Friday, September 23, 2011

22 September - Hari Tanpa Kereta Sedunia


Aku tak perasanpun sebelum ini wujudnya acara ini. Bila menjengah blog Akmal, baru aku tahu ada rupanya acara seumpama.  Akhbar NST juga menyiarkan berita tentang acara ini.  Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ikut sama menyokong malah turun sendiri berkayuh sebagai penggalak kepada acara ini.  Itu cerita besar oleh orang besar.  Acara ini diharap menjadi pemangkin kepada kesedaran untuk mengurangkan penggunaan kereta sebagai kaedah pengangkutan dan mencari alternatif lain sebagai pengangkutan harian.  Berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam menjadi sasaran utama.

Aku sudah beberapa tahun berbasikal ke pejabat.  Walau tidak sekerap Akmal, atas sebab dan alasan yang kadang-kadang aku sendiri reka-reka sebab terasa berat untuk berkayuh.  Untuk Hari Tanpa Kereta Sedunia - World CarFree Day, aku bertekad untuk berkayuh ke pejabat.

Alhamdulillah, perancangan termakbul.  Turun pagi tadi dengan perasaan berbeza walaupun sebenarnya perlakuan itu rutin sahaja.  Hati kecil berharap akan bertemu ramai pengayuh basikal yang menyahut seruan ini di jalanan nanti.

Laluan kayuhan biasa aku dari Taman Melewar ke Chow Kit melalui Sentul dan Jalan Ipoh tiada bezanya daripada hari-hari biasa.  Kereta dan kenderaan lain masih memenuhi jalan.  Bagai tiada pengurangan.  Tiada pertambahan ketara bilangan pembasikal di jalanan.  Hanya muka-muka biasa yang selalu aku jumpa.  Dalam ramai-ramai, ada seorang pengayuh sikh yang menarik perhatian aku.  Dia luar biasa.  Sekali pandang tiada istimewanya.  Basikalnya basikal cabuk bukan berjenama hebat.  Tetapi...kalau diamati akan ternampaklah kakinya yang "luar-biasa".  Keting dan pehanya kurus.  Kepala lututnya terbonjol.  Pergerakan kakinya tidak seperti manusia lain... 

Dia rupanya pernah mengidap polio.  Hampir lumpuh tetapi mujur masih dapat diselamatkan.  Dan dia memang gigih berkayuh setiap hari...Aku tidak sempat mengambil gambar.  InsyaAllah, kalau berkesempatan, aku paparkan gambarnya di sini pada masa hadapan.

Hari Tanpa Kereta Sedunia berlalu.  Tiada perubahan ketara berlaku.  Kereta masih berlambak menderu di jalan dan lebuhraya.  Sama ada acara tanpa kereta ini disedari atau tidak, aku tak peduli.  Untuk aku, aku telah menjalankan bahagian aku.  Menunjukkan yang berbasikal ke pejabat itu satu yang tidak mustahil.  Harapnya, ada satu dua hati yang tergetus "Bagus jugak kalau berkayuh basikal ke pejabat ni ek?".  Dan aku akan terus berkayuh, selagi daya...

Kepada bahia polio...Aku salute kau!!!  Sememangnya luarbiasa.  Hari Tanpa Kereta Sedunia, aku dedikasikan untuk anda.




5 comments:

Ben said...

i did not know about world car free day....glad to hear about it from you!

BC Kelolo said...

I was not aware about it too...Not until I visited Akmal's blog.

Anonymous said...

Wish I could ride to work bro. Riding to work means waking up at 5.00am and start cyling at 5.30am. Tempat kerja jauh la.

BC Kelolo said...

Anon,

Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua. Mungkin boleh buat separuh jalan. Drive separuh, kayuh separuh...Just a thought. Public transport kita belum membolehkan kita buat transitional cycling...

akmalhizam said...

Hehe... got to know about it from Azizan Fixie's facebook post.