Untuk kayuhan yang lebih berperisa, ditetapkan basikal semua mesti bertayar besar berbunga kubota. Saja mencari laaaaaa...Sedari awal sudah diberi ingat, kayuhan tanggungan sendiri, sendiri kayuh sendiri buat. Tiada kenderaan sokongan untuk bermanja...Namun, mujur pada saat akhir, muncul Mon menawar diri memandu Fird Ranger Pian menjadi kereta talian hayat...
Dan fajar 27 mac menjelang tiba. Jam 5.00 pagi aku dah terjaga. Barang basikal sudah disiapkan tadi malam. Dino yang pada mulanya nak mengikut aku membatalkan penyertaannya. Dengan hanya berbaju T dan berkain pelikat, Unser setia pengangkut basikal aku meninggalkan Taman Melewar mengesot ke MRR2 u8ntuk mengambil haluan ke utara. Singgah solat subuh di masjid Rawang. Suboh yang masih kelam, ramai manusia masih di dalam sarang. Jalan lapang tidak banyak kenderaan. Belum jam 7.00 sudah sampai ke Kuala Kubu Baru. Ha... apa lagi, cari la batu... Nak buat apa? Nak tulis nama atas batu sebab dah sampai Kuala Kubu... Teringat lagu nyanyian arwah Sudirman...
Tempat berkumpul ialah di Stadium Mini Kuala Kubu Baru. Mudah dicari, parkir mencukupi dan tidak mengganggu (melainkan kalau ada acara di situ). Sedikit terkejut bila melihat Buckery pun ada juga. Kali ini menurunkan jentera lipat. Basikal AM dia ditinggal dirumah. Sebelum mula kayuh, kita tengok kedatangan dulu.
12 yang akan mencabar Fraser... Siapa yang sampai? Siapa kecundang? |
- Haris (aku la tu)
- Pian
- Zamri
- Midut
- Amjad
- Danial Amjad
- Buckery
- Hasnan
- Danial Hasnan
- Danish Hasnan
- Pawi
- Rudz
Jadual asal untuk golekkan tayar jam 0730hrs sudah terbabas. Biasala kalau dah ramai-ramai. Sudahnya, jam 0830hrs baru bergolek selepas bacaan doa oleh As Sheikh Maulana Rudz al Buronji.
CP1 - Empangan Kuala Kubu Baru |
Pasangan ni berlari dari KKB ke Fraser. |
Jalan raya lebar lapang terdedah terus dijamah. Pian dengan Apollo 29er tenang bersahaja melayan pendakian tahap manja ikut kamus dia. Siap sempat merayau masuk belukar meninjau tebing tasik empangan. Peloton depan Midut, Pawi, Rudz, Buckery sudah hilang dari pandangan. Sasaran seterusnya kawasan rehat Air Terjun Sungai Semangkuk.
Jalan lebar dua lorong diganti dengan jalan sempit dua hala sebaik melalui Peretak. Pagi hari minggu. Sudah banyak kereta berderetan di kawasan perkelahan Sungai Chiling yang memang sudah terkenal. Jalan berliuk lentok mendakap lereng bukit. Tahap kecerunan dalam purata 10 peratus. Mujur ada pohonan di kiri kanan jalan memberi teduhan sepanjang kayuhan.
Inilah rupa basikal gumuk aku. Gumuk dan berat. |
Dalam mood kayuhan macam tu, aku dah tak kisah dah perlahan atau laju. Jarak nak dikayuh jauh lagi. Mendaki pulak tu. Matahari makin naik. Suasana makin panas. Aku tak perlu terburu. Matlamat utama... Kayuh sampai ke Fraser. Jangan menyerah naik Ford Ranger. Ford Ranger masih di belakang aku. Entah sudah berapa pengayuh yang sudah bersenang santai di dalam perut Ford Ranger...
Sedang enak melayan kayuhan santai, hujung telinga aku terdengar se akan ada bunyi derap sepatu di belakang. Mula-mula aku tak berapa peduli. Aku ingatkan mungkin hanya bunyian di dalam kepala saja. Maklumlah, badan dah penat, peluh dah mencurah, aras ketinggian makin bertambah. Tapi makin lama bunyi makin nyata. Nak tak nak aku pusing juga kepala toleh ke belakang. Dan, uikkkk... sang pelari tadi sudah berada dalam jarak 3 meter di belakang aku. Cheh... orang berlari lagi laju dari aku! Ini tak boleh jadi, kalau aku biarkan juga nanti kena potong dengan pelari. Penat pun penatlah. Letih pun letihlah. Cungap pun cungaplah. Aku gagahkan juga lajukan sikit kayuhan. Otot kaki protes rasa menyucuk macam kena karan. Tak peduli...Jarak dengan pelari mesti dijauhkan...Pulu punya pulun lama-lama tak kedengaran lagi bunyi derap sepatu di belakang aku. Dah tak nampak dah kelibat pelari. Baru lega sikit...
Kawasan rehat Sungai Semangkuk. Pelari sampai kemudian sikit saja daripada kami |
Lat tak lama lepas aku sampai, pasangan pelari pun sampai juga. Sempat la bersembang berkenalan dan berkongsi rahsia. Apa ilmu depa pakai? Apa barang depa makan? Sempat berkenal-kenal ringkas. Sempat juga psangan hebat ini berkongsi rahsia makanan tempatan yang berkhasiat dan memberi tenaga. Dan aku terkejut bila dapat tahu santan kelapa ada banyak khasiat. Boleh dibuat minum. Pasangan pelari meneruskan larian sementara kami meneruskan lepakan menunggu Mon dan kereta sokongan...
11.40 pagi kayuhan diteruskan. Basikal yang masih sudi mengukur jalan tinggal aku, Pian, Pawi, Midut, Buckery dan Rudz. Pengayuh lain sangat bersimpati dengan basikal. Basikal diberi peluang berehat di atas Ford Ranger. Sasaran seterusnya ialah Gap. Check point nombor 3. Jarak dari Air Terjun Semangkuk ke Gap ialah 8.2km. Anggaran masa diperlukan 1 jam (atau lebih).
Rudz dan Eva |
Kayuh la punya kayuh, akhirnya ternampaklah pemandangan yang melegakan. Dah nampak hujung jambatan gantung. Dah nak sampai Gap! Rudz tengah sibuk berposing dengan Eva kat hujung jambatan. Aku jadi naik semangat... Terus kayuh basikal naik ke atas jambatan gantung. Dah lama aku teringin nak buat macam tu. Hajat tercapai! Sampai Gap pada jam 12.40pm. Pengayuh lain sudah selamat sampai. Kereta bantuan juga dah sampai. Perut dah mula rasa lapar. Tadi pagi tak sarapan. Air dalam beg dah luak banyak. Memang kena banyak minum untuk elak ternyah-hidrat. Bekalan air ditambah.
Nak kena harung lagi 10km untuk sampai ke puncak. Zamri yang tadinya berkayuh di atas Ford Ranger, ambil keputusan untuk menyambung kayuhan dari Gap ke Fraser. Dia dah kayuh dulu. Buckery pulak ambil keputusan untuk berkereta saja ke puncak. Dia bawak support car sendiri. Technical advisor dia dah bagi nasihat supaya kayuhan tidak diteruskan setelah dia mengadu kaki rasa macam nak kejang. Hiiyyyyaaahhhhhh...tinggal sikit saja lagi nak harung. Bahagian yang paling mencabar. Curam! Gradien sekitar 12% - 15%.
Lagi 2 km nak sampai Fraser. |
Pada hentian lagi 2 km nak sampai puncak, Pawi sempat mengejar aku. Mujur dia sempat. Sebab dia datang bersama dengan beberapa biji buah kurma dalam genggaman. Rezeki! Rupanya, Mon dengan support car sudah pusing dan naik balik mengiringi kami. Cemerlang sungguh Mon.
Dua biji kurma masuk ke perut memberi kelegaan yang amat sangat. Tanda penghargaan kepada Pawi, aku tinggalkan dia di situ keseorangan. Bertuah betul aku...Aku teruskan kayuhan dengan lebih bersemangat. Semangat kurma dua bijik bercampur rasa lega dan nak cepat sampai sebab jarak tinggal lagi tak sampai 2km. Ternampak kelibat kereta sokongan mengikut perlahan di belakang aku. Kemudian berhenti di satu kawasan agak lapang di bawah teduhan pokok. Sungguh komited Mon dengan tugasannya.
Akhirya... aku dan Sang Bara gumuk berjaya sampai. Jam menunjukkan pukul 2.35 pm. |
Kelibat Jalan Mager menaikkan lagi semangat. Maknanya Fraser dah sangat dekat. Sudah terbayang menara jam Fraser yang sungguh ikonik itu berada di depan mata. Kaki terus mengayuh tak terasa. Laju dan semakin laju...Jalan lurus terbentang. Di kiri kanan tercongok bangunan lama era kolonial yang masih elok terpelihara. Dan... nun di hadapan menara jam Bukit Fraser. Bagai bercekak pinggang di simpang jalan menyambut tetamu datang dan melambai selamat tinggal kepada yang mahu pulang. Fraser... AKU SAMPAI!!!
Syabas Pawi!!! |
Garis penamat Fraser selesai sudah. Alhamdulillah...