B agi mereka yang suka menggodeh sendiri basikal, salah satu cabaran ialah tempat yang sesuai untuk meletak basikal bagi tujuan selenggaraan atau pembaikan. Kaedah yang paling biasa diamalkan ialah dengan menelentangkan basikal. Takpun, dibaringkan saja biar bergelimpangan di atas lantai. Yang agak maju sikit akan membeli topang kecil yang biasa digunakan untuk mempamer basikal. 3 kaedah yang disebutkan mungkin agak kasar, tetapi mekanik mandiri tak peduli itu semua. Alah...setakat nak kerjakan basikal sendiri, apa kisah?!!!
Bila dah lama-lama menggunakan kaedah baring-tiarap-terlentang-terlungkup ini, terasa juga perlunya kepada satu topang pembaikan yang lebih elok dan bersesuaian. Dah aku intai-intai di beberapa kedai basikal, ada yang berkenan, harga pulak merabakkan. Ada yang murah tapi nampak macam tak boleh diharap. Terlintas juga nak tempah satu dari kedai besi. Nak melakarkannya aku tak pandai. Sudahnya, aku terjumpa jenama CRIVIT ini. Wah! Melonjak rasa gumbira tiada terkira. Sifat dan cirinya hampir memenuhi kesemua ciri yang aku cari. Dengan deras aku menyambar satu set. Natijahnya, cederalah belanjawan raya aku. Takpa, beraya dengan topang baru juga menyeronokkan.
Jenama Crivit memang tak pernah aku dengar. Bila diGooglekan Crivit, adalah dapatannya. Memang jenama ini berasal dari China. Tak perlu heran kerana zaman sekarang hampir semua barangan yang ada di pasaran datang dari China. Tanda harganya runcitnya hampir RM500. Dengan sedikit ruang untuk tawar menawar, dapatlah sekitar RM400.
Set ini datang dalam bentuk tercerai. Terdapat 3 komponen utama dan 2 komponen aksesori.
- Tiang tapak utama. Dari bahan besi. Kaki dengan rekaan ala payung. Pecahan 4 yang boleh kembang kuncup. Memudahkan simpanan bila tidak digunakan. Tapak kaki agak lebar memberikan jejak yang luas dan stabil. Cuma leceh sikit kalau ruang kerja agak sempit. Mungkin tak muat untuk dikembangkan kaki sepenuhnya.
- Tiang utama. Sebatang tiang besi dengan plastik kepitan dihujungnya. Tiang ini akan diserlumkan ke tiang utama. Kepitan dihujung untuk memegang besi ragum. Tiang utama boleh diputar 360° mendatar bila sudah dipasang ke tiang tapak.
- Tuas ragum. Besi pendek sepanjang 18inci. Besi berdiameter 35mm. Dilengkapkan dengan ragum pada satu hujung. Ragum ini akan berperanan mengepit seatpost atau tiub atas bila basikal disangkut pada topang ini. Tuas ragum boleh diputar 360° menegak pada sambungannya dengan tiang utama.
- Dulang perkakas. Satu keping plastik yang boleh dilekapkan dengan mudah ke tiang utama. Guna untuk meletakkan alat dan perkakas.
- Pemegang bar hendal. Satu batang besi kecil yang boleh dipanjangkan. Dilengkapkan dengan strap getah pada kedua-dua hujung. satu hujung dipasang pada tiang tapak dan satu hujung lagi dipasang pada bar hendal. Gunanya untuk menahan bar hendal dan tayar depan daripada melibas tak tentu pasal bila basikal sudah digantung.
Berat keseluruhan sistem ini ialah 6.8kg. Dalam bentuk tercerai, boleh disumbat ke dalam boot sebuah kereta sedan biasa. Agak mudah untuk dibawa berpergian kalau ada ruang lagi di dalam boot.
Bahagian pemegang/penyambung daripada bahan plastik keras. Kelihatan cukup tegap untuk menjalankan tugas dengan baik. Pemegang dilengkapi tombol pemulas untuk memudahkan kerja mengetat dan melonggarkan komponen. Warna birunya membuatkan ia lebih menyerlah terjojol keluar bila berlatarkan warna hitam komponen lain.
Ragum juga diperbuat daripada plastik. Mulut ragum dibuat berlekuk bentuk V. Rasionalnya, supaya kabel-kabel ada ruang celahan bila ragum mengepit tiub atas. Jadi kabel tidak terkepit walaupun tiub atas terkepit kemas. Kepitan juga boleh dibuat pada bahagian seatpost. Panjang tuas 18 inci memberi kelegaan secukupnya pada engkol. Kerja-kerja menala gear dan senggaraan lain jadi lebih mudah bila basikal sudah tergantung dengan mantap.
Memasang set ini sangat mudah. Tidak perlu merujuk kepada manual operasi. Hanya naluri dan kebiasaan sudah boleh dijadikan panduan memasang. Pengeluar ada juga membekalkan buku panduan. Sayang, bahasa yang digunakan ialah bahasa Jerman dan Perancis sahaja. Tiada bahasa inggeris atau melayu. Pandai-pandailah anda!
Sekali lagi disebutkan keluasan jejak tapaknya. Harus berhati-hati kalau berjalan di sekeliling takut tersadung. Naya!. Tapi, tapak yang luas itu memberikan kestabilan yang mantap bila basikal sudah tergantung.
Kesimpulannya, walau tidak secanggih dan sehebat jenama besar yang lain, topang Crivit ini sudah cukup bagus untuk mekanik mandiri yang suka meluangkan masa menggodeh dan membega basikal. Pada harga separuh daripada saingannya, ia satu pelaburan yang tidak sia-sia.
Topang Crivit dalam 2 aksi. Gambar kiri - gantungan pada seatpost. Gambar kanan - gantungan pada toptube. |
3 comments:
beli kat kedai mana ni bang? minat gak nak beli satu...
Saya ada jual. Satu set RM400 termasuk pos ke seluruh Semenanjung. Kalau collect sendiri RM350. Sekarang dah habis stok. Follow update iklan saya kat BBS. http://bicyclebuysell.com/view_item.php?id=131377
wishlist ;)
Post a Comment