar di Petronas untuk isi air dan juga buang air. Hmmm...satu puak isi air, satu lagi buang air. Selesailah upacara isi air-buang air. Jalan Tun Razak terus diselusuri, memintas lampu isyarat ke Semarak di celah kesibukan kereta motor walaupun jam sudah hampir tengah malam. Aku terlepas ke depan. Lalu mengambil posisi kiri sebelah luar untuk masuk ke Jalan Yap Kwan Seng. Lampu isyarat merah. Sekonyong muncul Ummu serentak dengan lampu bertukar hijau. Kaget sekejap aku bila melihat Ummu seolah hilang arah di celah kereta motor yang sudah mula bergerak menyambut lampu hijau.

Ritma kayuhan santai malam beralun. Beransur gerombolan melewati bangunan AMBank yang tersergam. Dulunya MBf. Beberapa ketika kemudian KLCC pula memasuki zon pemandangan. Sekejap lagi bakal melalui kawasan hap-pening kepala. Kelab bersepahan di situ dikerumuni manusia kota yang tak pernah puas berjoli. Aku naik teruja seketika melayan lekak-lekuk pesiar kaki. Kayuhan dilajukan sehingga bini ditinggalkan jauh di belakang. Marah sekejap Ummu denganku...Silap aku...Mohon maaf. Mohon maaf.


Layan Money for Nothing
Dari lampu isyarat untuk menyeberang Jalan Sultan Ismail, berhenti seketika menghormati lampu merah. Dari kelab di sebelah kiri, berkumandang lagu Dire Straits - Money for Nothing. Terangguk sekejap kepala...Pembasikal malam dengan lampu-lampuan menjadi perhatian manusia. Ada yang sadar, ada yang hanyut dalam arus gelombang alkohol...


Naik bukit mesti pelan-pelan kayuh...
Menara KL makin menggamit. Dan sebaik lampu bertukar hijau, Fino meluru ke hadapan. Aku belajar dari kesilapan, berkayuh dengan perlahan cuba beriringan dengan Ummu. Iyyyahhhhhh...kederat diperah mendaki laluan ke Menara KL sebaik membelok ke kanan. Menara KL tercongok bagai menongkat awan gemawan malam samar dalam pandangan. Tiada masa bersantai ria, bukit tinggi curam perlu dibereskan dakian. Aku mengiringi Ummuku mendaki bukit inci demi inci dalam gerak perlahan. Mulutku becok memberi kata-kata galakan. Pak Sham sengaja memilih untuk menolak basikal sebaik melepasi pondok penjaga parkir...


Menara KL
Dan akhirnya, Bukit Menara KL berjaya ditawan. Riuh gegak gempita dataran Menara KL dengan kehadiran gerombolan GLC. Toyol sibuk mengetik butang bukatup pada DSLRnya. Lihat hasil kerjatangan ToyolPemalu di sini.


GLCs
Malam makin melarut dan GLC makin mengarut. Tanda untuk beredar. Tadi naik sengsara, turun....perggghhhhhh...tak hingat dunia. Aku nyaris jadik mangsa besi penghalang parkir bila meredah laluan tika palang terangkat. Nasib baik belasah lelaju...Kalu tidak mau masuk suratkhabar lama...Sorang pembasikal terbongkang dibaham palang. Yang lain ikut sama meluru bagai peluru. Aku cuba mengambil gambar tetapi yang dapat ditangkap hanya latar...Riders semua lajuuuuuuu.



Sup Dorai...
Penghujung ride malam menghampiri. GLC menyusur Jalan Sultan Ismail. Clubbers masih berlonggokan...Depan Hard Rock masih idup dengan manusia...GLC mengenal pasti sasaran. Santap dan santai di Dorai. Seranggggggg..... Lalu Jalan Doraisamy, juga satu lagi kawasan hap-pening. Memang pening! Singgah sebentar di warung sup yang ak payah diperkenalkan lagi. Sup kambing, sup ayam jadi korban lahapan...

Aku masih ada go lagi. Masih bersemangat mau kerabat Bukit Tunku. Ntah kenapa malam itu selera sedikit besar. Mungkin selepas pekena sup? Dino dengan Pak Sham terpaksa minta diri berundur dulu. Aku pada mulanya menyangka orang lainpun masih semangat serupa, nyata sasar. Yang lain sebenarnya dah bersedia untuk makan bantal. Batal rencana ke Bukit Tunku, langsung cari jalan balik. Fino pulak minta diri sebab dah sesuai dengan laluan dia untuk balik ke Ampang. Saki baki daki GLC meneruskan kayuhan melewati Jalan Raja Laut. Kemudian ke Jalan Ipoh selepas tiu melibas kiri menghala ke Jalan Pahang. Dank dengan Sabri pula menghulur salam perpisahan...

Tinggal aku, Ummu, Toyol dan Lanz menyambung perjuangan yang belum selesai. Kayuhan longlai diteruskan. Gerombolan mengecil lagi bila Toyol masuk be Bdr Baru Sentul. Macam cerita sepuluh budak itam pulak...Tinggalahh 3 budak itam meneruskan kayuhan. Sampailah Setapak (yang jauhnya bertapak-tapak). Ada laluan masuk ke DUKE pulak tu. Sesuatu yang tidak dipersiakan. Laluan dekat dan berturap cantik lagi baharu (apsal ntah sekarang kena guna "baharu" bukan "baru"). DUKE membawaku, Ummu dan Lanz pulang ke rumah...Akhir satu lagi kisah kayuhan malam GLC. Menara KL, nanti aku datang lagi.


Lagi gambar dari lensa kamera komanku dan ToyolPemalu

No comments: