Tuesday, July 06, 2010

Akhirnya...RRI!

S udah lebih 4 tahun aku terjebak dengan basikal. Sudah merata aku heret basikalku. Dan antara nama trail yang sohor di Lembah Kelang, sebaris dengan FRIM, Kiara, Batu Dam...ialah denai di RRI, Subang. Rubber Research Institute of Malaysia. Ceritanya sudah berbagai sampai masuk menerobos ke telinga. Akupun pasang angan-angan, cita-cita dan perancangan untuk menjejakkan kaki ke RRI. Hampir 4 tahun...Tak kesampaian. Ada-ada saja halangan dan aral. Berat jodohku untuk dipertemukan dengan denai di RRI.

Langit Subang gelap kelam jam 0800hrs. Hujan merintik halus...

Kalau sudah takdirnya hendak sampai juga ke situ,rentetan peristiwa dan perancangannya tidak perlu teliti dan berjela. Terjadinya aku menjejak ke RRI juga secara tidak sengaja. Aku sudah merancang kayuhan lain untuk Sabtu, 3 Julai 2010. Tak kesampaian kerana ahli sasaran tidak berkelapangan. Bersembang di chatbox BBS, terpacul idea nak ke RRI. Hasrat disambut oleh Shaque, yang baru berpindah ke Subang Permai, yang terletak di sebelah RRI. bAru (*tiada kesalahan menaip di sini) juga mahu ikut sama. Pine yang handal itupun teringin nak mengekor walhal denai RRI itu boleh dikira macam "makan kacang" saja untuk Pine. Xoul juga tercuit untuk bersama menambahkan kemeriahan. Rancangan segera itu disambut gembira anakku Faris, yang sudah 4 minggu tak bermain di denai. Gian dan kemaruknya sudah menular. Anak menakanku, Erie juga mahu ikut sama.

Pagi Sabtu menggusarkan. Xoul sudah tercongok di laman rumahku se awal 0645hrs. Hujan merintik sedari malam. Langit sarat dengan gumpalan awan hitam gelap. Dalam hati berharap agar hujan kelak reda. Kami teruskan perjalanan ke Subang Permai dalam rintik halus hujan...

Halaman Rest Al Nur Ehsan, Subang Permai. Shaque dah sedia untuk attack. Redza tengah berfikir...nak ke tandas ke tidak.

Restoran Al Nur Ehsan jadi pangkalan. Mujur hujan berhenti menitis, meninggalkan saki baki awan yang meredupkan hari. Ah, memang cuaca yang sungguh ideal untuk berkayuh. Shaque muncul kemudian bersama beberapa lagi pengayuh. Semua belum aku kenal melainkan Redza. bAru muncul kemudian diikuti Pine. Jam 0900hrs, gerombolan mula berkayuh meninggalkan Subang Permai.

Kawasan RRI bahagian Utara. Bangunan pejabat dan segala

Dekat saja laluan masuk ke RRI dari tempat mula. Tak sampai 2 km. Jalan tar dengan sekatan berpalang. Kayuhan awal hanya jalan tar melalui kawasan RRI. Kepala tercangak mencari mana dia kawasan denai yang disebut-sebut sebab kawasan sekeliling yang kelihatan hanya rata dan landai.

Selepas habis berputar atas tar di dalam RRI, baru sampai ke pintu masuk utama di tepi Jalan Sg Buloh - Subang. Ooooo...denai di seberang jalan rupanya. Mujur ada lampu isyarat di depan pintu masuk utama RRI, kalau tidak jerih jugak nak melintas jalan yang sibuk itu.

Sambutan "Selamat Datang" RRI...Pemanas betis

Laluan masuk jalan tanah merah. Jalan lebar dan kelihatan macam terjaga rapi. Biasalah, kawasan institut penyelidikan katakan. Shaque di hadapan mengepalai. Kayuhan landai sementara kemudian membelok kanan dan mendaki. Pendakian pendek sebagai pemanas betis yang kemudiannya meluru turun dengan laju.

Format kayuhan di RRI konsisten begitu. Naik turun beralun dengan kecerunan sederhana dan jarak yang sederhana. Tidak meringsakan, tidak menyeksakan. Mungkin orang baru akan terasa sedikit teruji...kerana ada juga yang berada di sisi basikal semasa mendaki. Kebanyakan bahagian denai berada di bawah naungan rimbunan getah. Namun ada juga beberapa seksyen yang terdedah.

Pit stop. Pondok pisang sesikat di beberapa tempat. Kalau ada teh tarik sekali, mesti lagi ummmpphhh!

Shaque si kepala gerombolan, membawa kami berpusing berputar meronda naik turun denai RRI. Sesekali berhenti penat selepas mendaki. Menunggu mereka yang di belakang kembali merapatkan saf. Ada beberapa pondok pisang sesikat buat persinggahan. Tiada warung teh tarik di sepanjang denai. Kalau berhenti, jangan berlama. Nyamuk RRI sangat mesra dan peramah. Sekejap saja sudah ramai yang datang bertegur sapa.

Kemuncak kayuhan bila sampai hampir ke penghujung lingkaran. Puncak dengan ketinggian 120m dihias dengan bahagian denai tunggal ternikal. Terima kasih kepada siapa jua yang telah mencurahkan tenaga dan keringat membina denai menjadikannya mencabar dan mengujakan untuk dilenjan.


Cik "saya memang suka downhil"...

Shaque dalam posisi attack...Shaque Attack!

Denai pendek pantas berhias lompatan dan berm. Untuk pengayuh faktor usia macam aku, memamdai dengan melayan aliran permukaan denai tanpa perlu menafikan graviti. Pengayuh muda yang teruja mula "lupa daratan" dan berada di awangan seketika. Tak cukup sekali lenjan, diulang balas pula. Anakku Faris dan anak menakanku Erie, terbakar darah muda. Erie berjaya melagakan crown fork yang sepanjang 140mm. Tak cukup dengan itu, Sang Bara juga dikuda...Mujur Sang Bara datang cukup berbekal. Steady saja bila dibedal.

Turut ikut sama merembes adrenalin, seorang cik yang "saya memang suka downhill". Memang tampak dia suka melayan deruan turun dengan Nexus full-susnya...Berani! Syabas cik Reena. Nanti ajak Shaque layan Kiara atau PCP.


Anak menakan membuli Sang Bara...Nyata Sang Bara tak kisah...Selamba saja...

bAru membelah angin...

Seksyen teknikal melanjut sehingga ke permainan teres. Teres tiga tingkat bagaikan tirai penutup kayuhan RRI sebelum denai kembali bertaut dengan laluan masuk. Dan gerombolan berkayuh balik ke Subang Permai. Hampir 3 jam kayuhan pada jarak 18km. Kayuhan tak banyak kerenah. Mudah dan ringkas tapi masih mengujakan. RRI sangat sesuai untuk berkenalan dengan mountainbike dengan sedikit perisa pedas cili api seksyen teknikal yang kemarukkan adrenalin. Hasrat terpendam hampir 4 tahun termakbul sudah...RRI akhirnya!


Roller coaster alami...

Manisan penutup kayuhan...

Thursday, July 01, 2010

KLMBH Epic Hash 2010

T iga minggu aku dan basikal terselamat daripada jamahan tanah, selut dan lumpur. Tiga minggu aku tidak menjamah denai dan lereng. Hanya sekadar bermain-main di atas tarmac. Tiga minggu...kerana memberi keutamaan kepada hal urusan keluarga yang lebih mustahak.

Dalam debar menunggu tibanya hari, 27 Jun 2010, Ahad, untuk berwisata sikalan di Ulu Tamu. Debar kerana khuatir akan muncul gendala saat akhir yang membatalkan rencanaku. Ada bunga kemunculan gendala bila isteri perlukan kereta pada hari peristiwa. Mujur datang Pian dari nun Pulau Mutiara menawar jalan keluar. Selamat!

Maklumat dikumpul, jentera disedia. Sang Bara bakal beraksi diberi tayar langsing agar lebih mudah mendaki(kununnya!). Lakar laluan sudah diberi. Bukit mencanak bakal menanti. Betis peha bakal diuji. Mampukah aku mengharungi? Belum tengah malam datang khabar dari UK (Ulu Kalong), berhampiran medan tempur, memaklumkan hujan sedang menitis di Ulu Tamu...Ah, petanda tragis, petanda sadis...Laluan akan melembik dan melicin...

Sakti hari mengayuh agaknya, jam 5.30 pagi aku sudah terpacak jaga. Pian yang menumpang tidur di rumah juga sudah membulat mata. Bagai tak sabar rasanya dia mahu menerjah medan tempur mencari kembara di sebalik seksa dan dera. Jam 6.30 pagi, Unser yang sudah siap berisi dua jentera meluncur pergi. Mentari masih selindung di ufuk timur. Laluan pintas Seri Gombak > Sungai Kertas di terjah. Tahu-tahu sudah sampai di jalan mendaki berhampiran Empangan Batu.

Beberapa kereta sudah di jalanan. Dari cermin pandang belakang, ternampak kelibat kereta di belakang dengan basikal bertenggek di bumbung. Satu arah satu tujuan rupanya. Laluan berbukit bukau melewati kawasan lipur Sungai Tua. Dalam kesamaran, dari kejauhan nampak kerdipan lampu merah. Aku katakan pada Pian, mungkin roadie yang turun awal pagi itu. Semakin dekat, basikal nampak lebih jelas sebuah basikal bukit, bukan basikal lumba kurus cekeding. Dan susuk sangg pengayuh memang cukupku kenal...Lim Yew Meng! Berkayuh dia dari Kpg Melayu Subang ke Tamu Hill Park! Hebattttt! Sempat aku menyakat dia pelawa naik kereta. Dia hanya tersenyum campur sedikit terperanjat kerana disakat begitu.

Jam 7.05, Unser hitam melipat masuk ke Tamu Hill Park. Kereta belum banyak. Beberapa basikal sudah berkeliaran. Dan mentari mulai tersipu muncul di horizon...Kereta makin menderu. Kaunter pendaftaran makin dikerumuni. Sibuk dan jenuh Soon, Adila, Ai Ling dan krew mereka memastikan urusan pendaftaran lancar.

8.30 pagi, Huang Ying How, kepala kepada penganjuran hash epik ini mengambil tempat di singgahsana. Dengan hailer di tangan, maharaja bertitah akan perihal urus atur dan tatacara epic hash. Maka terdiam dan terpegunlah akan semua hamba rakyat sekalian mendengar akan titah perintah maharaja Huang itu. Jarak kayuhan 51km...5 seksyen...Seksyen 1 bukit curam dan panjang...dan perhatian aku mulai terganggu selepas maklumat terakhir itu menerjah masuk ke telinga. Hubungan aku dengan bukit curam belum pernah lagi mencatatkan rekod yang baik...Dan sekutuan bukit curam dengan hujan tadi malam akan membuatkan rekod aku makin parah.

Reme Gimen buang tebiat agaknya pagi itu. Dia pakai helmet full face. Tak cukup dengan itu basikal Orbea Occumnya digantikan dengan motor scrambler... Chissss, mana aci macam ni? Dan kerana dia bermotor, diperintahkan beliau mengepalai kayuhan pagi itu. Dengan kalimah keramat ON ON dan deruan motor Reme, gerombolan basikal gunung meluru pergi...

Berpusu basikal berbondong-bondong menghala ke belakang Tamu Hill Park, menyusur jalan tar kemudian masuk ke kebun kelapa sawit. Baru sekejap sudah berhadapan dengan bukit curam. Bertolakanlah pula beramai-ramai. Tampaklah yang pengayuh kita masih kurang arif dengan adab berkayuh. Habis penuh laluan diisi basikal. Seharusnya tolakan biarlah pada sisi jalan. Biar ada sedikit ruang untuk mereka yang berhajat dan mampu berkayuh. Semoga pengayuh kita akan lebih beradab pada masa hadapan.

Bukit pendek sahaja diikuti dengan luruan menurun. Ramai yang teruja. Ramai juga yang alpa. Peringatan sudah diberi supaya berhati. Laluan dipenuhi lumut hijau licin. Dan ternyata peringatan tidak bersahaja kerana tiba-tiba di hadapanku tergolek satu manusia. Bedebup!

Mujur sempat aku mengelak dan aku teruskan kayuhan sehingga beberepa ketika kemudian perjalanan terhenti lagi. Kenapa pula? Laluan luas. Tiada halangan...tetapi...Rupanya berlaku satu lagi kemalangan. Semua gara-gara laluan licin berlumut. Pengayuh malang sudah diberikan rawatan awal. Betis kanan yang luka agak dalam siap dibalut dan digam dengan duct tape. Titisan darah bertompok di atas jalan. Nampak macam banyak juga pendarahan. Aku hanya mampu tolong tengok sambil melaungkan amaran kepada pengayuh lain supaya beringat dan berhati-hati. Kayuhan baru beberapa minit sudah berlaku berbagai insiden...

Tak lama lepas itu, jem lagi sekali. Dek kerana tersekat agak lama, dan nampak laluan rupanya hanya bersebelahan dipisahkan oleh lembah sungai, sekumpulan pengayuh mengambil jalan pintas menuruni tebing dan mengharung paya. Terhegeh la jugak aku yang tak tahan godaan mengikut sama. Ada polis trafik tak? Kalau ada, sah kena saman...

Laluan seterusnya lebih mneyelesakan. Kayuhan tenang lancar di dalam ladang kelapa sawit. Mukabumi beralun naik turun sedap kaki mengayuh. Melintas Jalan Lama Genting. Melalui kawasan lapang taman perumahan tinggal. Bangunan separuh siap tersorok di sebalik semak samun bagaikan puing-puing runtuhan purba. Seronok dan santai...Yeahhhh!

Dan biasalah, keseronokan itu takkan kekal lama. Laluan mula berubah rupa mendaki. Fasa awal aku masih boleh terjah lagi. Dan mercu tanda sengsara ditanda dengan tandaan simbolik...Sebuah jentolak diparkir di laluan tanda permulaan pendakian. Hah! Aku berhenti sebentar untuk melampiaskan pundi-pundi yang mula protes. Dan...bermulalah pesta MTB - mari tolak basikal.

Tolak, tolak...dan tolak. Kecerunan purata 45 darjah. Permukaan licin. Cukup resipi azab. Semangat dikuatkan dengan bayangan downhill yang bakal dijamah sebaik sampai ke puncak.

Puncak di capai! Lega seketika. Ah...laluan becak! Licin dan berselut. Mati angan-angan untuk brappppp dan meluncur turun. Gelekan tayar bila melalui selut dan lumpur mengeluarkan bunyi berdecap. Bunyi tanah lembik beradun air melekat pada tayar. Kayuhan terasa berat. Basikal terasa hanyut dan terapung. Salah arah dan imbangan boleh tersungkur.

Jalan licin berterusan dan bertambah teruk bila melalui rimbunan buluh. Semua mengesot perlahan, berhati mengatur langkah menuruni cerun curam yang licin. Sekejap-sekejap disela bunyi bedebup...Bunyi pengayuh melagakan ponggong dengan tanah. Lumpur bercampur daunan kering menggumpal dan melekat pada tayar. Tayar depan dan belakang dah berontak tak mahu berpusing. Langkah kaki harus diatur berhati-hati mencari tempat bertapak yang mantap. Kalau tidak, berdebup-berdebap.

Habis laluan buluh membawa kepada laluan lereng terbuka. Sayup pemandangan hijau melegakan mata. Bila terpandang balik denai, hati jadi berkecai. Lumpur lembik berserakan. Tambah parah bila dibajak ratusan kaki dan basikal. Balak tumbang menambahkan lagi perisa pedas azab sengsara. Ahhhhhh...

Jam dijeling melihat masa. Masa yang semakin menipis kerana jam 11.00 sudah menghampiri. Hitungan ringkas merumuskan aku tak akan dapat sampai ke Seksyen 1 dalam masa ditetapkan. Hati kecewa...Basikal ditolak, bukan, bukan ditolak, tapi diheret kerana tayar tak mau lagi berpusing. Gumpalan selut memasak tayar hingga tayar tidak boleh bergolek. Kecerunan nampak menyelerakan, aku cuba nak meluncur turun tapi tak berdaya sebab gumpalan lumpur sekejap saja sudah mengasak tayar. Turun bukitpun kena tolak...Leceh!

Cerun akhirnya melandai. Laluan bertemu sungai. Lebar sekira 20meter. Arus deras separas pinggang. Salah langkah boleh rebah dan hanyut dibawa arus. Ramai yang sudah bersantai, mencuci basikal berpiknik bagai. Aku yang sudah kuciwa ikut sama berpesta. Pesta lega. Bekalan air ditogok. Ada sebiji dua pisang dilahap. Bila epik tidak lagi boleh diteruskan, elokla diringakan beban. Senang dan mudah nak balik ke tempat permulaan. Begitulah sifirnya...

Setelah santai ria piknik hampir setengah jam, aku sambung kayuhan. Tiada gesa, tiada buru, kayuhan tenang bersahaja. Lazat pulak hidangan menjelma. Baru rasa enak lazat dapat berkayuh. Laluan beralun sederhana dalam teduhan kelapa sawit. Tiada insan lain kelihatan. Hanya aku, Sang Bara dan alam...Laluan melintas jalan tar lagi sekali. Agak memeranjatkan kerana kereta menderu. Syed Heckler sudah tercongok di situ menunggu peluang jalan lapang untuk melintas. Aku sempat bertegur sapa seketika sebelum memintas Syed dan berkayuh pergi.

Lat tak lama bertemulah dengan penanda tamat Seksyen 1. Koko Riza dan seorang teman menunggu. Tanpa segan dan silu aku bertanya "Which way is OUTTTT???", dengan aksen mat salleh pekat. Koko Riza hanya tersenyum kemudian bercerita panjang lebar laluan ayam untuk balik ke Tamu Hill Park. Sesudah habis pandu arah, baru dia bertanya "Tak mau teruskan ke?". Aku tersentak. Aikk, bukan dah tutup laluan? "Kita bukak lagi sampai ke Seksyen 2. Trylah, trail dah tak sesusah Seksyen 1". Alamak...hati teruja. Risau pulak menerpa...sebab bekalan dah abis diratah masa berpiknik tadi. Air tinggal seliter saja. Hati meronta. Selepas sedikit pertimbangan dalam keadaan separa waras aku ambil keputusan meneruskan sekurangnya ke Seksyen 2.

Laluan berputar dalam ladang kelapa sawit dengan beberapa terkaman pendek. Permukaan jalan walau lembik tapi boleh berkayuh. Seronok melayan. Hilang luput segala kekecewaan semasa melalui Seksyen 1. Laluan berakhir dengan denai batuan yang bertemu dengan sungai. Lintasan sungai kedua. Terserempak Shahrul dengan Transitionnya. Tercangak mencari sambungan laluan. Lega dia bila ada teman. Berdua kami tercangak mencari sambungan yang memang dekat sahaja.

Sungai arus deras separas peha diredah dengan basikal digalas di belakang. Laluan menyusur caruk sungai kemudian mendaki dengan kecerunan sederhana. Agak jauh juga. Aku gagahi berkayuh sehingga bertemu terjunan teres dengan akar berselirat. Nampak seperti boleh dituruni. Dengan berhati-hati Sang Bara melorot turun. Perlahan pada mulanya. Selepas didapati teres tidak terlalu licin, aku belasah laju sedikit. Segala akar getah yang berselirat dirembat sambil sesekali terpaksa beraksi drift bila tayar hilang cengkaman. Bayangan endo jurus lipat kuang atau sembaman kala jengking menghantui fikiran..

Sama ada hares ini nakal atau terlebih kreatif, laluan hingga menerobos tepi pondok orang. Dalam laluan menurun pulak tu. Curam pulak tu. Licin pulak tu. Empunya pondok hanya mampu melihat basikal melintas sambil tersenyum dan dengan ramah mempelawa "Singgah la dulu, minum kopi." Buatnya semuanya singgah, tak ke habis gula kopi orang tu? Di depan ada lagi! Cerun menurun licin curam diakhiri dengan tebing tegak setinggi 5 kaki. Ha, jawab! Terpaksa dengan tak rela humban saja basikal ke bawah...

Kayuhan terus berpola mendaki tetapi mujur pada sudut yang tak berapa mereng. Kalau tidak, boleh mereng dibuatnya. Bolehlah digagahkan berkayuh perlahan-lahan santai dengan gear rendah pada kelajuan ala-ala Cik Kiah pegi pasar. Kayuh la punya kayuh, permukaan denai mula bertukar. Lecah lecak ansur-ansur berkurangan. Datang pula permukaan batu dan kemudian berganti dengan tar yang dah berusia. Wooo hooo...Tar beralun dalam dusun jadi penawar duka. Peluang untuk belasah selagi daya.

Asyik sungguh melayan alunan jalan tar dalam dusun, naik turun beralun dan masih lagi berada dalam zon mampu kayuh. Namun pada satu jaluran mendaki panjang, ada 2 pengayuh kelihatan begitu enak terlentang di bawah teduhan ditokok pula dengan laluan di hadapan masih dalam mode mendaki, aku ikut sama berbaring meredakan ombakan dada dan kencangan jantung. Bila kayuhan disambung kembali, nyata sebenarnya laluan sebenar rupanya menurun, bukan menaik. Laluan turun dilindung rumput. Ceh! Rugi masa aku berbaring tadi.

Matahari makin meninggi melewati jam 1. Maknanya, peluang untuk aku meneruskan kayuhan tertutup sudah. Bekalan air semakin merosot. Mujur bila lalu di tepi sebuah rumah, ternampak Syed sedang mendapat bekalan air dari tuan punya rumah. Aku tumpang sebotol. Air suam! Sedap rupanya air suam bila diminum semasa badan tengah letih dan tekak haus. Lebih berkesan daripada minum air ais...

Sekonyong habis tar beralun dan aku tercampak kembali ke kawasan lapang terdedah terbuka. "Macam kenal tempat ini...", kata suara hati. Aku amati lagi sekali untuk kepastian. Sah, itu kawasan taman perumahan tinggal yang macam puing-puing runtuhan purba. Laluan diamati betul-betul bagi mempastikan kesahihan. Tandaan kertas jelas...Satu petanda baik. Memang kadang-kadang laluan hash akan berulang. Itu biasa asalkan tandaannya jelas. Aku gagahkan diri berkayuh lebih laju. Ada lagi kederat sedikit sebanyak. Keluar dari kawasan perumahan terbengkalai ke jalan tar. Membelok kiri dan dari kejauhan sudah nampak tenda biru. Lega! Jam hampir 2.00 petang bila aku sampai ke Seksyen 2. Laluan sudah lama ditutup dan aku terpaksa akur kelembapan kayuhan aku dan beberapa adegan tersalah perhitungan...Cukuplah, separa epik untuk aku hari itu...Sungguh satu kayuhan epik. Kalau cuaca molek dan denai kering, mungkin lebih sedap rasanya kayuhan...Jauh di sudut hati, sudah ada rencana untuk menyambung kayuhan ini...Bila?