Dah nak jadi rezeki aku. Masa ke Pulau Mutiara berkayuh lasak, Pian telah bermurah hati menjadi tuan rumah menerima kedatangan kami. Rumahnya dikosongkan, supaya kami dapat berkampung di situ 2 hari 2 malam. Kemurahan hatinya tidak berhenti di situ. Bila tiba masa untuk balik ke KL, aku teringan mulut bertanyakan basikal yang tersadai di depan rumahnya. Dia tanya "Kau nak ke?". Segan la aku nak jawab, walau hati mahu. Lepas aku diam sekejap, faham dia barangkali dengan isi hati aku, "...kalau nak ambiklah.", Dia sambung. Aku yang terus malu-malu buaya, ringan saja tangan capai basikal angkut masuk kereta. Terima kasih Pian!
Bila dah selamat sampai ke rumah baru aku ambil masa untuk mengamati basikal itu. Orang lama Specialized Hardrock. Kerangka kromoli. Padan la tiubnya kecil saja. Saiz 21 inci. Saiz tipikal model lama. Anggaran aku, ia dibuat sekitar hujung 80-an. Kata Pian, basikal dibeli dari jualan garaj masa dia belajar di Amerika. Pergghhhh...basikal datang nun dari Amerika nun!
Orang lama, tambahan pula terbiar, nampak berabuk dan tidak bermaya. Aku luangkan sedikit masa untuk menggilap. Pengilat kereta yang dah lama aku tak pakai kembali berkhidmat. Naik la sikit seri orang lama ini.
Dahan (stem) yang asal dari besi jenis jolokan dengann sudut cangak 70°. Mendongak sungguh. Sistem brek menggunakan sistem cantilever tarikan tengah. Rim jenis Araya 36 lubang dengan gelendong dari Joytech. Engkol dan pelantar telah ditukar oleh Pian.
Dahan yang asal aku tukar dengan dahan THE dalam simpanan aku menggunakan penyesuai dari GTS. Brek aku tukarkan kepada sistem V menggunakan Avid SD7. Pelantar aku tukarkan dengan pelantar dari Beto carrier.
Ada beberapa rencana lagi dalam perancangan untuk penambahbaikan orang lama ini. Sebolehnya, imej retro ini akan dikekalkan. Cadangnya, jentera ini akan menjadi jentera harian dan jentera berkelana jarak jauh. Kerangka kromoli dengan sepit udang tegar dan geometri begitu memang sesuai untuk di bawa berkembara. Mungkin satu hari nanti aku akan bawa orang lama ini kembali menjejak Pulau Mutiara...Mungkin!
3 comments:
Basikal touring baru Kelolo!!
Correction! Basikal LAMA touring Kelolo...ha..ha.
Ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sebelum orang lama ini boleh dibawa berkembara...Tungguuuuuu.
w00t! bertuah si spesh rockers, silap silap haribulan jadik tricross touring nih.
Post a Comment