Monday, February 28, 2011

Pam Pam Pammmm Lagi!

Baru dan lama

Agaknya tahun ini tahun pam untuk aku. Bulan lepas pam kaki yang telah banyak jasanya rosak dan diganti baru. Ceritanya di sini. Lepas tu pam tangan aku pulak mengikut jejak yang sama. Rosak disebabkan getah penyendal pelocoknya juga rosak. Mungkin hayat getah pelocok tu memang sekitar 5 tahun. Kebetulan kedua-dua pam yang rosak tu dari jenama yang sama - BETO.

Aku tak la ralat sangat dengan kerosakan. Mana ada benda boleh tahan selamanya. Tempoh 5 tahun dengan pelaburan RM18 sahaja sudah lebih dari berbaloi-baloi. Terima kasih Beto!

Pam tangan sangat perlu bagi aku. Telah berlaku berbagai insiden melibatkan tayar dan nyata membawa pam tangan ke mana-mana sangat membantu. Maka pam tangan Beto yang telah banyak berjasa perlu pengganti. Pengganti segera dicari pada hari yang sama. Kalau tidak, nanti berkayuh jiwa jadi kacau.

Parktool PMP-4

Aku mahukan pam yang mampu milik, tegap dan kukuh, mudah dikendalikan, boleh digunakan pada injap schrader dan presta tanpa banyak karenah. Dalam desakan masa, pilihan terhad dan malas nak pergi ke banyak kedai, akhirnya aku pilih pam Parktool PMP-4. Setelah diamati dan diteliti didapati pam ini memenuhi hampir kesemua keperluan aku. Harga akhir ditawarkan ialah RM90. Harga saingan terdekat RM99.


Kenapa aku suka pam ini?

  • Saiz silindernya sesedap menggenggam. Dibuat daripada aluminum. Saiz keseluruhan juga bersesuaian. Mudah dimasukkan ke dalam beg atau dipasang ke kerangka.
  • Kepala dwi-fungsi. Untuk injap presta dan schrader. Cuma kena tukar sikit susunatur komponen dalam kepala untuk digunakan dengan jenis injap berlainan. Aku suka biarkan pada aturan schrader saja dan menggunakan penyesuai untuk injap presta.
  • Pemegang boleh lipat bersudut tepat dengan batang pelocok. Memberikan pegangan lebih kemas dan memudahkan sorong tarik pelocok. Cuma satu perkara yang aku runsing dengan pemegang ini. Ia dibuat daripada plastik. Benda boleh lipat bermakna banyak bergerak. Banyak pergerakan akan membuatkan sendinya jadi haus dan mudah tercabut dan patah.
  • Pergerakan mengepam yang lancar, licin dan mudah. Sedap saja rasa bila mengepam.
  • Boleh mengendalikan tekanan sehingga 90psi.
  • Dan...warna biru Parktool menjadi hiasan di beberapa komponen. Hatta batang pelocokpun diwarnakan biru anodised. Tiada kelebihan praktikal. Lebih kepada aestetik.
  • Braket pemasangan pada kerangka dipermudahkan. Pemasangan sama ada menggunakan satu bol pada lubang sangkar botol atau tambatkan saja dengan elastomer. Kerja pasang-tanggal cukup mudah. Pam dilekapkan ke braket juga dengan elastomer. Memang mudah. Cuma keanjalan elastomer itu boleh bertahan berapa lama. aku lebih suka kalau strap velcro yang digunakan.


Pemegang dibuka dan siap untuk beraksi. Braket pemegang dengan elastomer.

Kepala pam dwi fungsi.

No comments: