Friday, December 25, 2009

Kayuhan Malam GLC - Litar Carcosa

Dah lama al kisah kayuh malam GLC tidak dipaparkan di sini. Mungkin sebab dah selalu sangat, maka dirasakan tiada lagi yang menarik untuk diceritakan. Satu kayuhan GLC sama seperti kayuhan yang lain. Kalau kerap sangat dipaparkan kisah yang sama, akan jadi tawar hambar. Maka, setelah sekian lama senyap berselindung di balik kegelapan malam, kisah kayuhan malam GLC kembali dipertontonkan. Al kisah GLC melayan litar Carcosa Seri Negara kemudian bersantai di restoran eksotik Le Chateau de Puah. Apa istimewanya restoran ini dalam kayuhan kali ini sehingga disebut namanya? Teruskan menelusuri catatan ini.

Kayuhan GLC agak malap dua tiga minggu kebelakangan ini. Atas beberapa sebab - kesibukan kerja pejabat hingga ke malam, hujan dan keletihan setelah digasak oleh Kayuh Lasak 2009, kayuhan malam dikesampingkan. Mujur minggu ini ada kesempatan berkayuh. Pengumuman dikeluarkan. Menanti sesiapa yang sudi memagut umpan.

Cuaca cerah menjelang senja melegakan. Sebaik selepas Isya', semua jentera dipersiapkan. Dari rumahku sahaja, 3 jentera akan bersama. Aku dengan Fuji Tahoe, Fikri, anak sulung, dengan raksasa hijau dan Azree, anak saudaraku, dengan basikal GTS. Semakan ringkas dibuat bagi memastikan semua peralatan ada dan sedia. Lampu terutama. Sebaik jam 9.00, jentera-jentera gemerlapan disorong keluar pagar. Dengan tidak diduga, rintik hujan halus membasahi kulit. "Ah...",terpacul dari mulut. Aku dongak ke langit membuat agakan dan perkiraan. Mega mendung menebal di sebelah Batu Caves sementara langit di sebelah KL kelihatan terang. "Mungkin ada sedikit harapan", kata hati membujuk. Arahan dikeluarkan untuk meneruskan kayuhan. "Kalau hujan, kita lepak di Esfan minum teh tarik", arahan lapisan kedua dikeluarkan. Bagai menabur garam ke luka, ayahanda SMS tak dapat ikut serta kerana ada hal mustahak. Walau sedikit tersentak, 3 basikal mula meninggalkan Taman Melewar. Sasaran - Rest Al Esfan Bistro.

Kayuhan santai melalui Taman Selasih, kemudian memanjat jejantas yang merentangi DUKE untuk ke seberang Taman Selasih 2. Diperjalanan, bertemu dengan sekatan jalan Polis sedang membuat operasi. Secara berseloroh aku laung "Lariiiii...tak dak lesen". Disahut anakku Fikri "Takpa, abang ada lesen P". Ha...ha..memang pada raksasa hijau tertampal pelekat P. Entah apa reaksi Polis pada tindakan kami, tidak aku peduli. Jam 9.15,kami sudah tercongok di depan Al Esfan Bistro.

Selamat Datang ke GLC bro Subki
Baru saja aku menyandarkan basikal, ternampak kelibat satu basikal dari kejauhan. Dalam kesamaran, aku cuba mengamati susuk yang tercongok tapi tak dapat dikenalpasti. Perlahan dia menghampiri. Lampu di kepalanya menyilaukan pandangan, sekaligus melindung wajahnya. Basikalnya juga, Scott Voltage, belum pernah kelihatan bersama GLC. Bila dah dekat, salam dihulur. Patutlah tak kenal, memang muka baru. "Subki", dia memperkenalkan diri. Rupanya dia dah sampai di situ sejak jam 9. Datang dari Taman Melati setelah mendapat khabar dari ayahanda yang GLC berkayuh hari Selasa malam. Sedikit kecewa dia bila diberitahu ayahanda tidak ikut sama malam itu.

Akuler muncul kemudian diikuti Envio. Aku isi masa luang bercerita ringkas tentang GLC pada Subki sementara menunggu Akuler dengan Envio bersiap dan menunggu kot yang lain akan muncul lagi. Sambil kepala ligat berfikir laluan mana yang nak dilalui. Dengan perkiraan yang turun semua termasuk kategori muda dan cergas, laluan biar mencabar sikit dengan kelajuan 20-25km/j. Laluan Carcosa menjadi pilihan...

Hampir 9.40, semua siap sedia. Yang lain tidak muncul. Nampak gaya kami berenam sajalah. Aku berikan sikit taklimat ringkas laluan dan aspek keselamatan. Dan sebagai tambahan, rancangan untuk singgah di Le Chateau de Puah dalam perjalanan balik. Rancangan dibuat kerana ada insan yang singgah di blog ini dan mempelawa GLC singgah di LCDP waktu kayuhan malam. Biasalah manusia, punya naluri ingin tahu. Bila dah dipelawa, memang terbit rasa nak tahu apa yang ada di LCDP. Aku sempat melawat laman webnya. Nampak menarik...

Seperti yang dirancangkan, 9.45 malam, kayuhan bermula. Langit mencerah memberikan kelegaan. Rintik tadi hanya acahan. Dari Esfan membelok kanan pada jalan Sri Batu Caves menuju ke Taman Batu Muda. Sedari awal aku di hadapan menarik agak laju dari biasa. Dalam 20km/j.(Laju la tu ikut standard GLC). Jalan lurus dan landai dengan beberapa lampu isyarat hingga ke Sentul.

Jalan punyalah luas. Kat tempat sempit tu juga dia nak kayuh...Akuler
Tiba di kawasan Sentul Boulevard, dah semacam kebiasaan, akan ada yang memanjat pembahagi jalan yang lebar sekaki itu sebagai tempat mengasah kemahiran imbangan. Malam itu giliran Akuler bermain imbangan. Sesekali aku pandang ke belakang, untuk memastikan semua boleh mengikut rentak kayuhan terutama Subki kerana aku belum tahu tahap keupayaan dia. Nampaknya, sesi rajin kayuh dia memanjat Genting Sempah membuahkan hasil. Anak saudara aku pula yang nampak sedikit meleleh. Mungkin sebab dah lama tak berkayuh.

Dari Sentul Boulevard, terus menyusur Jalan Sentul hingga ke Jalan Ipoh. Dari situ, melibas kanan ke Jalan Mahameru kemudian ke kiri ke Jalan Tun Ismail. Malam makin melarut, melarutkan juga bilangan kenderaan di jalanan. Hampir lengang dan sepi. Kenderaan dengan kuasa kaki menguasai jalanan. Terang limpah ruah lampu jalanan di tepi PWTC/hentian Putra ditinggalkan mencari sedikit cabaran.

Pemanas betis,pelembut lutut. Pendakian sederhana pada Jln Tun Ismail
Sebaik menghampiri Stesen Komuter Putra, aku sengaja mengacah apabila melihat bukit menanti di hadapan. Dakian bermula dari depan Kondo Sri Kenny/MACRES. Dakian lanjut sejauh 600m sebagai pemanas badan. Tambah meriah bila ada yang nakal bermain acah-mengacah. Mencicit ramai-ramai kerabat bukit. Sudahnya, pakat mengah beramai-ramai jugak. Kayuhan berhenti rehat seketika pada simpang Jalan Tunku untuk meredakan semput di dada.

Dari simpang Jalan Tunku, laluan berubah nada. Dari mendaki ke turun bukit. Meluru semua bagai peluru dan terkujat seketika bila jalan jadi gelap gelita. Mujur ada lampu berkuasa menyuluh jalan. Turun bukit dengan jalan meliuk lintuk memang seronok.

Keseronokan berakhir bila berjumpa simpang Jalan Sultan Salahuddin. Kayuhan mendaki lagi lanjut dan panjang hingga ke simpang Persiaran Salahuddin. Jalan melandai sehingga melewati Istana Selangor. Bengkang bengkok dengan suasana rimba. Tenang dan sunyi bagai bukan berada di tengah kota metro Kuala Lumpur. Laluan melandai kemudian menurun dan bertambah mengujakan bila melepasi bangunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Selekoh tajam dan pantas menanti, meluru turun melepasi Tugu Negara hingga ke simpang Jalan Parlimen.


Menghampiri pintu pagar Carcosa

Di depan pintu masuk Carcosa Seri Negara

Membelok kanan pada lampu isyarat. Melepasi Tasik Perdana, Bangunan Parlimen dan merapat kiri. Menyusur naik pada Persiaran Mahameru. Jalan tar dua hala tapi sempit. Sunyi dan sepi. Pendakian landai dalam jarak 1km sehingga ke pintu pagar Carcosa Seri Negara. Telah beberapa kali GLC berkayuh laluan itu, cuma kali ini sahaja betul-betul hingga sampai ke Carcosa. Benak aku yang tak berapa mahir ilmu alam ini tertanya-tanya apa kebendanya Carcosa Seri Negara ni? Luarbisa bunyinya. Carcosa Seri Negara ini rupanya hotel mewah. Gabungan Carcosa dan Seri Negara. Keduanya adalah rumah agam (mansion) tinggalan British yang dijadikan hotel. Sempatlah kami bergambar skeping dua. Terima kasih abang jaga yang baik hati.

Kayuhan diteruskan! Turun dari Carcosa, membelok kanan dalam kegelapan menerpa mendadak. Laluan menurun pulak tu. Sekali lagi lampu basikal menyelamatkan keadaan. Laluan herot petot menurun dalam gelap mendatangkan rasa seriau. Apa agaknya yang Envio nampak sebab dia pakai cermin mata gelap.

Sebaik sampai ke kaki laluan, terpaksa brek mendadak ketika kelajuan tengah memuncak kerana ada laluan cilok masuk ke Tasik perdana. Bercanda di pinggiran tasik la pula kami berenam. Terus masuk ke Jalan Kebun Bunga. Kami tidak berhenti rehat seperti lazim kerana dirasakan sudah cukup berehat di Carcosa tadi. Landai sekejap saja kemudian mendaki lagi pada laluan di depan Taman Rusa. Mendakilah dengan bau hamis rusa menusuk hidung. Pendakian pendek tapi agak curam membawa ke bulatan di hadapan Planetarium Negara.

Bagai hujan api...
Jalan Perdana diambil. Menurun sehingga ke Masjid Negara dengan cerunan curam pada penghujungnya. Langsung ke kanan melewati Pusat Islam hingga ke bulatan dan terus mengambil laluan kiri ke Jalan Kinabalu. Menyusur ke kiri hingga ke Dataran Merdeka. Barulah berjumpa ramai kelibat manusia berkeliaran di Dataran Merdeka. Merdeka sungguh mereka!

Jalan Raja Laut
Dataran Merdeka ditinggalkan. Terus menyusur Jalan Raja Laut melewati Sogo, Kompleks Pertama dan bangunan-bangunan lain sepanjang Jalan Raja Laut. Malam yang melarut tidak melarutkan bilangan kenderaan di jalan. Masih banyak yang menderu. Ada yang membunyikan hon, harapnya tanda sokongan, bukan tengkingan.

Jalan Raja Laut disusur hingga ke hujung. Pengayuh santai membelok kanan ke arah Chow Kit kemudian melibas kiri menghala ke Jalan Pahang. Bulatan Pahang dihampiri dengan berhati kerana kenderaan laju menderu. Untuk menyeberang bulatan ke Jalan Pahang jadi satu pertaruhan. Walaupun 2 hospital ada berdekatan, itu bukan alasan untuk singgah di hospital!

Jam baru pukul 11.00 malam ketika Hospital Tawakkal dilewati. Setapak tak juga kesampaian walaupun hanya setapak. Ooooo...naik basikal. Kalau jalan kaki, memang setapak saja sudah sampai. Jalan landai mendorong semua bermain kejar mengejar macam acara kierin. Kejap saja tahannya, maklum semua pengayuh pro. Tambah pula sebelum simpang ke Jalan Gombak, jalan sedikit mendaki. Mencungaplah semua pengayuh pro...

Sebab Setapak tak sampai-sampai, haluan ditukar ke Gombak. Masuk kiri ke Jalan Gombak. Jalan mula menurun, isyarat untuk lepas geram sebab tadi penat mendaki. Berdesir bunyi turbocharger bila gear ditukar dan engkol disesah sambil layan turun. Tambah cantik bila lampu isyarat menghijau segar. Meluru saja ke depan ditokok pula bila dah nampak papan tanda Le Chateau de Puah (LCDP). Apa yang menarik sangat dengan LCDP ni? Adakah ianya ada kena mengena dengan Le Tour de Langkawi?

Papan tanda di tepi jalan menunjukkan LCDP masuk ke dalam sejauh 100 meter. Selepas kesemua 6 pengayuh santai GLC sampai, kami berkayuh masuk ke dalam. Seperti dinyatakan, LCDP terletak lebih kurang 100 meter. Bukan betul-betul di tepi jalan, sebaliknya agak ke dalam sedikit, sebelah kiri. Dari jalan utama (Jalan Puah). Nampak beberapa kereta mewah terparkir di laman.


Kolam kecil menyambut tetamu

Ruang makan terbuka

Ruang makan ala harem. Sesuai untuk keluarga/kumpulan

Lagi "harem". Tiada tarian gelek di sini.

Aku sampai dulu. Terus menolak basikal melewati pagar LCDP. Sekonyong terpana dan terpinga aku sebentar melihatkan rupa LCDP dari dalam. Suasana sungguh eksotik dan sangat terasing daripada persekitaran. Serasa seperti berada di negara lain! Lampu suram melimpahkan cahaya ke seluruh kawasan. LCDP di apit 2 bangunan. Laman depan di penuhi meja makan dalam kawasan laman terbuka. Di kanan, ruang makan ala wakaf. Makan bersila dengan meja rendah di tengahnya dan lantai dilapisi ambal. Menyambut tetamu datang adalah hiasan pancuran dan kolam kecil di sebelah kanan pintu pagar. Kalau nak diperincikan semua, jenuh aku nak bercerita. Kalau nak tahu lebih lanjut, pergi sendirilah.

Yang lain menyusul beberapa minit kemudian. Ternampak dua orang perempuan sedang berbual bila kami masuk. Segera mereka hentikan perbualan dan menyambut kami. Ramah perempuan yang aku kira usia 50-an meyambut kami. Dia bahasakan dirinya aunty. Roman wajah macam cina. Telor cakapnya juga macam cina. Mujur dia tak marah sebab kami bawa basikal (yang dah comot) ke dalam restoran. Sebaliknya, aunty dengan ramah mempersilakan kami masuk malah menolong mencarikan tempat yang sesuai untuk meletak basikal.

Aku yang ramah terlebih ini, bercerita dengan aunty kenapa kami sampai ke situ. Aunty angguk-angguk dan sesekali menyampuk cakap aku. "Somebody came to my blog and left a message inviting me to check this place out", aku menjelaskan pada aunty dalam bahasa orang kampungku. "Oh...who might that be? Must be thankful to that person", balas aunty.

Kami duduk di meja bahagian laman. Tak tergamak nak busukkan permaidani dengan peluh busuk kami. LCDP menawarkan 3 jenis tema sajian - rasa tempatan (tomyam, aneka nasi goreng dan seumpama), rasa Uzbek - (humus, manti, nasi bukhara dan seumpama) dan sajian barat - steak, chop dan seumpama. Kami pilih sajian uzbek kerana yang lain dah biasa disantap.

Sambil menunggu pesanan sampai, aku merayau melihat sekeliling sambil mengambil gambar. Kemudian aunty muncul kembali dengan satu soalan yang membuatkan aku berdebar..."Siapa nama Ki-lo-lo?", tanya aunty. Aik...auntypun tau Ki-lo-lo?. Di belakang aunty, terpacak seorang gadis manis, dalam usia awal duapuluhan agak aku. "Ini anak saya", aunty bercerita tanpa diminta. "Dialah yang post message dekat blog you". Oooooo...baru faham. Ingatan aku mula menerjah ke tahun lepas. Teringat aku seorang gadis menulis e-mail bertanyakan kayuhan GLC kerana dia juga berminat nak ikut berkayuh. "Ya...ya...", aku mengiyakan macam orang bodoh. "Saya ingat, errrr...siapa nama ya? Saya dah lupa...". "Syazalia...", sahut si gadis. "Terima kasih kerana sudi datang...", ucap gadis. Rupanya yang dia bercerita dulu dia kerja di kedai makan rupanya separuh benar sahaja. Dia anak taukey rupanya...Ish...ish...ish.

Akuler ambil peranan jadi food consultant sebab dia mahir dengan makanan timur tengah. Bila pesanan sampai, kami dikejutkan dengan sajian tambahan...Rupanya complimentary, on the house - nasi bukhara kambing dengan wonton. Terima kasih aunty dan Syaza. Yang lain-lain melayan hidangan masing-masing - kebab ayam ada, kebab kambing ada, hummus ada...Sajian Uzbek. Sedappppp...


Lamb kebab. Kebab kambing dengan roti Uzbek. Tidak dapat dipastikan sama ada kambing tersebut mandi atau tidak sebelum disembelih

Kebab ayam. Tidak dapat dipastikan sama ada ayam itu ayam jantan atau ayam betina.

On the house. Nasi bukhara kambing ehsan LCDP

Sajian berat. Wonton...Satu tan wooo. Juga ehsan LCDP

Malam melarut melewati jam dua belas. Hidangan Uzbek ranap dikerjakan pembasikal GLC. Masa untuk kembali ke pelana dan berkayuh pergi. Syaza dan aunty mengiringi hingga ke pintu pagar. Siap sempat buat satu sesi fotografi ringkas. Amboiiii...rasa besar hati sungguh macam VIP. Layanan LCDP memang luarbiasa. Terus tercetus dalam hati akan kembali lagi ke situ bersama famili...

Le Chateau de Puah...Sebuah mahligai di Puah, ditinggalkan dengan kenangan. Enam basikal berkayuh pergi. Kembali ke Jalan Gombak. Subki meluncur laju ke arah rumahnya yang sudah berdekatan. Barangkali kerana permitnya sudah tamat tempoh. Maklum, baru pertama kali kayuh bersama GLC. Lima lagi membelok kiri pada simpang Kpg Bandar Dalam. Terus masuk ke Lebuhraya E33 DUKE hala ke Sri Gombak. Kayuhan sudah menggunakan bateri simpanan. Tiba di jejantas Taman Selasih, kumpulan berpecah lagi. Aku, Fikri dan Azree naik ke atas jejantas untuk balik pangkalan, sementara Akuler dan Envio meneruskan kayuhan ke Esfan. Kereta mereka ditinggalkan di situ...Tamat al kisah GLC kayuh malam dengan sisipan Le Chateau de Puah...

T A M M A T



Lagi gambar boleh dilihat di Album Kayuh Malam GLC 22122009

Monday, December 21, 2009

Orang Lama Kembali Daa...

Dah nak jadi rezeki aku. Masa ke Pulau Mutiara berkayuh lasak, Pian telah bermurah hati menjadi tuan rumah menerima kedatangan kami. Rumahnya dikosongkan, supaya kami dapat berkampung di situ 2 hari 2 malam. Kemurahan hatinya tidak berhenti di situ. Bila tiba masa untuk balik ke KL, aku teringan mulut bertanyakan basikal yang tersadai di depan rumahnya. Dia tanya "Kau nak ke?". Segan la aku nak jawab, walau hati mahu. Lepas aku diam sekejap, faham dia barangkali dengan isi hati aku, "...kalau nak ambiklah.", Dia sambung. Aku yang terus malu-malu buaya, ringan saja tangan capai basikal angkut masuk kereta. Terima kasih Pian!

Bila dah selamat sampai ke rumah baru aku ambil masa untuk mengamati basikal itu. Orang lama Specialized Hardrock. Kerangka kromoli. Padan la tiubnya kecil saja. Saiz 21 inci. Saiz tipikal model lama. Anggaran aku, ia dibuat sekitar hujung 80-an. Kata Pian, basikal dibeli dari jualan garaj masa dia belajar di Amerika. Pergghhhh...basikal datang nun dari Amerika nun!

Orang lama, tambahan pula terbiar, nampak berabuk dan tidak bermaya. Aku luangkan sedikit masa untuk menggilap. Pengilat kereta yang dah lama aku tak pakai kembali berkhidmat. Naik la sikit seri orang lama ini.

Dahan (stem) yang asal dari besi jenis jolokan dengann sudut cangak 70°. Mendongak sungguh. Sistem brek menggunakan sistem cantilever tarikan tengah. Rim jenis Araya 36 lubang dengan gelendong dari Joytech. Engkol dan pelantar telah ditukar oleh Pian.

Dahan yang asal aku tukar dengan dahan THE dalam simpanan aku menggunakan penyesuai dari GTS. Brek aku tukarkan kepada sistem V menggunakan Avid SD7. Pelantar aku tukarkan dengan pelantar dari Beto carrier.

Ada beberapa rencana lagi dalam perancangan untuk penambahbaikan orang lama ini. Sebolehnya, imej retro ini akan dikekalkan. Cadangnya, jentera ini akan menjadi jentera harian dan jentera berkelana jarak jauh. Kerangka kromoli dengan sepit udang tegar dan geometri begitu memang sesuai untuk di bawa berkembara. Mungkin satu hari nanti aku akan bawa orang lama ini kembali menjejak Pulau Mutiara...Mungkin!

Friday, December 04, 2009

Raksasa Hijau Bangkit Semula

Setelah sekian lama berehat, berhibernasi, sejak datangnya Sang Bara, kini Raksasa Hijau ini bangkit semula. Aku ditanya, kenapa bangunkan semula Raksasa Hijau ini sedangkan Sang Bara sudah cukup untuk dikenderai. Oh...Jangan salah sangka. Raksasa Hijau bukan untukku. Ia dibangkitkan sebagai memenuhi janji seorang ayah. Janji kepada anak sulung yang kian membesar dan membesar hingga sekarang lebih tinggi dari ayahnya. Basikal lain yang ada dah tak sesuai dengan ketinggian dia. Fikri, anak sulungku sudah panjang (walaupun belum besar).

Kebangkitannya tidak sekaligus. Bukan juga dengan anggota dan bahagian yang hebat-hebat. Tak perlu aku berhabisan. Kebanyakan bahagian diambil daripada barangan yang berada dalam simpanan. Hanya satu dua sahaja yang dibeli tambahan. Itupun barangan terpakai. Aku ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Don di atas set roda yang dijual pada harga yang sungguh tidak berpatutan (kepada penjual, bukan kepada pembeli). Terimakasih yang amat sangat juga kepada Akmal yang bersusah-payah menghantar rotor hingga ke pintu rumah. Tanpa bantuan dua teman ini, mungkin sampai sekarang Raksasa Hijau ini belum siap. Tarikh 30/11/2009 adalah tarikh sempurnanya kebangkitan semula. Bagaimana rasa tunggangannya? Belum tahu lagi. Belum sempat aku luangkan masa untuk mencelapaknya. Anakku dan cuba dah petang tadi. Tak sempat nak temuduga dia...


Kita tengok pulak spesifikasi kali ini...
KERANGKA & AMPAIAN
BUTIRAN
Frame
T-Bolt carbon fibre monocoque, lengan ayun aloi
Fork
RS Revelation 409 dual air, 115mm travel
Ampaian Belakang
X-Fusion Glyde RL. Spring gelung dengan pelaras lantunan dan pengunci
Stem
Easton Vice Stem
Handlebar
Fuji, lo rise, oversized
Headset
1-1/8" FSA 36°
PACUAN
BUTIRAN
Engkol
FSA Alpha Drive 2 gegancu (32-22) dengan MRP bash guard
Gear Depan
Shimano Deore LX 06 E-type
Gear Belakang
Shimano Deore 08
Keset
SunRace 11-34T
Penukar Gear
Shimano Deore RapidFire Plus
Brek
Tektro IO Disc rotor Shimano 160mm depan dan belakang
RODA
BUTIRAN
Rims
26" Atomlab PimpLite putih
Hubs
Novatec 32H
Tayar
Schwalbe Black Jack 26x2.1
Pelana
Velo carbon
Seat post
Stok asal Kalloy rasanya. 31.6mm

I'm back! - Penang Kayuh Lasak 2009


"I'M BACK!"

"Where Have You Been" was the theme of 2008 Penang Kayuh Lasak. Not! Kidding only. One of the earliest and most famous MTB Jamboree was playing hide and seek last year. It's absence made the heart grew fonder. It came out from its hiding to re-emerge in 2009. Jumping up on all awaiting mountainbikers with "I'm back...". Say that with a hoarse voice and an Austrian accent, you'll sound like the character depicted in its poster - Arnold Susahnakeja the Terminator.

I have been missing the opportunity to join this ride. So, when it's back this year, I made all the effort to enable me to participate. God willing, so far evrything is happening in my favor. As of now, I have just completed lubing my bike. My bag is all packed. All riding gears put to one side ready to be loaded into my trusty bike wagon. I'll be going with a mission. Not just riding the Kayuh Lasak, but something else that I cannot disclose. Come back later, you'll know what it is. Hey, you might want to stick around me during the ride. Who knows, there might be a surprise in store for you. Penang, here I come!