|
Sang Lintar pertama kali ikut KL Pagi Bebas Kenderaan |
A cara KL Pagi Bebas Kenderaan ni dah lama dah dibuat oleh DBKL. Cuma untuk bulan Disember ni sebagai penutup untuk tahun 2014, tergerak hati untuk ikut sama. Kiranya aku dan posting ni terlambat 11 bulan lah. Lambat pun lambatlah... janji ada cerita.
Jadi apa kisahnya KL Pagi Bebas Kenderaan ni? Basikal bukan kenderaan ka? Payah jugak nak jawab tu. Toksah banyak soal... mari ikut sama!
DBKL mengambil inisiatif untuk mengajak wargakota tinggalkan sekejap kenderaan berenjin yang mengeluarkan bahan cemar dan kembali kepada kegiatan mesra alam. Setiap Ahad pertama setiap bulan, beberapa jalan akan ditutup kepada kenderaan berenjin. Wargakota beramai akan melalui laluan ini dengan berbasikal, berkasut roda, papan selaju, kerusi roda, berjalan kaki dan apa saja kaedah pergerakan yang tidak menggunakan kenderaan berenjin. Saya tak pasti sama ada basikal elektrik segway dibenarkan. Yang pasti, ternampak sebuah dua motorsikal yang tersalah masuk ke kawasan "hijau" diminta matikan enjin dan ditolak keluar oleh penguasa bertugas.
Cukup maklumat ringkas latar acara. Gombak League of Cyclists (GLC) juag mahu ikut serta. GLC memang sudah lama mahukan kegiatan berbasikal ini disohorkan. GLC sendiri menganjurkan kayuhan bandaraya setiap minggu sebagai tanda sokongan. Oh yeahhhh... GO GOMBAK!!!
|
Melaut manusia |
Pengayuh tegar, separa tegar dan separa sedar (mamun lagi) berkumpul di Restoran Thaqwa, Taman Greenwood Indah seawal 0630hrs. 4 pengayuh memulakan serangan subuh... Aku, anakku Faris, Lan Manap dan Sazril Anuar. Anggota tambahan komando Lee bergabung di separuh perjalanan. Paksi serangan mengikut DUKE - Jalan Sentul - Jalan Ipoh.
Tiba di kawasan Sentul Boulevard, kelihatan anggota memakai seragam yang sama. Rupanya Wan Rizal dari unit tumpangan dan ceraian dengan kumpulannya. Kumpulan pergerakan menjadi lebih besar. Laluan seterusnya Jalan Ipoh > Jalan Tuanku Abdul Rahman > Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Simpang Jalan Sultan Ismail - Jalan Tuanku Abdul Rahman sudah diletakkan penghadang menghindar kenderaan bermotor dari masuk. Itupun ada jugak yang terbabas masuk sebijik dua. Roman muka mereka yang terbabas masuk sangat mirip kepada expatriate dari Bangladesh...Aku tak komen lebih-lebih. Nanti dikata racist.
|
Basikal lipan? |
0710hrs sampai ke Jalan Raja Laut, perkarangan Menara Dewan Bandaraya. Dah ramai manusia berkumpul. Yang berbasikal, yang berkasut in-line, yang berpapan selaju, yang berkerusi roda, yang bersekuter tunjal... Macam-macam ragam jenis dan aneka.
Bergabung lagi dengan anggota GLC yang datang ikut laluan lain - Firdaus, Hakim, Zul antaranya...Lekas-lekas aku dan gerombolan yang baru sampai pi mendaftarkan diri. Mana tahu kot nombor naik bila lucky draw nanti. Dari kejauhan kedengaran pengumuman dari MC yang tak berapa berbutir. Tau-tau gerombolan manusia mulai beransur bergerak meninggalkan tempat permulaan.
KL Pagi Bebas Kenderaan bukan acara lumba. Ia acara sosial. Santai masyarakat. Acara keluarga. Ada belaka adik kakak, pakcik makcik. Semua kaum dan bangsa. Basikal aneka rupa dan gaya. Dari basikal lumba hingga basikal lipat. Dari yang naik sorang hingga yang naik beramai-ramai. Meriah. Dan kemeriahan perarakan manusia dari Jalan Raja Laut > Jalan Sultan Ismail > Jalan Tuanku Abdul Rahman > Jalan Dang Wangi > Jalan Ampang > Jalan Sultan Ismail > Jalan P Ramlee. Opppp... berhenti sekejap di depan KLCC. Rehat-rehat kesat peluh yang tidak seberapa sambil bergambar beramai-ramai.
Sambung balik pergerakan ke Jalan Ampang > Jalan Sultan Ismail > Jalan Tuanku Abdul Rahman > Tempat permulaan. Kalau berbasikal kelajuan santai 10km/j - 15km/j, kitaran lengkap selesai dalam masa 30 minit. Boleh ulang satu lap lagi kalau mahu. Dan itulah yang GLC buat pada pagi tersebut.
|
Zon gambar |
Rancangan awal untuk menunggu cabutan bertuah dibatalkan memandangkan ada urusan lain menanti. Gerombolan GLC berkayuh ke Jalan Raja Abdullah untuk menyahut tuntutan perut yang mintak diisi. Nasi Lemak RA memang sohor. Ramai pelanggan mendatangi. Mujur sekejap saja menunggu untuk mendapat tempat duduk.
Tamat sudah kisah aku dan GLC menyertai acara KL Pagi Bebas Kenderaan.