Tuesday, September 10, 2019

Kemensah ~ Sekitar Bukit Pau


Rimba kaki gunung di Kemensah ini antara kawasan mainan awal waktu aku mula bermain MTB.  Beberapa tahun kemudian minat untuk bermain di Kemensah menjadi tawar.Sebahagiannya kerana keadaan denai yang berlongkang di tengahnya akibat hakisan tayar-tayar gerutu motosikal yang keluar  masuk di kawasan itu.  Longkang di tengah denai membuatkan kayuhan menjadi sukar.  Terpaksa enolak basikal.  Dan menolak basikal bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Baik... putar masa laju ke hadapan.  Datang balik keinginan untuk bermain di Kemensah.  Bulan Mac lepas aku masuk ke air terjun Sofea Jane.  Banyak yang sudah berubah.  Perubahan yang membuatkan aku kembali berminat untuk berkayuh di Kemensah.  Cadangan asal mahu ke Bamboo Trail.  Dan kita boleh merancang, kesudahannya berlaku mengikut kehendak Tuan Punya Alam Ini.

Sabtu, 7 September 2019.  Hanya aku dan Jas menyahut seruan.  Dan kami akan berkayuh dari rumah hingga ke Kemensah.  Aku tak perlu bercerita secara mendalam kayuhan dari Restoran Thaqwa ke Kemensah.  Ringkasnya, jarak lebih kurang 10km dalam masa lebih kurang 30 minit.


Titik mula

Pagi Sabtu masih muda.  Belum ramai pengunjung di sekitar.  Aku ambil penanda Endomondo bermula di simpang masuk ke Kem Isi Rimba/Jinbara.  Jalan mini tar seiring sungai di bawah teduhan pohonan rimba.  Sampai ke kaki cerun untu masuk ke denai, nampak ada 3 orang pengayuh berada di situ.  Kamipun bertegur sapa dan bertanya ke mana arah tujuan mereka.  Sekitar Bukit Pau katanya.  Aku buat perkiraan sekejap.  Kemudian mengusulkan pada Jas "Kita ikut derang ni sajalah".  Ijas senyum dan angguk,  Aku maklumkan kepada kawan baru yang aku dah lama tak masuk.  Aku kayuh pelan saja...

Denai pembuka itu aku kenal sangat.  Cerun mau dalam 20%-30%.  Dulunya jalan tanah.  Penuh alur air.  Kena pandai cari line untuk kayuh.  Sekarang sudah diturap konkrit dan kerikil.  Walau dah diturap, cerunnya masih lagi menggerunkan...Aku sudah tua.  Banshee Pyre aku pun sudah tua.  Masih menggunakan gear 2x9.  Gear paling rendah aku pakai.  Mujurlah boleh kayuh sampai habis cabaran pertama.  Datang lagi 2 cabaran seumpama tapi mujur lagi pendek.  Cukuplah untuk pemanas betis.  Berhenti rehat di simpang tiga pertama.

Senyum dalam kepuraan bila berhadapan kamera

Masa rehat tidak dipersia.  Taaruf dan perkenalan dengan kawan kayuhan baru.  Mus dan anaknya Ayie, dan Fandy.  Mereka dari Pantai Dalam.  Sempat la bercerita tentang laluan yang bakal ditempuh.  Aku pasang telinga saja sebab ingatan aku sudah samar.  Entah kenapa yang aku ingat kawasan itu ialah markas seorang yang mendakwa sebagai Rasul Melayu.  Sapa ingat?

Ayie bergerak dulu mendaki cerun tanah dengan kecerunan 20%.  Panjang jugalah pendakiannya.  Kira-kira separuh pendakian, ada bunyi air mengalir dari sebelah kiri.  Suasana redup kerana dipayungi pohon-pohonan.  Aku tak pastilah kenapa, tapi bunyi deru air itu bagaikan satu terapi untuk aku.  Jiwa rasa tenang bila mendengarnya.  Bagai terpukau, letih dan penat seakan hilang. Aku berjaya teruskan kayuhan.  Jas mengekor aku dengan rapat di belakang.  Budak ni dah jadi macam bayang-bayang aku bila berkayuh.

Sebentar kemudian ternampak pula Ayie yang sudah bersedia dengan henponnya untuk merakamkan aksi-aksi hebat pagi itu.  Aku tidak mahu menghampakan Ayie.  Beberapa pos hensem dan manja dilontarkan untuk dirakamkan.  Harapnya kamera dia tidak terbakar dek hangatnya aksi dan pose aku.  Laluan melandai sebentar. Ada simpang di sebelah kiri yang menjadi sempadan kepada dua kolam.  Pokok manggis bagaikan menjadi gerbang kepada simpang kiri.  Kami berhenti sebentar menunggu Mus dan Fandy sampai.  Bagai dijanji, 2 ekor anjing ikut sama sampai dari arah simpang.

Kami berhenti lagi dan sempat mengupas beberapa biji bawang.  Jas sempat mencuba-cuba basikal Pyre tua aku.  Pelawaan Fandy untuk mencuba basikal Felt Fandy diterima dengan sedikit malu-malu tupai kononnya.  Nampak macam dah teruja dan teracun dengan basikal Fandy.  Gitulah resam berkayuh, boleh tengok basikal orang tapi jangan sentuh.  Kalau sentuh, ada sumpahan melekat.  Payah nak ubat...

Kayuhan disambung kembali.  Macam tadi, Ayie naik dulu.  Aku menyusul.  Bayang-bayang aku tertinggal.  Bila aku toleh ke belakang dan mendapati tiada sesiapa, mata aku melilau mencari tempat sesuai untuk berlabuh dan mengambil gambar.  Elok aku baru nak berhenti, Jas dan sampai.  Belum sempat siapkan kamera dia dah bergerak pergi.  Dapat tangkap gambar dia dai belakang saja.  Ha..tu, belah kiri tu gambar itulah.  Kecerunan sama macam tadi.  Oppsss... tak sama..sebab makin ke atas makin mencerun sehinggalah Jas pun mengalah.  Berhenti dan tolak basikal juga dia.

Denai melandai sekejap kemudian membuka kepada satu kawasan rata dan lapang di atas rabung.  Penderaan belum selesai lagi.  Ada sikit lagi pendakian perlu dibereskan.  Dan macam tadi, Ayie sudah siap menunggu.  Dan seperti tadi juga aku lekas-lekas berkasi untuk tidak mahu mengecewakan Ayie.  Semoga Ayie berpuas hati.

 


Kami berada di kawasan terbuka.  Di atas rabung yang berpecah 2.  Kawasan sudah ditebas dan dilapangkan ada 2 buah pondok.  Satu di kiri.  Satu di kanan.  Sayup nampak pemandangan sekeliling dipenuhi kehijauan.  Bukit bukau dan gunung-ganang dari kejauhan.

Sebaik aku sampai dan meletakkan (melepaskan) basikal, ternampak anjing oren yang tadi turun ke bawah, terkedek-kedek berlari naik pula.  Tak tahu penat anjing tu.  Fandy dan Mus menyusul di belakang.

Kami berrehat lagi di bawah teduhan pokok di tepi lereng.  Sambil tu, Mus meluang masa memberi makan anjing-anjing yang sedari tadi mengekori kami.  Rupanya, sudah menjadi kebiasaan bagi mereka memberi anjing-anjing itu makan.  Dah siap bawa makanan anjing.  Fandy dalam seloroh sempat menceritakan bagaimana pandangan manusia kepadanya waktu dia membeli makanan anjing sebelum berkayuh pagi itu.
Habis berehat dan bersantai menghabiskan filem, kayuhan bersambung.  Mendaki bukit di sebelah kanan arah kami datang tadi.  Cantik tempatnya.  Lapang dan bersih.  Ada bangku-bangku yang dibuat dari buluh di sebelah kiri denai doubletrack.  Irama kayuhan akan mula bertukar.

Denai lebar ditinggalkan,  Di depan, denai sempit singletrack yang sedikit terlindung dengan pokok serai.  Waduhhhhh...Dah lama tak layan denai sebegitu.  Denai sempit meluru turun.  Meliuk lentok meluru masuk ke dusun.  Denai mendakap lorong memaksa perhatian diberikan sepenuhnya.  Tangan, kaki, mata, telinga berkoordinasi dan berkolaborasi membawa basikal mendakap denai sekemas-kemasnya.

Sebab dah lama tak beraksi begitu, aku jadi takut-takut-berani.  2 kali takut... Lebih banyak main brek dari meluncur pergi.  Biar lambat janji steady.  Besok boleh main lagi.  Denai sempit singletrack cuma sekejap.  Barang sedap memang begitu.   Denai sempit bercantum kembali dengan denai double track.  Masih lagi dalam mood menurun.  Sampai di satu simpang empat, aku berhenti menunggu yang lain sampai.  Tetiba, tapak kasut Jas mengambil keputusan terburu bercerai dari kasut.  Terjengketlah budak tu dengan kasut sebelah.  Perceraian tidak diredai.  Kasut dan tapak dipaksa rujuk semula dengan cable tie.  Cukuplah untuk boleh berkayuh balik ke rumah...

Selesai upacara ringkas rujuk semula, semua terus meluru turun.  Aku tertinggal di belakang.  Turunlah aku perlahan-lahan sambil brek belakang aku bersungut-sungut bagai baung di bawah bangkar.  Mereka yang lain sudah menanti di bawah pada satu kawasan lapang dan landai.  Aku pulak mendahului untuk mencari spot yang baik untuk merakamkan aksi.  Denai menurun pantas dengan beberapa tempat dihiasi batu-batu.  Ada juga batu-batu longgar yang boleh menghumban tayar ke sisi dan mengasah muka ke tanah kalau tidak cermat.

Aku berhenti bila berjumpa simpang.  Simpang yang membaw masuk ke perut denai Kemensah.  Boleh pergi ke Lubuk Tedung, Kem Sleh dan Bamboo Trail.  Aku bersedia di situ untuk mengambil gambar yang lain.  Turun Ayie dan Fandy.  Lama aku tunggu, baru muncul Mus dengan Jas... Kenapa lambat?  Persoalan hanya bersimpul di dalam kepala tidak dilontarkan keluar...

Kayuhan off road sudah hampir ke penghujungnya.  Simpang kanan itu membawa kembali kepada simpang 3 yang mula-mula ditempuh.  Ala...tempat bertaaruf tadi tu.  Dari situ, belok kanan, dan turun ikut Kem Isi Rimba, Jinbara dan keluar ke Jalan Kemensah.  Selesai sudah kayuhan off road - Kemensah - Bukit Pau untuk hari itu...Terima kasih kepada trio Mus, Fandy dan Ayie kerana sudi biar kami tumpang.  Lepas tu belanja minum pulak lagi.

Boleh lihat gambar di Album Ride Kemensah 20190907

Friday, September 06, 2019

Kembas ~ Janda Baik Balik Hari



Janda Baik dah jadi destinasi kegemaran aku untuk lari dari hiruk pikuk kotaraya.  Sebulan sekali aku kayuh ke sana.  Sementelah siap pemasangan beg pannier pada basikal Shogun aku, semangat makin membuak.  Elok pulak ada cuti umum hari Isnin, 2/9/2019.  Cukup untuk aku berehat memulih tenaga dan segala otot saraf yang didera janda...1/9/2019 Kembara basikal ke Janda Baik balik hari. ON!

Aku petik jugak la rancangan berkayuh ke Janda Baik ini kepada kawan-kawan.  Hanya Jas menyahut petikan.  Dua orang pun jalan.  Kalau aku sorang pun insyaa Allah, jalan jugak.

0715hrs aku dah tercongok di depan Restoran Thaqwa Baru.  Sambil tunggu Jas sampai, sarapan dulu.  Isi tangki dengan sebungkus nasi lemak dan 2 butir telur separuh masak.  Jas sampai dan kami bergerak.  Langit cerah hati tidak gundah.  Laluan biasa jalan keluar ke Greenwood lalu membelok ke kanan pada lampu isyarat.  Beberapa basikal kelihatan berlalu ke arah Jalan Lama Gombak.  Memang biasa hujung minggu dan cuti umum ramai pembasikal melewati daerah ini untuk ke Jalan Gombak Lama.  Ada setakat Batu 12,  Ada sampai Genting Sempah. Ada juga ke Janda Baik.  Yang menerjah hingga ke Bentong pun ada.

Sebenarnya, dah lama juga aku tak kayuh jarak jauh ni.  Sejak Ramadan.  Cuak juga dengan keupayaan diri.  Memandangkan cuma aku dengan Jas saja yang berkayuh, aku cadang nak kayuh cepat sikit dengan strategi kurang berhenti.  Untuk leg Gombak - Genting Sempah, cadangnya berhenti sekali saja di Hospital Orang Asli.  Kita tengok boleh ka tak boleh...

Hospital Orang Asli Batu 12
Cuaca pagi agak dingin.  Terasa sejuk menembusi baju menyapa kulit.  Angin juga agak kuat.  Terasa seakan ada tolakan dari hadapan.  Namun tidaklah sampai membantutkan kayuhan.  Ramai yang berkayuh pagi ini.  Aku tahu sebab sekelompok demi sekelompok memotong aku dan Jas.  Jas setia di belakang aku walau berkali disuruh anak muda ini pergi dahulu.  0815hrs, sampai ke Hospital Orang Asli.  Semangat berkobar walau dada dan jantung berombak kencang.  Berehat sekejap saja untuk meneguk seteguk air dan kayuhan diteruskan.

Kayuhan santai pada gear sedang-sedang mengikut kesesuaian dengan gradien jalan.  Sampah-sampah di sisi jalan pada beberapa tempat masih menyedihkan dan memualkan.  Kenapalah manusia ini tidak bertanggungjawab ambil jalan mudah buang sampah ikut suka hati dia.  Juga berlaku tanah runtuh di 3 tempat kalau tidak silap perkiraan aku.  Jalan yang sudah sempit menjadi bertambah sempit tinggal satu lorong sahaja.  Lalulah dengan berhati-hati.  Pasang radar, mata, telinga dan segala deria.  Mujur kenderaan tidak banyak.  Laluan dimeriahkan oleh pembasikal dan pelari.  Yang berlari pakai selipar pun ada.  Macam-macam gaya...Semua ramah dan mesra dan saling bertegur sapa.

Batu-batu penanda jalan membantu aku menghitung batuan kayuhan dan mengira berapa KM lagi unttuk sampai ke Genting Sempah.  Di Genting Sempah bawah jambatan, penandanya ialah 14KM.  Untuk menghitung jarak ke situ, ambil bacaan KM anda dan tolak 14.  Senang kacang sajakan?

Lagi 3KM nak sampai, ponggong aku rasa pedih ya amat.  Aku cuba gagahkan namun tak berupaya.  Segala daging dan tulang tongkeng yang sudah pejal kematu jadi lembut dan gebu dek kerana sudah lama tidak berkayuh.  Dalam keterpaksaan, aku maklumkan pada Jas untuk berhenti di atas jambatan.  Ah..legaaaaa... Ponggong direhatkan sebentar dan kerengssaan yang menggigit tadi beransur reda.  Tak perlu lama, dalam 2 minit kami sambung berkayuh.
Jambatan...Lagi 2KM

Kebiasaannya, melepasi jambatan itu sudah satu kelegaan.  Di depannya ada sedikit lagi cobaaan mendaki pada kawasan yang berdekataan dengan lookout point.  Habis semua gear Shogun aku kerah untuk melepasi bahagian itu.  Dan melepasinya memberikan kelagaan yang amat.  Tinggal 2 KM untuk tamat.  Gear dikembalikan kepada pertengahan.  Nafas dihela dan kayuhan disekatakan sehinggalah batu tanda KM14 tercongok di hadapan.

Gerai Abang Najib menggamit pengembara longlai memberi semangat untuk menamatkan kayuhan.  Jam 0955hrs kami sampai ke Genting Sempah.  25.6KM selamat dikayuh.  Terletak pada aras 645M dari aras laut.  Ramai yang sudah sampai dan berlonggok di situ.  Tanpa lengah Shogun ditopang.  Sebotol jus kurma dingin buatan sendiri dipinta.  Dingin pada telapak tangan dan jari jemri membuka tutup botol jus kurma.  Dan dengan bismillah...jus kurma diteguk.  Jus masam-masam manis berlegar di dalam mulut kemudian terjun melalui esofagus meningglakan rasa enak dan nyaman pada lidah dan tekak.  Tegukan demi tegukan penuh keenakan, kesegaran dan kenyamanan...

Waterpoint dan feeding point.  Terima kasih Abang Najib.
Eh...belum masa untuk meraikan.  Baru separuh jalan.    Janda Baik yang dicari.  Titisan jus kurma dihabiskan.  Botol dikeronyok dan dimasukkan ke dalam kantung kitar semula Abang Najib.  Kayuhan yang masih menanti aku bahagi 2.  1, kayuhan meluncur turun dari  Genting Sempah ke Gerbang Janda Baik.  Jarak dalam 4.5KM.  Tahap 2, dari Gerbang Janda Baik ke Warung Janda Baik dengan jarak 8KM.

Aku berteriak kepada Jas untuk menyambung perjalanan.  Eh...apa kena budak ni?  Muka macam tak tentu arah.  Seolah faham renungan aku dia memberitahu "Seluar ni ha... terbalik,".  La... takpa sikit punya hal.  Japgi betulkan kat tandas di RnR.  Dia angguk-angguk.  Cubaan untuk betulkan seluar dalam semak dibatalkan.
.
Kuda tunggangan dicelapak.  Dengan deras meluncur turun.  Laluan dari waterpoint ke bulatan itu memang laju.  Kalau hati kering boleh cecah lebih 60km/j.  Aku dengan kenderaan lebar tak berani nak enjut.  Tambahan pula ada kantung bergayutan pada fork.  Belum tahu lagi bagaimana kesan kantung-kantung kepada kendalian basikal.

Sedap saja meluncur laju

Sekejap saja dah sampai RnR.  Jas cepat-cepat ke tandas dan membetulkan seluarnya.  Sempat aku berselfie kat situ sekeping dua.  Jas selesai betulkan seluar dan kami meluncur dengan penuh riang gumbira.  Seronok la masa tu.  Biasanya pengayuh akan menggunakan lajak itu untuk mendaki pulak cerun 15 darjah yang menyambut pengunjung ke Janda Baik.  Aku dah jadi kelaziman berhenti di situ untuk bergambar di hadapan tulisan besar Kg Janda Baik.  Rugi kalau tak bergambar di situ.



Dah, dah..bergambar sikit-sikit sudah.  Laluan pada gerbang Janda Baik itu seakan mengusik.  Jalan yang tadinya seronok diratah tiba-tiba mencanak naik.  Kecerunan pada 15% agaknya.  Mengeras la otot betis dan peha nak melepasi bukit pertama.  Jalan mula melandai seketika melewati Hutan Lipur Konifer.  Satu taman pokok-pokok konifer di sebelah kiri.  Jalan melandai kemudian menurun.  Disambung dengan satu lagi panjatan panjang dengan gradien 15%.  Terhegeh jugalah nak menghabiskan.

Jalan kembali menurun dan melepasi satu lagi gerbang.  Aku ambil keputusan untuk mengambil laluan Kampung Sum Sum Hilir.  Isyarat untuk membelok kiri diberikan.  Jas perasan dan akur.  Menurut saja belokan aku melalui jalan tar kampung.  Jalannnya beralun naik turun.  Di kiri kanan jalan ada beberapa rumah percutian, resorts dan chalet.

Mari berkubang di sini
Aku suka jalan itu kerana ada satu bahagian jalan adalah jalan susur sungai.  Sungai Benus memang menjadi tumpuan pengunjung.  Apatah lagi bila ada cuti bersambung hujung minggu.  Ada deretan pondok, dangau dan wakaf di sepanjang tebing sungai.  1100hrs, kami berhenti di tepian sebelum jambatan kecil.  Bila dah berhenti apa tunggu lagi?  Masuk la berendam di dalam sungai.  Sungai berbatu di bawah teduhan pohonan rimba.  Airnya separas lutut mengalir sedang-sedang arusnya.  Sejuk, nyaman melegakan.

Selepas setengah jam berendam, cukuplah untuk menyejukkan enjin.  Sesuai dengan seruan di dalam perut, kami bergerak dari tempat permandian.  Naik dan menyeberang ikut jambatan.  Sengaja aku ikut situ untuk menunjukkan suasana sekitar kepada Jas.  Memang ramai pengunjung hari itu.  Dan 101 Resort and Spa yang tersergam di situ memang mempesonakan.  Rekabentuk ala bali dengan binaan kayu nampak cantik berseni dan menghimbau ke masa lampau.

Kembali berkayuh di atas jalan raya melewati Masjid Sultan Abu Bakar menghala ke arah selatan.  Jalan masih beralun mujur kecerunan tidak lagi mendera.  10 minit berkayuh dari Pulau Santap, sudah sampai ke tempat tujuan - Warung Janda Baik.  Jam sekitar 12.00 tengahari.  Laman parkir dipenuhi dengan motor pengunjung.  WJB memang menjadi tumpuan kumpulan motor, basikal juga pengunjung yang berkereta.

Nama Warung Janda Baik mungkin kedengaran biasa-biasa saja.  Namun, jangan biarkan nama warung itu membuatkan anda hambar untuk berkunjung.  Rekabentuknya menarik.  Buatan dan binaannya bila diamati, banyak menggunakan bahan kitar semula.  Kayu-kayu pallet, mesin jahit, mesin basuh dan berbagai lagi diolah menjadi bahan binaan untuk menjadi meja, sinki mencuci tangan dan berbagai lagi.  Semuanya hasil dayacipta dan kerjatangan anak muda bernama Aiman.  Pada satu sudut ditanam pokok-pokok seperti mahkota dewa, pokok markisa dan bermacam jenis tumbuhan lagi.  Sebagai penghias juga pemberi makanan.




Sajian sohor WJB ini ialah lempeng.  Sama ada lempeng kelapa atau lempeng pisang.  Sedap dimakan ketika panas-panas.  Tak cukup satu, makan dua.  Atau hentam satu kelapa satu pisang.  Hari itu ada sajian tambahan pult durian.  Boleh dimakan begitu saja atau dibuat cicahan lempeng kelapa.  Aku memang penggemar bubur durian.  Di Kedah ia dipanggil serawa.  Kalau jumpa memang aku terkam.  Turut serta dalam barisan sajian sohor WJB ialah nasi lemak hijau.

  
Lempeng kelapa dengan sambal hijau. Serawa durian juga boleh dibuat lawan. Lempeng pisangNasi lemak hijau

Selesai makan dan lepak-lepak sekejap, dah kena gerak balik.  1230hrs, kayuhan balik bermula.  Matahari bersinar galak di atas kepala.  Dari warung, kayuh arah ke simpang 3.  Simpang kiri akan membawa semakin ke dalam Janda Baik.  Simpang kanan akan keluar dari Janda Baik.  Jalan ini lebih pendek berbanding jalan Kampung Sum Sum Hilir.  Irama laluan sama saja alunan naik turunnya.  Derap kayuhan pun ikut alunan cerun landai jalan yang dilalui dengan bunyi rantai melompat naik dan turun mengikut gear yang dimainkan.

Sambil berkayuh sambil aku bercerita tentang apa yang ada di sekeliling apa yang aku tahu.  Pada satu tempat aku bagi tahu Jas tempat tanaman buah tin (figs).  Kebunnya dipanggil Fig Farm.  Terletak di belakang Surau Cherengin.  Di sebelah surau ada kafe yang dipanggil Figgy's Cafe.  Aku belum sempat singgah dan merasa sendiri hidangan di situ.  Tak dapatlah nak komen lebih-lebih.

Semakin lama mengayuh semakin menghampiri Kampung Sum Sum Hulu.  Ada satu lagi benda yang aku suka kalau aku pergi ke Janda Baik.  Pisang goreng.  Elleh...pisang goreng jer?  Yaaa...Tapi bukan sebarang pisang goreng.  Pisang raja goreng Janda Baik sedap ya amat.  Kalau pergi Janda Baik tapi tak dapat pisang raja goreng memang rasa macam tengah sedap mandi bekalan air terputus.  Iya ka pun?  Hantam sajalah.  Aku lipat masuk ke kedai makan yang aku selalu singgah untuk beli pisang goreng.  Sekali belanja 5 hengget.  Habuan untuk dibawa balik ke rumah.

Bila lalu di simpang kampung Sum Sum Hilir, akupun bagi tau kat Jas, "Itu simpang yang kita masuk tadi".  Jas sambut "Ya ka?".  Macam tak berapa nak percaya.  Aku biarkan dia dengan ketidakpercayaannya sebab di depan tersergam pendakian.  Agak panjang dengan cerun 15%.  Turunkan gear rendah dan kayuh dengan istiqamah.  Perlahan tetapi basikal masih boleh bergolek.  Tak daya betis dan peha aku menggunakan gear tinggi.

Berulang irama naik turun sehingga sampai kembali ke gerbang Janda Baik.  Dibiarkan basikal melajak turun dengan laju untuk membantu mengharung kayuhan seterusnya yang mendaki.  Jarak dalam 4 KM untuk sampai ke kawasan Rehat dan Rawat, Genting Sempah.  Teknik yang sama menggunakan gear-gear rendah dipakai.  Biarlah orang lain memotong aku.  Asalkan aku boleh terus berkayuh tanpa henti sudah kira baik.  Mentari rembang masih galak menaburkan sinarnya.  Terasa lega bila bumbung kawasan Rehat dan Rawat mulai kelihatan.  Aku beri isyarat pada Jas untuk berhenti rehat seketika.  Air kelapa jadi bahan hidratan.  Hanya aku yang minum.  Jas cukup dengan meneguk air minum yang dia bawa.  Berehat sekejap untuk kumpul tenaga kerana sebentar lagi cabaran besar bakal menduga.

Dari warung air kelapa hendak ke bulatan pun sudah terasa jerihnya.  Apa yang menunggu disebalik bulatan memang boleh menggoncang iman.  Pendakian 2 peringkat dengan sedikit bahagian rata di tengahnya.  Kecerunan mencecah 20%.  Dugaan terakhir ialah bahagian kedua pendakian itu.  Bila nafas sudah berat.  Laktik sudah berkumpul di otot betis dan peha.  20 meter terakhir terasakan seolah mengambil masa selamanya.  Dari bulatan sampai ke simpang Jalan Gombak di puncak penakian itu rupanya hanya mengambil masa 10 minit.  Tetapi jiwa terasa seolah masa diambil berjam-jam...


Bila sudah sampai di simpang, kelegaan berbaur kepuasan datng menerpa.  Bahagian berat kayuhan selesai sudah.  Walau ada lebih 20KM lagi untuk kembali ke sarang, laluannya lebih banyak menurun.  Tamat sudah bahagian pendakian.

Kamipun meluncur turun dan membiarkan graviti memacu basikal dan diri kami yang keletihan.  Ringkas cerita, layan saja laluan turun itu.  Kayuhan diteruskan menyusuri Jalan Gombak.  Berhenti sebentar di Surau Silatulrahim, Batu 11 untuk solat zohor.  Biar yang fardhu dibereskan dahulu.  Dah beres baru hati lega dan lapang.  Sampai di stesen bas Greenwood, kami berpamitan kerana berpecah haluan.  Aku melipat masuk ikut jalan di tepi stesen bas yang mengunjur hingga ke Taman Melewar.  Satu jalan berbagai nama.  Alhamdulillah...Hampir jam 1600hrs aku selamat sampai ke rumah.  Kita tengok apa kata Endomondo tentang kayuhan tadi.  Puas... walaupun punggung dan tongkeng terasa sakit sedikit.

Lepas ni ke mana pulak?  Langat dan Genting Peras?

   












 

   




Thursday, August 29, 2019

Kantung Untuk Para-para Panglima

Minggu lepas, dalam posting Para-para Untuk Panglima, kisah rak untuk beg pannier depan basikal Shogun aku.  Seiring dengan siapnya pemasangan rak, beg pannier yang sesuai juga dicari untuk dipadankan dengan rak.  Medan pencarian ialah laman Shoopee dan Lazada.  eBay juga diselongkar.  Jenis aku ini jenis yang suka benda yang bagus dan murah.  Tak sanggup aku rabakkan poket untuk beg touring yang mahal-mahal.  Aku tak rasa macam aku nak bertouring sangat.  Aku bukan jenis kerak keras.

Pilih la punya pilih, cari la punya cari.  Jumpalah beg yang memenuhi ciri.  Bagus dan murah, makanya barang tanpa jenama.  Harga?  Hampir RM60 sebiji.  Urusan pembelian atas talian pun selesai.  Tinggal tunggu barang sampai saja.

Tadi petang balik kerja ada bungkusan atas meja.  Macam budak-budak dapat mainan bungkusan dikoyak untuk melihat isinya.  Tadaa...



Sepasang beg pannier muatan 20L berwarna perak.  Bahan kulit dari nylon kedap air katanya.  Bahagian belakang dilapisi kepingan plastik keras sebagai tetulang untuk bersandar dan bergantung pada rak.  Ada 3 cangkuk, 2 di atas dan 1 di bawah.  Untuk memudahkan pegangan bila menjinjing beg, dipasang pemegang dari getah lembut. 

Profil belakang beg.
Memasangnya sangat mudah.  Hanya perlu gelungsurkan cangkuk-cangkuk supaya selaras dengan rak.  Bila sudah selaras, cangkukkan saja beg ke rak.  Dan siappppp!

Pemeriksaan mata kasar mendapati buatan agak kemas.  Sambungan dibuat rapi dan kelihatan teguh.  Harapnya bertahanlah.

Profil depan
Profil depan juga ringkas.  Hanya ada satu poket berzip.  Mulut beg ditutup secara gulungan seperti kebanyakan rekaan beg seperti ini.  Digulung dan dikunci dengan klip.

Untuk ciri keselamatan tambahan, dibuat tompok pemantul cahaya pada sisi depan dan belakang.  Bagus.

Alhamdulillah.  Beg depan dah dapat.  1/9/2019 sudah merancang untuk kembas jarak dekat.  Janda Baik destinasi pilihan.  Kayuhan balik hari.  Kita tengok bagaimana prestasi rak dan beg baru.  Prestasi pengayuh lama jangan ditengok...

Jumpa anda di jalanan.  Jangan biarkan basikal anda terperuk di bawah selimut....

Siap untuk memberi khidmat bakti.


Friday, August 23, 2019

Para-para Untuk Panglima Perang


S awang dan abuk sudah menebal di sini.  Mana taknya, posting terakhir pada tahun 2016.  Dah 3 tahun.  Lama sudah aku tidak berkayuh.  Tidak berkayuh, maka tiadalah cerita kayuh.  Masuk tahun 2019, minat aku berkayuh kembali bercambah segar.  Cumanya, tak boleh galak sangat sebab pergelangan tangan kanan aku masih sakit.  Jatuh kat Kiara tahun lepas.  Masih sakit walau sudah berbulan.  Ish...banyak pula  kona dan belokan.  Baik, kita betulkan haluan.  Kembali ke pangkal jalan.

Aku dah kurang masuk denai dalam hutan.  Kayuhan lebih banyak di atas jalan tar.  Dan...rezeki aku mendapat sebuah basikal hadiah dari Rozman tuan punya kedai Nida Cyclo.  Basikal Shogun Trailbreaker 3.  Tak pasti model tahun bila.  Rasanya sangat lama melihatkan pada rekabentuk dan buatannya.  Walau sepatutnya Trailbreaker ini sebuah mountainbike, aku lebih cenderung menjadikan basikal ini sebuah hybrid atau tourer.  Basikal inilah aku kayuh ke sana kemari...



Untuk posting buang habuk ni aku nak cerita bab pemasangan rak untuk beg pannier depan.  Para-para untuk panglima perang.

Jenuh jugak nak mencari rak yang sesuai.  Nak elok dan murah.  Dua sifat yang selalunya tak seiring.  Sudahnya, ini rupa rak dia.  Rak aluminum jenama Giant model Rack-It Metro Front.  Beli on-line.  Tak ingat dah aku siapa penjualnya.  Malas nak cari balik.

Kalau basikal cukup sifat, senang saja nak pasang rak ni.  Akan tetapi, Shogun Trailbreaker ini bukan basikal touring jati.  Ini basikal jadi-jadian.  Tengoklah semanggangnya...




Nampak tak?  Semanggang ini tiada lubang sekeru (eyelet) untuk rak.  Nak sekeru rak macam mana?  Ada sorang kawan cadang ditebuk lubang sekeru pada semanggang.  Tebuk?  Sayang la pulak.



Lama rak tersadai sambil aku memerah akal macam mana cara terbaik nak pasang tanpa menjahanamkan fork.   Hebatnya hidup zaman on-line ni bab kerja mencari barang jadi mudah.  Tanya saja encik Google...Tapis-tapis sikit jawapan encik Google yang kadang-kadang kelaut itu.  Dapatlah jawapannya.  Ini dia!!!

Apa tu?  Ikut keterangannya dalam bahasa orang putih "Exhaust Pipe Clamp".  Hantam sajalah.  Janji boleh digunakan untuk memasang rak aku.  Aku suka clamp ini sebab ia dibuat kemas dengan keluli.  Cantik dan berfungsi.  Dan ada berbagai-bagai saiz yang boleh dipadankan dengan saiz semanggang.

Barang dah ada.  Tunggu apa lagi?  Jom pasang!!!  Caranya mudah saja.  Keluarkan bol dari clamp.  Kangkangkan sikit clamp dan masukkan clamp ke kaki semanggang.  Pasangkan lubang atas rak pada clamp.  Sekerukan lubang bawah rak pada lubang eyelet.  Untuk kaki semanggang yang sebelah dengan tuil quick release, laraskan supaya tuil tidak menjadi halangan kepada rak.  Siapppp!!!... Yalah kan...Buat kerja dengan mulut.  Cepat saja siapnya.  Lepas ni kita cari beg yang sesuai pulak.