AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung. |
Dulu, kalau tiub basikal bocor, akan ditampal saja. Seingat saya, sekitar tahun 80-an, kos tampalan hanyalah 50 sen. Itupun sudah dikira mahal pada masa itu. Bila meningkat remaja, kerja menampal tiub itu dibuat sendiri. Lagi cepat dan jimat. Tidak perlu bersusah payah menyorong basikal ke kedai basikal.
Bila saya kembali berbasikal sekitar 2006, saya perhatikan kerja menampal tiub ini sangat jarang dibuat. Tiub yang bocor diganti sahaja. Mungkin kerana sekarang zaman senang, zaman mewah maka tidak perlu bersusah payah. Bukan setakat itu sahaja, bahan untuk menampal tiub juga susah didapati. Jenuh saya mencari merata kedai tidak berjumpa.
Sayang sekali bila melihat tiub yang bocor terbuang begitu saja. Sedangkan dengan tampalan, ia boleh digunakan semula. Jimat dan mesra alam. Kebanyakan kedai memang keberatan untuk menampal tiub kerana kerjanya yang renyah dan memakan tetapi masyuknya tidak setimpal. Kedai lebih senang menyarankan supaya ditukar saja tiub yang bocor. Cepat, mudah dan masyukkkk.
Pengalaman peribadi membuktikan kemahiran menampal tiub dan kesediaan membawa kelengkapan menampal tiub sangat membnatu menyelamatkan keadaan bila berlaku lebih daripada satu kebocoran dalam satu kayuhan. Saya sangat mengesyorkan supaya anda semua dapatkan dan bawalah kelengkapan menampal tiub dan pelajarilah kemahiran menampal tiub.
Saya akan cuba menyingkap kembali bagaimana cara menampal tiub, satu seni yang semakin dilupakan. Semoga selepas ini, makin ramai yang akan menampal dan menggunakan semula tiub yang bocor. Lagipun, kemahiran ini sangat berguna terutama bagi mereka yang sering berkayuh di dalam rimba. Memang, biasanya tiub gantian akan dibawa sebagai awasan tetapi, bolehkah dijamin yang tiub akan bocor sekali sahaja sepanjang kayuhan?
Tampalan tidak memerlukan banyak barangan di bawa untuk melakukannya. Hanya sedikit ruang tambahan diperlukan untuk beberapa keping penampal, gam dan kertas pasir.
Panduan ini akan menunjukkan cara-cara menampal tiub yang bocor bagi kaedah tampalan di rumah dan tampalan ketika berkayuh. Semoga bermanfaat.
...SEBELUM MEMULAKAN |
Panduan ini tertumpu kepada tampalan tiub sahaja. Saya tidak akan masukkan cara-cara membuka dan memasang tayar ke roda. Sebelum tiub boleh ditampal, keluarkan tiub dari roda. |
ALATAN YANG DIPERLUKAN |