Monday, July 16, 2012

TEKKORA - Mendaki Dengan Jaya!

Nama dalam tajuk posting tidak ada kena mengena dengan satu jenama basikal.  Kalau ada, hanya satu kehampiran kebetulan.  Apa maksud disebaliknya?  Akan dilondeh satu persatu sekejap lagi.  Biasala, mesti banyak kona dulu baru sampai ke tujuan.

Berkayuh MTB mendaki bukit atau gon (loghat utara untuk bukit kecil) memerlukan kudrat dan kekuatan lebih daripada berkayuh di laluan landai.  Ramai yang sudah menjadi korban (bukan korban maut ya!) bila berhadapan dengan pendakian, terutama yang curam dan panjang.  Akhirnya hanya mampu berada di sisi basikal gerek dan berpimpin mesra mendaki bukit bersama-sama.

Saya juga sama macam anda.  Peha dan betis cekeding.  Tiada otot dan urat sasa.  Memang sering-sering diketawakan bukit dan gon.  Dada pula tidak bidang.  Peparu dah bersarang dengan nikotin dan tar.  Kalau berjaya mengayuh mendaki bukit curam dan panjang, terasa satu kepuasan yang amat sangat.

Bila saya balik kampung bulan lepas dan berkayuh bersama geng-geng Simpang Empat Tasik, saya jadi kagum dengan keupayaan beberapa pengayuh perempuan dalam kategori "makcik-makcik" (jangan marah noooo...) yang berupaya mengayuh melepasi bukit yang curam dan panjang.  Sayapun bisik-bisik tanya "Apa rahsia depa?".  Maka terjawablah persoalannnya.  Mereka adalah pengamal TEKKORA.  (Tudiaaaaa...mukaddimah.  Berjelaaaa).

Apa pula tu?  TEK KORA adalah ringkasan daripada TEKnik KORA-kora.  Kora-kora tu sebenarnya adalah kura-kura ikut sebutan loghat utara.  Jadilah teknik kura-kura itu TEKKORA.  Okay?  Boleh ikut?  Kalau tak boleh ikut, hampa lagi lembab dari kora.

Jadi apa yang dimaksudkan dengan teknik kura-kura?  Apa hubungkait kura-kura dengan kayuh MTB kerabat bukit dan gon?  Kaedah TEKKORA ialah kaedah mendaki bukit/gon yang curam dan panjang menggunakan gear rendah dengan cadence/putaran engkol yang rendah tetapi dengan kayuhan yang berterusan. 

Sayugia diingatkan kaedah ini kurang sesuai untuk mereka yang berkaki kuat macam kuda. Kalau nak menang perlumbaan, teknik ini bukan untuk dijadikan amalan.  Teknik ini untuk mereka yang mempunyai sepasang kaki yang comel dan stamina yang terbatas.  Kuncinya ialah "Kayuh perlahan lebih baik daripada menolak".  Jika anda tergolong dalam golongan ini dan berhajat untuk terus berkayuh mendaki bukit/gon curam dan panjang, mungkin kaedah ini untuk anda.

Bagaimana caranya?  Untuk permulaan, gunakan gear paling rendah (depan paling kecil, belakang paling besar) bila menghampiri bukit/gon.  Langut tengok ke atas untuk mengagak berapa ketinggian bukit/gon yang bakal dihadapi.  Perhatikan juga keadaan permukaan laluan.  Cuba kesan laluan yang paling kurang rintangan (lopak, bonggol, kayu dan sebagainya).  Kayuh dengan cadence perlahan.  Sekira-kira tidak terasa sangat rintangan pada kaki dan nafas serta jantung tidak berombak dan berdegup laju.  Kekalkan kayuhan dalam nada begitu.  Badan dibongkokkan sedikit jika dirasakan tayar hadapan menjadi ringan dan mudah terangkat.

Itulah mukaddimah TEKKORA.  Kekalkan kayuhan dalam gear dan ritma begitu.  Hati dan mental kena bersabar.  Kadang-kadang terdorong menerjah lebih sedikit apabila ternampak kawan di hadapan.  Konon nak bersaing.  Tanpa sedar terjahan mendadak begitu menyebabkan nafas jadi kencang dan tidak teratur.  Jantung juga berdegup kencang dan asid laktik mula merembes keluar melesukan dan melenguhkan otot-otot kaki.  Sabarrrrr...jangan terburu.  Kawan yang di hadapan itu belum tentu akan dapat meneruskan kayuhan hingga ke puncak.

Dalam pendakian itu mental memang akan teruji.  Pace kayuhan yang relaks akan membantu mengurangkan desakan untuk berhenti akibat pendek nafas dan kelesuan otot.  Sesekali langut ke atas untuk melihat sasaran.  Jangan ditengok lama-lama, nanti akan terasa azab dan siksa sebab masih jauh lagi.  Biarkan pandangan berada sekitar 2 meter di hadapan tayar.  Untuk mengisi masa luang, bolehlah diisikan dengan zikrullah.  Sambil kayuh dapat pahala, insyaAllah.  Bertasbih, bertakbir, bertahmidlah...Sambil berkayuh, perhatikan juga kelajuan.  Jangan sampai terlalu perlahan sehingga basikal melelong kiri dan kanan.  Jika terasa gear terlalu ringan, naikkan satu gear pada gear belakang.  Cuba kayuhan dalam gear itu.  Jika selesa, nafas tidak berterabur dan jantung tidak berdegup kencang melampau, boleh teruskan dalam gear tersebut.  Kalau tidak, kembali ke gear paling rendah.  INGAT!  Sasaran ialah untuk kayuhan tanpa henti menuju puncak.  Kelajuan soal kedua.

Untuk latihan mendaki, anda boleh guna kaedah ini dengan beransur-ansur membuat peningkatan gear dan kelajuan kayuhan.  Ulanglah sehingga anda tidak perlu lagi menjadi KORA.

Saya telah mengamal sendiri kaedah ini dan terasa puas hati dengan hasilnya.  Ia mungkin tidak menjadikan anda sekuat dan selaju jagoan-jagoan lain, tapi ia membantu untuk memberikan lebih rasa kepuasan diri bila bukit/gon tinggi dan curam boleh dikayuh keseluruhannya tanpa perlu menjejakkan kaki ke tanah ataupun berjalan berpimpin mesra dengan basikal.

Selamat mencuba!!!    


p.s. Posting ini saya tujukan kepada crew-crew Geng Kayuh Junjung yang memberikan inspirasi untuk posting ini.

5 comments:

hisufian said...

TEKKORA ini sudah saya amalkan sejak MOLA-MOLA dulu. Memang berkesan dan memuaskan kayuhan terutama masa jamboree.

BC Kelolo said...

Pian,

La ni Tekkora dah tak sesuai dengan hang. Hang dah berdesup pi kerabat bukit tak kalih belakang dah! Gear grannypun dah tak berapa hoih. Sebab jarang pakai.

akmalhizam said...

Saya suka posting ini. Terima kasih kerana nenulis dan berkongsi.

Jon 9W2ACY said...

Sejak membaca tulisan tok guru kelolo ni.. saya dah boleh kayuh mendaki gon-gon yg curam... hehehe

Nizarimi said...

Itu yang saya dan wife saya amalkan. Mula2 tu memang rasa nak laju sebab nak kejar member tapi separuh jalan kaki sudah cramp. So saya amalkan teknik TEKKORA. "Biar Lambat, Asal Tak MTB (Mari Tolak Basikal)".

Memang sangat afdhal kepada yang nafas pendek atau pengamal power stick tegar. Bak kata omputeh, "it works".