Monday, September 26, 2011

Alat Pembuka Mangkuk Set Kepala


R O C K E T

Ini bukan peluru berpandu jarak jauh yang terselamat daripada program pemusnahan senjata nuklear.  Juga bukan sisa lebihan mercun roket pasca raya.  Tiada bahan letupan dikesan dalam objek ini.  Memperkenalkan...alat pembuka mangkuk hayuh...ish...bukan, mangkuk set kepala.

Mangkuk set kepala dipasang dengan cara di tekan masuk ke dalam tiub kepala.  Lepas ditekan masuk, ia akan melekat dengan kuat dan kemas ke dalam tiub kepala.  Nak membukanya punyalah payah.  Mangkuk perlu diketuk keluar dengan sekata.  Sebelum ada alat ini, saya menggunakan pahat batu (chisel).  Ada kawan-kawan yang menggunakan pemutar sekeru.

Masalah bila menggunakan pahat batu ialah daya ketukan hanya pada satu sisi setiap ketukan.  Akibatnya, mangkuk akan senget sebelah.  Ketukan perlu digilirkan dalam jujukan pukul 12 - 6 - 3 - 9.  Penggunaan pemutar sekeru juga memerlukan teknik yang sama.  Lebih masalah lagi kalau mata pemutar sekeru menujah bibir mangkuk hingga melecet, melebek dan berbekas hingga boleh menjejaskan prestasi mangkuk tersebut.

Maka terciptalah roket ini.  Set yang terpampang di sini ialah daripada jenama IceToolz model HYS-E221-61-1.  Model ini serasi dengan tiub kepala saiz 1 1/2 in - 1 1/8in.  

Bahagian-bahagian roket

Alat ini ada 3 bahagian utama.
  • kepala
  • badan
  • ekor
Bahagian kepala
Bahagian ini akan menerima hentakan daripada tukul atau yang seumpama.  Biasa bahagian ini dilapisi lapisan keras.  Guna untuk menerima hentaman dan juga melindungi bahagian kepala daripada kemik akibat ditukul.

Bahagian badan
Bahagian yang menyambungkan kepala dengan ekor.  Unit ini mempunyai badan berdiameter 25.4mm (1 inci).  Juga berperanan sebagai tempat pemegang apabila kepala dihentam dengan tukul.

Bahagian ekor
Bahagian ekor ini dibelah empat.  Hujungnya dikembangkan.  Menggunakan sifat keanjalan besi, ekor akan menguncup apabila dipaksa masuk ke dalam tiub kepala.  Kerana keanjalannya juga, ia akan mengembang keluar.  Bila masuk ke dalam tiub kepala, sifat mengembang keluar ini akan menyebabkan keempat-empat hujung ekor ini menyentuh bibir mangkuk set kepala.  Ketukan pada kepala akan memberikan daya tolakan yang sekata kepada mangkuk seterusnya menolak mangkuk keluar daripada tiub kepala.

Bagaimana menggunakan alat ini?

Cara penggunaannya cukup mudah.  Tidak perlu kemahiran teknikal tahap IR.  Sebelum bermula, pastikan kerangka dipasung dengan kemas.

Memasukkan roket

hujung roket bersentuh dengan bibir mangkuk

1Masukkan bahagian kepala melalui bahagian mangkuk yang hendak dikeluarkan.  Tolak sehingga hujung ekor melepasi bibir mangkuk.  Untuk memudahkan kemasukan, genggam hujung ekor supaya ekor sedikit menguncup. 



Ketuk kepala itu

2Setelah dipastikan ekor masuk dengan sempurna, ketuk bahagian kepala menggunakan tukul.  Ketuk pada arah ketukan yang selari dengan badan supaya daya ketukan sampai tepat ke mangkuk.  Teruskan mengetuk sehingga mangkuk mula merenggang daripada tiub kepala dan akhirnya tertanggal.

3Setelah mangkuk tertanggal, ekor akan turut terjulur keluar.  Mungkin akan ada sedikit rintangan disebabkan oleh kembangan ekor.  Teruskan menolak supaya ekor dan keseluruhan alat terkeluar daripada tiub kepala.

 
Mudah saja kan?!!

1 comment:

Anonymous said...

salam bro...

saya cuma nak kongsi pengalaman bukak mangkuk set kepala ni.

tak perlu set tersebut...cara saya senang saja...saya panaskan mangkuk tersebut guna torch fire secukup rasa, kemudian gunakan screw driver yang panjang dan kuat, cuma ketuk skit dah terbuka.

sifat besi bila panas dia akan mengembang dan lembut...

cubalah...hehehe...tips dari saya!.