Tuesday, March 23, 2010

Sepupu Green Ogre...

Satu lagi T-Bolt bertambah dalam garajku...Sebuah T-Bolt kuning. Sekarang Green Ogre ada sepupu...



Green Ogre gembira ada teman. Sepupu kuning yang baru siap dipasang. Green Ogre milik anak sulungku, Fikri. Sepupu kuning, milik sepupu anakku, Azrie. Kira ngamlah, sepupu sepapat...Sekarang, apa nama nak diberikan pada T-Bolt kuning ni? Cadangan???...

Monday, March 22, 2010

Apa Barang???


Apa kebenda pulak ni?

C uba tengok gambar di atas. Agak-agak apa agaknya? Kalau diceritakan satu persatu komponennya, bolehkah anda mengagak?

  1. Rod besi beralur 12 inci dengan nat saiz 21
  2. 2 keping pelapik (besi) berdiameter 1" dan 2" dipaterikan bersama
  3. Spanar saiz 21
Dah dapat agak dah? Anda memang bijak. Kalau belum, cuba tengok gambar di bawah pula.


Barang misteri wajah ke 2

Amacam sekarang? Lebih kurang gambar pertama cuma plet pelapik sudah dimasukkan ke rod besi di antara nat. Dah dapat meneka? Belum lagi? Kalau belum, tengok gambar di bawah pula.


Barang misteri wajah ke 3

Kali ini pasti anda dapat meneka. Ya! Jawapannya ialah ALAT PEMASANG MANGKUK SET KEPALA buatan sendiri untuk kegunaan pomen amatur atau mekanik rumah.

Untuk membeli set pemasang mangkuk set kepala ini memang mahal. Asal faham konsepnya untuk menekan mangkuk set kepala ke dalam tiub kepala dengan tekanan kuat dan seragam, alat versi mudah dan murah boleh dibuat. Idea ini dicedok daripada beberapa laman web pomen rumah.

Untuk menggunakan alat ini, ikuti langkah berikut.

  1. Masukkan nat ke batang besi dan putar sehingga nat masuk kira-kira 1 inci.
  2. Masukkan pula pelapik dari arah bahagian besi yang panjang. Pelapik kecil mengadap nat.
  3. Masukkan batang besi dengan bahagian panjang ke dalam tiub kepala. Bahagian pelapik akan tersekat pada pangkal tiub kepala.
  4. Letakkan mangkuk set kepala pada lubang set kepala yang tidak bertutup dengan pelapik
  5. Masukkan pelapik yang satu lagi supaya permukaan pelapik besar bersentuh dengan permukaan mangkuk set kepala
  6. Masukkan nat yang satu lagi. Putarkan hingga nat rapat dengan pelapik kedua.
  7. Putarkan nat dengan tangan sehingga nat ketat. Jajarkan supaya kedua-dua pelapik berada di tengah-tengah. Alat akan melekat pada tiub kepala dan mangkuk set kepala.
  8. Menggunakan spanar saiz 21 atau spanar hidup, putarkan nat ikut putaran jam sedikit demi sedikit. Nat akan terasa ketat kerana tekanan.Teruskan memutar. Mangkuk set kepala akan ditekan masuksedikittdemi sedikit.
  9. Terus memutar sehingga leher mangkuk set kepala rapat dengan mulut tiub kepala

Nah! Mudah bukan? Hanya dengan pelaburan tak sampai RM30, anda boleh memasang sendiri set kepala dengan mudah.

S E L A M A T       M E N C U B A!!!

Saturday, March 20, 2010

Mengembalikan Kebaikan...Dengan Sedikit Kebaikan (harapnya...)

Apa anda akan rasa kalau anda beli beberapa barang basikal, kemudian sipenjual telah sangat bermurah hati memberikan beberapa hadiah iringan percuma? Bagaimana kalau hadiah iringan berupa SEBUAH BASIKAL!???

Tak percaya? Akupun macam tak percaya. Tapi,ini cerita betul bang! Bukan COBAAN. Aku dihadiahi sebuah basikal Specialized M4. Bukan sebuah jentera hebat, tetapi hakikatnya ia diberi percuma kepadaku. PERCUMA! FREE! Satu perlakuan yang membuatkan aku berasa sungguh terharu...

Jadi, apa patut aku buat dengan pemberian itu? Bagaimana harus aku memanfaatkannya sebaik mungkin. Bagaimana cara dan kaifiat terbaik untuk menunjukkan penghargaan dan terima kasih kepada Shah Yeop?

Datang kembali himbauan peristiwa lepas. Peristiwa ada yang bertanyakan basikal untuk disewa. Peristiwa seorang dua yang teringin memulakan hobi berbasikal tetapi jadi sejuk malap pudar kerana tiada basikal untuk dicuba. Itu jadi cetusan minda. Basikal pemberian akan dimanfaatkan untuk diberi pinjam kepada sesiapa yang berhajat. Orang baru yang ingin mencuba, orang yang datang dari luar Kuala Lumpur tanpa basikal dan sesiapa saja yang berhajat...


Specialized M4. Siap berkhidmat...


Basikal diservis setakat termampu. Basikal turut dilengkapkan dengan herusi pengangkut budak. Sesuai untuk membawa anak-anak yang berumur 5 tahun ke bawah (berat maksima 20kg). Ini untuk ibu bapa yang mahu membawa anak berkayuh bersama sekali sekala.



Specialized M4. Dalam mode limosin. Siap membawa "boss" anda berjalan-jalan...

Jadi, kalau anda berhajat nak meminjam basikal ini, dipersilakan. Sama ada untuk membawa kawan yang baru nak belajar berkayuh. Ataupun ibu bapa yang nak cuba membawa anak berkayuh. Ya betul...PINJAM, bukan SEWA. Tiada bayaran dikenakan. Inilah caranya aku rasa dapat mengembalikan kebaikan yang telah diberikan kepadaku.

Untuk urusan pinjaman, sila hubungi saya di 012-9049031.

Friday, March 19, 2010

Projek Hollowpoint - Peringkat 1

Dalam hidup, seringkali berlaku perkara yang tidak dijangka. Itu jugalah yang berlaku dalam kisah ini. Kisah EPX Hollowpoint. Walau sudah penuh basikal dalam garaj aku. Tapi,...entah kenapa bila terpandang iklan EPX Hollowpoint kat BBS, hati aku melonjak. Mungkin sebab rupanya yang "telanjang" dengan bahagian ekor karbonnya. Dan ynag paling penting, tanda harganya yang sangat mesra dompet. Maka, kerangka EPX Hollowpoint ini didukung balik ke rumah. Cadangnya, mahu dibangunkan satu basikal XC tulen. Betul-betul XC, setakat termampu.

Memang aku tak bercadang nak segera siapkannya. Banyak had dan batasan. Wang terutama. Sementelah pula dekat dengan masa sekolah buka. Buat permulaan, lapisan oksida perang muda yang menyalut tubuhnya dibuang. Beberapa malam aku bergelumang dengan kertas pasir dan autosol. Membuang oksida sambil menggilap lapisan aluminum telanjang. Dengan panduan dari Mahazam aka Kuwahara, badan digosok berperingkat. Bermula kertas pasir grit 1000, 1200, 1500 hingga 2000. Tanggallah segala oksida dan menyerlah kemilau aluminum. Sayang, kerja tangan aku agak kasar, banyak bahagian melelas dengan calaran kasar akibat tersalah guna kertas pasir yang terlalu kasar.

Siaplah peringkat 1 pengerjaan kerangka Hollowpoint. Selepas itu, tersadai dan tersidai lebih 2 bulan. Bila ada kelapangan dompet sikit, barulah kerangka itu dikelebek semula.

Headset Hollowpoint dari jenis separa-terpadu (semi-integrated). Aku dapat set Token Kudos-Z dari eBay pada harga mampu milik. 18/03/2010, set kepala selamat terpasang ke badan. Turut menyusul kemudian, fork RS Revelation 409 yang telah beralih dari basikal ke basikal. Cadangan untuk menggunakan fork 100mm diketepikan memandangkan Revelation itu sudah ada. Tak apalah kalau panjang sedikit, asal bajet tak perlu dipanjangkan.

Inilah rupanya setakat ini...


EPX Hollowpoint...Masih telanjang. Hanya dipakaikan set kepala dan fork.

Bagaimana dengan komponen lain? Terbayang dalam kepala jentera XC dengan bar hendal rata, stem sederhana panjang, dilengkapi set pemacuan daripada SRAM. Mungkin X9. Dah puas aku merasa Shimano. Nak cuba pula bagaimana rasa pertukaran gear 1:1...Datanglah balik ke sini untuk berita terkini (walau tak sensasi)

Tuesday, March 16, 2010

Layak Masuk The Biggest Loser???

Orang lain sibuk nak kurus, nak langsing. Aku pulak bantai menyongsang arus. Pergi menambahkan berat. Layak la kot masuk The Biggest Loser peringkat Gombak/Batu Caves. Eh..nanti. Bukan aku yang tambah berat badan...Tapiiii...

Tengok sini haaa...


Bahan penggemuk utama. Tengok berapa kandungan kalorinya.

Bahan penggemuk Sang Bara ini datang kepadaku secara tak sengaja. Datang dengan syarat dan terma yang sukar untuk aku tolak. Terima kasih Shah Yeop!!! Walaupun sebenarnya tak berapa cocok dengan Sang Bara, aku ambil pendekatan "HANTAM SAJA". Tengok apa jadi...

BAHAN-BAHANNYA...


SET RODA SPINERGY FALL LINE
JEJARI
Jejari unik dari Spinergy mengguna gentian PBO (polyphenylene bensobisoxazole). Spinergy mendakwa jejari dari 30,000 gentian PBO ini 3 kali lebih kuat dari keluli dan hanya separuh berat keluli
32 jejari depan dan belakang.
Jalinan lintang 2
Jejari pelbagai warna.
RODA
39mm dwi-dinding, roda ultra kuat jenis clincher. Saiz 26"
GELENDONG/BUYUNG
Tempahan khas, dimesin CNC. Menggunakan gandar tembus 20mm.
FREEHUB
Badan aluminum dan gerigi buatan Amerika
GANDAR
Aluminum gred aero-angkasa
KESERASIAN
Shimano 8/9 gear, pemasangan cakera brek piawaian antarabangsa 6 bolt
BERAT
2400gram
ROCK SHOX LYRIK STANDARD U-TURN
JARAK LANTUNAN
115mm - 160mm
BERAT
2431g (5.35 lbs)
LEMBAPAN
Mission Control, Dual Flow
SPRING
Gegelung, U-Turn
PELARASAN
Pelaras luaran untuk lantunan lejang permulaan, pelaras mampatan kelajuan tinggi dan rendah, suis kawalan pintu limpahan, pelaras jarak lantunan luaran.
CROWN
tempaan, berongga, aluminum A1 66 TV
BATANG KEMUDI
Aluminum 1 1/8", 1.5", menirus 1 1/8 - 1.5"
TIUB ATAS
35MM, aluminum dinding tegak siri 7000. Anodized. Geseran rendah dengan pelaras jaraklantunan
TIUB ATAS
35MM, aluminum dinding tegak siri 7000. Anodized. Geseran rendah dengan pelaras jarak lantunan bersenggat.
KAKI BAWAH
Magnesium, Maxle Lite 20mm, gandar tembus, tiang pemasangan cakera brek. Saiz cakera maksima 210mm



Gemuknyaaaa...Layak masuk The Biggest Loser?

Sang Bara gemuk ini telah sempat dibawa bermain di Ladang Tuan Mee. Pelarasan masih belum serasi. Fork terasa keras dan melantun bila bertembung bonggol dan lopak kecil waktu meluru turun bukit. Tetapi, pendakian terasa lebih mudah dengan jarak lantunan yang boleh dilaras. Tayar gemuk 2.35 nampak lebih gemuk pada Spinergy ini. Panel kawalan masih lagi dalam proses pembelajaran.