P ada satu pagi Jumaat, sekitar Jam 0715hrs, aku sedang bersiap untuk pergi kerja. Tidak seperti jutaan orang lain yang berkereta atau bermotosikal untuk ke pejabat, aku memilih untuk mengayuh basikal. Gerak naluri merasakan satu kelainan pagi itu. Ekor mata terperasan kelibat 3 lelaki yang agak mencurigakan.
Seorang bertubuh agak gempal, sederhana tinggi sekitar 165cm. Mukanya berjambang dengan sedikit roman arab. Kesan basuhan minda oleh media, tercetus di dalam hati "Mamat ni macam teroris saja nih...". Chis, tanpa sedar aku telah termakan racunan brainwash media yang didalangi barat. Aku geleng kepala untuk membuang tanggapan jahat tersebut. Tapi hati masih terasa kurang enak.
Dua lagi temannya bertubuh kurus dengan ketinggian yang lebih kurang sama. Mereka cuba kelihatan selamba dan aku perasan mereka seakan memerhatikan pergerakan aku. "Aikkkk...apa pasal?". Minda bergolak lagi, penuh tanda tanya.
Sebaik pakaian kerja dimasukkan ke dalam beg pannier, helmet disarungkan ke kepala, lampu depan dan belakang dinyalakan, aku siap untuk berkayuh. Pagar dibuka dan basikal lama komuter dan juga tourer aku bergerak malas dan perlahan meninggalkan rumah. Sengaja aku lalu di tepi mereka untuk melihat mereka dengan lebih dekat.
Kira-kira seminit selepas aku meninggalkan mereka, aku menjeling cermin pandang belakang dan nampak kereta mereka juga mengesot mengekori aku. "Mungkin kebetulan sama haluan kot?", aku cuba menyedapkan hati. Dan hati sedikit lega bila kereta Wira yang dipandu memotong aku. "Memang kebetulan rupanya...". Lega rasa hati.
Tapi...pelik. Kereta mereka dipandu perlahan kira-kira menyamai kelajuan aku. Nampak seolah penumpang belakang tertinjau-tinjau ke arah aku...Aku kembali curiga.
Dan bila sampai ke simpang, mereka juga membelok ikut laluan aku. Pemanduan masih lagi perlahan. Selepas simpang yang kedua, penumpang belakang menurunkan cermin. Sekonyong kepalanya terjulur keluar. Matanya memandang tepat ke arah aku...Di tangannya, kamera DSLR prestasi tinggi. Langsung dia mengintai di balik kamera dan merakamkan gambar aku. "Omak kau kepala terjulur". Terlatah sekejap aku. Sah, memang mereka ada rancangan dan niat tertentu pada aku.
"Apa nak buat? Apa nak buat?", getus hati mencari akal. Spontan tangan aku mencapai kamera dan bersedia untuk mengambil gambar. Gambar yang boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini...
Kepala terjengol dengan lensa telefoto diarahkan pada aku
Siapakah 3 lelaki tersebut? Wartawan? Perisik Cawangan Khas? Kenapa cuba mengambil gambar aku? Adakah aku ada hubungan sulit dengan mana-mana artis atau ahli politik? Mahu tahu jawapan kepada persoalan ini? Jawapannya ada dalam majalah Cycling Asia isu ke 5. Dapatkannya nanti!
...Saja bikin gempar. Jangan marahhhhh :)