Tarikh : 19 April, 2009. Hujung minggu galak. Selepas semalam bermain teres di LTM, kawan BBB mengusik pulak untuk bermain di Kiara. Aku dan isteri lima puluh lima puluh. Nak pergi tak pergi sama banyak. Ada beberapa hal yang perlu dibereskan pagi Ahad. Tadi malam sibuk mengerjakan cik putih salju. Balik dari BTP, sempat singgah di Kedai Uncle ABC. Akibatnya memudaratkan. Satu fork putih Spinner Enduro 140mm ikut balik ke rumah. Kaki depan cik putih dipanjangkan jadi tinggi lampai. Senyum sampai ke telinga Ummuku bila cik putih salju berkaki baru. Harapan nak ke Kiara makin cerah.
Sebaik tengah malam, datang mesej dari Chai aka Belacan dari BBB memaklumkan puak BBB tak jadi ke Kiara. Cheh! Semangat aku jadi malap sikit. Bincang sama Ummuku berakhir tanpa kata putus. Konon macam nak ke FRIM saja.
Lepas urusan pagi Ahad selesai, program nak berkayuh diteruskan. Ummuku memang teruja nak cuba fork baru. Aku? Nak lenjan Sang Bara kat Kiara pulak. Tegas aku buat keputusan ke Kiara. Ummuku takut-takut sebab dah dengar reputasi Kiara. Aku pujuk-pujuk dengan penuh belai manja...Mujur mahu dipujuk. Dan pada jam 9.00 pagi, 19 April 2009, tercongoklah sihitam dan siputih di Taman Lembah Kiara...
Perhatikan Sang Bara baik-baik. Nampak apa perbezaan? Tak nampak? Sang Bara dah jadi serba hitam. Mana pergi fork Marzocchi 55R? Dah berganti dengan fork Marzocchi AM3 140mm. Dikerjakan tadi malam. Fork ditukar dengan Pechiko. Marzocchi 55R 160mm lebih sesuai dengn Heckler dia.
Mentari pagi jam 9.00 luarbiasa maraknya. Cik putih salju dan Sang Hitam Bara tercangak-cangak jakun melihat Kiara. Maklum, baru sampai kali pertama. Cik Putih bukan main eksyen menayang-nayang kaki depan baru. Spinner Enduro 140mm.
Siap sedia Cik Putih dan Sang Bara bergolek masuk ke keteduhan Kiara menyusur masuk laluan Karnival ke arah kanan. Berdepan dengan pendakian yang dilapisi batuan. Aku tak pernah berjaya. Cheh! Macam mana pelumba KLMTB Karnival dengan selamba mendaki cerun itu? Mesti kaki besi!
Pasangan hitam putih tidak terus menyusur trail Karnival, sebaliknya mengambil laluan kanan untuk kembali keluar ke tarmac berhadapan pintu masuk utama Bukit Kiara. Cik Putih kayuh tenang bersahaja. Sang Bara juga selamba. Sistem ampaian Banshee Pyre ini memang cemerlang dalam pendakian. Cadangnya mahu susur tarmac hingga ke simpang empat. Kami dipotong oleh satu pasangan yang menunggang On One. Mereka membelok ikut tepi pagar tangki air. Kami ikut sama. Pasangan itu nampak seperti memang kaki di Kiara. Sekejap saja sudah hilang dari pandangan. Bagus jugak ikut laluan 4K. Lebih redup dan lebih cepat merasa enak sedap denai tunggal. Sang Bara sangat gembira dengan denai begitu. Meliuk lintuk ikut alunan bengkang bengkok denai. Cik Putih masih cuba membiasakan diri dengan denai tunggal. Tak banyak pendedahan Cik Putih dengan denai tunggal sebelum ini.
Nada berubah bila melalui seksyen dalaman 4K. Menyerlah denai tunggal yang beralun naik turun. Aku jadi galak nak mencuba kerana dalam hati sudah pasang niat mahu belasah Sang Bara secukupnya. Cubaan pertama dakian pendek dengan cerun sederhana. Tersalah masuk gear, akibatnya gagal memanjat cerun. Penunggang On One di depan menyarankan aku menggunakan gear tinggi sikit. Aku angguk-angguk tanpa mencuba lagi. Pasangan On One menghilang di balik denai. Aku dan isteri teruskan kayuhan.
Denai tunggal berselirat kemudian menghala turun sebelum berdepan dengan jambatan kayu bakau sebelum kembali memanjat curam. Bertolak saja aku dan isteri. Denai melandai sekejap dan laluan kanan dipilih yang kemudian berdepan dengan cerun tinggi lagi sebelum berjumpa laluan tarmac untuk ke denai 2K.
Sang Bara galak mendaki lekak lekuk 4K |
Meniti titian bakau.. |
Walau tarmac, senak juga mendaki dalam cuaca panas sementara nak sampai ke muka denai 2K. Sampai di pondok, aku pot-pet pot-pet sikit kat isteriku hal ehwal denai 2K. Jarak 2 kilometer...bla bla bla. Singletrack...bla...bla...bla. Separuh jalan pertama menurun, separuh kedua mendaki kerabat...bla...bla..bla. Jaga akar berselirat. Dia angguk-angguk sambil sibuk mengipas badannya yang panas. Dua-dua orang dah lenjun dengan peluh. belum masuk 2K lagi tu. Mujur orang tak ramai, boleh la kami kayuh dalam mode santai.
Jam menghampiri 10.00 pagi. Mentari panas dah semarak menyala...Dengan Sang Bara di kepala, dua basikal meluncur masuk ke perut 2K. Bermula landai, laluan ikut jam dipilah. Kemudian menerpa cerun mula menjunam. Aku berani-berani takut untuk melepaskan Sang Bara selajunya. Memang susah nak buang tabiat suka membrek. Singletrek dengan hiasan melintang. Bila keyakinan mula bertambah, aku kemaskan pegangan. Jari brek direhatkan. Paut kemas dan biarkan saja Sang Bara meluru turun. Ponggong direhatkan atas pelana. Hanya gegaran kecil terasa bila ampaian depan dan belakang bekerja kerasa menyerap semua hentakan. Lenggok dangdut digunakan untuk membawa Sang Bara melenggok kiri kanan mengikut garisan kayuhan. Huuuuiiiiii...seronotnya. Gap rendah sekaki dilaluan tidak dipedulikan. Hanya biarkan Pyre ini menjalankan tugasnya. Cuma mulut aku menjerit pada isteri di belakang..."Gaaappppppppp..." sebagai amaran. Cik Putih cepat-cepat ambil tindakan evasif.
Menderu menuruni denai 2K |
Cik Putih ansur-ansur menghayati 2K |
Kegalakan berterusan. Denai sempit dengan aliran turun berhias akar berselirat. Menguji sistem ampaian Sang Bara yang bertindak cemerlang menyerap segala hentakan kecil. Datang pula switchback dengan batu bongkah besar menjengah. Ilmu dangdut goyang pinggul yang belum khatam digunapakai. Tenang Sang Bara menyelusur garisan belokan dan keluar dengan selamat. Masih dalam kelajuan sederhana. Belum mahir lagi untuk belasah hingga lutut cecah tanah. Tapi memang puas hati bila tidak terasa kerangka belakang memprotes dan menggeliat bila disesah.
Cik Putih masih lagi belajar. Terkapai bila melalui switchback. Teringat aku kali pertama menjejak kai ke Kiara. 4 Jun 2006. Aku masih ingat bagaimana aku terkial-kial begitu. Lumrah bagi orang baru bila bermain di Kiara. Itu yang kerap aku ulang pada isteriku sebagai pemujuk dan penguat semangat.
Denai masih dalam aliran menurun. Pokok tumbang jadi penambah perisa. Dijamah begitu saja oleh Cik Putih dan Sang Bara. nampak Cik Putih mula teruja. Meluru turun dan bermain liku liku Kiara. Cerun 45 derajah tidak lagi menjadi hal kemudiannya. Cik Putih meluncur penuh yakin. Aku tumpang bangga lihat didikan menampakkan hasil...
Pokok tumbang penambah perisa kayuhan |
Cik Putih bertukar nada meluncur turun penuh yakin. |
Denai beralun naik turun seketika. Kemudian datanglah tantangan paling hebat di 2K. Teres 3 lapis! Ketar lutut weeeiii. Nafas dihela, tanpa pelana direndahkan aku dan Sang Bara bergolek turun. Tayar gemuk Maxxis Minion menggigit permukaan yang kering. Mencari garisan yang sesuai untuk meluncur turun. Trek berlurah dengan aliran air dan kesan cakaran tayar-tayar akibat kuncian brek. Akar-akar membuatkan cerun yang curam tambah menyeramkan. Sesekali brek dikacip untuk memperlahan Sang Bara. Galak sungguh! Adrenalin merembes laju. Dan aku berjaya menuruni teres lapis 3 tanpa masalah. Perrrghhhhh...
Teres 3 lapis 2K |
Menghampiri hujung teres... |
Tamat teres 3 lapis bermakna tamat bahagian aliran menurun 2K. Bermula bahagian menaik. Sesi panjat memanjat. Prestasi kerangka Pyre dengan VF4BP akan diuji. Sungguhkah bagai dikata? Prestasi peha, lutut dan betis aku bagaimana pula? Dakian-dakian pendek aku kerabat. Ada yang berjaya ada yang tidak. Terngiang kata-kata pengayuh yang menunggang On One tadi "You need heavier gear". Munasabah ka? Gear ringan granny mak nenekpun aku tak boleh lepas, inikan pulak gear berat? Satu masalah pakai gear rendah bila mendaki ialah tayar belakang mudah berpusing bila dikayuh terlalu kuat. Hilang cengkaman seketika campur pulak kemahiran imbangan yang berada pada tahap bawah, memaksa kaki diturunkan. Tak puas hati betul...OK, tak rugi cuba teknik yang disarankan. Tukar gear. Guna tengah dan tengah. Perrghhh..berat sikit. Kaki terpaksa kerja lebih kuat. Lenguh lebih cepat. Kaki protes tapi...climbing lagi baik. Lebih cengkaman dan kayuhan dalam keadaan berdiri tidak menyebabkab tayar belakang berpusing kosong. Ooooo...itu macam caranya. Lepas ni kena kuatkan kaki lagilah. Kerangka tegar Sang Bara banyak membantu. Tiada pedal bob dirasakan. Ringkas cerita, Loop ikut jam disempurnakan. Penat woooo...peluh jangan cerita dalam cuaca panas tak berangin.
Kembali ke pondok. Berehat sebentar sambil mengimbas kembali kayuhan tadi. Cik Putih masih tak begitu teruja. Maklum, trek belum biasa. Aku berkira mau masuk satu pusingan lagi. Cik Putih tak bercadang mengikut pada mulanya. Kemudian berubah fikiran untuk ikut serta. Bermula kayuhan 2K fasa dua...menongkah arus ikut lawan jam.
Jam sudah pukul 11.00. Matahari galak panas membara. Kayuhan bermula. Denai beralun naik turun bermula. Formula dakian pada gear tinggi digunakan selagi daya. Nyata memberi kesan walaupun kaki memprotes. Pada satu bahagian ada drop setinggi hampir 2kaki, dibentengi akar bersilang. Aku cuba memanjat. Tayar hadapan diangkat melepasi akar, kaki menujah pedal menghantar kuasa ke tayar belakang yang kemudian memaut akar dan mengheret seluruh basikal melepasi halangan. Lepassss! bagai tak percaya.
Kayuhan kemudian bertukar nada dari alunan naik turun pendek kepada aliran menurun. Sebaik sampai ke teres 3 lapis,kami tidak ikut laluan 2K, sebaliknya terus menuruni Apollo. Whoaaaa...larian turun Apollo memang mengujakan. Trek pantas dengan switchback. Cuma aku kena tahan keterujaan kerana sesekali berhenti menunggu Cik Putih. Larian pantas berakhir dengan titian kecil yang membawa kembali ke laluan tarmac.
Dari tarmac, kayuhan mendaki untuk kembali ke simpang empat. Cuaca bertambah panas. Berhenti rehat seketika. Memang aku rasa tak berdaya sampai tergolek baring sekejap untuk caj tenaga.
Cukuplah setakat ini cerita. Denai 2K memang tak pernah mengeciwakan. Pendek dan pantas dan tak banyak karenah. Bila dah terasa pulih kembali tenaga, berkayuhlah balik kami berdua. Bukit dari simpang itupun boleh tahan juga. Perlahan-lahan kayuhan diteruskan sebelum meluncur turun hingga ke Taman Lembah Kiara. Jenuh aku menjerit pad isteri jangan terlalu laju takut terjadi sesuatu yang tak diingini. maklum kawasan awam. Masih ramai joggers disekitaran.
Terima kasih pada TRAKS yang menyediakan tempah basuhan basikal. Bolehlah dicuci Cik Putih dan Pak Itam yang comot lepas bermain tanah. Sambil tu boleh pura-pura tersalah pancut air ke badan. Sejuk nyaman bila terkena air. Legaaaa...Tamat al kisah Cik Putih dan Pak Itam bermain di Kiara. Ntah bila dapat datang lagi?
Mandi timeeeee.... |
|