Showing posts with label jamboree. Show all posts
Showing posts with label jamboree. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

Jamboree Sudah Maree - Bahagian Akhir

Ini adalah Bahagian akhir dari 3 bahagian dalam siri Jamboree Sudah Maree.  Satu usaha kecil untuk menerangkan perihal jamboree kepada pengayuh-pengayuh MTB.  Apa yang ternukil adalah pendapat dan pandangan peribadi Penulis.  Mungkin betul, mungkin salah.  Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


Bahagian 1 telah menyentuh tentang pengenalan kepada jamboree MTB.  Juga disorot sedikit panduan memilih jamboree yang mana satu untuk disertai.  Rujuk Jamboree Sudah Maree untuk artikel penuh.  Untuk bahagian 2, kita telah bincangkan tindakan-tindakan yang perlu untuk menyertai jamboree.  Boleh rujuk di sini untuk artikel penuh.

Untuk bahagian akhir, kita akan menyorot:-
  • Tindakan yang perlu diambil beberapa hari sebelum jamboree
  • Tindakan yang perlu diambil sehari sebelum jamboree (D-day - 1)
  • Tindakan yang perlu diambil pada hari jamboree
  • Pasca jamboree
Sayugia diingatkan, panduan yang saya turunkan di sini lebih sesuai untuk pengayuh-pengayuh biasa saja.  Jika anda pelumba handalan, mungkin sesetengahnya tidak sesuai.

SEMINGGU SEBELUM JAMBOREE

Sengaja saya letakkan seminggu sebelum jamboree untuk memudahkan penceritaan.  Kurang lebih dalam tempoh ini, tidak banyak yang perlu dilakukan.  Cuma perlu rajin-rajin menjengah ke blog/laman web penganjur untuk maklumat-maklumat terkini. Biasa terjadi perkara penting seperti penundaan tarikh jamboree, perubahan tempat permulaan dan seumpama berlaku.  Jadi, rajin-rajin perhatikan.  Sesekali, periksa juga basikal untuk memastikan basikal siap siaga untuk mengharungi cabaran menanti.

Perhatikan maklumat denai yang di pamerkan oleh penganjur.  Berapa jarak.  Berapa check-point.  Berapa feeding/water point.  Berapa pendakian dan seumpama.  Bila dan di mana cut off point.  Maklumat ini akan membantu anda merangka strategi semasa berkayuh. 

Perhatikan pengumuman untuk tarikh, masa dan tempat bagi penyerahan beg ole-ole (goodie bag).  Ambil catatan jika perlu.  Jika koordinat GPS diberikan, masukkan koordinat GPS bagi memudahkan pencarian tempat berkenaan.

Sesekali, periksa basikal.  Manalah tahu kot ada komponen yang meragam menjelang hampirnya acara.  Sempat la nak baiki.


SEHARI SEBELUM JAMBOREE (D-DAY - 1)


Beg Ole-ole (goodie bag)
Hari semakin mendekat.  Sudah sampai kepada sehari sebelum jamboree.  Perkara besar yang biasa berlaku ialah penyerahan beg ole-ole yang di dalamnya terdapat plet nombor penyertaan.  Kebanyakan penganjur mengedarkan beg bermula sehari sebelum acara.  Hanya Knight of The Round Table (KOTRT), penganjur Kayuh Lasak, yang memberikan beg ole-ole selepas kayuhan!


Anda boleh...
  • mengambil sendiri beg ole-ole anda
  • Pastikan anda mencatat nombor pendaftaran (biasanya terdapat dalam daftar peserta yang dipamerkan dalam laman web/blog penganjur.  Jangan lupa bawa bersama salinan borang pendaftaran dan slip bukti pembayaran.

  • mewakilkan orang lain untuk mengambil bagi pihak anda
  • Mewakilkan orang lain untuk mengambil biasa berlaku kepada orang yang tidak dapat hadir sendiri atau bila pendaftaran dibuat secara kumpulan atau sebab-sebab lain. Jika anda mewakilkan orang lain untuk mengambilnya, maklumkan nombor pendaftaran kepada wakil.  Juga serahkan salinan borang pendaftaran dan bukti pembayaran kepada wakil.  Tetapkan juga dengan wakil bila dan di mana anda akan mengambil beg daripadanya. Sebagai wakil yang dilantik pula, pastikan anda ada butiran lengkap mereka yang anda wakilkan.  Apabila mengambil beg ole-ole, semak untuk memastikan supaya semua  beg bagi orang yang anda wakilkan cukup lengkap dan sempurna.

Memasang Nombor Plet
Jika beg ole-ole sudah di tangan, luang sedikit masa untuk memasang nombor plet pada basikal.  Ini supaya anda tidak kelam kabut dan terkocoh-kacah pada hari acara.

Perjalanan
Jika tempat acara jauh dan memerlukan perjalanan awal, rancang perjalanan supaya selamat sampai dan pada masa yang sepatutnya.

Keselamatan Basikal
Sudah banyak kali berlaku kecurian basikal sewaktu jamboree dan perlumbaan.  Maklumlah, bila beramai begitu, kadang-kadang si tangan panjang tidak melepas peluang.  Tingkatkan tahap keselamatan untuk basikal anda.  Tambahkan perlindungan tambahan dan ambil langkah keselamatan.
  • Untuk yang menginap di hotel, bawa basikal ke bilik hotel.  Biasanya, hotel-hotel yang terlibat dengan jamboree, akan membenarkan basikal dibawa masuk ke bilik.  Ada juga hotel yang menyediakan tempat simpanan khas untuk basikal.  
  • Bagi yang menyimpan basikal di dalam kereta, kurangkan minat sang penyamun dengan tidak menampakkan basikal anda.  Tutuplah basikal supaya tidak kelihatan.
  • Bagi yang terpaksa (kalau boleh elakkan) meninggalkan basikal di rak, sama ada atas bumbung atau gantung belakang, usahalah untuk menambah kunci.  Rantaikan semua komponen kritikal - frame, set roda, fork.  Memang bukan jaminan seratus peratur, tetapi itu akan lebih menyukarkan sang penyamun melarikan harta kesayangan anda.
Isian Karbo (Carbo Loading)
Jamboree memerlukan banyak tenaga dibakar dan diperah.  Anda perlu sediakan bahanapi untuk dibakar keesokan harinya.  Untuk makan malam anda, makan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi.  Elakkan makanan pedas supaya perut dan usus tidak memberontak selepas makan atau keesokan harinya.

Bekalan
Dapatkan bekalan untuk dibawa berkayuh.  Bekalan yang lazim ialah makanan/gel tenaga.  Snek yang boleh memberikan tenaga.  Minuman isotonik dan seumpama.  Bawa dalam jumlah yang bersesuaian.  Anda hendak pergi berkayuh, bukan pergi berkelah.

Taklimat
Satu perkara yang sering diremehkan oleh ramai peserta.  Taklimat biasa diberikan pada malam sebelum jamboree atau pada pagi jamboree, sebelum waktu berlepas.  Berikan perhatian pada taklimat.  Seringkali diperhatikan ramai yang tidak ambil pusing.  Akibatnya, terjebak kayuh berpusing-pusing.  Hilang arah tujuan sebab tidak pasti apa tandaan.  Sama ada kerana sistem pembesar suara yang kurang bagus sehingga apa yang diumumkan tidak berbutir, penyampai kurang persediaan atau sikap tidak ambil pusing peserta.  Diharapkan semua pihak berkenaan dapat ambil tindakan untuk mengatasi kekurangan semasa taklimat.

Perkara yang biasa disentuh:-
  • Jarak kayuhan
  • Check points
  • Tandaan laluan - cebisan kertas, riben hitam merah, papan tanda, semburan cat dan seumpama.  Ini sangat penting terutama jika laluan adalah laluan popular dan menjadi tumpuan penggiat aktiviti lain seperti hiking, larian dan seumpama.  Mungkin ada tandaan-tandaan lain yang boleh mengelirukan.  Pastikan anda tahu apa tandaan yang digunakan oleh penganjur.
  • Feeding point/water point.  Lokasi dan jarak akan dinyatakan.  Penting untuk diketahui supaya anda boleh merancang bekalan air/makanan sepanjang kayuhan.
  • Prosedur kecemasan dan nombor untuk dihubungi andai berlaku kecemasan.  Biasanya, di belakang plet jamboree dicetak dengan nombor untuk dihubungi bila kecemasan.
  • Batasan masa.  Biasa diberikan had batasan masa (cut off time) untuk check point tertentu.  Pastikan anda maklum dengan batasan masa supaya anda tidak diarahkan ke perkara seterusnya...laluan AYAM.
  • Laluan AYAM.  Satu istilah yang sangat sinonim dengan jamboree.  Laluan ayam ialah laluan  pintas untuk balik ke tempat permulaan.  Laluan ini dibuat untuk mereka yang tak lalu lagi untuk meneruskan jamboree atau mereka yang tidak berjaya memenuhi batasan masa yang ditetapkan.
  • Nombor kecemasan.  Biasanya nombor kecemasan akan dicetak di belakang nombor plet.
  • Syarat-syarat kelayakan untuk cabutan bertuah (jika ada).  Berapa pelekat diperlukan untuk layak menyertai cabutan bertuah. 
Siapkan Beg dan Peralatan
Malam sebelum tidur, siapkan beg dan peralatan.
  • Periksa basikal buat kali terakhir.  Minyakkan rantai jika perlu.  Angin tayar dipam secukupnya.
  • Pastikan peralatan cukup - tuas tayar, tiub gantian, pam, penymbung rantai, pemotong rantai dan tool pelbagai
  • Bladder beg/ botol air siap diisi.
  • Pakaian mengayuh siap tersedia - jersi, seluar, glove
  • Kasut dan stokin diletakkan berhampiran
  • Helmet
  • Handphone siap dicaj
  • Bateri untuk kamera dan GPS siap sedia termasuk bateri tambahan
  • Cermin mata untuk perlindungan jangan dilupa.
Jika kereta anda berada di tempat yang selamat, semua barang-barang di atas boleh dimasukkan siap-siap ke dalam kereta.  Besok pagi dah tak perlu terburu dan terkocoh-kacah.
  
    Pra-Lelap
    Sebelum mata ditutup, ingat-ingatkan laluan untuk ke tempat permulaan.  Masukkan koordinat GPS kalau ada.  Imbas-imbas kembali aturcara - jam berapa kena berada di sana.  Sarapan (jika ada) bermula jam berapa.  Taklimat bila dan masa berlepas.

    Jangan lupa gosok gigi dan basuh kaki sebelum tidur. Takut nanti terngigau pula.  Setkan penggera pada jam atau handphone.  Masa bangun perlu ambil kira masa bersiap, masa perjalanan termasuk sekali masa untuk bersarapan.  Dah sedia?  Baca basmalah dan doa' tidur.  Tidurlah...anda perlu rehat dan tidur yang cukup untuk berentap esok.

    Satu kebiasaan yang kurang sihat ialah melepak hingga ke dini hari malam sebelum jamboree.  Jangan diamalkan.  Mudarat diri.  

    HARI JAMBOREE (D-DAY)

    Sudah tiba masanya!  Jam/handphone berdering.  Anda bingkas menekan snooze..dan sambung tidur.  Alaaaa...sekejap saja.  Sekejap saja..Dan...jahanam sebab terbabas tidur.  Kan dah cakap jangan amal sembang sampai dinihari pada malam sebelum jamboree.  AMIK KAUUUUU!!!


    Bangun Awal
    Bila penggera berdering, bingkas bangun dan melompat dari katil.  Berlari dengan pantas dan deras ke bilik air.  Luangkan sedikit masa untuk meluangkan usus dan pundi kencing.  Gosok gigi, bersih diri.

    Bergantung kepada jarak tempat anda bermalam dengan tempat jamboree, anda mungkin boleh solat subuh sebelum bertolak ataupun jika perjalanan perlu awal, rancang untuk solat subuh di perjalanan.  Dan...satu peringatan untuk saya dan semua saudara muslim...solat subuh TIDAK BOLEH DIJAMAK ATAU DIQASAR.

    Punggah-memunggah
    Untuk yang belum memunggah barang keperluan dan basikal ke dalam kereta, ingat tadi kita sebut semua barang dan basikal diletakkan setempat?  Inilah masanya mendapat faedahnya.  Mudah saja mencapai semua barang untuk dimuatkan ke dalam kereta.  Kebarangkalian untuk barang tercicir dikurangkan.

    Bila sudah siap punggah masuk, semak sepintas untuk memastikan semua barang ada.  Masuk kereta, baca doa naik kenderaan dan majulah ke destinasi anda.

    Sarapan
    Makanan penting pembuka hari.  Aturkan supaya anda dapat bersarapan.  Kadang-kadang penganjur ada menyediakan sarapan.  Yang penting, pastikan anda ada bekalan bahan bakar buat bekalan untuk kayuhan nanti.

     Ketibaan   
    Bila sampai ke tempat jamboree, patuhi papan tanda dan arahan marshal dan petugas.  Parkir kereta molek-molek.  Jangan parkir sebarang sehingga terjejas laluan orang lain dan penduduk setempat.

    Bagi yang belum mengambil goodie, segera berbuat demikian.  Pasang nombor plet anda.  Periksa jika penganjur memerlukan anda untuk "check-in".  Jika ya, pastikan anda check-in.  Biasanya, satu sticker diberikan tanda telah check-in.

    Bilangan peserta jamboree yang mencecah ribuan orang sudah menjadi perkara biasa.  Oleh kerana tiada saringan kelayakan kedudukan peserta dalam kawasan menunggu bergantung kepada "siapa cepat dia dapat".  Kalau mahu kedudukan pole position, sila datang awal.  Hindarkan daripada cuba mengasak ke hadapan kalau datang lambat.  Hodoh perlakuan begitu!

    Taklimat
    Sebelum berlepas, biasanya penganjur akan memberikan taklimat berupa beberapa peringatan dan makluman-makluman terkini.  Sila beri perhatian terutama jika ada perubahan pada laluan.  Ini biasa berlaku disebabkan faktor cuaca dan sebagainya.  Rujuk para di atas untuk perincian.

    Berlepas!!!
    Dan masa yang ditunggupun tiba.  Berlepas!  Kayuhlah!!! Apa tunggu lagi???  Sambil berkayuh, elok juga diperhatikan adab-adab yang perlu diamalkan dan dipatuhi ketika di dalam denai.  Ini sesuatu yang masih lagi tampak kurang di kalangan pengayuh kita.  Jadi tolong baca, fahamkan dan amalkan untuk kebaikan dan keselesaan semua.  

    Adab dalam trail
    Bagaimana ribuan manusia dengan basikal masing-masing boleh mengharung laluan jamboree yang sempit?  Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah ADAB.  Sayugia diingat, dalam ribuan peserta jamboree, terdapat berbagai peringkat kecerdasan dan kemahiran.  Sering juga diperhatikan, ada di antara peserta yang BELUM bersedia untuk ikut kayuhan jamboree.  Kemahiran asas dan persediaan jasmani belum mencukupi.  Untuk sahabat yang begini, saya nasihatkan bersabar dulu.  Biar cukup ilmu asas dan kaki cukup cerdas sebelum berhajat menyertai jamboree.  Maaf kalau pedas, tapi ini teguran ikhlas.  Atau setidaknyapun ambil tahu adab bila berada di dalam kayuhan.
    • Walau jamboree tidak bertumpu kepada perlumbaan, tidak bermakna anda tidak boleh laju.  Anda boleh memotong.  Seperti peraturan memandu, untuk memotong anda perlu beri isyarat dan memotong bila laluan mengizinkan.  Sama juga bila berbasikal.  Berikan isyarat bila hendak memotong.  Tujuannya supaya orang yang hendak dipotong maklum dan tidak terperanjat bila dipotong.  Maklum basikal ni kenderaan jenis "bisu" tanpa bunyi.  Maklumkan secara lisan "Potong di kanan".  Biasanya ramai yang cakap orang putih "Rider right".  Suka hatilah nak cakap bahasa apa asalkan orang yang hendak dipotong faham.
    • Walaupun jamboree ini lebih bersifat riadah dan santai, semasa berkayuh, hindarkan dari berkayuh beriringan.  Merbahaya kalau di jalan tar yang banyak kenderaan melainkan kalau yakin pasti sepenuh hati yang jalan memang tidak ada kenderaan bermotor lalu-lalang, buatlah... Tabiat kayuh bersaing sambil bersembang ala Cik Kiah ini boleh menyusahkan terutama apabila di laluan sempit.  Simpan-simpan la dulu sembang tu sampai kat check point atau waterpoint.
    • Laluan jamboree biasalah kalau berbagai kecerunan dan tahap teknikalnya.  Upaya pengayuh juga berbeza.  Kalau anda tidak upaya mengayuh mendaki bukit, jangan ingat semua pengayuh lain serupa.  Maka anda dengan senang hati menolak di bahagian tengah jalan.  Bila menurun juga begitu.  Perhatikan semasa anda menolak, adakah ada pengayuh di belakang yang masih upaya mengayuh.  BERI LALUAN!  Itu adab yang sepatutnya.  Tidak perlu mencebik sambil mengeluarkan kata "Ellleh...macam la terer sangat" dari mulut yang tidak bertapis.  Walau penganjur seringkali mengingatkan peserta supaya menolak basikal pada laluan sukar, masih ramai yang enggan dan tidak mempedulikan.  Jadi, tolong ambil perhatian.  Menolak di laluan sukar supaya line kayuhan terbuka untuk mereka yang masih upaya mengayuh.
    • Jika terpaksa berhenti semasa mengayuh, elakkan daripada berhenti di tengah laluan terutama pada laluan singletrack.  Usahakan untuk ke tepi sedapat mungkin.  Saya pernah terpaksa membrek mengejut sebab pengayuh di hadapan berhenti di tengah-tengah laluan, sedangkan bahagian sisi masih luas.  Berhentinya pula sekadar untuk menurunkan saddle.  Satu masalah biasa ialah pada tempat check-point atau water point.  Pengayuh berhenti sewenang hingga menutup laluan.  Perhatikan dan pastikan tempat anda berhenti supaya anda tidak menghalang jalan.  Jadi, ingatlah...mudahkan urusan orang lain, semoga urusan anda juga akan dipermudahkan.
    • Untuk pengayuh-pengayuh handalan pula, beradablah bila meminta laluan.  Kita tahu anda kuat.  Tidak perlu riak dan bongkak.  Sentiasa perhatikan keadaan pengayuh di hadapan dan siap siaga untuk sebarang kemungkinan.  Jika perlu memotong atau minta laluan, buatlah dengan adab sopan.  Tapi...tidak perlulah sampai turun dari basikal dan berjalan sambil membongkok dengan tangan diluruskan ke bawah sambil berkata "Tumpang lalu...tumpang lalu.".  Sopan sangatlah pulakkkkk.
    • Dalam acara yang ramai peserta begini, saling bantu-membantulah.  Bila berdepan laluan berhalangan, lubang, lopak dan seumpama, laung supaya mereka yang di belakang maklum dan bersedia untuk tindakan-tindakan keselamatan.  Sedikit laungan anda mungkin boleh menyelamatkan kawan-kawan pengayuh daripada terhumban dan kemalangan.  Sesuatu yang biasa dalam jamboree ialah berhadapan dengan halangan yang memerlukan basikal dipikul.  Halangan seperti longkang/carok yang dalam, cerun yang curam akan lebih mudah diatasi sekiranya pengayuh berpakat dan bekerjasama.  Kerja melepasi halangan lebih mudah jika rantaian manusia dibentuk untuk mengangkut basikal melepasi halangan berbanding dengan usaha berseorangan terhegeh dan terkial untuk melepasi halangan.
    • Antara sebab kita ber MTB ialah kerana hubungannya dengan alam.  Denai-denai, rimba belantara, bukit-bukau, sungai, jeram dan air terjun yang semulajadi dan indah menjadi juadah penenang jiwa.  Sebagai pengayuh, itu semua dihargai dan dihormati.  Perlu ada tanggungjawab untuk bersama memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar.  Amat jelik kalau pengayuh MTB, ketika menyertai jamboree bersikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
      Tolonglah...botol air anda yang sudah kosong bukan untuk dihumban atau dibiar bersepah di tepi denai atau di dalam hutan.  Penyekkan dan bawa keluar kemudian buanglah di tempat yang sepatutnya.  Tiub bocor anda bukan untuk digantung pada pokok-pokok untuk dihadiahkan pada beruk kera monyet.  Depapun tak hinginkan tiub yang sudah bocor.  Bawalah balik dan buanglah ditempat buangan yang bersesuaian.  Pembungkus makanan anda - snek, power gel dan seumpama - bukanlah berat manapun.  Janganlah disepah dan dibuang sewenangnya.  Plastik yang tanpa berat itu tidak membebankan kalau dibawa keluar dan dibuang dengan cara yang wajar...
      Tolonglah sekali lagi... anda lebih hensem dari beruk kera monyet di dalam hutan.  Anda akan lebih hensem lagi kalau anda bersama membantu memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar...
    Itulah sedikit sebanyak adab di dalam trail yang dapat saya kongsikan.  Senarainya mungkin panjang lagi.  Gunakan akal dan pertimbangan yang wajar dalam menangani situasi.  Maklum, bila dah penat dan oksigen kurang sampai ke otak, kadang kita mudah hilang pertimbangan.   

    Kayuh dan terus kayuh!
    Kayuh dan terus kayuh hingga sampai ke garisan penamat atau terpaksa akur untuk mengikut laluan AYAM atau naik lori AYAM.  Mengalah bukan kalah.  Anda harus bersikap wajar dan adil kepada diri sendiri.

    TAMMAT
    Satu nikmat dan lega yang amat bila berjaya melintasi garisan penamat.  Terasa semua penat jerih berbayar sudah.  Peluh dan keringat yang tumpah jadi saksi!

    Biasanya ketibaan anda akan disambut di garisan penamat.  Ikut nasib la...Kadang ada gadis manis mengalungkan medal di tengkuk anda.  Kadang ada Makcik Kiah, kadang ada abang misai.  Tak kisahlah tu...

    Biasanya penganjur menyediakan makanan.  Sama ada siap berbungkus atau hidangan secara buffet.  Anda letih dan lapar.  Makanlah, anada berhak.  Cuma jangan ceduk dan senduk semahu nafsu.  Ingat juga bahagian orang lain.

    Barang diingat yang makanan disediakan untuk peserta.  Tidak termasuk suami/isteri anak beranak sanak saudara yang ikut serta ke jamboree tapi bukan peserta.  Mereka tidak berhak untuk ikut menjamah jamuan yang disediakan.  Jangan ambil barang yang bukan hak dan menafikan pula hak orang lain.

    Antara tarikan acara jamboree ini ialah cabutan bertuah.  Barangan agak lumayan.  Daripada peralatan berkayuh, aksesori basikal, alat gantian hinggalah ke basikal lengkap.  Siap sedia dengan nombor plet anda.  Nombor anda boleh dipanggil bila-bila masa.  Semoga anda bertuah.

    Tamat acara cabutan bertuah, tamatlah sudah satu jamboree.  Akan tercatat dan terpahat berbagai kisah dan pengalaman suka duka.  Jumpa lagi di lain jamboree.

    PASCA JAMBOREE

    Rumah siap pahat berbunyi.  Sudah jadi resam biasa.  Sementelah ada perantara elektronik canggih-manggih dunia moden ini, lebih mudah untuk melontar rasa, menghimbau bicara.  Laman web, chat box dan blog akan bercerita perihal jamboree yang baru berlalu.

    Bermacam komen tersiar tersebar.  Yang kata bagus, yang merungut tak bagus bercampur baur.  Maklumbalas perlu untuk memberitahu kepada penganjur tahap penganjuran mereka.  Berikan komen jujur.  Dan berpada dalam memberi komen.  Tidak perlu maki hamun sampai benda-benda di dalam kain disebut.  Bersikap objektif bila memberikan komen.  Hindarkan dari memberikan komen seperti "Penganjur macam t**i.  Tau nak untung saja".  Komen sedemikian tidak memberikan apa-apa faedah melainkan sekadar melampiaskan angin marah sahaja.  Sebaliknya nyatakan, misalnya "Tandaan kurang jelas".  "Bekalan air tidak mencukupi".  "Goodie beg tidak lengkap".  "T-shirt/jersi tidak bermutu.  Sekali pakai sudah luntur warna".

    Dan suka saya mencadangkan, kiranya ada kesempatan, cuba anda sendiri menjadi penganjur.  Kalau tidak penganjurpun, cuba ikut jadi petugas semasa jamboree.  Cuba untuk berada di sebelah sana sekali sekala supaya anda boleh merasa sendiri dan lebih memahami bagaimana rasanya berada di sebelah sana.

    Sekian, nukilan untuk kali ini.  Semoga bermanfaat untuk semua dan menjadi panduan berguna.  Sebarang komen dan teguran dialukan.  

    Friday, June 22, 2012

    Jamboree Sudah Maree - Bah 2

    Ini adalah Bahagian 2 dalam siri Jamboree Sudah Maree.  Satu usaha kecil untuk menerangkan perihal jamboree kepada pengayuh-pengayuh MTB.  Apa yang ternukil adalah pendapat dan pandangan peribadi Penulis.  Mungkin betul, mungkin salah.  Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerugian harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. 


    Bahagian 1 telah menyentuh tentang pengenalan kepada jamboree MTB.  Juga disorot sedikit panduan memilih jamboree yang mana satu untuk disertai.  Rujuk Jamboree Sudah Maree untuk artikel penuh.  Untuk bahagian 2, kita tengok pula tindakan perlu untuk menyertai jamboree.

    Setelah mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan dan mendapati yang jamboree boleh disertai, tindakan-tindakan berikut perlu diambil;
    • Mendaftar sama ada secara individu atau berkumpulan
    • Uruskan cuti (jika perlu)
    • Uruskan penginapan (jika perlu)
    • Persiapan diri
    • Persiapan basikal
    • Aktifkan radar - pasang mata dan telinga

    MENDAFTAR UNTUK JAMBOREE


    Biasanya penganjur akan menyediakan dua kaedah pendaftaran iaitu secara individu atau berkumpulan.  Dan dalam zaman siber ini, semua urusan dijalankan secara dalam talian (on line).  Pendaftaran boleh dilakukan di depan komputer sahaja. Pastikan pendaftaran dibuat sebelum tarikh tutup. Kalau tidak...meloponglah anda.

    Pendaftaran Secara Individu


    Lazimnya, walau tidak semestinya, penganjur akan menyediakan 2 kaedah pendaftaran iaitu:-

    • Borang elektronik dalam talian
    • Borang untuk muat turun

    Sebelum kita ke perincian borang, elok kita sentuh dulu bab pembayaran kerana biasanya di dalam borang, sama ada elektronik atau muat turun, memerlukan maklumat pembayaran.

    Bayaran boleh dibuat secara perbankan internet atau melalui mesin tunai. Tak perlulah saya perincikan cara-caranya. Diandaikan semua sudah biasa dengan perbankan internet atau perbankan elektronik. Yang perlu disebut di sini ialah peri pentingnya mencetak slip pembayaran sebagai bukti. Jangan lupa!

    Untuk borang elektronik, anda hanya perlu mengisi butir-butir yang dipaparkan pada skrin. Lengkapkan maklumat seperti yang dikehendaki. Semak dan pastikan maklumat yang diberikan adalah betul terutama nama dan nombor telefon untuk dihubungi ketika kecemasan.

    Pada akhir bahagian borang lazimnya ada butang pengesahan yang didahului dengan perakuan dan pernyataan penafian yang lazimnya menyebut lebih kurang "...penganjur tidak akan bertanggungjawab di atas keselamatan anda". Dengan menekan butang terima/atau setuju bermakna anda setuju dengan syarat dan peraturan penganjur.

    Untuk borang muat turun, biasanya dalam bentuk dokumen "word processor" atau bentuk .pdf. Anda perlu muat turun, cetak dan isi butiran yang diperlukan. Lengkapkan butir seperti yang dikehendaki. Dalam borang juga dimasukkan perenggan perakuan dan pernyataan penafian. Tandatangan jika setuju.

    Untuk mereka yang di bawah umur 18 tahun, tandatangan kebenaran ibubapa diperlukan.

    Borang yang telah siap diisi bolehlah difakskan kepada penganjur kepada nombor faks yang diberikan. Sertakan sekali slip pembayaran. Ataupun, borang berserta slip pembayaran boleh discan. Kemudian dihantar kepada penganjur melalui e-mel.

    Gunakan mana-mana kaedah yang anda rasa selesa. Pastikan anda membuat susulan dengan penganjur untuk memastikan pendaftaran anda telah diterima.

    Pendaftaran Secara Berkumpulan


    Pendaftaran juga boleh dibuat secara pukal berkumpulan. Biasanya dibuat atas nama persatuan atau kelab basikal. Aliran prosesnya sama seperti aliran proses pendaftaran individu.

    Seorang wakil akan memikul amanah membuat pendaftaran. Yuran pendaftaran dikutip daripada ahli kelab/persatuan yang ingin menyertai. Jadi tolong jangan buat naya pada sipemikul amanah dengan gerakan taktikal "Engkau bayarkan dululah, nanti aku cover". Jenuhlah sipemikul amanah tu nanti.

    Pembayaran boleh dibuat melalui mesin atau perbankan elektronik sama seperti di atas. Perbezaan yang ketara ialah pada butiran peserta di mana senarai butiran peserta yang akan diberikan kepada penganjur sebagai gantian kepada borang individu. Hal-hal lain sama seperti pendaftaran individu.

    Setelah selesai urusan pendaftaran, simpan semua borang dan slip pembayaran baik-baik. Amat berguna sebagai rujukan dan bukti sekiranya berlaku pertikaian.


    URUSKAN CUTI


    Kalau anda jenis yang lebih suka cuti kecemasan (EL), tidak perlu bersusah payah membaca tajuk ini. Cuma, suka diingatkan yang tabiat mengambil cuti kecemasan ini tidak berapa digemari oleh boss. Lainlah kalau anda boss.

    Cuti hari apa yang nak diambil? Biasanya sehari sebelum acara, sehari selepas acara atau sehari sebelum dan selepas acara. Bergantung kepada keadaan.

    Sebagai contoh, katakan jamboree dibuat pada hari Sabtu. Tempat jamboree pula nun jauh di utara dalam jarak 300km. Hari Jumaat adalah hari bekerja. Anda perlu berada di tempat permulaan jam 7.00 pagi. Bagi yang jenis suka memandu kereta macam F1 mungkin boleh merempit selepas kerja dan sampai ke destinasi dengan lebihan masa. Bagi yang tidak suka tergopoh gapah, mungkin mahukan perjalanan yang lebih tenang. Maka, cuti pada hari Jumaat disarankan. Mohonlah cuti lebih awal supaya memudahkan diri anda, rakan sekerja dan boss anda.

    Untuk contoh kedua, katakan jamboree pada hari Ahad. Tempatnya pula nun di Plentong. Untuk perjalanan pergi tiada masalah kerana hari Sabtu adalah hari cuti. Tetapi, untuk perjalanan balik, dengan penat letih jamboree lagi, lebih baik kalau diambil cuti pada hari Isnin. Perjalanan pulang anda tidak perlu tergopoh gapah. Dan anda ada satu hari rehat untuk pemulihan selepas berhempas pulas di jamboree.


    URUSKAN PENGINAPAN


    Untuk jamboree yang memerlukan anda untuk bermalam disebabkan jarak yang jauh, penginapan adalah satu perkara penting. Penginapan untuk berehat secukupnya sebelum berjamboree.

    Biasanya penganjur akan memberikan sedikit panduan tentang penginapan berserta maklumat hubungan tempat-tempat penginapan yang berdekatan dengan tempat jamboree. Elok dibuat tempahan awal bagi memastikan tempat kerana biasanya tempat penginapan cepat habis ditempah menjelang jamboree.

    Pilihlah tempat dan jenis penginapan yang sesuai. Antara pilihan yang ada...

    Hotel
    Jenis yang paling biasa. Pilihlah hotel berapa bintang dan bulan yang anda mahu sesuai dengan kembung kempisnya kocek anda. Tanyakan sama ada basikal dibenarkan dibawa ke dalam bilik hotel. Maklum barang baik lagi mahal, mana boleh dibiarkan tak berjaga rapi.

    Inap desa (homestay)
    Jenis penginapan yang semakin masyhur. Sangat sesuai untuk kumpulan besar dan tempoh masa yang singkat. Juga biasanya lebih mesra kocek.

    Rumah saudara, kawan dan kenalan yang berdekatan.
    Bila lagi nak manfaatkan peluang berziarah mengeratkan silaturrahim. Sambil berjamboree, boleh manfaatkan untuk menziarahi saudara mara handai taulan. Seeloknya maklumkan dulu tuan rumah dan dapatkan keizinannya. Jangan main terjah saja. Saya pernah diberi penghormatan oleh seorang kenalan basikal yang dikenali melalui BBS untuk bermalam di rumah beliau selepas Jamboree Burung Hantu tahun 2011. Saya dan kawan sangat berterima kasih di atas budi baik dan kemurahan hati Bugs.

    Masjid/surau
    Bagi yang muslim, masjid atau surau boleh dijadikan tempat menumpang. Cuma mungkin sesetengah masjid/surau dikunci bagi mengelak masalah kecurian. Dan, jika mahu menumpang di masjid/surau elok kalau dapat memaklumkan dan mendapatkan keizinan AJK masjid/surau. Juga, ingatlah yang masjid surau itu tempat suci dan mulia. Peliharalah adab dan susila jika mahu bermalam atau memasuki kawasan masjid. Ada beberapa insiden yang saya pernah lihat sendiri di mana pengayuh dengan selamba berkeliaran di dalam kawasan masjid dalam keadaan aurat tidak ditutup dengan sempurna.

    Berkhemah
    Ini untuk pengayuh yang membara semangat kembaranya. Tebar saja khemah di mana yang sesuai. Pastikan berhampiran dengan punca air dan bilik air. Kena bersusah payahlah sedikit untuk mengusung khemah.


    PERSIAPAN DIRI


    Pergi ke jamboree bukan macam pergi berkelah. Piawai biasa jarak jamboree ialah sekitar 40km ke 50km. Elok siapkan diri untuk mengharungnya.

    Kalau anda belum pernah berkayuh sejauh itu, eloklah mencuba. Bina upaya dan ketahanan diri untuk mengharungi jarak sedemikian. Jamboree ini kalau dapat dihabiskan, akan terasa satu kepuasan yang amat sangat. Sebaliknya, kalau terpaksa menjadi ayam, rasa terkilannya menjeruk berhari-hari. Jadi, sediakan dan biasakan diri anda dengan jarak yang bakal ditempuh.

    Laluan untuk jamboree bukannya laluan permaidani merah ke majlis gala. Perhatikan maklumat laluan yang diberikan oleh penganjur. Biasanya akan ada pendakian curam dan panjang. Bila ada pendakian, pasangannya pula laluan meluru turun. Ada yang bertahap biasa dan ada yang bersifat teknikal. Selalu sangat bertembung dengan suasana menolak basikal beramai-ramai dengan gaya lenggang mak limah nak pergi pasar. Sayang sekali pada sesetangah tempat yang ditolak itu sepatutnya boleh dikayuh.

    Tolonglah diri anda untuk menikmati jamboree dengan lebih berperisa dengan meningkatkan kemahiran anda. Luanglah sedikit masa untuk belajar, berlatih bagi meningkatkan kemahiran diri. Mulai sekarang, peruntukkan sedikit masa apabila keluar berkayuh untuk menajamkan kemahiran teknikal. Belajar membelok dengan teknik yang betul. Belajar menjadikan brek depan (yang dituduh berhantu dan berpuaka itu) sebagai sahabat anda yang sangat berguna. Belajar teknik menuruni cerun dan teres. Cuba...cuba...dan cuba. Hah! Apa tunggu lagi. Untuk kayuhan terdekat ini, amalkan! Biar orang lain pelik melihat anda mencuba sesuatu bahagian denai berulangkali. Sekali anda berjaya menawan sesuatu bahagian denai yang anda geruni, percayalah...Rasa yakin diri anda akan bertambah kepuasan mengayuh anda akan mencanak naik. Pokoknya, bukan kena peluk pokok, tapi anda harus mahu belajar dan mencuba. Boleh tak ni?

    PERSIAPAN BASIKAL


    Kuda kesayangan anda juga perlu dipersiapkan. Mana-mana bahagian yang longgar dikemaskan. Biasanya pada bahagian set kepala, braket bawah dan hub. Periksa untuk kelancaran. Bahagian yang mempunyai alas bebola diperiksa. Kalau perlu diminyakkan, minyakkan. Bunga tayar mencukupi. Pad brek mempunyai cukup ketebalan. Pertukaran gear diperiksa. Kalau lari dan melompat, perlu ditalakan semula. Itu antara perkara yang perlu diberi perhatian. Selenggaraan dan persediaan ini membantu mengurangkan pincang tugas dan kerosakan sewaktu berjamboree. Jagalah dan persiapkan basikal anda dan ia akan kembali menjaga anda.


    AKTIFKAN RADAR - pasang mata dan telinga


    Apa pulak sampai terkeluar radar ni? Pada basikal ada roda. Radar tak pernah pula nampak. Ini bercakap secara maknawiyah, bukan harfiah. Maksudnya di sini, ikuti perkembangan jamboree. Mungkin ada kemaskini atau makluman penting daripda penganjur. Rajin-rajin menyemak laman web atau blog penganjur untuk perkembangan mutakhir. Ini akan menghindarkan anda dari terjebak dengan sebarang kejutan. Mungkin ada perubahan pada laluan, perubahan pada maklumat logistik, perubahan tempat permulaan dan seumpama. Dengan aktif radar, anda akan sentiasa maklum dengan perkembangan terkini dan terselamat daripada kejutan tak memasal.


    Checkpoint 2 untuk Jamboree Sudah Maree sampai di sini. Diharapkan apa yang dibebelkan di sini sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan terutama kepada mereka yang baru pertam kali mahu menyertai jamboree.


    Selamat berjamboree!!!.

    Untuk kembali ke bahagian 1, klik sini
    Untuk maju ke bahagian akhir, klik sini

    Thursday, February 23, 2012

    Jamboree Sudah Maree!

    Masa sekolah dulu, kalau sebut jamboree, fikiran mesti terus nampak pengakap.  Pengakap saja yang biasa berjamboree ni.  Bila mula main MTB pada awal 2006, dengar la pulak jamboree MTB.  Terasalah peliknya...Sebab dok terbayang dalam kepala jamboree ni macam acara berkhemah gitu-gitu.  Apa barang pergi berkhemah dengan MTB.  Nasib baik tak terhambur keluar dari mulut.  Simpan dalam hati saja sambil tu menggoogle cari maklumat pasal jamboree MTB.  Ooooo...macam gitu gayanya jamboree MTB.

    Sekitar 2006 dan 2007 kegiatan MTB belum menular macam sekarang.  Nak nampak orang main MTB agak susah.  Jamboree lagilah payah.  Dalam setahun adalah satu atau dua jamboree saja.  Yang paling sohor waktu itu ialah PCC Presidential Ride dan Kayuh Lasak.  Ini dua jamboree kira otailah dari segi penganjuran jamboree.  Dengan berkembang teknologi maklumat, sebaran program jamboree jadi lebih mudah.  Penganjur biasanya akan membuka laman web atau blog untuk hebahan jamboree mereka.  Untuk melihat apa jamboree yang ada, saya suka merujuk laman blog Malaysia Cycling Event yang dikendalikan oleh Adi Harriman.  Setakat ini, blog ini adalah sumber rujukan terbaik dan terlengkap untuk semua acara kayuhan di Malaysia.

    Eh...dah melalut la pulak.  Kes ambik switchback off camber la ni.  OK, Nak cerita dulu apa itu jamboree dalam konteks aktiviti MTB.  Kalau boleh di definisikan jamboree MTB tu lebih kurang "Himpunan beramai-ramai para pengayuh MTB di bawah kelolaan penganjur untuk berkayuh pada satu laluan yang telah ditandakan sama ada dalam bentuk perlumbaan atau bukan perlumbaan".  Boleh la kot definisi macam tu.

    Perkara-perkara lain yang biasa ada dalam sesuatu jamboree ialah:-
    • yuran penyertaan.  Setakat posting ini ditulis, yuran piawai untuk kebanyakan jamboree ialah RM50.
    • Cenderahati.  Biasanya sehelai jersi basikal, atau kemeja-T dan beberapa barangan iringan lain.  Istilah biasa digunakan ialah "goodie".
    • jarak laluan sekitar 40km - 50km dengan adunan jalan tar dan denai.  Jalan tar biasanya dalam peratusan kecil sekitar 10-20 peratus.
    • format kayuhan sama ada fun ride, perlumbaan atau gabungan keduanya.  Kayuhan fun ride ni kayuhan seronok-seronok.  Sapa nak belasah pecut, belasahlah.  Tiada hadiah untuk mereka yang sampai dahulu melainkan rasa megah dan puas.  Untuk format perlumbaan, speed is the need.  Biasa disediakan hadiah yang tak kurang lumayan.  Kalau anda bukan pelumba, masih boleh ikut serta.  Tiada masalah untuk berkayuh kelajuan santai.   
    • Laluan dipecahkan kepada beberapa peringkat dan ditandakan dengan checkpoint.  Juga ada laluan "ayam" untuk mereka yang tidak lalu lagi untuk berkayuh untuk kembali ke tempat permulaan dengan lebih cepat.  Sayugia diingatkan, memang tiada ayam - sama ada goreng atau panggang dihidangkan untuk mereka yang mengambil laluan "ayam" ini.
    • pingat untuk mereka yang berjaya menamatkan kayuhan.  Kadang-kadang diberi juga sijil penyertaan.  Anda tulislah sendiri nama anda pada sijil yang diberikan.
    • Nombor plet untuk peserta.  Yang ini penting ni sebagai pengenalan peserta sah.  Juga untuk menampal sticker checkpoint sebagai pengesahan yang anda adalah peserta sah yang telah bersusah payah berkayuh untuk sampai ke checkpoint.  Bila sticker penuh ditampal, bolehlah dijadikan bahan bermegah.  Kalau tak cukup sticker, siap laaa...anda pulak boleh jadi "bahan".  Rujuk point di atas yang menyebut tentang laluan "ayam".
    • Hadiah untuk pemenang kadang-kadang disediakan.  Biasanya, untuk jamboree bukan perlumbaan, hadiahnya tidak lumayan berbanding dengan jamboree dalam format perlumbaan.
    • Dan yang paling ditunggu-tunggu ialah acara cabutan bertuah.  Hadiahnya agak lumayan bergantung kepada siapa penganjur dan siapa penaja.  Pastikan anda memenuhi syarat-syarat untuk layak menyertai cabutan bertuah.
    Itu sedikit sebanyak pengenalan kepada jamboree MTB.  Kita maju seroda dua lagi dengan sedikit panduan dalam memilih jamboree mana untuk disertai.  Seperti yang disebut di awal tadi, dahulunya hanya ada satu dua jamboree saja dalam setahun.  Dalam tempoh dua tiga tahun kebelakangan ini, sejajar dengan bertambahnya bilangan pengayuh, penganjuran jamboree juga bertambah.  Jadi, mana satu nak dipilih?  Saya kongsikan sedikit panduan berdasarkan pengalaman sendiri.
    1. Siapa penganjur?  Ini sangat penting.  Pilihlah penganjur yang punya reputasi baik dalam penganjuran.  Kalau penganjur baru pertama kali, harus hati-hati.  Takut berlaku masalah dari segi urus tadbir acara.  Masalah umum seperti bekalan air tidak mencukupi.  Sajian makanan tidak mencukupi.  Tandaan trail yang tidak cukup dan mengelirukan.  Penyediaan goodie yang tidak mencukupi dan tidak menepati masa dan berbagai masalah lagi.
    2. Jarak tempat jamboree.  Nilaikan sama ada berbaloi untuk mengangkut basikal berpuluh malah beratus kilometer untuk menyertai jamboree.  Kalau jaraknya jauh, anda mungkin perluk mengambil kira perkara lain seperti tempat bermalam, kos pengangkutan dan sebagainya.  Kalau berbaloi silakan.
    3. Keterangan laluan.  Penganjur yang baik akan memberikan keterangan laluan.  Berapa jauh kayuhan, komposisi peratusan laluan, berapa ketinggian (baca : penderaan) perlu ditempuh, bagaimana tahap kesukaran laluan dan yang seumpama.  Gambaran ini boleh membantu peserta menilai sama ada keupayaan diri sesuai atau tidak dengan laluan.  Saya perhatikan aspek ini kurang diberi perhatian.  Akibatnya, ramai yang merungut bila berada di dalam denai.  Saranan saya, agak-agak bila nak lipih jamboree mana untk disertai.  Sesuaikan laluan yang bakal ditempuh dengan keupayaan diri. Kalau teragak, tapi pergi jugak, jangan merungut menyalahkan orang lain.  Anda sudah diberi amaran.
    4. Selidik juga trend cuaca untuk tempat jamboree dan masa jamboree akan dibuat.  Saya cukup tak gemar kalau terpaksa berkayuh (menolak basikal) dalam denai berselut.  Jerih dan payah dan hilang keseronokan jamboree.
    Cukup dulu untuk perbincangan kali ini.  Akan di sambung pada masa hadapan untuk bab persediaan ke jamboree, tindakan semasa dalam jamboree, adab-adab di dalam denai dan hal-lain lain yang berkaitan.  Barang diingat, catatan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya.  Mungkin ada cacat dan cela.  Boleh komen secara berhemah untuk kebaikan bersama.

    Selamat berjamboree!!!.

    Untuk pergi ke bahagian 2 klik sini
    Untuk pergi ke bahagian akhir klik sini