D enai sempit sepanjang tasik itu sudah lama aku tak jejak. Khabar-khabar yang sampai ke telinga mengatakan denai sudah semak dan sukar dilalui. Hati teringat kayuhan rentas desa mengujakan tanpa banyak basa basi di denai itu. Hati tergamit untuk kembali menjelajah pelusuk denai Empangan Batu.
Laluan Masuk Alternatif
Tarikh 10/07/2010 (Sabtu) dipilih. Kebetulan minggu sebelumnya Nomad Adventure telah manganjurkan perlumbaan EcoX di situ. Satu peluang baik kerana denai telah dibaiki untuk perlumbaan. Satu peluang yang tidak seharusnya dilepaskan. Pagi jam 0730hrs Alvin sudah tercongok depan pagar rumah aku menjemput aku dan roda basikalnya yang diberi rawatan anti gelong tadi malam. Dua bungkus nasi lemak disambar di Greenwood buat bahan berkelah nanti. Aku heret Alvin ikut laluan celahan lewat Taman Pinggiran - Sungai Kertas. Laluan pintas melalui bukit curam menyeramkan yang tahu-tahu sudah membawa kami ke depan pagar Empangan Batu. Yang lain ikut menyusul tiba kemudian. Jumlah yang hadir 31 orang terdiri dari gabungan GLC, Subang Bestari dan teman-teman dari pejabat.
Aku dapat tahu yang pintu utama besar Empangan Batu tidak mengalukan basikal masuk ikut situ. Pengayuh tegar tidak kenal kalah telah mencari laluan lain dan laluan susur pagar Empangan Batu melalui Taman Jasa Utama menjadi ganti. Bermula jalan tar kira-kira setengah kilometer, kemudian membelok masuk ikut jalan tanah merah yang lebar pada mulanya kemudian mengecut jadi denai sempit. Tiba-tiba tercongok satu bangunan 4 tingkat di tengah semak belukar. Longkang besar dalam menanti di hadapan dismabung hanya dengan satu jambatan kayu sempit. Yang berani dan berkemahiran, meluncur lalu di atas jambatan. Yang kurang, berpuashati dengan memimpin basikal melintas. Laluan mula mendaki selepas jambatan dengan lurah air berselirat. Gaung pula menanti di sebelah kanan. Gayattttt...
Denai menjadi semakin ganas tanpa belas kasihan. Pendakian curam dengan denai sempit dan berlongkang. Dah ada yang akur dan memimpin basikal. Aku gagahi lagi mengkuda Sang Raksa yang nampak galak bersemangat. Habis satu pendakian, ada satu lagi. Lagi teruk dari yang tadi. Dan aku juga terpaksa akur dengan sajian alam. Menolak juga. Ramai yang sudah di puncak. Ramai juga yang masih di belakang.
Enjin tua berhenti rehat sekejap lepas mencungap menolak naik bukit. Sambil tu tunggu yang lain sampai. Dah ramai gitu, lama la pulak nak tunggu sorang demi sorang. Aku kayuh dulu menjamah downhill terbentang di hadapan. Layan separuh sahaja sebab mencari spot yang bagus untuk skodeng dan snap-snap gambar. Galak la semua yang di belakang meluru turun tak hingat dunia. Denai bercantum dengan denai susur tasik Empangan Batu. Dah nampak kilauan air empangan terhampar membiru sayup mata memandang.
Di Pinggiran Tasik
Denai susur tasik terpecah dua. Berbeza tetapi membawa ke arah yang sama. Denai bawah hanya beberapa kaki dari aras air. Sering tenggelam bila air melimpah. Denai atas ditarah tinggi bagi mengelakkan tenggelam kalau air naik. Denai sempit naik turun beralun mendakap tebingan tasik. Seronok melayan.
Mentari jam 10 semakin galak bersinar. Mujur sepanjang denai teduh dalam rimbunan pohon. Sesekali terdedah bila laluan hampir benar dengan gigi air. Dua tiga redahan anak sungai menambah perisa kayuhan. Lintasan sungai memang sinonim dengan kayuhan Empangan Batu. Kemahiran berkayuh dalam air dengan longgokan batu dalam sungai teruji. Ada yang berjaya, ada yang kandas. Berjaya atau kandas, kasut tetap basah.
Lintasan sungai pertama adalah petanda untuk memilih sama ada mahu berkayuh ikut litar ikut jam atau lawan jam kerana litar bermula dan berakhir di situ. Kami memilih arah lawan jam. Bermakna, terus berkayuh denai landai dan azab empangan batu ditangguhkan.
Lencongan
Denai rumpun buluh dengan cerun menurun. Dungulah kalau dibiarkan denai begitu sahaja. Semua meluru macam peluru. Cuma kena berawas sedikit sebab sedikit becak dan berlurah air. Luruan berakhir di persimpangan. 31 pembasikal gunung menyesakkan laluan. Meriah! Macam mini jamboree. Shaque mencadangkan supaya laluan diteroka untuk melihat sampai ke mana.
Laluan kiri di pilih. Menaik sedikit dengan denai sempit mendakap lereng. Di kanan sungai mengalir berderu. Denai sempit memasuki dusun. Akar-akar berselirat melintang denai yang beralun naik turun. Dan gerombolan terpaksa berhenti bila bertemu rumah pondok menunggu durian di dalam dusun. Penghujung jalan. Kesempatan berhenti dipergunakan Shaque dengan sebaiknya untuk membaja tumbuhan di situ. Disitu juga 2 orang ahli mohon izin beredar kerana ada urusan lain. 31 tinggal 29. Masih meriah.
Laluan sambungan tidak ditemui. Gerombolan berpatah balik ke simpang. Nyata walau tiada denai sambungan, kayuhan patah balik tidak sia-sia. Laluan masuk yang tadinya sedikit mendaki bertukar menjadi larian turun yang tak kurang ghairahnya.
Panjat dan tolak
Kembali ke simpang dan meneruskan kayuhan ikut denai lawan jam. Lintasan sungai kedua muncul. Berpikullah basikal beramai-ramai kemudian memanjat tebing sungai. Sungai kedua petanda petaka. Di hadapan 3 bukit menanti. Masa untuk mencurahkan kasih sayang kepada basikal. Basikal dipimpin penuh mesra. Ada yang menunjukkan kasih melampau kepada basikal. Basikal didukung macam anak kecil. Masa untuk betis dan peha diuji dan diasah. Masa untuk menguji bagaimana Sang Raksa bertindakbalas dengan graviti.
Di bawah teduhan rimbunan buluh, denai sempit sarat berselirat dengan lurah air. Denai lembap tetapi tidak terlalu licin. Taburan dedaun kering menghias lantai rimba. Gear Sang Raksa dipilih depan-tengah belakang-tengah. Bermula dengan kayuhan perlahan mendakap denai pada cerun 10-15 peratus. Gear depan-tengah belakang tengah hantaran rantai SRM PC991 dari engkol XT ke kaset SRAM PG990 menggolek tayar Sang Raksa dengan malas. Denai dijamah seinci demi seinci dengan tujahan kaki berdendang dengan alunan ombak dada dihempas degupan jantung semakin kencang. Rantai dianjak menaiki kaset sedikit demi sedikit bila kayuhan terasa semakin berat sehingga hampir berhenti. Kemahiran imbangan sangat berguna ketika itu untuk mengelak kaki dari menjamah tanah. Gear terlalu ringan menyebabkan tayar berputar setempat. Dengan badan membongkok sehingga dagu hampir mencecah stem, aku beransur naik.
Laluan pohon bambu ditinggalkan. Terbentang pula cerun terpacak curam. Aku angkat tangan tanda menyerah kepada tantangan alam. Tak daya la nak jadi hero macam Rosyam Noor nak jerit "Batu Dammmmm! Aku cabar kauuuuu!!!". Memang tak tercabarpun.
Denai mendaki melebar dengan cerun berkurangan menjadikan pendakian kurang menyiksakan. Bolehlah pengayuh tahap amatur macam aku meneruskan kayuhan sehingga ke "Stonehenge". Simpang yang ada 4 tiang konkrit yang tercongok di situ sekian lama. Golongan berhaluan kiri di bawah Pimpinan Is dengan Cboothugs sebagai timbalannya sudah terlajak turun menghala ke Riverstone Eco Resort. Mujur suara aku cukup kuat untuk melaung mereka supaya berpatah balik.
Stonehenge jadi tempat berehat sementara untuk bergabung semula dan mengatur strategi serangan baru. Denai seterusnya lebih mencabar. Ditokok dengan mentari yang semakin menegak di atas kepala. Denai sempit melewati gaung dalam kemudian mendongak ke atas dalam laluan berturap batu-bata yang sudah uzur berlumut dan berantakan. Semak samun sudah menjalar dan melitup menambahkan lagi keringsaan.
Semakin lama semakin mendaki. Denai makin sempit tetapi sedikit melegakan kerana dinaungi rimbunan pohon rimba. Alur air, batu, akar dan juntaian akar memang mencabar. Pandak yang pertama kali merasa berkayuh off-road sesekali kedengaran merungut. "Sakit pingganglah, BC...". Biasalah, orang baru. Orang lamapun sakit jugak pinggang. Tapi...buat-buat tak tahu sajalah.
Nada berubah bila denai sempit mulai menurun. Di kepala dah terbayang kelazatan melayan downhill. Denai sempit melorot turun melalui lembangan sungai. Satu ketika, penuh menjalar daun kesum di situ. Semerta bau kuah laksa menyumbat hidung. Sekaligus rasa lapar tiba-tiba menerpa. Nasi lemak di dalam beg terasa menggamit-gamit. Sabarrrrrr....
Pohonan Tersungkur, Downhill Terbantut
Angan nak berdownhill sakan terbantut bila denai terhalang dengan pokok tumbang. Denai terhalang sepenuhnya hinggakan tiada celahan langsung. Mujur gerak hati tadi malam menyebabkan aku terbawa parang yang sekian lama tak bertugas. Bolehlah juga ditebang ditebas pokok tumbang cukup sekadar membuat laluan. Sebilah parang digilir-gilir tukang tebasnya. Nampaklah gaya macam mana orang bandar pegang golok. Tak berbakat langsung! Agaknya pokok-pokok itu tersungkur selepas acara EcoX. Kalau sebelum, mahu dah terang ditebas dek crew EcoX dan Nomad Adventure.
Denai sedap masih berbaki selepas beberapa gangguan pokok tumbang. Masih lagi terasa enak lazat menyelinap dalam denai bengkang-bengkok. Sang Raksa memang boleh diharap. Cuma cengkaman dirasa sedikit kurang berpunca dari tayar yang terlebih keras. Aku dah malas nak laras angin. Hentam sajalah.
Piknik Nasik Lemak
Jam dah pukul 11 lebih. Lintasan sungai untuk berpiknik makin dekat. Laluan meluru turun. Denai sempit berbatu dan berlurah diterjah. Aku di depan sekali. Deru air macam bersorak. Dan aku meluru deras tanpa mempedulikan lecah dan lopak. Dan tiba-tiba seluruh basikal terbenam separuh tayar dalam lumpur. Padan muka!
Kawasan piknik sasaran dijejak sekitar jam 11.30 pagi. Nasi lemak dilahap peenuh selera. Menyesal pulak sedikit sebab bawa bekal sebungkus saja. Yang lainpun ada juga yang bawa nasi lemak. Memang sedap nasi lemak bertambah bila dihadap dalam keadaan lapar. Tambah lagi dengan kaki terendam dalam air sungai jernih sejuk. Yang tak bawa nasi lemak, telan air liur sajalah. Ha, kan sudah diperingat. Lepas makan, upacara rendam-rendaman sambil memeriksa tubuh badan agar bersih dari hinggapan sang pacat. Kalau kena gigit pacat 3, 4 tempat tu kira biasa sajalah di Batu Dam.
Satu kumpulan 8 orang bergerak dulu kerana ada hal yang nak dibereskan. Kumpulan belakang meneruskan santaian hingga hampir jam 12.00 tengahari. Nasi lemak selamat menerjah masuk ke dalam perut. Badan yang dah berbau hamis selamat disiram dengan air sungai sejuk jernih dingin. Masa untuk beredar!
Denai rimba sepanjang sungai bermula. Kayuhan dalam teduhan hutan dengan denai mendakap lereng. Tiba ke satu bahagian, tebing sudah ranap dihakis air. Terpaksa ditempuh dengan berhati-hati. Denai masih becak. Basikal yang sudah berbasuh kembali bersalut selut. Bermula seksyen pendakian. Denai dengan cerun mencanak ditokok dengan lurah air dan akar berselirat. Satu dua bahagian jadi bertambah cabaran dengan pokok tumbang. Aku cuba bersaing dengan Shaque dan Pine. Nyata tak termampu kerana mereka pengayuh kelas perlumbaan. Tak terikut kederat betis mereka.
Aku Mahu Pulang!
Masa menuai menjelma bila denai di bawah pohon bambu bertukar cerun menurun. Masa untuk menuntut bonus. Aku sesah setakat termampu. Denai tanah liat sedikit licin di basahi air dan dilitup daun buluh kering. Sesekali ada drop off, tebing potong setinggi sekaki. Kalau berani boleh cabar graviti, terbanggggg...Salah landing, masuklah ke dalam jurang.
Cerun menurun laju bertambah mencabar bila tiba-tiba menjunam curam. Akar-akar berselirat menambahkan seriau. Pun begitu, ditala juga setelah dibaca basmalah dan sedikit doa. Selamat melorot turun denai curam. Cahaya mentari mula menerobos setelah sampai hampir ke penghujung denai. Kitaran lawan jam hampir tamat dan denai akan bertemu kembali dengan lintasan sungai pertama.
Tetapi, denai Batu Dam tidak akan melepaskan anda pergi begitu saja. Sebelum kembali melintas sungai perlu dihadap satu laluan turun curam bersempadan dengan kebun. Mujur laluan sudah ditarah cantik. Cuma beberapa pokok tumbang menghalang kesedapan melorot turun. Kemahiran turun cerun dengan ponggong di belakang pelana diuji. Ada yang kandas sehingga terbabas ke dalam semak. Mujur tiada cedera. Sekadar jadi bahan lelucon untuk ketawa bersama-sama.
Sungai pertama dilintas kembali dan seperti biasa kayuhan balik bermula dari situ adalah kayuhan "kasi habis". Segala saki baki tenaga yang ada aku belasah. Chainring depan tengah-belakang kecik jadi belasahan. Berat, tapi aku gagahkan juga. Itu pilihan gear terbaik bagi aku untuk memecut pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.
Denai beralun naik turun mendakap tebing tasik dibelasah. Hanya aku seorang diri dengan Sang Raksa. Yang lain sama ada sudah ke depan atau masih di belakang. Anak-anak sungai diterjah. Air memercik tidak dipedulikan. Tahu-tahu di depan ada pengayuh lain. Oh...kumpulan yang beredar awal tadi rupanya. Sudah dapat dikejar. Dengan penuh sopan santun aku mohon laluan mencelah memotong asal ada peluang. Matahari tengahari galak membakar dan bahang makin terasa bila menghampiri teging empangan. Jalan keluar tidak mengikut jalan masuk sebaliknya,mengikutjalan hadapan. Aku berehat sekejap di bawah pokok dekat tebing empangan menunggu yang lain sampai dan juga menikmati saujana hijau pemnadangan tebing. Memang segar dan syahdu. Shaque sengaja mengambil pace santai, berlenggang mak inang di belakang. Tidak laju seperti selalu. Meraikan kawan-kawan agaknya. Rumpun kesum berasak dan terjulur dari mulut beg.
Tebing empangan dengan hamparan rumput hijau saujana terbentang. Tebing cerun panjang mendakap laluan turun yang kalau berani boleh mencecah 60km/j. Jalan pulang dengan finale downhill di padang rumput hijau menutup sayembara kayuhan piknik nasik lemak Batu Dam. Denai Batu Dam masih mengujakan!