Thursday, October 06, 2011

Kayuh Siang VS Kayuh Malam


Sekarang ni dah makin ramai yang galak berkayuh off road pada waktu malam.  Satu masa dulu, kayuh off road malam-malam dianggap gila.  Sekarang gila itu sudah bertukar menjadi kegilaan.  Jom kita tengok sepintas lalu apa perbezaan kayuh siang dengan kayuh malam.

KAYUH SIANG
KAYUH MALAM
Ada matahari.
Kadang-kadang ada bulan, kadang-kadang tak ada bulan.
Tak payah guna lampu.
Perlukan lampu yang terang untuk menyuluh denai dan laluan.
Suasana cerah.  Boleh nampak sekeliling.
Gelap.  Penglihatan terhad kepada suluhan lampu sahaja.
Kawasan bahaya dan berisiko tinggi lebih jelas kelihatan.  Lebih ruang masa untuk mengelak atau menyelamatkan diri.
Kawasan bahaya dan berisiko tinggi kurang jelas kelihatan.  Ruang masa untuk mengelak dan menyelamatkan diri lebih singkat.
Tahap siap siaga agak rendah kerana terdorong bersikap sambil lewa kerana semuanya jelas kelihatan.
Terdorong meningkatkan tahap siap siaga kerana penglihatan terhad.
Suasana panas.  Nyahhidrat lebih cepat.  Perlukan lebih banyak air.
Suasana lebih sejuk.  Nyahhidrat lebih perlahan.  Tidak perlukan banyak bekalan air.
Tipuan optik dan penderaan mental.  Imej denai-denai mencabar mendera mental kerana semuanya jelas kelihatan.  Otak berkecenderungan mendorong fikiran negatif.
Apa yang tidak kelihatan, tidak menakutkan.  Cerun-cerun dan bukit yang tidak boleh dikerabat waktu siang mampu dikerabat waktu malam kerana mata tidak nampak keseleruhan cerun.  Hanya bahagian yang disuluh sahaja.  Dibantu dengan suasana tidak panas, badan lebih mampu untuk mendaki berbanding siang.
Tahap siap siaga perlu berada pada seratus peratus.
Tahap siap siaga perlu berada pada dua ratus peratus terutama pada laluan menurun.  Lopak, bonggol  dan lubang tidak berapa jelas kelihatan.  Kedudukan tubuh dalam “attack position” membolehkan tindakbalas yang lebih pantas bila berhadapan dengan cabaran yang tiba-tiba datang.
Kurang risiko terserempak haiwan dan unggas.
Lebih risiko terserempak haiwan dan unggas kerana banyak haiwan bersifat nocturnal (aktif pada waktu malam).
Penggantungan kepada deria penglihatan sebagai deria utama.
Deria penglihatan semata-mata tidak lagi menjadi deria utama. Semua deria diaktifkan – pendengaran, deria rasa pada tangan, kaki dan semua anggota badan menjadi lebih aktif dan tajam dalam usaha mengimbangi keterbatasan keupayaan deria penglihatan.
"Fear Factor" dalam bentuk ancaman dan bahaya yang terzahir dan boleh dilihat mata - jurang, gaung, lubang, binatang liar.
"Fear Factor" sama seperti siang ditokok dengan elemen-elemen mistik.

Monday, October 03, 2011

Buat Overtime di Ofis Pada Hari Minggu


Papan tanda kecil menyambut kedatangan tetamu ke The Office.  Di pasang tinggi melepasi paras kepala.  Kena langut baru nampak.

Denai-denai di Bukit Kiara seolah hidup dan bernyawa.  Dinamik dan berevolusi.  Berubah, bercambah dan...sedihnya ada juga yang "mati".  Dimatikan oleh kerakusan "pembangunan".  Denai-denai di"hidup"kan dan dipelihara oleh tangan-tangan sukarela, yang cintakan alam dan kedamaian, tanpa upah walau sekupang dua. Malah, tangan-tangan itu bukan sekadar menumpahkan keringat, darah dan air mata, malah modal ringgit kupang juga.  Dan...yang lebih ironisnya ialah tangan-tangan itu bukan semuanya tangan-tangan anak watan, malah tangan-tangan mereka yang "menumpang" di bumi bertuah ini...***panjang pulak mukaddimah ni.  Kalau tak berjela bukan nama BC Kelolo laaaaaa...***

Kelahiran terbaru denai Kiara punya nama yang agak nakal.  Entah kenapa diberi nama "The Office"  - pejabat.  Barangkali untuk memudahkan para suami mendapat permit berkayuh.  Bayangkan bila isteri bertanya "Nak ke mana tu bang?".  Suami dengan mudah boleh menjawab, "Nak ke office, buat overtime".

Aku sempat beberapa kali bermain di sini.  Sejak kali pertama berkenalan, hati terus tertawan dan berkenan.  Kenakalan nama denai ini tidak terhenti di situ.  Di dalam The Office ada pula satu unjuran tambahan yang dinamakan Overtime.  Kenalah tu...masuk The Office buat Overtime.  Pandai depa ni.

Jambatan kecil pendahulu kepada pendakian batu.  

Terima kasih tersangat kepada pembina denai ini.  Nanti aku cuba tanyakan siapa sebenarnya yang telah bersusah payah menarah menyangkul membina denai ini.

Aku suka sangat denai The Office ini.  Beberapa sebab peribadi.  Pertama, muka denai yang dekat dengan Taman Lembah Kiara.   Dari Lembah Kiara, masuk ikut denai Carnival, hala ke kanan.  Panjat tebing batu sehingga sampai ke simpang.  Terus akan keluar ke jalan tar.  Kiri akan menyesakkan dada dengan LungBuster.  Kanan akan membawa anda masuk ke pejabat. Faktor suka kedua ialah jaraknya yang pendek sekitar 2km sahaja.  Ketiga, denai sempit singletrack dengan pelbagai alunan naik turun dan selekoh-selekoh tajam sungguh mengujakan bila dilayan.  Keempat, denai cabangan Overtime menambahkan perisa kepada The Office.  Kelima, The Office sedap dilayan dari kedua-dua arah ikut jam atau lawan jam.  Itu yang dapat aku gariskan setakat ini.  Anda tentu akan menyukainya juga! 

Simpang...

Untuk anda yang kemaruk untuk berkayuh tetapi punya masa yang suntuk dan terhad, layan saja The Office ini.  Tak cukup satu pusingan, belasah dua tiga pusingan.  Aku sarankan kayuh dua hala.  Pergi balik ikut laluan yang sama dan rasai keterujaannya.

Tak tahu nak pergi?  Laaa...nampak sangat tak biasa dengan Kiara.  Meh sini, kita kayuh The Office secara maya i.e. ikut bebelan BC Kelolo laaaa.  Sedia???

Dari Taman Lembah Kiara, masuk ikut laluan Carnival.  Sebaik memasuki denai, anda akan nampak tanjakan.  Ambil laluan kanan yang beralun naik kemudian meluru turun melalui jambatan kecil.  Pendakian curam berbatu menyambut anda.  Kalau kuah terjah kayuh.  Kalau tidak...tolak sajalah.  Ikut laluan denai menaik sehingga berjumpa simpang.  Di situlah muka denai The Office.  Cabang kiri membawa anda naik ke Lung Buster.  Terus akan membawa anda keluar ke jalan tar.  Untuk punch card masuk ke The Office, ambil denai kanan.  Set gear tengah - tengah, kayuh sedang-sedang dan basikal akan membawa anda melorot di denai sempit berliku.  Ada satu celahan sempit di antara batu besar dan pokok.  Jangan lupa tarik nafas supaya badan kecut sikit bila lalu sini takut tak muat.  Pokok-pokok muda dengan batang sebesar betis menaung denai memberikan teduhan.

Mukaddimah The Office

Rasa seronok saja meluncur turun.  Kemudian bertemu cabang di sebelah kiri.  Siapa yang berhajat nak buat overtime, sila belok sini.  Sedikit lencongan dengan beberapa cabaran tambahan.  Sebab itu dipanggil Overtime.  Pendakian sedang dan pendek dengan laluan berliku berhias belok-balik (switchback) berbeting (berm).  Denai beralun naik turun pendek dan pantas.  Kemudian bertembung balik dengan denai laluan utama The Office.



Bonggol-bonggol Overtime

Irama dangdut denai berterusan.  Gelek-menggeleklah basikal dan pinggul mengikut liuk lentuk denai yang meluru turun dengan beberapa terjunan dan terkaman pendek.  Denai kemudian melandai tanda sudah hampir ke penghujung sempadan The Office.  Denai bertingkat dengan belokan pantas ke kiri.  Pohon-pohon rimba, bertam berduri dan segala menjadi flora latar.  Denai masih lagi di bawah teduhan.

Tugas beratttt...

Melepasi kawasan ini bermakna anda sudah memasuki fasa 2 denai The Office.  Mode landai pada denai sempit singletrack diteruskan.  Laluan masih berliku menjamin kelansungan tahap keterujaan.  Boleh bermain dengan gear tengah sebelum kecerunan kembali mengganas.

Sekonyong akan membawa anda ke satu pendakian pendek di mana denai berpecah 2.  Denai kiri lebih memaafkan dengan kecerunan sederhana manakala laluan kanan menyergah anda dengan panjatan curam tetapi pendek.  Pengayuh marhaen seperti aku akan memilih laluan kiri.  Mereka yang macho dan mempunyai betis dan peha seperti kuda akan memilih laluan kanan.

Denai dibawa ke kawasan terbuka dan landai.  Ramai yang biasa berhenti di sini untuk menarik nafas dan menunggu kawan-kawan yang tertinggal di belakang.  Aku termasuk dalam golongan yang ditunggu.  Slow and steady bro!

Sambung lagi dengan meratah denai landai yang agak terbuka.  Di sebelah kanan ternampak kawasan lapang dengan tanda-tanda pembangunan rakus mula menerjah kawasan itu.  Sesuatu yang merisaukan.  Denai akan sampai ke simpang.  Kena perhati betul-betul sebab tak berapa jelas kelihatan dan terpisah dengan bonggol kecil dan belokan tajam.

Tugas lagi berattt...

Tukar ke gear rendah dan bersedia untuk menerjah kerana masa santai sudah berakhir.  Fasa mendaki bermula.  Cerun menaik landai pada mulanya beransur-ansur bertembah curam.  Rasa pedas ditambah lagi dengan belok-balik tajam mendaki.  Pendakian panjang menandakan litar The Office sudah menghampiri masa untuk punch-out.  The Office tidak akan melepaskan anda pergi sebegitu mudah.  Menghampiri puncak pendakian, ada pokok tumbang.  Pembina denai telah membina tanjakan untuk membantu anda melepasi pokok tumbang.  Terjah melepasi pohon tumbang dan terus ke puncak pendakian.  Anda akan bertemu simpang 3 yang menandakan waktu bekerja di pejabat sudah tamat.

Tanjakan melepasi balak tumbang

Tiba di situ, pilihlah sama ada untuk ke jalan tar di simpang kanan.  Atau memanjat denai Coronary Bypass atau...patah balik menongkah arus The Office!!!  Tak kurang hebat kelazatannya bila menongkah arus The Office.  Selamat bekerja!!!