Showing posts with label tool. Show all posts
Showing posts with label tool. Show all posts

Wednesday, March 12, 2014

Alat Untuk Memasang "Nipple" Buatan Sendiri

Untuk kaki-kaki pomen sendiri basikal, alat apa yang anda gunakan untuk memasang "nipple" kepada jejari bila melagang roda?  Beli alat khas daripada pengeluar berjenama?  Terkial-kial guna jari kosong?

Saya pernah menggunakan tweezer untuk memegang nipple bagi memudahkan pemasangan terutama pada roda dwi-dinding (double wall).  Masalah lebih tenat kalau roda yang dikerjakan adalah dari jenis profil tinggi.

Saya suka bersembang dan menuntu dengan pomen-pomen otai.  Hasilnya, dapatlah ilmu alat memasang nipple ini.  Gurunya ialah Abang Da'i dari Dr Cycle, Padang Balang.  Terima kasih tuan!

Kata pujangga, ilmu dikongsi tidak luak... malah makin bertambah.  Maka saya kongsikan ilmu ini dengan anda semua.

Alat memasang nipple buatan sendiri
Inilah rupa alat memasang nipple buatan sendiri.

Bahannya mudah saja.
  • Sebatang jejari (spoke)
  • Sebiji nipple
Cara-caranya:-
  1. Bengkokkkan hujung jejari yang tidak berulir supaya menjadi tempat pemegang yang selesa.  Saya pilih bentuk segitiga.  Anda bolehlah nak buat bentuk bunga ka, awan larat ka.. Apa-apa bentuklah...
  2. Sekerukan bahagian kepala nipple sehingga hujung ulir terjulur lebih kurang 2mm atau 3mm.

Dah siap!  Senang saja...Modal tak sampai tige hengget.

OKeyyy... Alat dah siap.  Macam mana cara nak menggunakannya?

  1. Sekerukan nipple yang nak dipasang ke roda pada hujung yang terjulur tadi.  Tak payah ketat-ketat.  Janji nipple tu melekat sudah.




  1. Jolokkan nipple ke dalam lubang pada roda sampai nipple terjulur.
  2. Lagakanlah nipple dengan jejari biar mesra elok.  Kemudian sekerukanlah nipple dengan spoke.

    Selesai!


    Mudah kan?

    SELAMAT MENCUBA...

Friday, August 17, 2012

IceToolz Tapping Tool

Biasa kena masalah alur bebenang rosak pada basikal atau komponennya? Hati jadi sakitkan? Komponen tidak boleh dipasang sebab alur bebenangnya sudah berbirat dan berselirat. Apa nak buat? IceToolz ada ubat! Saya baru dapat lepas sekian lama memendam hajat.


Datang dalam kantung yang kemas dan cantik

Gergasi peralatan membaiki basikal IceToolz dari Taiwan ini menawarkan set tapping yang hampir lengkap untuk keseluruhan basikal pada harga yang lebih rendah daripada saingan.

Set ini datang dalam beg berzip yang kemas cantik untuk memudahkan simpanan. Sekali pandang macam tas tangan wanita. Isteri pada mulanya menyangka tas tangan untuknya. Maaf sayang, ini bukan untukmu. Ini mainan untuk abang.

Mari kita buka zip dan tengok apa ada di dalam.



Alat yang ada di dalam ialah pemegang "tap" dan "tap" berbagai saiz. "Tap" ialah alat yang berupa sebatang bolt yang berlekuk pada batangnya dan mempunyai alur bebenang. Biasanya sedikit meruncing pada bahagian kepala untuk memudahkan kemasukan dalam lubang yang hendak dibuat atau di baiki alur bebenang.

Saiz tap dalam set ini adalah seperti berikut:-

KOMPONEN BUTIRAN
Pemegang Tap Pemegang tap boleh laras untuk saiz 3/16" - 1/2". Guna untuk memegang dan memulas tap
Tap 9/16" x 20TPI kiri Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kiri set engkol 3 keping standard
Tap 9/16" x 20TPI kanan Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kanan set engkol 3 keping standard
Tap 1/2" x 20TPI kiri Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kiri set engkol sebatang standard American
Tap 1/2" x 20TPI kanan Untuk tap lubang pedal pada lengan engkol kanan set engkol sebatang standard American
Tap M10 x 1.0P Tap saiz M10 untuk lubang pada derailer hanger
Tap M6 x 1.0P Untuk tap lubang pada adaptor brek cakera, boss v-brek dan eyelet untuk fender
Tap M5 x 1.0P Untuk tap lubang bolt untuk cakera brek, lubang pemegang botol air
Tap M3 x 1.0P

Tap yang siap dipasang ke pemegang. Sedia untuk melarik bebenang

Alat tapping ini digunakan untuk membuat alur bebenang, membaiki alur bebenang yang telah rosak dan membersihkan alur bebenang daripada bendasing contohnya cat yang melekat pada alur bebenang menyebabkan bolt atau sekeru tidak dapat dimasukkan ke dalam lubang.

Kalau ada yang berhajat, sila hubungi saya. Nak cuba?

Tuesday, June 26, 2012

Hilang Angin!

Hilang angin boleh membuatkan kita mati angin, lama-lama naik angin sebab tak boleh pergi makan angin. Pam Topeak JoeBlow Sport II yang saya beli pada bulan Februari tahun lepas dah hilang angin. Menolak tarik pelocoknya terasa ringan tak melawan langsung. Tiada desis angin menderu keluar di kepalanya. Ishhhhh...


Gegelang O yang sudah haus dan kecut
Sistem pemasangan mudahnya membolehkan penutup silinder utama dibuka dan diperiksa. Diagnosis kepada penyakit hilang angin ialah kerana gegelang O pada pelocok pam ini sudah keras dan mengecut. Tidak lagi menampan dan memampan udara bila disorong tarik.

Diagnosis sudah. Rawatannya bagaimana? Tempat pertama dirujuk ialah laman web Topeak. Ada kit gantian untuk pam ini. Harga pula berapa? Ada kawan yang bagi tahu harga mencecah RM80. Haaaaa! Tak berbaloi beli kit pembaikan RM80 untuk pam yang berharga RM125.

Ada kawan-kawan yang menyarankan supaya pergi balik ke Rodalink. Ya tak ya juga. Kan Rodalink yang mengedar barangan Topeak? Kadang-kadang minda dan akal memang suka berfikir secara rumit dari mengikut jalan mudah yang terbentang.

Hanya dengan satu panggilan telefon, masalah hampir selesai. Rodalink Sri Hartamas minta dibawakan pam ke kedai untuk diperiksa dan dibaiki. Legaaaaa. Dalam kelegaan sementara, terlupa untuk bertanya anggaran kos.

Jadinya semalam, selepas puas bermain di Kiara, saya singgah di Rodalink Sri Hartamas. Diunjukkan pam pada mekanik bertugas. Dia perhatikan sekejap kemudian dengan wajah tak berapa seronok dia bagi tahu kedai tak ada alat ganti. Saya sendiri terasa muka saya jadi mencuka. Mujur cepat dia redakan suasana.


Kit - Gegelang O, getah pelapik kepala kecil dan besar.
"Kedai kat Bangsar ada bang", katanya macam tak pasti. Muka yang mencuka tertawar kembali. Ada harapan. "Boleh call Bangsar untuk pastikan. Saya tak mau drive ke sana sia-sia.". Dengan senang hati dia call dan memang sahih ada alat ganti di Bangsar.

Ke Bangsar pada tengahari Ahad satu cabaran besar untuk mencari parkir. Mujur rezeki saya baik terus dapat parkir tak jauh dari Rodalink. Sebaik melangkah masuk, disambut dengan ramah mesra oleh pekerja bertugas. Tak perlu bercerita banyak kerana sudah ditelefon sebelum datang. Pekerja (minta maaf tak tanya nama) mengambil satu kotak yang mengandungi bermacam jenis alat ganti untuk bermacam jenis dan model pam Topeak.

Kit datang dengan 3 komponen. Gegelang O, lapik getah twinhead untuk kepala kecil dan kepala besar. Harganya cuma RM14 termasuk upah pasang dan sedikit pelinciran. Sangat berpatutan. Gegelang O diganti sementara getah lapik disimpan dulu sebab yang ada masih baik. Legaaaaa...

Thursday, August 04, 2011

Perengkuh Torque Bike Hand


Perengkuh torque Bike Hand YC-617-2S.

P erengkuh??? Mana pulak bang chik dapat istilah ni? Ha...istilah bukan main-main, bukan rekayasa sendiri tau. Memang diangkat daripada kamus istilah DBP. Anda boleh semak di sini. Dah percaya???

Anda biasa tengok catatan pada alat dan komponen basikal yang tertera bacaan 10Nm. Apa maksudnya tu? Secara mudahnya, maksudnya bolt yang mengikat komponen tersebut tidak boleh diketatkan lebih daripada 10Nm. Nm tu disebut newton-meter. Tandaan itu bukan saja-saja suka-suka dibuat oleh pengeluar komponen. Sebaiknya had pengetatan bolt perlu mematuhi had yang disarankan. Sering berlaku komponen retak akibat terlebih rengkuhan (over torquing).

Untuk mendapatkan bacaan torque yang betul, perlu ada alat ini. Kalau tidak, main agak-agak ikut berapa urat lengan yang timbul masa mengetatkan bolt. Memang tak tepat melainkan kalau anda mekanik super-pro.

Saya memang dah lamaaaaaa teringin sangat alat perengkuh torque ni. Jenuh dah mencari, tak berjumpa yang harga mesra poket. Mujur ada kawan si Abra ni yang terjumpa kemudian tercerita pulak. Apa lagi, peluang ini tidak dipersiakan. Sedang orang lain sibuk dengan baju raya, aku bantai beli tool raya. Heh...heh. Mem jangan marah aaaaa...Elok sangat ada tool ni. Sebulan cuti kayuh, boleh guna masa untuk torque correction. Konon!

Jom kita tengok perati dekat sikit alat perengkuh torque ni...

Inilah tonggak atau tulang belakang kepada alat perengkuh torque ini. Panjang 204mm dan berat 350gm. Terbahagi 3 bahagian - kepala ratchet, batang tengah dan penggenggam.
Bahagian penggenggam. Bahagian ini jugalah yang menjadikan alat ini perengkuh torque. Tahap kekuatan rengkuhan (torque) di dail di sini. Pendailan dibuat dengan memulas penggenggam. Pulas ikut jam untuk tambah, lawan jam untuk kurang. Penanda merah dengan senggatan yang mudah dilihat memudahkan penggunaan. Orang rabun dekat macam sayapun boleh nampak. Julat torque ialah 2Nm - 24Nm. Cukup untuk kegunaan sebuah basikal.
Kepala perengkuh dengan ratchet dua hala. Kepala bersaiz 1/4. Serasi dengan mana-mana penyesuai bit dengan saiz yang sama.

Set bit aka kepala sekeru (walaupun bukan semuanya sekeru) yang datang sekali dengan set ini. Bike Hand memberikan bit hex allen saiz 3,4,5,6, 8 dan 10. Turut memeriahkan perbarisan kawad cam bit ialah satu bit torx saiz 25. Torx saiz 25 ini biasa digunakan untuk bolt cakera brek. Tidak ada bit untuk pemutar sekeru leper atau philip. Kalau nak jugak, pandai-pandailah pergi cari sendiri kat kedai tupperware. Kenapa? Tak percaya? Sayapun tak percaya...

Gumbira sungguh rasa hati mendapat mainan ini hadiah kepada diri sendiri. Nak harapkan orang bagi prezen...hmmmmm, mana maunya?!!! Apapun tak boleh! Kepada kawan-kawan seperjuangan yang juga baru mendapat mainan ini - Abra, Miaomiao, Khalid xc dan lain-lain...LET"S TORQUE!!! Akmal Hizam jangan jeles yaaaaa...Yum...yum...sedapnya torque wrench panggang.

Monday, October 11, 2010

MLP-1 Playar Master-Link dari Park Tool

Playar ParkTool MLP-1 master-link plier.

P layar dalam gambar di atas memang pelik. Perhatikan muncungnya. Tak bercantumpun walau pemegangnya ditekan habis. Nak boleh buat sepit apa kalau muncung tak bercantum? Teruskan membaca...

Playar ini ialah playar ParkTool MLP-1. Playar ini berkaitan dengan rantai. Lebih tepat lagi dengan penyambung rantai jenis master-link. Penyambung dua keping yang terpisah digunakan untuk menyambung rantai basikal. Dengan link, penyambungan lebih cepat dan mudah berbanding menggunakan teknik potong-dan-sambung.

Menanggalkan master-link cukup mudah dengan playar ini

Menyambung memang mudah, tapi nak menanggalkannya pula satu hal. Cukup susah kalau link sudah lama melekat pada rantai. Datanglah playar ini untuk menyelamatkan keadaan.

Daripada terkial-kial menggunakan playar muncung untuk cuba menanggalkan master-link, playar ini cuma memerlukan 2 saat untuk mengeluarkan master-link. Cuma masukkan muncung playar pada pin dan kacip. Master link akan tertanggal. Semudah itu.

Wednesday, May 12, 2010

Perkakas : BB Tapping and Facing Tool

T eruskan berkenalan dengan alat sekulat dan perkakas membaiki basikal.  Kali ini kita akan berkenalan dengan perkakas yang jarang dilihat sebab jarang ada atau jarang digunakan.

Seharusnya, pada setiap pemasangan kerangka baru, alur bebebang pada perumah BB di tapkan untuk memberikan kemasukan dan putaran BB yang licin, kemas dan sempurna. Sesuatu yang sangat disarankan tetapi jarang dilakukan.

TAPPING tool - perkakas untuk membaiki alur bebenang dalam perumah BB. Alur bebenang boleh jadi rosak atau tersekat kerana kehadiran bendasing. Alat tapping ini boleh membetulkan alur bebenang dan juga membersihkannya daripada bendasing.

Terdapat dua jenis tapping di dalam set ini.  Set English (1.370" - 24TPI) dan set Itali (36mm - 24TPI). 

*TPI = thread per inch, alur per inci.

FACING tool- perkakas untuk melicinkan dan meratakan permukaan luar perumah BB. Ini perlu supaya mangkuk penutup BB bersentuh sepenuhnya dengan BB dan tidak meninggalkan ruang bila dipasang.



Set di atas adalah set dari IceToolz. Kandungan dalam peti adalah gabungan kedua-dual alat. Sebahagian dikongsi oleh keduanya. Kandungan komponen dari pengeluar lain mungkin berbeza.

IceToolz BB Tapping and Facing Tool
Label Butiran
1 Tuas pemegang.  Ada 4 batang.  Hujungnya beralur untuk disekerukan ke komponen 3 atau 4.  Pada badan pemutar (komponen 3 dan 4) ada lubang sekeru untuk disekerukan tuas pemegang.

Badan tuas pemegang dibuat alur halus untuk memberikan genggaman dan pegangan pada tuas pemegang.

2 Spring.  Digunakan pada facing tool. Guna untuk memberi tekanan memadai dalam proses "facing" - memotong permukaan BB shell.

3 Pemutar kanan.  Badan pemutar yang mempunyai dua penyanggah dan satu rod besi beralur.
4 Pemutar kiri.  Badan pemutar kiri yang mempunyai dua penyanggah.
5 Mata "facing tool".  Gerigi tajam untuk mengasah permukaan BB shell.
6 BB Bushing untuk Italian thread 1.  Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.
7 BB Bushing untuk Italian thread 2. Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.
8 BB Bushing untuk English thread, kiri.  Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.

9 BB Bushing untuk English thread, kanan.  Disekerukan ke alur BB untuk menyokong rod pemutar bila alat facing digunakan.

10 Tapping tool, English thread, kiri.

11 Tapping tool, English thread, kanan.

12 Tapping tool, Italian thread.
13 Tapping tool, Italian thread.

14 Berus.
15 Nat pengunci untuk menguncikan spring pada rod pemutar pada alat facing.

Untuk melincirkan proses tapping dan facing, bendalir pemotong (cutting fluid) perlu digunakan pada mata tapping/facing. Bendalir juga berfungsi menghindar mata facing/tapping dari terlekat semasa prosess tapping/facing.

Friday, April 02, 2010

Tangan Ke Empat???


Tangan Ke Empat

B ila mengerjakan kabel, terutama kabel gear, antara masalah dan cabarannya ialah menarik kabel supaya tegang. Teknik mekanik "sendiri bikin" ialah menggunakan playar untuk menarik kabel. Biasanya tarikan dengan tangan kosong tidak cukup untuk menegangkan kabel. Ditokok pula dengan hanya sebelah tangan saja boleh digunakan manakala sebelah lagi terkial-kial mengunci bol pengikat kabel.

Akal manusia anugerah Allah pantas mencari penyelesaian. Terhasillah alat ini. Nama biasanya ialah playar kabel. Dah tentu tak menarik dan membosankan. Sekali lagi akal manusia membuatkan namanya lebih menarik. Kerana alat ini bagaikan "tangan ke empat" pada sang mekanik, maka digelarkan alat ini TANGAN KE EMPAT (fourth hand). Kerja menarik kabel jadi lebih mudah. Kabel lebih tegang sekaligus menghilangkan kenduran dan menjadikan pertukaran gear lebih tepat dan jitu.

Kita berkenalan dengan alat ini dulu. Posting akan datang akan ditunjukkan cara penggunaan dan bagaimana menambahkan tangan menjadi empat...

Ada seorang dua kawan yang datang dari spesis pelik. Mereka (termasuk saya) akan jadi teruja bila melihat benda eksotik macam ni. Ya betullll...EKSOTIK. Susah nak jumpa. Harap mereka bersabar bila melihat gambar alat ini. Belajarlah mendidik jiwa supaya bersabar bila diuji sebegini. Tu...tutup mulut jangan bagi air liur meleleh.

Thursday, April 01, 2010

Spanar Kon

A nda pernah mengalami masalah roda gelong? Bila diperiksa didapati rim elok, jejari elok. Bila ditolak-tarik rim, ada terasa longgar. Nampak pada bahagian hub macam ada ruang kelegaan menyebabkan rim boleh beralih kiri dan kanan. Pergerakan yang sedikit inipun boleh mengganggu prestasi dan menyebabkan kerosakan pada hub dan bebola hub. Puncanya, kerana kon hub melonggar dan tidak mengasak pada hub dengan cukup. Andapun capai spanar saiz 16 anda dan cuba mengetatkan kon. Tapi...tak boleh masuk walaupun saiz dah betul. Ini kerana spanar biasa lebih tebal dari ruang yang ada pada kon. Maka, untuk melaraskan kon,anda perlukan alat ini - SPANAR KON.


Spanar kon dari Icetoolz. Saiz 13, 14, 15, 16,17 dan 18.

Set yang ini dibuat daripada keluli kromoli. Ada juga yang dibuat dari krom vanadium. Kuat dan tahan lasak. Tebalnya cuma 2mm berbanding spanar biasa yang tebal 5mm. Boleh menyelinap ke celahan kon. Saiz yang pelbagai kerana saiz kon juga begitu.

Untuk kali ini, kita berkenalan dengan alat ini dulu. Posting akan datang akan ditunjukkan cara penggunaan dan bagaimana melaras kon hub

Tuesday, January 12, 2010

Potong Sajalahhhh...

Memotong kabel brek, gear dan perumahnya memang menyulitkan kalau tiada alat yang sesuai. Guna playar biasa memang boleh, tapi hasil potongannya serabai. Kabel berbulu dan perumah kemik terkelepek. Cukup menyusahkan pemasangan kabel.

Aku dah ada satu pemotong kabel Shimano TL-CT10. Dah lebih dari cukup untuk kerja-kerja memotong kabel dan perumah aku.

Sekali,aku termasuk ke dalam kedai hardware kat Keramat. Kedai depan Pejabat Agama Daerah Gombak. Nama kedai aku tak ingat. Aku ternampak benda alah ni. Shell cable cutter. Rupa gaya macam cable cutter untuk basikal yang aku pernah nampak kat internet. Harganya cuma RM30 lepas tawar menawar. Jauh berganda murah daripada cutter Shimano aku. Gatal saja tangan aku menyambar cutter ini.



Shell cutter ST-608 - bertutup dan berkunci.


Shell cutter ST-608 - ternganga dan siap melahap kabel dan perumah kabel anda

Pemotong yang baik harus memberikan potongan yang bersih. Tak berbulu, tak berserabut. Matanya harus cukup keras supaya tidak melebek setelah digunakan berulang kali. Pemotong dari Shell ini memenuhi keperluan tersebut sebaik pemotong Shimano. Kekurangan berbanding pemotong Shimano ialah ia lebih berat dan spring tendang-baliknya lebih kuat. Pengguna harus gunakan lebih tenaga berbanding Shimano. Tetapi dengan harga yang jauh lebih murah daripada pemotong Shimano (kira-kira ¼ harga Shimano), anda tak harus merungut.

Panjangnya 190mm dan mampu memotong kabel biasa,kabel berjalin, perumah kabel setebal 9mm. Jika anda jenis yang suka pomen dan kaki buat-sendiri, anda patut ada satu di rumah. Kenalan saya, Alamanda,terus berlari ke kedai mendapatkannya. Sekarang dah tinggal satu...Kalau mau, cepat!!!

Monday, May 18, 2009

Minoura True-Pro Combo 2

"Learn balance, Daniel-san...Learn balance", kata Miyagi-san kepada anak muridnya, Daniel Larusso dalam filem Karate Kid. Daniel-sanpun terus tekun berlatih jurus bangau, cuba menguasai jurus imbangan tendangan satu kaki burung bangau...Berjengket satu kaki di atas tiang di tepi pantai...

Ceh... ke mana aku melalut daaa??? Bukan nak cerita pasal karate tetapi sesuatu yang berkenaan dengan imbangan dan jajaran. Haa...dua kata kunci ni dah boleh agak mesti pasal roda. Anda betulllll!

Dalam usaha menambahkan lagi khazanah ilmu basikal, aku telah melabur sedikit wang untuk membeli alat untuk imbangan dan jajaran roda. Bukan sebarang alat tau, dibawa langsung dari Jepun. Dihantar dengan tangan. Terima kasih ManP2 (yang hensem, budiman, murah hati dan lain-lain lagi).

Memperkenalkan Minoura True-Pro Combo 2
Alat untuk imbangan dan jajaran roda dari Minoura. Didatangkan sekali dengan "Dishing tool" dan "Nipple Wrench"


Minoura Truing Stand - siap untuk beraksi. Boleh dilipat untuk mudah dibawa ke sana ke mari.

...dari depan

Pelaras sisi dan pelaras bulat

...dari belakang

Alat pengimbang ini didatangkan sekali dengan set Tri-Gauge 2, dishing gauge dan nipple wrench.


Tri-Gauge 2 - untuk menentukan kedudukan pelaras.

Nipple wrench(kiri) dan dishing tool .

Kita lihat dulu gambar dan rupabentuk alat ini. Saya nak cerita lebih-lebihpun saya tak tahu. Baru nak luang masa nak telaah manual dan cuba-cuba. Datang balik ke mari untuk cerita seterusnya tentang alat ini.

Tuesday, March 03, 2009

Mainan Baru Kelolo...

Tadaaaaaa!!!

Gumbira rasa di hati. Dah lama teringin benda-benda alah ni...Cari merata kedai kat Lembah Kelang... Tak berjumpa.  Dah dipesan dengan kedai beskal, minta tolong belikan...Tak ada harapan.  Akhirnya, sorang kawan yang ke Jepun tolong belikan...Gumbiranya...gumbiranya tiada terkira.  Seperti dunia...ana yang empunya.  Chewah. Terima kasih ManP2

Inilah dianya...



Apa benda alahnya nih?


Shimano TL-CT 10 Cable Cutter
Inilah Shimano TL-CT10. Pemotong kabel dan sarung kabel. Boleh digunakan untuk memotong semua kabel dan sarung kabel pada sebuah basikal. Kabel dan sarung kabel untuk brek dan gear. Pemotongan menggunakan alat ini memberikan potongan yang kemas dan tidak berserabut. Kalau tak ada alat ini, memang potong stim kalau memotong kabel. Harga hampir 4,000 yen. Tapi berbaloi...Ada sesapa nak potong kabel?




Shimano TL-FC20 Chainring bolt tool - sebelah pembuka penutup abuk.

Shimano TL-FC20 Chainring bolt tool - sebelah penahan bolt betina.
Pernah cuba membuka piring gegancu no 1 dan no 2? Pernah menghadapi masalah bolt belakang (betina) ikut berpusing bila bolt hadapan (jantan) dipulas? Tak ke hangin? Macam mana bolt nak tanggal...Cuba tahan bolt betina dengan pemutar sekeru. Tak juga lekat sebab lurah bolt berlubang di tengah. Inilah gunanya alat ini. Menahan bolt betina pada piring gegancu. Untuk penerangan mendalam tentang kegunaan alat ini, insyaAllah, akan datang dalan artikel pomen untuk engkol.

Sebelah satu lagi (Gambar 1) ialah pembuka penutup abuk untuk engkol.



Shimano TL-FC16 Shimano HII crank cap tool
Alat ini digunakan untuk mengetatkan cap penutup sebelah kiri engkol yang menggunakan sistem Hollowtech II.

Friday, November 21, 2008

Eh...Apa Tu?

Apa ke benda nih?


Apa agaknya menatang nih?
Pernah tengok menatang nih? Agak-agak apa dia? Rupa macam injap tiub. Tapiii...Musykil. Tak pernah nampak pun?

Jawapannya...inilah tool untuk injap schrader. Gunanya untuk membuka atau mengetatkan teras dalam injap schrader tiub anda.

Bahagian badan yang berwarna hitam tu sebenarnya injap schraderlah. Bahagian kepala logam tu yang menyepit kepala injap supaya injap tu boleh dipulas ke kiri atau ke kanan. Memang jarang nampak...



Ini pulak apa?
Haaa...inilah dianya teras, yang mengawal angin daripada keluar dari tiub anda. Benda alah ni duduknya di dalam injap schrader.

Pernah terkena situasi di mana tiub tak bocor tapi angin hilang? Mungkin inilah puncanya. Teras anda longgar. Maka perlu diketatkan. Tool untuk mengetatkannya, tool yang di atas itulah...