S udah lebih 4 tahun aku terjebak dengan basikal. Sudah merata aku heret basikalku. Dan antara nama trail yang sohor di Lembah Kelang, sebaris dengan FRIM, Kiara, Batu Dam...ialah denai di RRI, Subang. Rubber Research Institute of Malaysia. Ceritanya sudah berbagai sampai masuk menerobos ke telinga. Akupun pasang angan-angan, cita-cita dan perancangan untuk menjejakkan kaki ke RRI. Hampir 4 tahun...Tak kesampaian. Ada-ada saja halangan dan aral. Berat jodohku untuk dipertemukan dengan denai di RRI.
Kalau sudah takdirnya hendak sampai juga ke situ,rentetan peristiwa dan perancangannya tidak perlu teliti dan berjela. Terjadinya aku menjejak ke RRI juga secara tidak sengaja. Aku sudah merancang kayuhan lain untuk Sabtu, 3 Julai 2010. Tak kesampaian kerana ahli sasaran tidak berkelapangan. Bersembang di chatbox BBS, terpacul idea nak ke RRI. Hasrat disambut oleh Shaque, yang baru berpindah ke Subang Permai, yang terletak di sebelah RRI. bAru (*tiada kesalahan menaip di sini) juga mahu ikut sama. Pine yang handal itupun teringin nak mengekor walhal denai RRI itu boleh dikira macam "makan kacang" saja untuk Pine. Xoul juga tercuit untuk bersama menambahkan kemeriahan. Rancangan segera itu disambut gembira anakku Faris, yang sudah 4 minggu tak bermain di denai. Gian dan kemaruknya sudah menular. Anak menakanku, Erie juga mahu ikut sama.
Pagi Sabtu menggusarkan. Xoul sudah tercongok di laman rumahku se awal 0645hrs. Hujan merintik sedari malam. Langit sarat dengan gumpalan awan hitam gelap. Dalam hati berharap agar hujan kelak reda. Kami teruskan perjalanan ke Subang Permai dalam rintik halus hujan...
Restoran Al Nur Ehsan jadi pangkalan. Mujur hujan berhenti menitis, meninggalkan saki baki awan yang meredupkan hari. Ah, memang cuaca yang sungguh ideal untuk berkayuh. Shaque muncul kemudian bersama beberapa lagi pengayuh. Semua belum aku kenal melainkan Redza. bAru muncul kemudian diikuti Pine. Jam 0900hrs, gerombolan mula berkayuh meninggalkan Subang Permai.
Dekat saja laluan masuk ke RRI dari tempat mula. Tak sampai 2 km. Jalan tar dengan sekatan berpalang. Kayuhan awal hanya jalan tar melalui kawasan RRI. Kepala tercangak mencari mana dia kawasan denai yang disebut-sebut sebab kawasan sekeliling yang kelihatan hanya rata dan landai.
Selepas habis berputar atas tar di dalam RRI, baru sampai ke pintu masuk utama di tepi Jalan Sg Buloh - Subang. Ooooo...denai di seberang jalan rupanya. Mujur ada lampu isyarat di depan pintu masuk utama RRI, kalau tidak jerih jugak nak melintas jalan yang sibuk itu.
Laluan masuk jalan tanah merah. Jalan lebar dan kelihatan macam terjaga rapi. Biasalah, kawasan institut penyelidikan katakan. Shaque di hadapan mengepalai. Kayuhan landai sementara kemudian membelok kanan dan mendaki. Pendakian pendek sebagai pemanas betis yang kemudiannya meluru turun dengan laju.
Format kayuhan di RRI konsisten begitu. Naik turun beralun dengan kecerunan sederhana dan jarak yang sederhana. Tidak meringsakan, tidak menyeksakan. Mungkin orang baru akan terasa sedikit teruji...kerana ada juga yang berada di sisi basikal semasa mendaki. Kebanyakan bahagian denai berada di bawah naungan rimbunan getah. Namun ada juga beberapa seksyen yang terdedah.
Shaque si kepala gerombolan, membawa kami berpusing berputar meronda naik turun denai RRI. Sesekali berhenti penat selepas mendaki. Menunggu mereka yang di belakang kembali merapatkan saf. Ada beberapa pondok pisang sesikat buat persinggahan. Tiada warung teh tarik di sepanjang denai. Kalau berhenti, jangan berlama. Nyamuk RRI sangat mesra dan peramah. Sekejap saja sudah ramai yang datang bertegur sapa.
Kemuncak kayuhan bila sampai hampir ke penghujung lingkaran. Puncak dengan ketinggian 120m dihias dengan bahagian denai tunggal ternikal. Terima kasih kepada siapa jua yang telah mencurahkan tenaga dan keringat membina denai menjadikannya mencabar dan mengujakan untuk dilenjan.
Cik "saya memang suka downhil"... |
Shaque dalam posisi attack...Shaque Attack! |
Denai pendek pantas berhias lompatan dan berm. Untuk pengayuh faktor usia macam aku, memamdai dengan melayan aliran permukaan denai tanpa perlu menafikan graviti. Pengayuh muda yang teruja mula "lupa daratan" dan berada di awangan seketika. Tak cukup sekali lenjan, diulang balas pula. Anakku Faris dan anak menakanku Erie, terbakar darah muda. Erie berjaya melagakan crown fork yang sepanjang 140mm. Tak cukup dengan itu, Sang Bara juga dikuda...Mujur Sang Bara datang cukup berbekal. Steady saja bila dibedal.
Turut ikut sama merembes adrenalin, seorang cik yang "saya memang suka downhill". Memang tampak dia suka melayan deruan turun dengan Nexus full-susnya...Berani! Syabas cik Reena. Nanti ajak Shaque layan Kiara atau PCP.
Anak menakan membuli Sang Bara...Nyata Sang Bara tak kisah...Selamba saja... |
bAru membelah angin... |
Seksyen teknikal melanjut sehingga ke permainan teres. Teres tiga tingkat bagaikan tirai penutup kayuhan RRI sebelum denai kembali bertaut dengan laluan masuk. Dan gerombolan berkayuh balik ke Subang Permai. Hampir 3 jam kayuhan pada jarak 18km. Kayuhan tak banyak kerenah. Mudah dan ringkas tapi masih mengujakan. RRI sangat sesuai untuk berkenalan dengan mountainbike dengan sedikit perisa pedas cili api seksyen teknikal yang kemarukkan adrenalin. Hasrat terpendam hampir 4 tahun termakbul sudah...RRI akhirnya!
Roller coaster alami... |
Manisan penutup kayuhan... |
No comments:
Post a Comment