Monday, July 16, 2012

TEKKORA - Mendaki Dengan Jaya!

Nama dalam tajuk posting tidak ada kena mengena dengan satu jenama basikal.  Kalau ada, hanya satu kehampiran kebetulan.  Apa maksud disebaliknya?  Akan dilondeh satu persatu sekejap lagi.  Biasala, mesti banyak kona dulu baru sampai ke tujuan.

Berkayuh MTB mendaki bukit atau gon (loghat utara untuk bukit kecil) memerlukan kudrat dan kekuatan lebih daripada berkayuh di laluan landai.  Ramai yang sudah menjadi korban (bukan korban maut ya!) bila berhadapan dengan pendakian, terutama yang curam dan panjang.  Akhirnya hanya mampu berada di sisi basikal gerek dan berpimpin mesra mendaki bukit bersama-sama.

Saya juga sama macam anda.  Peha dan betis cekeding.  Tiada otot dan urat sasa.  Memang sering-sering diketawakan bukit dan gon.  Dada pula tidak bidang.  Peparu dah bersarang dengan nikotin dan tar.  Kalau berjaya mengayuh mendaki bukit curam dan panjang, terasa satu kepuasan yang amat sangat.

Bila saya balik kampung bulan lepas dan berkayuh bersama geng-geng Simpang Empat Tasik, saya jadi kagum dengan keupayaan beberapa pengayuh perempuan dalam kategori "makcik-makcik" (jangan marah noooo...) yang berupaya mengayuh melepasi bukit yang curam dan panjang.  Sayapun bisik-bisik tanya "Apa rahsia depa?".  Maka terjawablah persoalannnya.  Mereka adalah pengamal TEKKORA.  (Tudiaaaaa...mukaddimah.  Berjelaaaa).

Apa pula tu?  TEK KORA adalah ringkasan daripada TEKnik KORA-kora.  Kora-kora tu sebenarnya adalah kura-kura ikut sebutan loghat utara.  Jadilah teknik kura-kura itu TEKKORA.  Okay?  Boleh ikut?  Kalau tak boleh ikut, hampa lagi lembab dari kora.

Jadi apa yang dimaksudkan dengan teknik kura-kura?  Apa hubungkait kura-kura dengan kayuh MTB kerabat bukit dan gon?  Kaedah TEKKORA ialah kaedah mendaki bukit/gon yang curam dan panjang menggunakan gear rendah dengan cadence/putaran engkol yang rendah tetapi dengan kayuhan yang berterusan. 

Sayugia diingatkan kaedah ini kurang sesuai untuk mereka yang berkaki kuat macam kuda. Kalau nak menang perlumbaan, teknik ini bukan untuk dijadikan amalan.  Teknik ini untuk mereka yang mempunyai sepasang kaki yang comel dan stamina yang terbatas.  Kuncinya ialah "Kayuh perlahan lebih baik daripada menolak".  Jika anda tergolong dalam golongan ini dan berhajat untuk terus berkayuh mendaki bukit/gon curam dan panjang, mungkin kaedah ini untuk anda.

Bagaimana caranya?  Untuk permulaan, gunakan gear paling rendah (depan paling kecil, belakang paling besar) bila menghampiri bukit/gon.  Langut tengok ke atas untuk mengagak berapa ketinggian bukit/gon yang bakal dihadapi.  Perhatikan juga keadaan permukaan laluan.  Cuba kesan laluan yang paling kurang rintangan (lopak, bonggol, kayu dan sebagainya).  Kayuh dengan cadence perlahan.  Sekira-kira tidak terasa sangat rintangan pada kaki dan nafas serta jantung tidak berombak dan berdegup laju.  Kekalkan kayuhan dalam nada begitu.  Badan dibongkokkan sedikit jika dirasakan tayar hadapan menjadi ringan dan mudah terangkat.

Itulah mukaddimah TEKKORA.  Kekalkan kayuhan dalam gear dan ritma begitu.  Hati dan mental kena bersabar.  Kadang-kadang terdorong menerjah lebih sedikit apabila ternampak kawan di hadapan.  Konon nak bersaing.  Tanpa sedar terjahan mendadak begitu menyebabkan nafas jadi kencang dan tidak teratur.  Jantung juga berdegup kencang dan asid laktik mula merembes keluar melesukan dan melenguhkan otot-otot kaki.  Sabarrrrr...jangan terburu.  Kawan yang di hadapan itu belum tentu akan dapat meneruskan kayuhan hingga ke puncak.

Dalam pendakian itu mental memang akan teruji.  Pace kayuhan yang relaks akan membantu mengurangkan desakan untuk berhenti akibat pendek nafas dan kelesuan otot.  Sesekali langut ke atas untuk melihat sasaran.  Jangan ditengok lama-lama, nanti akan terasa azab dan siksa sebab masih jauh lagi.  Biarkan pandangan berada sekitar 2 meter di hadapan tayar.  Untuk mengisi masa luang, bolehlah diisikan dengan zikrullah.  Sambil kayuh dapat pahala, insyaAllah.  Bertasbih, bertakbir, bertahmidlah...Sambil berkayuh, perhatikan juga kelajuan.  Jangan sampai terlalu perlahan sehingga basikal melelong kiri dan kanan.  Jika terasa gear terlalu ringan, naikkan satu gear pada gear belakang.  Cuba kayuhan dalam gear itu.  Jika selesa, nafas tidak berterabur dan jantung tidak berdegup kencang melampau, boleh teruskan dalam gear tersebut.  Kalau tidak, kembali ke gear paling rendah.  INGAT!  Sasaran ialah untuk kayuhan tanpa henti menuju puncak.  Kelajuan soal kedua.

Untuk latihan mendaki, anda boleh guna kaedah ini dengan beransur-ansur membuat peningkatan gear dan kelajuan kayuhan.  Ulanglah sehingga anda tidak perlu lagi menjadi KORA.

Saya telah mengamal sendiri kaedah ini dan terasa puas hati dengan hasilnya.  Ia mungkin tidak menjadikan anda sekuat dan selaju jagoan-jagoan lain, tapi ia membantu untuk memberikan lebih rasa kepuasan diri bila bukit/gon tinggi dan curam boleh dikayuh keseluruhannya tanpa perlu menjejakkan kaki ke tanah ataupun berjalan berpimpin mesra dengan basikal.

Selamat mencuba!!!    


p.s. Posting ini saya tujukan kepada crew-crew Geng Kayuh Junjung yang memberikan inspirasi untuk posting ini.

Wednesday, July 11, 2012

Roda-roda Rimba Raya

Artikel ini adalah terjemahan bebas daripada artikel Mountainbike Wheel-size, & the Right One for you yang disiarkan di blog Singletracks.com dan ditulis oleh Bombardier.

Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


Sudah lama juga aku merangka untuk menulis perihal saiz roda untuk MTB. Apatah lagi dengan kemunculan si kaki besar 29inci dan mutakhir ini saiz 650b sedang bangkit semula.  Tajuk posting tidak ada kena mengena dengan siri TV dengan tajuk yang hampir sama.

Untuk menulisnya dari sifar memang agak sukar dan memerlukan masa. Kebetulan dalam pencarian terjumpa artikel di laman web Singletracks ini memang seperti apa yang aku bayangkan, maka aku ambil keputusan untuk menterjemah saja artikel ini. Diharap menjadi panduan berguna kepada mereka yang masih lagi tercari-cari saiz roda yang mana satu yang sesuai dengan mereka.

Sudah sekian lama MTB bergolek di atas roda bersaiz 26inci. Bukan kerana itu saiz terbaik, tapi kerana hanya saiz itu yang ada untuk digunakan bersama tayar-tayar gemuk bergerutu pada masa itu. Roda diambil daripada basikal yang menggunakan "tayar belon" dan dipasangkan dengan tayar gerutu dari motosikal sebab itu saja pilihan yang ada pada masa itu. Tayar 26inci bukanlah teruk. Malahan, telah bekerja dengan baik selama ini. Dan untuk satu tempoh yang lama, itu saja saiz yang ada. Mujurlah, (bergantung dari sudut mana pandangan anda), akan sentiasa ada segolongan manusia yang sentiasa mencari jalan memperbaiki lagi basikal; dan mereka enggan menerima yang saiz roda 26inci adalah saiz yang terbaik.

Sekarang kita ada beberapa pilihan, dan saya pasti yang ramai pengayuh yang baru bermula (atau sebahagian dari kita yang "Luddites"[anti teknologi]) yang keliru dengan saiz tayar apa yang betul (ketepikan dulu soal politik-roda).

26inci (26er) - Tiada yang buruk boleh diperkatakan tentang saiz piawai ini. Walaubagaimanapun, ia ada batasan; upaya rendah untuk bergolek melepasi rintangan, daya inertia yang rendah, kecenderungan terkandas di dalam pasir dan lumpur.  Manakala kelebihnnya pula adalah; industri MTB berasaskan roda bersaiz 26inci, menyokong/memadani julat saiz pengayuh yang lebih besar, roda yang lebih kukuh dan ringan boleh dibina, julat saiz tayar sepadan yang lebih banyak dan kadar pecutan lebih tinggi.  

29inci (29er) - Roda besar telah membuktikan dirinya bernilai selama puluhan tahun lalu melalui industri pacuan 4 roda.  Sama seperti pada kenderaan pacuan 4 roda, MTB bertayar besar berupaya bergolek  melepasi rintangan dengan lebih mudah, memberikan apungan yang lebih apabila melalui pasir atau lopak lumpur, memberikan lebih sentuhan permukaan untuk cengkaman yang lebih baik dan upaya mengekalkan lajakan (momentum) pada kelajuan tinggi.  Untuk kenderaan bermotor, rekaan lebih mudah disesuaikan dengan tayar lebih besar tanpa menjejaskan pemandu.  Sebaliknya, pada MTB, kerangka untuk roda 29inci perlu direka supaya pusat graviti dan ketinggian "standover"  kekal rendah, menghindar daripada pertindihan tayar dan jari kaki dan memastikan berat keseluruhan rendah.  Memang para pengeluar telah menjalankan tugas ini dengan agak baik, basikal 29inci masih lagi terhad kesesuaiannya kepada pengayuh-pengayuh tinggi.  Kerangka untk pengayuh rendah tidak dapat memberikan ketinggian "standover" pada tinggi yang munasabah, dan memang sukar untuk menghindar pertindihan tayar dengan hujung jari kaki dan pada masa yang sama berhempas pulas untuk mendapatkan tapak roda yang berkesan.  Basikal 29inci yang direka untuk pengayuh dengan ketinggian 5 kaki akan membuatkan pengayuh berada di antara dua tayar, dan pada masa yang sama terpaksa mengawal peningkatan inertia roda yang besar itu.  Tambahan pula, basikal ampai penuh 29inci menghadapi masalah "wheel-travel" yang terhad.  Rekaan yang melebihi 6 inci travel sudah dikeluarkan, tetapi untuk mendapatkan kerangka basikal yang sesuai bagi dimensi sesebuah MTB agak sukar.  Basikal ampaian penuh umumnya lebih berat daripada basikal ekor keras atau basikal rigid.  Ditokok dengan roda yang besar, membina sebuah basikal ampaian penuh yang tidak berat adalah sukar tanpa penggunaan bahan-bahan eksotik dan sistem ampaian yang mudah.


Kombo (69er) - *Ini dedikasi khas untuk kawan aku Sufian Idris - BCKeLoLo.  Ini bukan idea baru.  Dahulu, MTB pernah dibuat dengan gabungan tayar 26inci/24inci. Tujuannya supaya roda depan 26inci yang lebih besar akan mengendalikan halangan dan rintangan manakala roda belakang 24inci yang lebih kecil akan memberikan pecutan pantas.  Konsep yang sama digunapakai untuk gabungan 29inci/26inci.  Rekaan ini boleh menampung pengayuh yang kurang tinggi dan lebih mudah dipecut.  *Tokok tambah BCKeLoLo - biasalah bila digabungkan, akan dapat manfaat keduanya.  Dan...jangan lupa, masalah juga dapat kedua-duanya.

27.5inci/650b - Dikatakan terbaik untuk kedua-dua dunia.  Roda lebih besar daripada 26inci untuk menguruskan halangan dan rintangan tetapi masih lagi boleh memecut dengan pantas.  Saiz ini juga memberikan lebih ruang kepada pengeluar bila mereka membuat kerangka untuk pengayuh berketinggian sederhana dan rendah.  Pengayuh rendah ynag mungkin sukar mendapat padanan pada basikal 29inci, akan mendapati lebih mudah mendapat padanan yang selesa dengan basikal 27.5inci.  Pengayuh yang memasang roda 27.5inci pada basikal 26inci sudah semakin umum kerana kebanyakan kerangka 26inci boleh menerima roda 27.5inci tanpa masalah kelegaan tayar.  Pada basikal rigid ekor keras dengan brek cakera, proses ini akan menjadi lebih mudah.  Kuncinya ialah pada brek cakera kerana penggunaan v-brek terjejas dengan saiz roda yang berbeza.  Malahan, ada basikal ampaian penuh travel panjang (Fisher Fat Possum) sudah dipasang dengan tayar 650b oleh sesetengah kedai.  Ada fork yang memberikan masalah kelegaan tayar bila dipasang roda 650b.  Namun, beberapa jenama utama seperti RockShox Pike, X-Fusion Velvet, Maverick DUC32 dan FOX32 mempunyai ruang kelegaan  yang mencukupi untuk roda 650b.  White Brothers sedang dalam rangka membangunkan fork khusus untuk 650b.  Pengeluar lain, pada masa ini, tidak menyarankan penggunaan fork mereka untuk roda 650b.  Menggunakan roda 650b pada kerangka 26inci tidak akan menjejaskan sangat prestasi kayuhan.  Ia mungkin menyebabkan sudut kepala melandai 1 darjah dan meninggikan braket bawah (pusat graviti).  Masalah ini tidaklah separah menyumbat roda 29inci pada kerangka 26inci. 

**Tokok tambah BCKeLoLo - Di Malaysia, 29inci mendapat sambutan agak hangat.  Dah ramai diperhatikan menukar ataupun sedang berkira-kira menukar kepada 29inci.  650b, walaupun dikatakan lebih bagus secara keseluruhannya daripada 29inci, masih belum memberikan impak besar.  Tidak banyak basikal 650b ditawarkan di pasaran.  Mungkin kerana pengimport dan pengedar masih bertahan dan memberikan laluan untuk menghabiskan lambakan stok 29inci.

Dalam masa setahun, julat pilihan untuk senjata pilihan akan meletoppppp.  29er, 26er, 27.5", 69er, 650b-26er; hanya dibataskan oleh kesanggupan industri untuk mencuba.  Dan selepas beberapa tahun berevolusi dengan perlahan, dunia MTB seakan sudah mencapai titik revolusi.  Rekaan ampaian baru, rekaan roda dan materi kerangka semuanya menyumbang ke arah ini.  Apapun, ianya menjadi semakin mengujakan.

Monday, July 09, 2012

Minggu Tayar Pancit Se Malaya?

Posting terakhir aku bertajuk hilang angin.  Cakap-cakap kita tu kadang-kadang menjadi doa.  Dan kadang-kadang doa itu dimakbulkan segera.  Minggu ini aku betul-betul kena serangan hilang angin.  Penyakit itu melanda tak lain tak bukan, kepada barang yang berangin.  Apa barangnya?  Tiub basikal laaaaa...

Mula-mula kena serangan ialah Rockin'Blues.  Basikal touring aku.  Tayar depan hilang angin tanpa disedari.  Tayar depan basikal touring/komuter itu hanya disedari kempis lembik melepek bila aku nak bawa basikal itu ke kedai.  Oleh kerana ada basikal lain untuk memikul tugasnya buat sementara waktu, aku biarkan saja RnB begitu.  Tunggulah bila virus M(alas)  yang menyerang aku reda...

Adegan 2, tiub depan Sang Raksa.  Sedang elok bersiap untuk layan KeRabu, bila angin tayar depan nampak kurang, kenalah ditambah.  Injap presta pada tiub patah kepalanya.  Menderu angin keluar.  Tiub tak bocor...penutup injap yang rabak...Pengunci injap presta tu entah macam mana boleh patah.  Mujur ada tiub gantian.  Dengan pantas tiub diganti dan selamatlah kayuhan Carcosa malam itu.

Adegan 3, semalam...Sabtu, 07/07/2012.  Sang Boboi diheret ke Taman Lembah Kiara.  KLMTB Carnival ada buat acara untuk anak-anak berbagai peringkat umur.  Anak aku didaftarkan untuk acara kategori 7-10 tahun.  Malam sebelumnya, sudah jenuh berhempas pulas menala Sang Boboi.  Beberapa komponen diganti dengan komponen prestasi perlumbaan tahap Super Saiyya.  Tekanan angin diperiksa dan dipam tepat 35.217psi.

Sampai di Taman Lembah Kiara, Alan membawa Sang Boboi berkitar sekeliling sebagai pemanas badan.  Dan cuaca semalam memang panas.  Jadi, tak perlu memanaskan badan lama-lama sebab cuaca sudah panas.  Dengan tidak semena-mena  tayar belakang Sang Boboi kempis.  Halamak!  Tiub gantian tidak dibawa.  Ada kedai basikal yang buka gerai pameran di situ.  Tapi...tak ada satupun yang menjual tiub saiz 24. Nak buat macam mana?  Nak buat macam mana?!!!

Tiub gantian tiada.  Ikhtiar kedua...tampal tiub.  Mujurlah kit penampal tiub aku sentiasa bawa.  Beressss!  Tiub siap ditampal dan Sang Boboi dapat beraksi.  Tidak habis di situ.  Setelah tamat acara, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah, masa untuk balik.  Baru gaya nak sorong basikal balik ke kereta, berdetup bunyi dari injap presta.  Bunyi detup dengan pantas diiringi bunyi desir angin dan tayar Sang Boboi kempis kecut dengan semerta.  Mujur dah selesai acara.  Mujurrrrr...Dua bocoran dalam masa tak sampai 2 jam.  Sampai sekarang tiubnya belum diganti.  Aku penat.

Adegan 4, rancangan asal untuk ke Ladang Tuan Mee berkayuh dengan Briged Basikal BTP terbantut kerana hujan lebat.  Alang-alang dah siap, haluan dialih ke kawasan yang kering dan ternag benderang... PCP.  Galaklah aku dan anak-anak, Faris dan Farhan melayan denai-denai PCP.  Tiba di denai no 6 merah selepas pendakian pertama dengan tiba-tiba tayar depan berbunyi kelepek kelepek laksana bunyi tahi lembu berguguran jatuh ke bumi.  Laaaa...pancit lagi.  Angin hilang bukan kerana lubang pada tiub tetapi sebab rabak pada pangkal injap.  Memang tak boleh ditampal.  Dan...mujur juga pada saat-saat akhir tadi aku sempat menyuruh Faris membawa satu tiub gantian.  Tidak sia-sia...Aku ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada nyamuk-nyamuk yang sudi datang beramai-ramai menemani aku ketika aku sibuk menukar tiub tadi. 


Empat insiden hilang angin itu memang boleh menaikkan angin.  Kalau ikutkan dungu rasa, memang terasa nak marah.  Nak marahkan siapa?  Bukan ada sesiapapun yang mendajalkan tiub-tiub itu...Semua yang terjadi adalah dengan kehendakNya.  Barangkali ujian dan dugaan untuk aku...Redholah dengan ketetapanNya...Bila pemikiran dicondongkan begitu, tenang rasa hati.  Innalillah..semuanya dari Allah...