Thursday, July 01, 2010

KLMBH Epic Hash 2010

T iga minggu aku dan basikal terselamat daripada jamahan tanah, selut dan lumpur. Tiga minggu aku tidak menjamah denai dan lereng. Hanya sekadar bermain-main di atas tarmac. Tiga minggu...kerana memberi keutamaan kepada hal urusan keluarga yang lebih mustahak.

Dalam debar menunggu tibanya hari, 27 Jun 2010, Ahad, untuk berwisata sikalan di Ulu Tamu. Debar kerana khuatir akan muncul gendala saat akhir yang membatalkan rencanaku. Ada bunga kemunculan gendala bila isteri perlukan kereta pada hari peristiwa. Mujur datang Pian dari nun Pulau Mutiara menawar jalan keluar. Selamat!

Maklumat dikumpul, jentera disedia. Sang Bara bakal beraksi diberi tayar langsing agar lebih mudah mendaki(kununnya!). Lakar laluan sudah diberi. Bukit mencanak bakal menanti. Betis peha bakal diuji. Mampukah aku mengharungi? Belum tengah malam datang khabar dari UK (Ulu Kalong), berhampiran medan tempur, memaklumkan hujan sedang menitis di Ulu Tamu...Ah, petanda tragis, petanda sadis...Laluan akan melembik dan melicin...

Sakti hari mengayuh agaknya, jam 5.30 pagi aku sudah terpacak jaga. Pian yang menumpang tidur di rumah juga sudah membulat mata. Bagai tak sabar rasanya dia mahu menerjah medan tempur mencari kembara di sebalik seksa dan dera. Jam 6.30 pagi, Unser yang sudah siap berisi dua jentera meluncur pergi. Mentari masih selindung di ufuk timur. Laluan pintas Seri Gombak > Sungai Kertas di terjah. Tahu-tahu sudah sampai di jalan mendaki berhampiran Empangan Batu.

Beberapa kereta sudah di jalanan. Dari cermin pandang belakang, ternampak kelibat kereta di belakang dengan basikal bertenggek di bumbung. Satu arah satu tujuan rupanya. Laluan berbukit bukau melewati kawasan lipur Sungai Tua. Dalam kesamaran, dari kejauhan nampak kerdipan lampu merah. Aku katakan pada Pian, mungkin roadie yang turun awal pagi itu. Semakin dekat, basikal nampak lebih jelas sebuah basikal bukit, bukan basikal lumba kurus cekeding. Dan susuk sangg pengayuh memang cukupku kenal...Lim Yew Meng! Berkayuh dia dari Kpg Melayu Subang ke Tamu Hill Park! Hebattttt! Sempat aku menyakat dia pelawa naik kereta. Dia hanya tersenyum campur sedikit terperanjat kerana disakat begitu.

Jam 7.05, Unser hitam melipat masuk ke Tamu Hill Park. Kereta belum banyak. Beberapa basikal sudah berkeliaran. Dan mentari mulai tersipu muncul di horizon...Kereta makin menderu. Kaunter pendaftaran makin dikerumuni. Sibuk dan jenuh Soon, Adila, Ai Ling dan krew mereka memastikan urusan pendaftaran lancar.

8.30 pagi, Huang Ying How, kepala kepada penganjuran hash epik ini mengambil tempat di singgahsana. Dengan hailer di tangan, maharaja bertitah akan perihal urus atur dan tatacara epic hash. Maka terdiam dan terpegunlah akan semua hamba rakyat sekalian mendengar akan titah perintah maharaja Huang itu. Jarak kayuhan 51km...5 seksyen...Seksyen 1 bukit curam dan panjang...dan perhatian aku mulai terganggu selepas maklumat terakhir itu menerjah masuk ke telinga. Hubungan aku dengan bukit curam belum pernah lagi mencatatkan rekod yang baik...Dan sekutuan bukit curam dengan hujan tadi malam akan membuatkan rekod aku makin parah.

Reme Gimen buang tebiat agaknya pagi itu. Dia pakai helmet full face. Tak cukup dengan itu basikal Orbea Occumnya digantikan dengan motor scrambler... Chissss, mana aci macam ni? Dan kerana dia bermotor, diperintahkan beliau mengepalai kayuhan pagi itu. Dengan kalimah keramat ON ON dan deruan motor Reme, gerombolan basikal gunung meluru pergi...

Berpusu basikal berbondong-bondong menghala ke belakang Tamu Hill Park, menyusur jalan tar kemudian masuk ke kebun kelapa sawit. Baru sekejap sudah berhadapan dengan bukit curam. Bertolakanlah pula beramai-ramai. Tampaklah yang pengayuh kita masih kurang arif dengan adab berkayuh. Habis penuh laluan diisi basikal. Seharusnya tolakan biarlah pada sisi jalan. Biar ada sedikit ruang untuk mereka yang berhajat dan mampu berkayuh. Semoga pengayuh kita akan lebih beradab pada masa hadapan.

Bukit pendek sahaja diikuti dengan luruan menurun. Ramai yang teruja. Ramai juga yang alpa. Peringatan sudah diberi supaya berhati. Laluan dipenuhi lumut hijau licin. Dan ternyata peringatan tidak bersahaja kerana tiba-tiba di hadapanku tergolek satu manusia. Bedebup!

Mujur sempat aku mengelak dan aku teruskan kayuhan sehingga beberepa ketika kemudian perjalanan terhenti lagi. Kenapa pula? Laluan luas. Tiada halangan...tetapi...Rupanya berlaku satu lagi kemalangan. Semua gara-gara laluan licin berlumut. Pengayuh malang sudah diberikan rawatan awal. Betis kanan yang luka agak dalam siap dibalut dan digam dengan duct tape. Titisan darah bertompok di atas jalan. Nampak macam banyak juga pendarahan. Aku hanya mampu tolong tengok sambil melaungkan amaran kepada pengayuh lain supaya beringat dan berhati-hati. Kayuhan baru beberapa minit sudah berlaku berbagai insiden...

Tak lama lepas itu, jem lagi sekali. Dek kerana tersekat agak lama, dan nampak laluan rupanya hanya bersebelahan dipisahkan oleh lembah sungai, sekumpulan pengayuh mengambil jalan pintas menuruni tebing dan mengharung paya. Terhegeh la jugak aku yang tak tahan godaan mengikut sama. Ada polis trafik tak? Kalau ada, sah kena saman...

Laluan seterusnya lebih mneyelesakan. Kayuhan tenang lancar di dalam ladang kelapa sawit. Mukabumi beralun naik turun sedap kaki mengayuh. Melintas Jalan Lama Genting. Melalui kawasan lapang taman perumahan tinggal. Bangunan separuh siap tersorok di sebalik semak samun bagaikan puing-puing runtuhan purba. Seronok dan santai...Yeahhhh!

Dan biasalah, keseronokan itu takkan kekal lama. Laluan mula berubah rupa mendaki. Fasa awal aku masih boleh terjah lagi. Dan mercu tanda sengsara ditanda dengan tandaan simbolik...Sebuah jentolak diparkir di laluan tanda permulaan pendakian. Hah! Aku berhenti sebentar untuk melampiaskan pundi-pundi yang mula protes. Dan...bermulalah pesta MTB - mari tolak basikal.

Tolak, tolak...dan tolak. Kecerunan purata 45 darjah. Permukaan licin. Cukup resipi azab. Semangat dikuatkan dengan bayangan downhill yang bakal dijamah sebaik sampai ke puncak.

Puncak di capai! Lega seketika. Ah...laluan becak! Licin dan berselut. Mati angan-angan untuk brappppp dan meluncur turun. Gelekan tayar bila melalui selut dan lumpur mengeluarkan bunyi berdecap. Bunyi tanah lembik beradun air melekat pada tayar. Kayuhan terasa berat. Basikal terasa hanyut dan terapung. Salah arah dan imbangan boleh tersungkur.

Jalan licin berterusan dan bertambah teruk bila melalui rimbunan buluh. Semua mengesot perlahan, berhati mengatur langkah menuruni cerun curam yang licin. Sekejap-sekejap disela bunyi bedebup...Bunyi pengayuh melagakan ponggong dengan tanah. Lumpur bercampur daunan kering menggumpal dan melekat pada tayar. Tayar depan dan belakang dah berontak tak mahu berpusing. Langkah kaki harus diatur berhati-hati mencari tempat bertapak yang mantap. Kalau tidak, berdebup-berdebap.

Habis laluan buluh membawa kepada laluan lereng terbuka. Sayup pemandangan hijau melegakan mata. Bila terpandang balik denai, hati jadi berkecai. Lumpur lembik berserakan. Tambah parah bila dibajak ratusan kaki dan basikal. Balak tumbang menambahkan lagi perisa pedas azab sengsara. Ahhhhhh...

Jam dijeling melihat masa. Masa yang semakin menipis kerana jam 11.00 sudah menghampiri. Hitungan ringkas merumuskan aku tak akan dapat sampai ke Seksyen 1 dalam masa ditetapkan. Hati kecewa...Basikal ditolak, bukan, bukan ditolak, tapi diheret kerana tayar tak mau lagi berpusing. Gumpalan selut memasak tayar hingga tayar tidak boleh bergolek. Kecerunan nampak menyelerakan, aku cuba nak meluncur turun tapi tak berdaya sebab gumpalan lumpur sekejap saja sudah mengasak tayar. Turun bukitpun kena tolak...Leceh!

Cerun akhirnya melandai. Laluan bertemu sungai. Lebar sekira 20meter. Arus deras separas pinggang. Salah langkah boleh rebah dan hanyut dibawa arus. Ramai yang sudah bersantai, mencuci basikal berpiknik bagai. Aku yang sudah kuciwa ikut sama berpesta. Pesta lega. Bekalan air ditogok. Ada sebiji dua pisang dilahap. Bila epik tidak lagi boleh diteruskan, elokla diringakan beban. Senang dan mudah nak balik ke tempat permulaan. Begitulah sifirnya...

Setelah santai ria piknik hampir setengah jam, aku sambung kayuhan. Tiada gesa, tiada buru, kayuhan tenang bersahaja. Lazat pulak hidangan menjelma. Baru rasa enak lazat dapat berkayuh. Laluan beralun sederhana dalam teduhan kelapa sawit. Tiada insan lain kelihatan. Hanya aku, Sang Bara dan alam...Laluan melintas jalan tar lagi sekali. Agak memeranjatkan kerana kereta menderu. Syed Heckler sudah tercongok di situ menunggu peluang jalan lapang untuk melintas. Aku sempat bertegur sapa seketika sebelum memintas Syed dan berkayuh pergi.

Lat tak lama bertemulah dengan penanda tamat Seksyen 1. Koko Riza dan seorang teman menunggu. Tanpa segan dan silu aku bertanya "Which way is OUTTTT???", dengan aksen mat salleh pekat. Koko Riza hanya tersenyum kemudian bercerita panjang lebar laluan ayam untuk balik ke Tamu Hill Park. Sesudah habis pandu arah, baru dia bertanya "Tak mau teruskan ke?". Aku tersentak. Aikk, bukan dah tutup laluan? "Kita bukak lagi sampai ke Seksyen 2. Trylah, trail dah tak sesusah Seksyen 1". Alamak...hati teruja. Risau pulak menerpa...sebab bekalan dah abis diratah masa berpiknik tadi. Air tinggal seliter saja. Hati meronta. Selepas sedikit pertimbangan dalam keadaan separa waras aku ambil keputusan meneruskan sekurangnya ke Seksyen 2.

Laluan berputar dalam ladang kelapa sawit dengan beberapa terkaman pendek. Permukaan jalan walau lembik tapi boleh berkayuh. Seronok melayan. Hilang luput segala kekecewaan semasa melalui Seksyen 1. Laluan berakhir dengan denai batuan yang bertemu dengan sungai. Lintasan sungai kedua. Terserempak Shahrul dengan Transitionnya. Tercangak mencari sambungan laluan. Lega dia bila ada teman. Berdua kami tercangak mencari sambungan yang memang dekat sahaja.

Sungai arus deras separas peha diredah dengan basikal digalas di belakang. Laluan menyusur caruk sungai kemudian mendaki dengan kecerunan sederhana. Agak jauh juga. Aku gagahi berkayuh sehingga bertemu terjunan teres dengan akar berselirat. Nampak seperti boleh dituruni. Dengan berhati-hati Sang Bara melorot turun. Perlahan pada mulanya. Selepas didapati teres tidak terlalu licin, aku belasah laju sedikit. Segala akar getah yang berselirat dirembat sambil sesekali terpaksa beraksi drift bila tayar hilang cengkaman. Bayangan endo jurus lipat kuang atau sembaman kala jengking menghantui fikiran..

Sama ada hares ini nakal atau terlebih kreatif, laluan hingga menerobos tepi pondok orang. Dalam laluan menurun pulak tu. Curam pulak tu. Licin pulak tu. Empunya pondok hanya mampu melihat basikal melintas sambil tersenyum dan dengan ramah mempelawa "Singgah la dulu, minum kopi." Buatnya semuanya singgah, tak ke habis gula kopi orang tu? Di depan ada lagi! Cerun menurun licin curam diakhiri dengan tebing tegak setinggi 5 kaki. Ha, jawab! Terpaksa dengan tak rela humban saja basikal ke bawah...

Kayuhan terus berpola mendaki tetapi mujur pada sudut yang tak berapa mereng. Kalau tidak, boleh mereng dibuatnya. Bolehlah digagahkan berkayuh perlahan-lahan santai dengan gear rendah pada kelajuan ala-ala Cik Kiah pegi pasar. Kayuh la punya kayuh, permukaan denai mula bertukar. Lecah lecak ansur-ansur berkurangan. Datang pula permukaan batu dan kemudian berganti dengan tar yang dah berusia. Wooo hooo...Tar beralun dalam dusun jadi penawar duka. Peluang untuk belasah selagi daya.

Asyik sungguh melayan alunan jalan tar dalam dusun, naik turun beralun dan masih lagi berada dalam zon mampu kayuh. Namun pada satu jaluran mendaki panjang, ada 2 pengayuh kelihatan begitu enak terlentang di bawah teduhan ditokok pula dengan laluan di hadapan masih dalam mode mendaki, aku ikut sama berbaring meredakan ombakan dada dan kencangan jantung. Bila kayuhan disambung kembali, nyata sebenarnya laluan sebenar rupanya menurun, bukan menaik. Laluan turun dilindung rumput. Ceh! Rugi masa aku berbaring tadi.

Matahari makin meninggi melewati jam 1. Maknanya, peluang untuk aku meneruskan kayuhan tertutup sudah. Bekalan air semakin merosot. Mujur bila lalu di tepi sebuah rumah, ternampak Syed sedang mendapat bekalan air dari tuan punya rumah. Aku tumpang sebotol. Air suam! Sedap rupanya air suam bila diminum semasa badan tengah letih dan tekak haus. Lebih berkesan daripada minum air ais...

Sekonyong habis tar beralun dan aku tercampak kembali ke kawasan lapang terdedah terbuka. "Macam kenal tempat ini...", kata suara hati. Aku amati lagi sekali untuk kepastian. Sah, itu kawasan taman perumahan tinggal yang macam puing-puing runtuhan purba. Laluan diamati betul-betul bagi mempastikan kesahihan. Tandaan kertas jelas...Satu petanda baik. Memang kadang-kadang laluan hash akan berulang. Itu biasa asalkan tandaannya jelas. Aku gagahkan diri berkayuh lebih laju. Ada lagi kederat sedikit sebanyak. Keluar dari kawasan perumahan terbengkalai ke jalan tar. Membelok kiri dan dari kejauhan sudah nampak tenda biru. Lega! Jam hampir 2.00 petang bila aku sampai ke Seksyen 2. Laluan sudah lama ditutup dan aku terpaksa akur kelembapan kayuhan aku dan beberapa adegan tersalah perhitungan...Cukuplah, separa epik untuk aku hari itu...Sungguh satu kayuhan epik. Kalau cuaca molek dan denai kering, mungkin lebih sedap rasanya kayuhan...Jauh di sudut hati, sudah ada rencana untuk menyambung kayuhan ini...Bila?

Sunday, June 20, 2010

Aku Diintip???

P ada satu pagi Jumaat, sekitar Jam 0715hrs, aku sedang bersiap untuk pergi kerja. Tidak seperti jutaan orang lain yang berkereta atau bermotosikal untuk ke pejabat, aku memilih untuk mengayuh basikal. Gerak naluri merasakan satu kelainan pagi itu. Ekor mata terperasan kelibat 3 lelaki yang agak mencurigakan.

Seorang bertubuh agak gempal, sederhana tinggi sekitar 165cm. Mukanya berjambang dengan sedikit roman arab. Kesan basuhan minda oleh media, tercetus di dalam hati "Mamat ni macam teroris saja nih...". Chis, tanpa sedar aku telah termakan racunan brainwash media yang didalangi barat. Aku geleng kepala untuk membuang tanggapan jahat tersebut. Tapi hati masih terasa kurang enak.

Dua lagi temannya bertubuh kurus dengan ketinggian yang lebih kurang sama. Mereka cuba kelihatan selamba dan aku perasan mereka seakan memerhatikan pergerakan aku. "Aikkkk...apa pasal?". Minda bergolak lagi, penuh tanda tanya.

Sebaik pakaian kerja dimasukkan ke dalam beg pannier, helmet disarungkan ke kepala, lampu depan dan belakang dinyalakan, aku siap untuk berkayuh. Pagar dibuka dan basikal lama komuter dan juga tourer aku bergerak malas dan perlahan meninggalkan rumah. Sengaja aku lalu di tepi mereka untuk melihat mereka dengan lebih dekat.

Kira-kira seminit selepas aku meninggalkan mereka, aku menjeling cermin pandang belakang dan nampak kereta mereka juga mengesot mengekori aku. "Mungkin kebetulan sama haluan kot?", aku cuba menyedapkan hati. Dan hati sedikit lega bila kereta Wira yang dipandu memotong aku. "Memang kebetulan rupanya...". Lega rasa hati.

Tapi...pelik. Kereta mereka dipandu perlahan kira-kira menyamai kelajuan aku. Nampak seolah penumpang belakang tertinjau-tinjau ke arah aku...Aku kembali curiga.

Dan bila sampai ke simpang, mereka juga membelok ikut laluan aku. Pemanduan masih lagi perlahan. Selepas simpang yang kedua, penumpang belakang menurunkan cermin. Sekonyong kepalanya terjulur keluar. Matanya memandang tepat ke arah aku...Di tangannya, kamera DSLR prestasi tinggi. Langsung dia mengintai di balik kamera dan merakamkan gambar aku. "Omak kau kepala terjulur". Terlatah sekejap aku. Sah, memang mereka ada rancangan dan niat tertentu pada aku.

"Apa nak buat? Apa nak buat?", getus hati mencari akal. Spontan tangan aku mencapai kamera dan bersedia untuk mengambil gambar. Gambar yang boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini...


paparazi
Kepala terjengol dengan lensa telefoto diarahkan pada aku

Siapakah 3 lelaki tersebut? Wartawan? Perisik Cawangan Khas? Kenapa cuba mengambil gambar aku? Adakah aku ada hubungan sulit dengan mana-mana artis atau ahli politik? Mahu tahu jawapan kepada persoalan ini? Jawapannya ada dalam majalah Cycling Asia isu ke 5. Dapatkannya nanti!


...Saja bikin gempar. Jangan marahhhhh :)

Saturday, May 29, 2010

Lights! Camera!...Camera???!!!

A ction!!! Kamera baru telah tiba! Bukan kamera digital single-lens reflex, cuma kamera saku biasa-biasa saja. Itupun tebus mata ganjaran kredit kad. Kalau nak beli, lambat lagi la pulak. Kameranya Olympus model FE4020. Kamera untuk main pondok-pondok kalau banding dengan kawan-kawan BBB yang telah terkena racunan Aboi ikut terjebak bermain DSLR.

Kamera poket hala dan tembak Olympus FE4020. Gambar huru-hara. Ini gambar pantulan cermin yang diterbalikkan. Ditokok dengan suntingan tahap amatur baru menyusu...Memang mengecewakan. Ishhhh...

Apa yang Olympus FE4020 ni boleh buat? Apa spek yang dia kasi? Spesifikasi...


CCD Size (inch)1/2.33
No. of effective pixels14 megapixels
Removable memorySD/SDHC Card
Internal memory18MB
Recording file formatJPEG
Recording image size (max.-min.)[4:3] 4288x3216 - 640x480
[16:9] 1920x1080
Lens focal length equivalent to 35mm26-105mm
Aperture rangef2.6(W) - 5.9(T)
Focusing SystemCCD contrast detection
AF modeiESP, Spot, Face Detect, tracking
Focusing range (Normal / Macro /Super Macro)[Normal] W:0.6m-∞, T:1.0m-∞
[Macro] W:0.2m-∞, T:0.6m-∞
[Super Macro] 0.04m-∞ f=5.45mm (focal length fixed)
Zoom [Optical / Digital (total)]4x / 4x (16x)
Sensitivity (Standard Output Sensitivity approx. ISO)ISO100/200/400/800/1600/AUTO
Light metering system ESP
Exposure compensation ±2 EV in 1/3 EV steps/td>
Shutter speed (sec.)Auto: 1/2-1/2000(Candle Scene: Longest 4 Sec)
White balance Auto, Preset (6 types)
Shooting modes Scene Mode (Portrait, Landscape, Night, Night+Portrait, Sport, Indoor, Candle, Self portrait, Sunset, Fireworks, Cuisine, Documents, Pet)
Magic Filter(Pop, Pinhole, Fisheye, Sketch)
Movie recording file formatAVI Motion JPEG
Movie recording size (Recording time or size) VGA, QVGA : continuously no limit or up to 2GB (Maximum file size is 2GB.)
Still image edit functionsResize, Trimming, Perfect Fix
TFT colour LCD monitor2.7-inch
Flash functions Auto, Red-Eye Reduction, Fill-in, OFF
Selftimer Available (2seconds, 12seconds)
Power supplyLI-70B
Dimension (W x H x D)mm* CIPA guideline compliant 95.0 x 56.2 x 22.8mm
Weight (g) with Battery and Media* CIPA guideline compliant 128g

Sunday, May 16, 2010

MTB 101 : Soalan Yang Tak Patut Ditanya

S aya sering juga ditanya soalan-soalan mengenai MTB terutama dari mereka yang baru nak berkecimpung dalam bidang ini. Mungkin kerana kurang pengetahuan barangkali, mereka sering melontarkan soalan-soalan cepumas yang sekali pandang macam senang, tetapi sebenarnya tiada jawapan. Saya kongsikan beberapa soalan "yang tidak seharusnya ditanya" dan beberapa cadangan soalan yang lebih menepati sipenanya (dan tidak memeningkan kepala sipenjawab). Semoga dapat membantu orang baru bertanyakan soalan yang sesuai. Juga harap dapat membantu orang lama supaya tidak mengetawakan orang baru sebaliknya membantu membawa orang baru bertanyakan soalan yang betul dan sesuai.

JANGAN TANYA... TANYALAH...
Basikal apa yang paling best???

Macam mana nak jawab soalan ni? Tidak ada satu jawapan unik. Penilaian manusia berbeza untuk bersetuju semuanya bahawa ada SATU saja basikal PALING BEST. Hakikatnya, tiada. Betulkah sipenanya memang nak tahu apa basikal yang PALING BEST?
Basikal apa yang paling sesuai dengan saya???

Daripada sembang-sembang lanjut dengan sipenanya, kebanyakan mereka sebenarnya ingin mencari basikal yang sesuai dengan mereka. Biasalah manusia, bila mencari mestilah mahukan yang "paling best". Kemudian, dilaraskan ikut kemampuan dan kesesuaian.
Kepada yang ditanya, doronglah penanya dengan soalan-soalan yang relevan. Misalnya, "Awak nak kayuh off road, road, atau dua-dua sekali? Berapa bajet awak? Dan SANGAT LAZIM untuk orang baru terkejut bila diberitahu harga biasa basikal dalam lingkungan RM1,500 ke RM2,500 untuk permulaan.
Basikal apa yang paling ringan???

Ini berpunca daripada tanggapan umum yang basikal prestasi tinggi "ringan giler" hingga boleh diangkat hanya dengan satu jari.  Jawapannya mungkin ada dalam buku Guinness Book of Records.  Tapi...bukan itu yang dicari sipenanya.
Berapa berat biasa sebuah MTB???

Temuduga lanjut mendedahkan yang itu sebenarnya yang dicari sipenanya. Dia sedang mencari anggaran berapa agaknya berat MTB dia nanti. 

Jawapan yang sesuai mungkin boleh jadi 12kg - 15kg untuk MTB kategori permulaan.
Basikal apa yang paling laju???

Versi lain soalan ini ialah "Berapa boleh lari?".  Manusia memang sentiasa tergoda dengan kelajuan.  Hingga nak memilih basikalpun nakkan basikal yang laju.  Mereka terlupa hakikat yang kelajuan basikal sangat dipengaruhi oleh enjin dua kuasa kaki yang mencelapak atas basikal.
Biasa kayuh berapa laju???

Memang agak janggal soalan ini.  Berbeza dengan basikal lumba (road bike), kelajuan bukan perkiraan utama sesebuah MTB.  Banyak aspek lain yang perlu diteliti seperti geometri, kendalian, ketahanan dan seumpama.  Cuba jelaskan tanpa merumitkan kepada sipenanya.
Basikal apa yang paling mahal???

Satu lagi soalan kategori cepumas Guinness Book of Records.  Jenuh garu kepala kalau nak dijawab secara langsung soalan ini.  Kalau penanya memang BETUL nak tahu basikal paling mahal, minta dia rujuk Guinness Book.   
Berapa bajet yang sesuai untuk beli MTB???

Dalam situasi ini, penanya sebenarnya cuba menganggar bajet yang sedia dikorbankan untuk sebuah MTB dengan mencari kompromi di antara basikal paling mahal dengan yang paling murah.  Berkait dengan soalan berikutnya.  
Basikal apa yang paling murah???

Berkait dengan soalan di atas.  Selalunya dua soalan ini macam kembar.  Datang berturutan. 
Berapa bajet yang sesuai untuk beli MTB???

Opppsss...bukan salah taip di atas tu.  Memang maksud yang tersirat bagi soalan ini dan soalan di atas.  Penanya sudah berkira-kira berapa hendak dan sanggup dikorbankan untuk sebuah MTB.  Terus mendorong untuk membantu sipenanya mendapatkan MTB terbaik dengan bajet yang dicadangkan.  Kalau perlu, cadangkan supaya bajet ditambah sedikit untuk dimasukkan sekali dengan helmet dan keperluan asas mengayuh yang lain.
Paling mahal vs paling murah sebagai penanda aras MTBnya nanti.
Kedai basikal mana yang paling murah???

Bunyi macam nak beli kedai?  Nak beli kedai basikal atau nak beli basikal dan alat sekulatnya?             
Kedai mana yang boleh bagi tawaran terbaik???

Sepanjang pengalaman, tiada satu kedai yang murah semuanya.  Berhati-hati juga dengan kedai yang murah.  Mungkin ada muslihat.  Ada yang jual barang tiruan.  Ada yang korbankan jaminan/waranti daripada pengeluar.  Ada yang dapat bekalan barangan dengan cara yang mencurigakan.  Pokoknya, ada muslihat disebalik kemurahan mereka.  Jangan anda terbabit sama dan ikut terkena.  Harga semata bukan kayu ukur lengkap.  Semua faktor lain perlu diambilkira.  Kemahiran mekanik, jenama yang dibawa antara faktor penting yang tidak boleh diketepikan. 


Sedikit panduan yang dapat saya kongsikan. Harapnya relevan dan tidak bercanggah dengan mana-mana kanun...Selamat berMTB!!!

Saturday, May 15, 2010

Kamera Aku Dah Rosak!

S etelah lebih 2 tahun setia berkhidmat, kamera poket yang banyak berjasa merakam gambar dan peristiwa aku berkayuhan di sana sini, merakam kerja-kerja membaiki basikal, merakam foto-foto untuk iklan barangan di BBS, merakam wajah anak isteri dalam pelbagai mood...Akhirnya, hayat kamera itu sampai ke penghujungnya. Kamera tidak mampu lagi bertahan dengan seksaan dan deraan aku. Tamat sudah riwayatnya...Sebab itu, dua tiga menjak ini blog ini tiada posting kerana tiada gambar penyeri...Aku gagahkan juga post satu dua posting walaupun hambar tanpa gambar...Kamera baru Olympus FE4020 dalam perjalanan melapor diri bertugas menggantikan Sony DSC-S700...

Wednesday, May 12, 2010

Kayuhan FRIM Paling Jauh

DARI SG BULOH KE KAKI STEROID

K awasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia memang sudah sohor di kalangan pembasikal. Latar mukabumi dengan rimbunan pohonan rimba berserta denainya memang sesuai untuk kegiatan luar pintu - rentas desa sama ada berjalan kaki atau berbasikal, menjadi aktiviti utama. Lazim hari Sabtu dan Ahad dipenuhi pengunjung

Untuk pembasikal gunung, ada dua jalan masuk yang lazim, melalui pintu depan di Kepong atau lewat denai belakang dari Hospital Sungai Buloh. Kitaran lazim biasa memberikan jarak sekitar 15km - 16km. Merentas denai-denai Rover Track, Dream Trail, 501 dan Bukit Hari. Tapi...kayuhan terbaru aku pada 10 Mei 2010 mencatat jarak 24km. Macam mana terjadi begitu? Sesat? Tidakkkk..

Pagi Ahad, 9 Mei 2010. 2 gerombolan pembasikal, BBB dari tasik Puteri dan pembasikal lasak dari tempat kerjaku, EON Bank, sepakat untuk ke FRIM. Tempat jumpa di Hospital Kusta, Sg Buloh jadi gendala sebab ada program Hari Terbuka. Parkir dialih ke Dewan Orang Ramai, Kpg Orang Asli Sg Buloh

Aku turun dengan misi. Bukan misi jururawat hospital Sungai Buloh, misi macam Tom Cruise mission impossible tu...Jentera Sang Raksa akan meredah denai buat kali pertama. Medan ujian untuk melihat prestasi kerangka EPX Hollowpoint separa alu-separa karbon. Juga akan diuji ialah sistem pacuan dari Sram X9 dan sistem brek Quad Dime pro-RA

Langit redup pagi dengan awan gemawan bertaburan menghias langit, cuaca dingin, dengan kabus (ya kabus!), masih berapungan di sekitaran membuatkan seperti berada di Cameroon...Cameron Highland daaa...bukan Cameroon. 0845hrs, gerombolan berkayuh meninggalkan laman parkir dewan orang ramai. Berbaur jersi baru BBB dengan aneka jersi lain. Antara yang hadir - Gaplek, Aboi, Ckuku, Belacan, Ketualanun, Langgark, Kelawar, Umar, Pine. Pengayuh muda - Daniel Degawan, anak Aboi, Adam (anak Umar) dan Faris (anakku). Dari EON Bank - Hazimi, Haris (bukan aku, ada sorang lagi brader nama Haris jugak), Alvin, Bharon, kawan Bharon, dan beberapa orang lagi yang aku tak boleh ingat. Harap maaf. Motherboard ngan processor generasi lama macam tulah

Jalan tar sempit sudah dinaik taraf kepada jalan berkembar. Di kiri sungai, di kanan nurseri menjual bungaan dan hiasan taman. Jalan tar terhenti dan bersambung jalan tanah merah. Berselut berlumpur sebab malamnya hujan. Pembinaan UiTM berjalan rancak. Tayar beransur menjadi kemerahan. Belum masuk FRIM lagi tu..

Kawasan tanaman rumput di kaki bukit jadi sempadan Kg Bukit Lagong dengan FRIM. Cerun curam menanti. Jalan lembab bagaikan lapisan gam membuat tayar jadi berat dan melekat pada denai. Ujian pertama Sang Raksa. Ujian mendaki. Sengaja aku set gear depan di tengah dan gear belakang juga tengah. Sedikit lajakan dari bawah kemudian cerun mula menunjukkan garang. Gear tengah sudah terasa berat dan ego eku memaksa aku menggagahi untuk terus berkayuh dengan cadence perlahan mengesot naik. Pine muncul dari belakang membuat kejutan, kemudian dengan tenang berkayuh selamba naik bukit pertama memotong orang lain yang masih terhegeh-hegeh. Cerun yang curam dengan dada yang semakin sesak memaksa ego mengalah. Tuas gear ditekan. Penukar gear X9 mengarahkan RD menaikkan rantai satu gear. Tak cukup! Tekan lagi sekali. Baru terasa gear mampu kayuh. Gambaran awal, tukaran gear rendah X9 bila perlahan agak lembap berbanding XT Shadow. Mungkin tanggapan aku salah..

Kerangka dan berat keseluruhan yang agak ringan berbanding Sang Bara jadi sedikit penawar. Sang Raksa terus mengheret aku naik ke atas cerun dengan tenang. Berhenti di puncak pertama menunggu Faris yang tercicir di belakang

Pendakian kedua juga diberesi dengan lancar walaupun pada kelajuan rendah. Deria masih lagi mengamati tindakbalas Sang Raksa dengan rupabumi. Turut sama diamati ialah perilaku komponen-komponen lain. Quad Dime Pro-RA masih belum sempat menunjukkan belang

Selepas palang, laluan bertukar corak kepada laluan beralun dengan naik turun yang pendek. Gear tinggi digunakan dan Sang Raksa meluncur pergi. Setakat itu, dirasakan kerangka cukup bagus. Cuma pada belokan tajam dan pantas terasa belakang seperti meliuk. Mungkin sifat gentian karbon agaknya yang lebih lentur dari alu

Kaki Steroid dihampiri. Ramai pembasikal berkeliaran. Macam ada acara pulak pada pagi itu. Meriah sungguh. RM3 dihulur kepada petugas FRIM yang menunggu di situ. Ufti masuk ke FRIM. Walau masuk ikut laluan mana sekalipun, bayar tetap bayar

SUNTIKAN STEROID DIPERLUKAN!

Kelaziman berhenti dulu menambah "angin" buat bekal mendaki Steroid tidak diamalkan hari itu. Dengan luncuran perlahan, aku terus mendaki Steroid. Sahabat dari BBB melihat sahaja. Hujan malam sebelumnya menyebabkan jalan becak dan berselut. Permukaan tanah bagaikan gam memegang dan memberatkan tayar. Aku menggagahkan bermain gear sedang sebelum mengalah bila sampai ke perdu buluh pertama. Pendakian atas permukaan berselut nyata menyiksakan. Terpaksa aku memakai gear "granny"

Cungap nafas dijaga. Lenguh kaki di awasi. Dengan cadence sederhana, seinci demi seinci Steroid dikerabat. Tiada kelibat insan lain, hanya aku seorang. Lat tak lama, nampak kelibat 2 basikal nun di atas, 50meter di hadapan. Datang rasa nak mengejar. Gear ditukar, cadence ditingkatkan. Kaki protes. Aku tak peduli. Aku terjah. Rasa macam dah laju, tapi basikal di hadapan masih jauh juga. Tindakan spontan itu membuatkan jantung rasa nak meletup. aku bertahan 2 atau 3minit sahaja sebelum datang suara dalam kepala memberitahu "Tak payah kejar laaaa...maintain pace supaya cukup tenaga untuk kayuh all the way". Mujur suara itu bijaksana. Suara siapakah itu? Nasib baik suara itu tak suruh berhenti...Kalau tidak, mesti aku setuju!

Mendaki Steroid dengan basikal ekor keras nyata berbeza. Setup yang lebih ringan, dengan fork yang lebih pendek, 115mm berbanding 140mm pada Sang Bara, ditokok beberapa faktor lain memberikan pendakian yang lebih lancar. Aku heret Sang Raksa terus meredah Steroid. Memadai dengan simpang bawah. Tidak perlu hingga ke atas laluan ke helipad. Aku dah tak larat. Kederat aku bukan macam Pine

Pada laluan yang melandai sebentar, aku ambil kesempatan mencuri nafas. X9 diperintahkan memberikan gear tinggi. Gabungan depan-tengah-belakang kecil dipilih buat persediaan meluncur menuruni steroid

Minit yang pertama memberikan aku sentakan. Badan yang dimanjakan dengan ampaian penuh selama2 tahun terkejut dengan gegaran ekor keras bila melonjak menuruni cerun curan steroid. Brek Quad Dime Pro-RA bekerja keras menyelamatkan keadaan. Gegaran kuat menyebabkan penurunan aku diperlahankan. Mujur Quad kuat. Daya membrek diberikan sebagaimana diminta. Cengkaman kemas dan pasti hanya dengan tarikan satu jari. Dengan ponggong terapung diawangan, bukan di atas pelana, aku menuruni Steroid dengan hati-hati. Permukaan steroid yang "berjerawat" memastikan sepanjang laluan turun berisi dengan gegaran 5 pada skala Richter

Belokan kanan kemudian kiri yang biasa aku rembat kalau dengan Sang Bara, terpaksa diambil dengan berhemah. Gegaran berterusan sehinggalah sampai ke kaki Steroid berhampiran gazebo. Kemudian, barulah hilang gegaran dan Sang Raksa meluncur pergi dengan lebih selesa hingga bertemu kembali dengan simpang denai Bukit Hari. Ahli rombongan yang tidak menjamah Steroid, termasuk Faris anakku sedia menunggu di situ..

Cuaca hari itu memang cuaca ideal untuk berkayuh. Redup dan tenang. Kerabat dari BBB mohon diri untuk meneruskan kayuhan. Aku dan geng tertinjau mencari Bharon dan Haris A yang tak kelihatan. Naikkah mereka ke atas Steroid? Di bawah juga tiada. Dalam tercangak-cangak, baru nampak kelibat mereka di bawah menghala ke Kem Perah...Dengan suara manja serak-serak garau, aku jeritkan arahan untuk teruskan kayuhan. Trail mengalir turun. Ada cabang kiri dengan papan tanda "MTB Trail" warna merah. "Ini trail baru tu agaknya", hati berkata..

RENJISAN TEKNIKAL

Selepas cabang, hampir dengan perdu buluh, ada laluan turun ke kanan. Laluan sempit, berlurah dan teknikal. Pilihan diberikan sama ada untuk turun ikut situ atau teruskan kayuhan. Aku heret Sang Raksa turun ikut laluan itu. Bermain brek dan imbangan atas laluan sempit dan curam, menyelit di celahan pokok. Kemudian menjadi lebih mesra dan pantas. Pendek sahaja dan berakhir di Taman Botanikal Kepong. Faris ikut sama. Nampak dia memang dah macam kemaruk teknikal sekarang ni. Rizal,Haris A, Hazimi dan anaknya Aiman, juga menjadi pemberani menyahut cabaran. Bharon dan Alvin ambil jalan yang satu lagi, yang lebih biasa dilalui

Bersantai seketika berkayuh tarmac di Taman Botanikal Kepong. Berhenti di persimpangan menunggu Bharon dan Alvin yang tak muncul-muncul. Kami teruskan saja mendaki sedikit sebelum meluncur pergi dengan kelajuan "tak hingat dunia". Trek batuan sedang yang sudah padat sedap dilanyak. Sang Raksa meluncur tanpa protes. Ditokok bonus bila palang yang biasa menghalang luncur diangkat tinggi. Luncuran terus hingga ke tarmac. Dari jauh terdengar lolongan. Bukan dari serigala jadian, tapi dari sorang pembasikal gunung yang menghampiri puncak orgasma...Orgasma berbasikallah, bukan senggama

Dari situ menyelinap pula ke denai 501. (Ada kena mengena dengan syarikat seluar jeans ka?). Laluan lebar di bawah teduhan rimbunan rimba. Sungguh hening. Gerutup daun kering dan reranting reput di bawah gerutu tayar basikal. Berkayuh tenang menghirup damai rimba. Tenang dan menyegarkan

Ada satu balak tumbang sebesar sepemeluk melintang jalan. Hujung sebelah kanan ditambah satu lagi kayu kecil sedikit menjadikannya seperti tanjakan. Boleh dilepasi dengan kayuhan. Sayang aku tidak mengulang. Hanya menyedari selepas ditolak yang balak itu boleh dikayuh untuk melepasi dengan tambahan tanjakan yang dibuat

Hampir di penghujung 501, ada lencongan ke kanan. Awalan yang turun mendadak dengan akar berselirat. Sebelum ini memang curam dan off-camber tapi telah diberi sedikit rawatan oleh krew MTB FRIM menjadikannya boleh dikayuh. Denai sempit mendakap lereng bukit berselirat. Akar-akar kecil menghias lantai menambahkan perisa pada kayuhan. Sang Raksa galak berlari dengan gear tengah-tengah. Tiada masalah, tiada protes. Denai berakhir dengan longkang yang telah ditutup dengan jambatan simen. Lagi hasil kerja krew MTB FRIM. Denai pendek dalam anggaran 500m. Memang tak puas

Sementara menunggu yang lain sampai, aku berkayuh ke kaki Rover Track, menjangkakan akan berjumpa Bharon dan Alvin di situ. Penat juga menerjah untuk ke situ. Seelok sampai, telefon tangan berdering. Bharon selamba beritahu dia dah sampai ke cafe. Cis! Bedebah sungguh! Penat aku bergatih ke situ mencari mereka!

MENGGAPAI IMPIAN...THE DREAMS

Tak perlu cerita panjang bab rehat di cafe.  Lepas rehat dan isian semula, gerombolan menyambung acara menggapai impian.  The Dreams menjadi medan permainan.  Langit makin mendung dan sarat.  Awan berarak lebat.  Suasana kelam...Padan la pun kelam, aku pakai cermin mata gelap.  Cheh!  Lawak bangang!

Jam hampir 1100hrs.  Masa untuk bermimpi di siang hari.  Geng BBB sudah siap bersalaman dan bermaafan (macam nak raya pulak) selepas mohon undur diri.  Geng EBB (EON Bank) meneruskan impian.  Faris, Hazimi, anak jantan Hazimi, Haris A, Rizal, Alvin, Bharon dan Pine (racer wakil tunggal Celcom) berkayuh menuju The Dreams

Jalan tarmac menghala keluar kemudian pusingan patah ke kiri ikut Jalan Bukit Bujang.  Pendakian "boleh tahan" sebagai pemanas betis ucapan selamat datang ke Dreams.  Simpang kiri denai lebar menyambut kedatangan kami.  Masuk ke laluan rimba dengan pokok-pokok hutan yang aku tak tahu namanya (kena tanya JoeAdnan nih) tegak melayut memayung laluan.  Melandai seketika kemudian mendaki sehingga ke gerbang The Dreams.  Nyamuk berdengung meyambut kedatangan.   Suasana kelam semakin kelam di sebalik kaca mata hitam.  Sempat aku ber potpet serba sedikit cerita al kisah The Dreams setakat yang aku tahu

Masuklah pembasikal EBB satu persatu.  Akar berselirat memang pengenalan The Dreams.  Denai beralun pada mula.  Sang Raksa galak bermain.  Kerangka dengan belakang karbon ada juga faedahnya bila denai agak teknikal.  Bonggol kecil tak terlalu terasa diserap lenturan gentian karbon.  Sram X9 memberikan tukaran gear lancar dan pasti.  Terperasan beberapa tempat ada tambakan tanah yang sudah memadat.  Ah, terima kasih sekali lagi kepada krew FRIM yang membaiki dan menyenggara denai..

Laluan kemudian meluncur cerun dengan beberapa curaman pendek.  Batu-batan menambahkan lagi cabaran. Memang kena ambil posisi menunggang dengan ponggong terapung kalau bawa ekor keras.  Rentak ritma pedal perlu dijaga supaya tidak terhentak pada batu.  Menyusahkan, tetapi susah itu sengaja dicari.  Sebab, kalau kesusahan itu dapat diatasi, terasa kepuasan besar pada diri..

Sedap meluncur turun terbantut dengan cerun sempit curam dengan bongkah batu sebesar bilik tersergam. Selama aku berkayuh di Dream, tak pernah sekalipun aku berjaya kayuh hingga ke atas. Menolak sajalah. Sekonyong terdengar irama detap detap tap tap tap tap. Langit yang sedari pagi menahan beban, melepaskan muatan. Rintik hujan turun menitik pada dedaunan bagaikan konserto percussion. Kanopi rimba menapis hujan dari jejak ke tanah. Sekaligus hawa dingin menerpa. Terasa bagai di tanah tinggi.

Dreams terus mencabar dengan beberapa dakian berakar dan berbatu. Beberapa kali tayar ditolak kasar ke kanan dan ke kiri bila hilang cengkaman bermain dengan akar. Satu isyarat supaya tayar Conti Vapor 2.1 itu diganti? Atau mungkin kerana tekanan angin terlebih? Kemudian masuk ke fasa bermain dengan belok balik (switchback). Memang seronok melayan. Belok balik ke 4 sudah terhakis agak teruk. Longkang di tengah dengan tebing luar yang curam. Selalu membuat tayar belakang menggelongsor masuk kalau dihadap terlalu perlahan. Nak laju takut terbabas kerana di depan gaung dalam menunggu. Alur air menghakis permukaan denai. Nampak lembik dan berlumpur. Rasanya, elok kalau ada penghadang air (water bar) di situ.

Dream terus beralun. Menduga basikal dan pengayuh. Dahulu, sebelum sampai ke jambatan, ada halangan berbatu dan bertingkat yang ditambah payahkan lagi dengan sebatang pokok sebasar lengan di tepi laluan. Pokok itu sudahpun ditebang. Sayang sekali kerana pokok itu warisan rimba yang seharusnya dibiarkan tumbuh dan membesar. Laluan batu bertingkat juga sudah diratakan. Memudahkan, tetapi menghilangkan rasa cabaran.

Jambatan kayu tanda penghujung Dream sudah dekat. Masa bermimpi sudah hampir tamat. Dan penamatannya memang bergaya. Lalun luncur turun yang berakhir dengan batuan. Pembina trail sengaja membiarkan jarak di antara paltform batu dengan tebing longkang. Bertujuan memaksa pembasikal turun dan tolak dengan perlahan kerana denai berakhir dengan pertemuan dengan Rover Track. Rover kawasan trafik tinggi dengan joggers, trekkers dan pembasikal lain yang mundar mandir. Pertemuan dengan Rover Track menyingkap tabir mimpi dan membawa anda kembali ke realiti...Berehat sebentar.

Bila dah sampai ke kawasan sedikit terbuka baru terasa rintik halus hujan menjamah tubuh. Rover Track lengang kerana semua manusia sudah tempiaran lari berteduh dari hujan. Masa menghampiri rembang tengahari tapi suasana seolah baru jam 8.00 pagi. Jarang dapat peluang berkayuh Rover Track yang lengang. Peluang yang tidak disesiakan untuk merempit laju dari biasa. Alun naik turun Rover Track jalur lebar dilayan laju sedikit dari biasa memang mengujakan. Seronok melihat kawan-kawan yang baru pertama kali menjamah bumi FRIM. Teruja dan gumbira. Dah ada yang berkira-kira nak datang semula dengan keluarga. Hujan terus merintik halus dengan sesekali ada trekker atas denai. Kayuhan Rover akhirnya terhenti di pertemuan dengan tarmac untuk meneruskan agenda meninjau denai baru...

HANYUT DI DARATAN

Gerombolan re-group di situ. Rancangan untuk ke denai baru dimaklumkna sekali lagi dan pilihan diberi sama ada untuk mengikut ke denai baru atau balik ikut laluan Bukit Hari. Hazimi, Aiman, Faris, Haris A dan Rizal, yang patah tuas breknya, memilih untuk tidak mengikut. Aku, Pine, Bharon, Rizaldi dan Alvin gatal menyahut cabaran.

Laluan bermula dengan laluan tarmac bengkang bengkok curam hampir 45°. Laluan penuh perdaya kerana pendakian seterusnya tersembunyi di seblaik selekoh. Pine di hadapan. Kaki racernya selamba mendaki dengan gear tengah. Aku cuba mengikut nyata kaki novis aku tak mampu bertahan. Setiap kali lepas selekoh terdengar laungan Pine bagai pengumuman yang bala menanti di hadapan. Sang Raksa membuktikan yang ia handal mendaki.

Mujur dengan segala jerih payah, aku berjaya sampai ke tangki air, penamat jalan tar, tanpa perlu menolak basikal. Satu kepuasan yang amat sangat!. Alvin, Rizaldi dan Bharon menyusul kemudian. Cuaca masih redup walaupun masa sudah tengahari rembang. Berehat sebentar sebelum menerjah masuk ke laluan seterusnya.

Denai sempit beralun kecil sepanjang laluan paip jadi sajian seterusnya. Jalan licin menambahkan deraan. Namun berjaya juga digagahkan. Rasa takut bimbang berbaur bila terpandang gaung dalam di sebelah kiri.

Laluan tidak mudah. Sekonyong tercongok di depan mata tebing curam dan licin. Memang tak boleh berkayuh langsung. Tayar belakang berpusing setempat macam cerita Tokyo Drift. Nak menolak naik juga azab kerana permukaan licin. Harus berhati mencari tempat bertapak. Sampai ke atas puncak satu kelegaan. Denai sempit di sebelah kiri menanti...

Sementara menunggu semua sampai, sempat aku tinjau denai. Pembukaan curam. Tampak nyata bekas tayar terseret turun. Seret, bukan golek. Boleh ka layan ni? Bharon sampai dengan palitan tanah dan selut pada pelindung ketingnya. Dah kecebur la tu...

Aku mulakan pencak melayan curaman. Sebaik tayar belakang melepasi tebing, brek Quad mula bekerja. Mengacip ceper brek untuk memperlahankan basikal. Denai basah dan licin membuatkan basikal hanyut. Jenuh beraksi imbangan membalas kembali hanyutan. Tayar mula mendonut. Hampir tiada cengkaman langsung. Dalam kepala terbayang kalau denai kering dan padat. Mesti seronok bermain di situ.

Denai sempit sepanjang jalan dalam aliran menurun. Sayang tak dapat dimanfaatkan kerana tayar hilang cengkaman. Denai sempit mendakap lereng bukit. Mungkin baru saja ditarah. Kesan lanyakan basikal lain jelas berserakan. Banyak tempat sudah menjadi "off camber" dengan permukaan mereng keluar ke arah gaung. Tersalah terjah, memang ke bawah la jawabnya. Terpaksa berpuas hati dengan kayuh-tolak-kayuh. Nak menolakpun kena hati-hati sebab tempat berpijakpun licin licau...

Denai sempit kembali melandai dan akhirnya bercantum dengan denai lebar. Ada haluan ke kiri dan ke kanan. Ke kiri, akan kembali ke kaki Steroid. Ke kanan, akupun tak tahu ke mana. Denai lebar menurun sederhana. Bolehlah merasa sedikit keseronokan berkayuh berbanding denai tadi yang licin macam pipi Maya Karin. Kelicinan yang membuatkan aku hanyut di daratan...

BERSALUT TANAH, SELUT DAN LUMPUR...

Gerombolan jarak tambahan bersatu kembali dengan gerombolan cilokan. Aku dan yang lain basah kuyup. Peluh berbaur renyai hujan. Tompokan tanah merah dan lumpur berserak di baju dan seluar. Sang Raksa dah jadi macam Sang Laksa. Penuh bersalut tanah juga. Tayar menjadi donut besar. Kerangka dan segenap celahan pada gear dan rantai juga tidak selamat dari serangan lumpur. Semua itu bagaikan chop "rubber stamp" tanda kepuasan...

Kayuhan bersisa sedikit lagi. Dan laluannya tidak menggusarkan. Laluan rata, kemudian beransur turun meluru laju. Sedar-sedar aku tercicir di belakang kerana yang lain bagaikan mendapat caj tenaga baru. LAJU!!!. Memang laluan dari kaki Steroid ke Sungai Buloh laluan pantas yang merembes adrenalin. Ditokok lagi dengan kebebasan jiwa dan diminda dari belenggu pemikiran yang sering membayangkan pendakian yang bakal mendatang. Kayuhan balik ke Sg Buloh tidak lagi menggusarkan. Semua melepaskan geram!!! Memang pengakhiran yang indah!

Jam 1300hrs, semua selamat kembali ke parkir di Dewan Orang Ramai, Kpg Orang Asli Sg Buloh. Meter mencatatkan jarak 24km. Prestasi Sang Raksa diuji bertubi. Aku cukup berpuas hati dengan persembahan Sang Raksa. Belum pernah aku berkayuh di FRIM sejauh itu. Kayuhan FRIM Ahad, 9 Mei 2010 mencatat sejarah baru kayuhan aku...

Perkakas : BB Tapping and Facing Tool

T eruskan berkenalan dengan alat sekulat dan perkakas membaiki basikal.  Kali ini kita akan berkenalan dengan perkakas yang jarang dilihat sebab jarang ada atau jarang digunakan.

Seharusnya, pada setiap pemasangan kerangka baru, alur bebebang pada perumah BB di tapkan untuk memberikan kemasukan dan putaran BB yang licin, kemas dan sempurna. Sesuatu yang sangat disarankan tetapi jarang dilakukan.

TAPPING tool - perkakas untuk membaiki alur bebenang dalam perumah BB. Alur bebenang boleh jadi rosak atau tersekat kerana kehadiran bendasing. Alat tapping ini boleh membetulkan alur bebenang dan juga membersihkannya daripada bendasing.

Terdapat dua jenis tapping di dalam set ini.  Set English (1.370" - 24TPI) dan set Itali (36mm - 24TPI). 

*TPI = thread per inch, alur per inci.

FACING tool- perkakas untuk melicinkan dan meratakan permukaan luar perumah BB. Ini perlu supaya mangkuk penutup BB bersentuh sepenuhnya dengan BB dan tidak meninggalkan ruang bila dipasang.



Set di atas adalah set dari IceToolz. Kandungan dalam peti adalah gabungan kedua-dual alat. Sebahagian dikongsi oleh keduanya. Kandungan komponen dari pengeluar lain mungkin berbeza.

IceToolz BB Tapping and Facing Tool
Label Butiran
1 Tuas pemegang.  Ada 4 batang.  Hujungnya beralur untuk disekerukan ke komponen 3 atau 4.  Pada badan pemutar (komponen 3 dan 4) ada lubang sekeru untuk disekerukan tuas pemegang.

Badan tuas pemegang dibuat alur halus untuk memberikan genggaman dan pegangan pada tuas pemegang.

2 Spring.  Digunakan pada facing tool. Guna untuk memberi tekanan memadai dalam proses "facing" - memotong permukaan BB shell.

3 Pemutar kanan.  Badan pemutar yang mempunyai dua penyanggah dan satu rod besi beralur.
4 Pemutar kiri.  Badan pemutar kiri yang mempunyai dua penyanggah.
5 Mata "facing tool".  Gerigi tajam untuk mengasah permukaan BB shell.
6 BB Bushing untuk Italian thread 1.  Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.
7 BB Bushing untuk Italian thread 2. Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.
8 BB Bushing untuk English thread, kiri.  Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.

9 BB Bushing untuk English thread, kanan.  Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.

10 Tapping tool, English thread, kiri.

11 Tapping tool, English thread, kanan.

12 Tapping tool, Italian thread.
13 Tapping tool, Italian thread.

14 Berus.
15 Nat pengunci untuk menguncikan spring pada rod pemutar pada alat facing.

Untuk melincirkan proses tapping dan facing, bendalir pemotong (cutting fluid) perlu digunakan pada mata tapping/facing. Bendalir juga berfungsi menghindar mata facing/tapping dari terlekat semasa prosess tapping/facing.

Saturday, May 01, 2010

EPX Kelolopoint???

E h! Kelolopoint la pulak! Silap! Sebenarnya, EPX Hollowpoint. Ya betul, EPX tu pengeluar basikal-basikal Proton. Entah di mana silapnya, EPX tidak bertahan lama. Syarikat telah mati tak berkubur...Kerangka ini adalah warisan sisa terakhir EPX. Belum siappun sebenarnya. Kerangka datang dalam rupa asli, tiada solekan warna-warni pelangi...


Kerangka EPX Hollowpoint dalam bentuk "mentah". Aluminum teroksida pada bahagian hadapan dan gentian karbon pada bahagian belakang. Berat 1.2kg.

Latar cerita, kerangka ekor keras EPX Hollowpoint bogel alu + karbon ini terpamer di iklan BicycleBuySell. Hangerpun tak ada. Tercetus di hati "kalau bikin projek XC bagus jugak nih...". Kebetulan pulak ada saudara yang terpacul di mindanya idea yang sama. Dan akhirnya, 2 unit terakhir EPX Hollowpoint saiz 17 ini aku sambar. Satu untuk aku, satu lagi untuk Akmal. Akmal deras menyiapkan projek Hollowpointnya. Ikuti al kisah EPX Hollowpoint Akmal. Aku pulak terkial merangkak kura-kura gara-gara semuanya terhad. Semuanya terbatas. Wang, masa, kemahiran... Kita lihat bagaimana hasilnya bekerja di dalam batasan ini...

Angan-angannya...

Sejak Raksasa Hijau kemudiannya Sang Bara, aku mulai lupa bagaimana rasa mencelapak basikal ekor keras. Melihat kerangka togel begitu tiba-tiba membangkitkan kembali rasa kepada basikal ekor keras.

Angannya, basikal ini akan dijadikan jentera ekor keras tulen. Kerangka togel itu akan dirawat dengan rawatan gosokan autosol supaya gemerlapan. Mungkin memakai tema perak - hitam. Satu lagi angin perubahan yang melanda ialah keinginan mencuba sistem pacuan daripada SRAM pulak. XO keterlaluan untuk kocek, memadai X9. Brek hidrolik dengan cakera 160mm depan dan belakang memadai untuk kuasa berhenti. Set roda XC yang ringan. Fork ringan dengan jarak locokan 100mm. Hmmm...itulah angannya...Terpenuhkah???


Gosok, jangan tak gosok...

Kerangka dari EPX. EPX? Ya! Pengeluar yang sama yang mengeluarkan siri-siri basikal Proton. EPX sudah berhenti beroperasi. Kerangka ini antara kerangka terakhir dari kilang EPX. Kerangka separa siap. Belum sempat disudahkan. Hadir dalam bentuk aluminum telanjang tanpa cat. Bahagian belakangnya dari gentian karbon. Juga belum disempurnakan. Lacquernya malap pudar. Hanger juga tiada. Padanlah dengan harga yang ditawarkan. Aku ambil keputusan kekalkan saja rupa kerangka dalam bentuk bogel tanpa cat. Tapi...takkan nak dibiarkan saja rupa aluminum kusam? Dengan panduan dari Kuwahara, kerangka dilumur dengan autosol kemudian digosok dengan kertas pasir dari grit 800, 1000, 1500 dan 2000. Entah berapa jam aku laburkan untuk menggilapnya. Hasilnya tidak seberapa kerana aku belum mahir dengan teknik "gosok, jangan tak gosok". Masih kelihatan jelas kesan calar awal dek kerana rakus menggunakan kertas pasir yang terlampau kasar. Jadilah...walaupun tak nampak pantulan gigi bila aku menyeringai padanya.

Dikit-dikit komponen

Seatpost mengikut tema. Jenuh jugak mencari seatpost warna perak ni. Rabak jugak dibuatnya

Sedikit demi sedikit barang dikumpul. Ada yang baru ada yang terpakai yang dipunggah dari basikal lain. Dari Nov 2009 sehingga April, menjangkau tempoh hampir 5 bulan barulah cukup komponennya. Serlahan komponen:-

  • wheelset - Unit terpakai dari Sang Bara. Gabungan rim Atomlab Pimplite, hub Novatec dijalin dengan jejari DT Swiss.
  • Unit pacuan - Gabungan Sramano. Penukar gear, RD dari SRAM X9. SRAM X9 jadi pilihan dengan tambahan keset dari XO. Geram tengok spidernya yang berwarna merah anodized tu. Penukar, gear belakang, keset dan rantai saja dari SRAM. Gear depan masih lagi Shimano. Untuk penjana kuasa, engkol Shimano XT jadi pilihan.
  • Brek - Untuk sebuah mesin XC, tidak perlukan brek yang kuat. Memadai dengan brek yang Quad. Quad Dime pro-RA menjadi pilihan. Unit baru. Unit ini menjadikan unit Quad yang ke 3 milikku.
  • Bar hendal dan stem - Bar hendal rata yang asalnya putih. Diwarnai dengan logo Venzo. Bila cat putih ditanggalkan, terdedah rahsia yang bar itu sebenarnya dari Kalloy...Cis! Bedebah sungguh! Inilah permainan biasa pengeluar komponen. Stem OTA alloy CNC. 60mm, 0 degree.
  • Seatpost - Demi menyerlahkan tema warna Raksa, aku korbankan sedikit RM untuk satu Thomson Elite.
  • fork - Fork warisan turun temurun dari beberapa basikal awal hingga turun ke Sang Raksa ini. Fork Rock Shox Revelation 409 115mm. Sedikit panjang untuk sebuah basikal XC. Hantam sajalah dulu. Bajet tidak mengizinkan fork baru dipasang.
Itu sepintas lalu darihal komponen...

Kokpit. Bar hendal di "raksa"kan. Terkapuk penukar gear Sram X9 dan tuas brek Quad Dime Pro-RA.

Dari segi bilangan, basikal ini adalah basikal aku yang ke LAPAN. Biar banyak basikal. Jangan banyak bini. Bolehlah dikatakan aku ini seorang yang berpoligyro (bukan poligami tau!). Basikal lain semua dilengkapi alatan pacuan dari Shimano. Masuk yang ke 8, datang kegatalan merasa sistem pacuan dari SRAM pulak. Apa rasa agaknya pacuan dengan nisbah 1:1?



Pemasangan

Bila kerangka sudah siap bergosok, komponen lain sudah mencukupi, proses pemasangan bermula. Tak perlulah diceritakan dengan terperinci bagaimana pemasangan berlaku. Sedikit perincian bagi peristiwa-peristiwa yang aku kira patut diserlahkan.

Alur bebenang BB dibetulkan dengan tapping tool

Cabaran pertama datang dalam bentuk yang memeningkan. Alur bebenang pada BB shell rosak disebabkan cubaan awal memasang BB. Puas aku arak frame ke hulu ke hilir mencari kedai yang boleh baiki alur bebenang. Tak satupun berjaya. (Atau mereka malas nak buat?). Semuanya tak punya alat untuk tapping BB shell. Masalah memaksa aku membeli sendiri alat tapping. Padan muka aku. Sekarang aku dah ada alat tapping dan facing BB shell.

Itulah hikmah rupanya kenapa alur bebenang BB shell aku rosak. Sebagai pendorong untuk aku beli sendiri alat tersebut. Dapat juga merasa bagaimana tapping balik thread BB yang rosak. Dengan alat yang sesuai, proses membuat alur bebenang baru jadi mudah. BB shell berjaya diselamatkan...

Cabaran kedua bila berhadapan dengan pemasangan brek Quad Dime Pro-RA. Mujur aku dah ada pengalaman memasang 3 set brek Quad sebelum ini termasuk satu set yang sama untuk seorang pelanggan. Jadi, sedikit sebanyak dah agak bersedia untuk sebarang kejutan. Pemasangan mudah. Cuma bila hendak memotong hos ikut saiz kerangka yang agak rumit sedikit. Mujur ada alatan dari brek Shimano yang boleh dipinjam. Hos dipotong dengan pisau cutter. Tajam pisau memberikan potongan yang bersih. Cabaran sebenar ialah memasukkan "hose insert" yang baru. Di sinilah bergunanya alatan memotong dari Shimano. Hos dikepitkan dengan ragum kecil memberikan pegangan kemas. "Hose insert" ditekan masuk ke dalam lubang hos menggunakan playar muncung. Mudah! Cuma terkujat aku sekejap bila hos membidas dan bendalir brek DOT4 mercik ke dalam mata. Mujur tindakan segera membilas mata dengan air menyelamatkan keadaan. Lepas tu baru teringat nak pakai cermin mata keselamatan. Tabiat manusia, dah kena baru terngadah...

Pemacu gabungan Sram - Shimano. Crank masih dari Shimano. XT FC-M770, FD juga Shimano. LX FD-M580, rantai dari SRAM PC-991, RD SRAM X-9 dan keset SRAM PG 980 (XO). RD memberikan aku cabaran tambahan semasa pemasangan.

Selepas siap brek dipasang, bendalir yang kurang perlu ditambah. Tidak perlu "bleeding". Menggunakan cawan bendalir dari Shimano, bendalir ditambah melalui lubang sekeru pada master cylinder. Mudah saja. Dan pemasangan brek selesai.

Cabaran tidak habis setakat itu. Cabaran grand finale datang bila menala gear belakang. RD X9 tidak memberikan tukaran kemas. Tukaran dari cog paling kecil naik ke atas dan seterusnya tidak lancar. Tarikan gear seolah terlebih had. Jenuh dicuba bermacam cara. Akhirnya, aku terpaksa mengelat. Gear neutral dipasang dalam keadaan tombol pelaras dibuka hampir habis. Kemudian dilonggarkan sedikit demi sedikit sehingga tukaran kemas dan pasti dan tiada lagi bunyi sangkutan. Berjaya!!! Kalau ada yang perasan, akan melihat kabel gear belakang aku kendur dalam gear belakang paling kecil.


SANG RAKSA

Lahirlah Sang Raksa...

Pada masa posting ini tersiar, Sang Raksa sudah berusia 2 minggu. Tidak semua yang aku angankan menjadi kenyataan. Namun, aku berasa puas juga kerana sebahagiannya tercapai. Sempat aku belasahnya kerabat bukit Ukay Perdana. Esok, Sang Raksa akan beraksi di FRIM pula. Aku akan terjah secukupnya untuk menguji bagaimana Sang Raksa bertindakbalas dengan denai pula...Kalau ada rezeki, akan aku kisahkan bagaimana Sang Raksa bermain di tarmac. Bagaiman Sang Raksa mengendali denai...Sehingga itu, tungguuuuuu....

Friday, April 02, 2010

Tangan Ke Empat???


Tangan Ke Empat

B ila mengerjakan kabel, terutama kabel gear, antara masalah dan cabarannya ialah menarik kabel supaya tegang. Teknik mekanik "sendiri bikin" ialah menggunakan playar untuk menarik kabel. Biasanya tarikan dengan tangan kosong tidak cukup untuk menegangkan kabel. Ditokok pula dengan hanya sebelah tangan saja boleh digunakan manakala sebelah lagi terkial-kial mengunci bol pengikat kabel.

Akal manusia anugerah Allah pantas mencari penyelesaian. Terhasillah alat ini. Nama biasanya ialah playar kabel. Dah tentu tak menarik dan membosankan. Sekali lagi akal manusia membuatkan namanya lebih menarik. Kerana alat ini bagaikan "tangan ke empat" pada sang mekanik, maka digelarkan alat ini TANGAN KE EMPAT (fourth hand). Kerja menarik kabel jadi lebih mudah. Kabel lebih tegang sekaligus menghilangkan kenduran dan menjadikan pertukaran gear lebih tepat dan jitu.

Kita berkenalan dengan alat ini dulu. Posting akan datang akan ditunjukkan cara penggunaan dan bagaimana menambahkan tangan menjadi empat...

Ada seorang dua kawan yang datang dari spesis pelik. Mereka (termasuk saya) akan jadi teruja bila melihat benda eksotik macam ni. Ya betullll...EKSOTIK. Susah nak jumpa. Harap mereka bersabar bila melihat gambar alat ini. Belajarlah mendidik jiwa supaya bersabar bila diuji sebegini. Tu...tutup mulut jangan bagi air liur meleleh.

Thursday, April 01, 2010

Spanar Kon

A nda pernah mengalami masalah roda gelong? Bila diperiksa didapati rim elok, jejari elok. Bila ditolak-tarik rim, ada terasa longgar. Nampak pada bahagian hub macam ada ruang kelegaan menyebabkan rim boleh beralih kiri dan kanan. Pergerakan yang sedikit inipun boleh mengganggu prestasi dan menyebabkan kerosakan pada hub dan bebola hub. Puncanya, kerana kon hub melonggar dan tidak mengasak pada hub dengan cukup. Andapun capai spanar saiz 16 anda dan cuba mengetatkan kon. Tapi...tak boleh masuk walaupun saiz dah betul. Ini kerana spanar biasa lebih tebal dari ruang yang ada pada kon. Maka, untuk melaraskan kon,anda perlukan alat ini - SPANAR KON.


Spanar kon dari Icetoolz. Saiz 13, 14, 15, 16,17 dan 18.

Set yang ini dibuat daripada keluli kromoli. Ada juga yang dibuat dari krom vanadium. Kuat dan tahan lasak. Tebalnya cuma 2mm berbanding spanar biasa yang tebal 5mm. Boleh menyelinap ke celahan kon. Saiz yang pelbagai kerana saiz kon juga begitu.

Untuk kali ini, kita berkenalan dengan alat ini dulu. Posting akan datang akan ditunjukkan cara penggunaan dan bagaimana melaras kon hub

Tuesday, March 23, 2010

Sepupu Green Ogre...

Satu lagi T-Bolt bertambah dalam garajku...Sebuah T-Bolt kuning. Sekarang Green Ogre ada sepupu...



Green Ogre gembira ada teman. Sepupu kuning yang baru siap dipasang. Green Ogre milik anak sulungku, Fikri. Sepupu kuning, milik sepupu anakku, Azrie. Kira ngamlah, sepupu sepapat...Sekarang, apa nama nak diberikan pada T-Bolt kuning ni? Cadangan???...

Monday, March 22, 2010

Apa Barang???


Apa kebenda pulak ni?

C uba tengok gambar di atas. Agak-agak apa agaknya? Kalau diceritakan satu persatu komponennya, bolehkah anda mengagak?

  1. Rod besi beralur 12 inci dengan nat saiz 21
  2. 2 keping pelapik (besi) berdiameter 1" dan 2" dipaterikan bersama
  3. Spanar saiz 21
Dah dapat agak dah? Anda memang bijak. Kalau belum, cuba tengok gambar di bawah pula.


Barang misteri wajah ke 2

Amacam sekarang? Lebih kurang gambar pertama cuma plet pelapik sudah dimasukkan ke rod besi di antara nat. Dah dapat meneka? Belum lagi? Kalau belum, tengok gambar di bawah pula.


Barang misteri wajah ke 3

Kali ini pasti anda dapat meneka. Ya! Jawapannya ialah ALAT PEMASANG MANGKUK SET KEPALA buatan sendiri untuk kegunaan pomen amatur atau mekanik rumah.

Untuk membeli set pemasang mangkuk set kepala ini memang mahal. Asal faham konsepnya untuk menekan mangkuk set kepala ke dalam tiub kepala dengan tekanan kuat dan seragam, alat versi mudah dan murah boleh dibuat. Idea ini dicedok daripada beberapa laman web pomen rumah.

Untuk menggunakan alat ini, ikuti langkah berikut.

  1. Masukkan nat ke batang besi dan putar sehingga nat masuk kira-kira 1 inci.
  2. Masukkan pula pelapik dari arah bahagian besi yang panjang. Pelapik kecil mengadap nat.
  3. Masukkan batang besi dengan bahagian panjang ke dalam tiub kepala. Bahagian pelapik akan tersekat pada pangkal tiub kepala.
  4. Letakkan mangkuk set kepala pada lubang set kepala yang tidak bertutup dengan pelapik
  5. Masukkan pelapik yang satu lagi supaya permukaan pelapik besar bersentuh dengan permukaan mangkuk set kepala
  6. Masukkan nat yang satu lagi. Putarkan hingga nat rapat dengan pelapik kedua.
  7. Putarkan nat dengan tangan sehingga nat ketat. Jajarkan supaya kedua-dua pelapik berada di tengah-tengah. Alat akan melekat pada tiub kepala dan mangkuk set kepala.
  8. Menggunakan spanar saiz 21 atau spanar hidup, putarkan nat ikut putaran jam sedikit demi sedikit. Nat akan terasa ketat kerana tekanan.Teruskan memutar. Mangkuk set kepala akan ditekan masuksedikittdemi sedikit.
  9. Terus memutar sehingga leher mangkuk set kepala rapat dengan mulut tiub kepala

Nah! Mudah bukan? Hanya dengan pelaburan tak sampai RM30, anda boleh memasang sendiri set kepala dengan mudah.

S E L A M A T       M E N C U B A!!!

Saturday, March 20, 2010

Mengembalikan Kebaikan...Dengan Sedikit Kebaikan (harapnya...)

Apa anda akan rasa kalau anda beli beberapa barang basikal, kemudian sipenjual telah sangat bermurah hati memberikan beberapa hadiah iringan percuma? Bagaimana kalau hadiah iringan berupa SEBUAH BASIKAL!???

Tak percaya? Akupun macam tak percaya. Tapi,ini cerita betul bang! Bukan COBAAN. Aku dihadiahi sebuah basikal Specialized M4. Bukan sebuah jentera hebat, tetapi hakikatnya ia diberi percuma kepadaku. PERCUMA! FREE! Satu perlakuan yang membuatkan aku berasa sungguh terharu...

Jadi, apa patut aku buat dengan pemberian itu? Bagaimana harus aku memanfaatkannya sebaik mungkin. Bagaimana cara dan kaifiat terbaik untuk menunjukkan penghargaan dan terima kasih kepada Shah Yeop?

Datang kembali himbauan peristiwa lepas. Peristiwa ada yang bertanyakan basikal untuk disewa. Peristiwa seorang dua yang teringin memulakan hobi berbasikal tetapi jadi sejuk malap pudar kerana tiada basikal untuk dicuba. Itu jadi cetusan minda. Basikal pemberian akan dimanfaatkan untuk diberi pinjam kepada sesiapa yang berhajat. Orang baru yang ingin mencuba, orang yang datang dari luar Kuala Lumpur tanpa basikal dan sesiapa saja yang berhajat...


Specialized M4. Siap berkhidmat...


Basikal diservis setakat termampu. Basikal turut dilengkapkan dengan herusi pengangkut budak. Sesuai untuk membawa anak-anak yang berumur 5 tahun ke bawah (berat maksima 20kg). Ini untuk ibu bapa yang mahu membawa anak berkayuh bersama sekali sekala.



Specialized M4. Dalam mode limosin. Siap membawa "boss" anda berjalan-jalan...

Jadi, kalau anda berhajat nak meminjam basikal ini, dipersilakan. Sama ada untuk membawa kawan yang baru nak belajar berkayuh. Ataupun ibu bapa yang nak cuba membawa anak berkayuh. Ya betul...PINJAM, bukan SEWA. Tiada bayaran dikenakan. Inilah caranya aku rasa dapat mengembalikan kebaikan yang telah diberikan kepadaku.

Untuk urusan pinjaman, sila hubungi saya di 012-9049031.

Friday, March 19, 2010

Projek Hollowpoint - Peringkat 1

Dalam hidup, seringkali berlaku perkara yang tidak dijangka. Itu jugalah yang berlaku dalam kisah ini. Kisah EPX Hollowpoint. Walau sudah penuh basikal dalam garaj aku. Tapi,...entah kenapa bila terpandang iklan EPX Hollowpoint kat BBS, hati aku melonjak. Mungkin sebab rupanya yang "telanjang" dengan bahagian ekor karbonnya. Dan ynag paling penting, tanda harganya yang sangat mesra dompet. Maka, kerangka EPX Hollowpoint ini didukung balik ke rumah. Cadangnya, mahu dibangunkan satu basikal XC tulen. Betul-betul XC, setakat termampu.

Memang aku tak bercadang nak segera siapkannya. Banyak had dan batasan. Wang terutama. Sementelah pula dekat dengan masa sekolah buka. Buat permulaan, lapisan oksida perang muda yang menyalut tubuhnya dibuang. Beberapa malam aku bergelumang dengan kertas pasir dan autosol. Membuang oksida sambil menggilap lapisan aluminum telanjang. Dengan panduan dari Mahazam aka Kuwahara, badan digosok berperingkat. Bermula kertas pasir grit 1000, 1200, 1500 hingga 2000. Tanggallah segala oksida dan menyerlah kemilau aluminum. Sayang, kerja tangan aku agak kasar, banyak bahagian melelas dengan calaran kasar akibat tersalah guna kertas pasir yang terlalu kasar.

Siaplah peringkat 1 pengerjaan kerangka Hollowpoint. Selepas itu, tersadai dan tersidai lebih 2 bulan. Bila ada kelapangan dompet sikit, barulah kerangka itu dikelebek semula.

Headset Hollowpoint dari jenis separa-terpadu (semi-integrated). Aku dapat set Token Kudos-Z dari eBay pada harga mampu milik. 18/03/2010, set kepala selamat terpasang ke badan. Turut menyusul kemudian, fork RS Revelation 409 yang telah beralih dari basikal ke basikal. Cadangan untuk menggunakan fork 100mm diketepikan memandangkan Revelation itu sudah ada. Tak apalah kalau panjang sedikit, asal bajet tak perlu dipanjangkan.

Inilah rupanya setakat ini...


EPX Hollowpoint...Masih telanjang. Hanya dipakaikan set kepala dan fork.

Bagaimana dengan komponen lain? Terbayang dalam kepala jentera XC dengan bar hendal rata, stem sederhana panjang, dilengkapi set pemacuan daripada SRAM. Mungkin X9. Dah puas aku merasa Shimano. Nak cuba pula bagaimana rasa pertukaran gear 1:1...Datanglah balik ke sini untuk berita terkini (walau tak sensasi)

Tuesday, March 16, 2010

Layak Masuk The Biggest Loser???

Orang lain sibuk nak kurus, nak langsing. Aku pulak bantai menyongsang arus. Pergi menambahkan berat. Layak la kot masuk The Biggest Loser peringkat Gombak/Batu Caves. Eh..nanti. Bukan aku yang tambah berat badan...Tapiiii...

Tengok sini haaa...


Bahan penggemuk utama. Tengok berapa kandungan kalorinya.

Bahan penggemuk Sang Bara ini datang kepadaku secara tak sengaja. Datang dengan syarat dan terma yang sukar untuk aku tolak. Terima kasih Shah Yeop!!! Walaupun sebenarnya tak berapa cocok dengan Sang Bara, aku ambil pendekatan "HANTAM SAJA". Tengok apa jadi...

BAHAN-BAHANNYA...


SET RODA SPINERGY FALL LINE
JEJARI
Jejari unik dari Spinergy mengguna gentian PBO (polyphenylene bensobisoxazole). Spinergy mendakwa jejari dari 30,000 gentian PBO ini 3 kali lebih kuat dari keluli dan hanya separuh berat keluli
32 jejari depan dan belakang.
Jalinan lintang 2
Jejari pelbagai warna.
RODA
39mm dwi-dinding, roda ultra kuat jenis clincher. Saiz 26"
GELENDONG/BUYUNG
Tempahan khas, dimesin CNC. Menggunakan gandar tembus 20mm.
FREEHUB
Badan aluminum dan gerigi buatan Amerika
GANDAR
Aluminum gred aero-angkasa
KESERASIAN
Shimano 8/9 gear, pemasangan cakera brek piawaian antarabangsa 6 bolt
BERAT
2400gram
ROCK SHOX LYRIK STANDARD U-TURN
JARAK LANTUNAN
115mm - 160mm
BERAT
2431g (5.35 lbs)
LEMBAPAN
Mission Control, Dual Flow
SPRING
Gegelung, U-Turn
PELARASAN
Pelaras luaran untuk lantunan lejang permulaan, pelaras mampatan kelajuan tinggi dan rendah, suis kawalan pintu limpahan, pelaras jarak lantunan luaran.
CROWN
tempaan, berongga, aluminum A1 66 TV
BATANG KEMUDI
Aluminum 1 1/8", 1.5", menirus 1 1/8 - 1.5"
TIUB ATAS
35MM, aluminum dinding tegak siri 7000. Anodized. Geseran rendah dengan pelaras jaraklantunan
TIUB ATAS
35MM, aluminum dinding tegak siri 7000. Anodized. Geseran rendah dengan pelaras jarak lantunan bersenggat.
KAKI BAWAH
Magnesium, Maxle Lite 20mm, gandar tembus, tiang pemasangan cakera brek. Saiz cakera maksima 210mm



Gemuknyaaaa...Layak masuk The Biggest Loser?

Sang Bara gemuk ini telah sempat dibawa bermain di Ladang Tuan Mee. Pelarasan masih belum serasi. Fork terasa keras dan melantun bila bertembung bonggol dan lopak kecil waktu meluru turun bukit. Tetapi, pendakian terasa lebih mudah dengan jarak lantunan yang boleh dilaras. Tayar gemuk 2.35 nampak lebih gemuk pada Spinergy ini. Panel kawalan masih lagi dalam proses pembelajaran.