Ini adalah siri 4 dalam siri-siri Komponen MTB dan disiarkan secara berperingkat atas dasar "bila aku ada masa". Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung |
BAR HENDAL MTB
Tertengok iklan Pirelli - "Power is nothing without control". "Kuasa tidak bermakna tanpa kawalan". Sebenarnya iklan tayar. Tapi saya rasa lebih kena kalau kawalan tu merujuk kepada pengemudian. Kalau pada basikal, apa lagi? Bar hendallah.
Bar hendal ialah satu batang yang disambungkan ke basikal pada bahagian hadapan untuk kendalian basikal dan sebagai pemegang kepada penunggang basikal. Kalau ikut definisi ni pening kepala jugak dibuatnya. Harap pembaca fahamlah.
Sedikit sejarah, bar hendal pada asalnya memanglah sebatang besi bulat tumpat. Sekarang sudah tinggal dalam lipatan sejarah. Semakin maju teknologi, rekaan bar hendal juga ikut sama berubah. Dari besi bulat padat kepada besi tiub. Dari besi kepada bahan lain yang lebih ringan. Aluminium, titanium dan gentian karbon.
Kita akan melihat jenis-jenis bar hendal yang biasa digunakan pada basikal lasak (MTB) berdasarkan jenis.
Umumnya, bar hendal MTB terbahagi 3;
- Rata (flat)
- Conget rendah (low rise)
- Conget tinggi (high rise)
Kita akan berjumpa dua istilah kekunci bila bercerita tentang bar hendal, conget (rise), cangak (sweep).
Conget merujuk kepada jarak menegak di antara tempat paling rendah pada bar hendal dengan tempat paling tinggi pada bar hendal. Unit ukuran yang digunakan biasanya mm atau inci.
Cangak pula merujuk kepada kadar bengkok bar hendal ditarik ke belakang atau ke atas dan diukur dalam unit darjah.
*Nota : Istilah cangak dengan conget tu saya pandai-pandai reka sendiri. Tidak mendapat cop SIRIM atau cop mohor dari Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Untuk memudahkan pemahaman maksud cangak dan conget, kita tengok gambar. Lagi mudah bercerita. Satu gambar menyatakan seribu kata. Chewah, sastera pulak. Rujuk gambar di bawah.
Kita ambil contoh bar hendal yang conget rendah.
Jadi, nak pilih bar hendal yang mana satu ni? Macam mana nak pilih? Tengok keperluan. Faktor-faktor untuk pertimbangan...
Lebar
Hukum asasnya, lebih lebar lebih kawalan tetapi penukaran arah jadi lembap. Bar yang rendah dan sempit akan menjadikan anda lebih larus (aerodinamik) dan lebih cekap gunaruangnya bagi kayuhan jarak jauh. Pengayuh rentas desa biasanya lebih gemarkan bar dalam julat 56-58cm(22-23") manakala pengayuh gaya bebas (freeriders) dan penerjun bukit (downhiller) akan memilih bar yang lebih lebar.
Pada umumnya, lebar yang sesuai dianggar dalam zon tolak ansur di antara keselesaan, kawalan, daya tuil dan keyakinan, yakni berada di antara julat 100-150mm (4-6") lebih lebar dari lebar bahu. Ada pengayuh yang suka bar lebar untuk lebih daya tuil, yang lain pula suka yang kurang lebar kerana bar lebar meringsakan pergelangan tangan dan bahu. Anda kena cuba-cuba sebelum mendapat lebar yang sesuai.
Biasalah kalau membeli bar hendal, pengayuh akan membeli lebar sedikit dari yang diperlukan. Biasalah tu, prinsip "biar lebih jangan kurang". Kalau lebih boleh dipotong. Sebenarnya tak semudah itu. Rujuk ulasan selanjutnya di bawah. Dan perlu diingat, semasa ghairah untuk memotong bar hendal, pastikan cukup ruang untuk penggenggam, pengapit tuas brek dan pengapit penukar gear. Kalau pakai bar jenis gedebab (oversized) lagi kena berhati-hati sebab bahagian lengkuk semakin menggemuk. Pengapit penukar gear tidak lepas mengapit bar hendal yang gemuk...Saya dah kena dah!
Bahan
Kebanyakan bar hendal dibuat dari aloi aluminium. Keluli juga digunakan untuk membuat bar yang kuat dan tahan. Gentian karbon semakin popular untuk basikal-basikal mewah dan bagi mereka yang mahukan basikal bertambah ringan. Yang mahukan kelainan akan menggunakan titanium.
Debat bahan mana yang "terbaik" takkan habis. Jadi kita tinggalkan ke tepi daerah sensitif ini. Selain bahan, rekabentuk dan teknik pengeluaran juga mempengaruhi kekuatan dan ketahanan. Bar aloi boleh dibentuk secara dalaman atau luaran untuk mendapat kekuatan dan ketegaran pada tempat-tempat berbeza pada bar hendal untuk menanggung kepelbagaian beban dan siksaan. Ada juga yang diberi rawatan muka, (macam facial treatment kat salon pulak) menggunakan teknik "anodise" atau "shot-peened", untuk menutup titik lemah yang disebabkan ketidakrataan permukaan.
Memanglah susah untuk menentukan betapa malarnya mutu pengeluaran bar hendal di bawah permukaan, melainkan pengeluar melakukan ujian tekanan dan memperakui setiap batang bar hemdal yang mereka buat. Tekanan harga dan kos menyebabkan hanya beberapa pengeluar besar yang membuat perakuan.
Kalau mahukan bar yang paling kuat, teguh dan peramah (peramah???), pilihlah besi keluli. Lebih berat tapi lebih mantap. Kalau takdirnya anda terjatuh berdebuk bedebek, keluli tidak mudah patah sebaliknya hanya membengkok berbanding aluminium atau gentian karbon.
Conget dan cangak
Bentuk bar hendal, sifat yang sering dikaitkan dengan bar hendal, selain lebarnya, ialah conget dan cangak. Dua sifat ini mempengaruhi keselesaan dan prestasi kerana setiap pengayuh mempunyai lengan, pergelangan tangan dan zon selesa yang berbeza. Ikut selera masing-masing. Ada yang lebih suka bar rata dengan sedikit mencangak ke belakang. Ada yang suka bar menconget sedikit. Pendek kata, ikut selera, kesedapan dan kesesuaianlah.
Faktor-faktor lain yang mempengaruhi pilihan bar hendal termasuk ketinggian sepit udang, panjang tiub kepala, sudut tiub kepala dan tinggi reranting (stem).
Saiz pengapit (clamp)
Pada awalnya bar hendal datang dengan satu saiz umum 25.4mm (1") pada bahagian tengah di mana bar hendal dikapitkan dengan reranting yang sepadan saiznya. Lama-kelamaan keperluan kepada bar hendal yang lebih tegap dan kukuh mendorong pengeluar beralih kepada menghasilkan bar hendal yang lebih gemuk pada bahagian tengah. Bar jenis ini dikenali dengan "oversize". Saya lebih senang menterjemahkannya kepada bar "gedebab" disebabkan oleh rupanya yang "gedebab". Menggemukkan bahagian tengah ini menambahkan ketegaran bar dengan hanya sedikit peningkatan pada berat. Pada teorinya, kaedah in bagus walaupun mat-mat kapas (weight weenies) jadi seriau melihat pertambahan berat ini. Biarkan mereka dengan dunia mereka. Tadi disebut saiz reranting yang sepadan. Ha! Bertukar kepada bar gedebab memerlukan juga reranting ditukar kepada jenis gedebab. Kalau tidak...sendiri jawablah.
Panjang sangat? Potonglah...
Kalau bar dirasakan panjang sangat, potonglah. Eh...nanti...sebelum potong baca dulu arahan dari pengeluar. Kalau tak ada atau anda memang jenis tak pernah pedulipun manual dari pengeluar, ha lantak. Potonglah. Kalau waranti anda terbatal akibat pemotongan ini, jangan cakap saya tak bagi peringatan. Lu pikir la sendiri...(Nabil, jangan marah aaaaa)
Gunakan pemotong paip atau gergaji besi untuk memotong. Pastikan anda tahu dan mahir menggunakan kedua-dua alat ini. Pastikan juga pemotong paip yang digunakan dari jenis baik yang keras matanya dan boleh memotong dengan kemas. Salah guna pemotong paip boleh mengkemikkan bar hendal anda. Begitu juga kalau menggunakan gergaji besi, potongan anda boleh jadi senget. Potong dengan berhati-hati atau untuk hasil yang lebih baik gunakan pemandu gergaji.
Tanduk
Sekali lagi berhadapan dengan cabaran terjemahan. Sekali lagi saya menggunakan segala kuasa yang ada pada saya untuk menggunakan istilah tanduk bagi menterjemahkan "bar end". Yang ini bukan pandai-pandai saya sendiri, tetapi dikutip daripada apa yang didengar dan dituturkan oleh beberapa pengayuh. Hmmm...mengapa tidak? Memang rupanya macam tanduk lembu yang berkeliaran kat kampung saya.
Masih ramai pengayuh yang menggunakan tanduk, dengan sebab-sebab yang bagus pulak. Mungkin nampak kurang sesuai dan tidak menarik tetapi dua batang yang dipasang pada hujung bar itu memberikan pilihan kepada kedudukan untuk meletakkan tangan dan memberi tuasan yang lebih baik ketika mendaki dan dan keselesaan ketika meluncur pada laluan landai dan jauh. Kalau anda suka, pasanglah tanduk pada basikal anda. Pedulikan apa orang lain kata.
Beberapa petua
- Gunakan penutup atau penggenggam yang ada penutup untuk menutup hujung bar yang ternganga. Hujung bar yang tidak bertutup boleh mengundang celaka dan melukakan kalau tercucuk atau tergeser bila terjatuh. Sakit woooo.
- Juga pastikan reranting mengapit kemas bar anda. Kalau tidak, bar akan mudah bergolek di dalam cengkaman lembik pengapit. Permukaan bar boleh tergores dan terhakis menyebabkab munculnya titik-titik lemah yang boleh mengundag retak dan patahnya bar.
- Jangan pasangkan pengapit tuas brek atau penukar gear terlalu ketat. Pasang sekira-kira sendat untuk tuas dan gear tidak bergerak. Kalau terlebih ketat, ia boleh merosakkan bar terutama bila terjatuh. Periksa selepas terjatuh. Perhatikan sekiranya terdapat kerosakan pada pengapit tuas brek atau gear terutama jika pengapit telah berganjak. Rosak yang sedikit boleh menjadi pemula kepada kerosakan yang lebih besar kemudian.
- Cuba-cubalah beberapa kedudukan bar dan reranting. Cari kedudukan yang dirasakan selesa dan sesuai dan menambah prestasi kawalan basikal.
Semoga anda mendapat kawalan penuh ke atas basikal anda dan lengan serta pergelangan tangan anda selesa bermesra dengan bar hendal anda.
1 comment:
hahahaha. adoiiii~ ni blog buat lawak je. bukan blog mtb. kekeke.
Post a Comment