Showing posts with label pomen. Show all posts
Showing posts with label pomen. Show all posts

Wednesday, March 12, 2014

Alat Untuk Memasang "Nipple" Buatan Sendiri

Untuk kaki-kaki pomen sendiri basikal, alat apa yang anda gunakan untuk memasang "nipple" kepada jejari bila melagang roda?  Beli alat khas daripada pengeluar berjenama?  Terkial-kial guna jari kosong?

Saya pernah menggunakan tweezer untuk memegang nipple bagi memudahkan pemasangan terutama pada roda dwi-dinding (double wall).  Masalah lebih tenat kalau roda yang dikerjakan adalah dari jenis profil tinggi.

Saya suka bersembang dan menuntu dengan pomen-pomen otai.  Hasilnya, dapatlah ilmu alat memasang nipple ini.  Gurunya ialah Abang Da'i dari Dr Cycle, Padang Balang.  Terima kasih tuan!

Kata pujangga, ilmu dikongsi tidak luak... malah makin bertambah.  Maka saya kongsikan ilmu ini dengan anda semua.

Alat memasang nipple buatan sendiri
Inilah rupa alat memasang nipple buatan sendiri.

Bahannya mudah saja.
  • Sebatang jejari (spoke)
  • Sebiji nipple
Cara-caranya:-
  1. Bengkokkkan hujung jejari yang tidak berulir supaya menjadi tempat pemegang yang selesa.  Saya pilih bentuk segitiga.  Anda bolehlah nak buat bentuk bunga ka, awan larat ka.. Apa-apa bentuklah...
  2. Sekerukan bahagian kepala nipple sehingga hujung ulir terjulur lebih kurang 2mm atau 3mm.

Dah siap!  Senang saja...Modal tak sampai tige hengget.

OKeyyy... Alat dah siap.  Macam mana cara nak menggunakannya?

  1. Sekerukan nipple yang nak dipasang ke roda pada hujung yang terjulur tadi.  Tak payah ketat-ketat.  Janji nipple tu melekat sudah.




  1. Jolokkan nipple ke dalam lubang pada roda sampai nipple terjulur.
  2. Lagakanlah nipple dengan jejari biar mesra elok.  Kemudian sekerukanlah nipple dengan spoke.

    Selesai!


    Mudah kan?

    SELAMAT MENCUBA...

Friday, September 27, 2013

Mengkacuk Kaset SRAM PG990 Dengan PG980

Kaset antara komponen yang cepat haus.  Ia termasuk dalam komponen kerja berat.  Kadar kehausan pula tidak sekata.  Kaset paling kecil dan kedua kecil paling cepat haus kerana bebanan yang ditanggung.  Bila kaset haus, kayuhan terenjat disebabkan rantai mula melompat.

Kehausan perlu diganti.  Kalau diganti seketul kaset, terasa rugi pula memandangkan kaset yang haus hanyalah kepingan yang paling kecil dan kedua kecil.  Kepingan lain masih belum haus dan masih boleh dipakai.

Bandingan komponen PG990 dengan PG980
Terlintas di hati untuk mencuba menggantikan kepingan yang haus sahaja.  Kaset yang menjadi bahan ujian kacukan kaset ini ialah kaset SRAM PG990 dan SRAM PG980.

Kita akan cuba mengkacukkan kaset 13T dan 11T dari PG980 dengan kaset PG990.



Komponen yang serasi dikenalpasti
Setelah diamati, didapati kepingan yang perlu diganti (13T dan kepingan 11T) serasi di antara kedua-dua model kaset dari SRAM.  Gugusan lain tidak serasi kerana rekabentuk yang berbeza.  PG990 mempunyai rekabentuk spider dengan 7 kepingan manakala PG980 mempunyai rekabentuk gugusan 3 dan 4 keping.

Maka, hanya kepingan 13T dan 11T dari PG980 yang akan dikacuk dengan PG990.  Sedang elok pula sebab 2 keping itu yang haus dan perlu diganti.


Hasil kacukan.  SRAM PG985 (hantam sajalah)
Maka kepingan 13T dan 11T dari PG980 dikacukkanlah dengan PG990.  Dari pandangan mata kasar nampak pemadanan yang sesuai.  Sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat, elok jika kaset kacukan ini (kita panggil PG985lah, suka hati saja...) diuji terlebih dahulu.

Setelah diuji nyata kaset kacukan ini berfungsi dengan baik seperti mana kaset yang asal.  Kacukan berjaya.  Baki komponen PG980 boleh disimpan untuk kegunaan masa depan.  Maklumlah sekarang komponen 9speed dah semakin susah didapati.  Kenalah berhemat.

Saturday, October 13, 2012

Bagaimana Membuka Dan Memasang Fork


AKUTAKJANJI (Baca ini dulu!!!) Penulis bukan orang yang berpengalaman dalam MTB, sekadar suka mencari, menyelidik, menyibuk dan mencuba sendiri. Penulis TIDAK bertanggungjawab sekiranya pembaca mengalami kemalangan, kecederaan, kerosakan harta benda dan wang ringgit akibat mengikuti saranan daripada artikel penulis. Apa-apa hal sendiri tanggung. Penulis juga mengalu-alukan kritikan, teguran, pembetulan dan seumpamanya untuk penambahbaikan artikel ini untuk manfaat semua. Untuk rujuk silang komponen yang disebutkan dalam artikel ini, pembaca boleh merujuk Anatomi Sebuah Basikal Gunung.
Sesetengah gambar di dalam makalah ini diguna tanpa izin. Kalau empunya hakcipta merasakan saya tidak patut gunakan gambar-gambar tersebut, sila maklumkan.
Some of the pictures used in this article are used without permission. If the copyright owner feel offended by this, please contact me so that I can remove it.

Di utara ia dipanggil SEMANGGANG. Di sebelah tengah dan selatan, ia dipanggil SEPIT UDANG. Di sebelah pantai timur, tak tau la pulak saya. Dipanggil fork kot? Kali ini kita akan berkongsi cara-cara bagaimana menyalin semanggang. Membuka yang lama dan memasang yang baru. Dua tatacara dalam satu.

Panduan ini akan menunjukkan cara-cara bagaimana menukarkan semanggang. Ia akan dipecah dua. Pertama, cara-cara membuka. Kedua, cara-cara memasang. Pelarasan dan penalaan tidak termasuk dalam cerita ini.


...SEBELUM MEMULAKAN
Sekiranya semanggang yang akan dipasang adalah semanggang terpakai dan steerer tubenya sudah berpotong, pastikan panjang steerer cukup untuk dimasukkan ke basikal anda.


ALATAN YANG DIPERLUKAN
Sebelum ditunjukkan cara-cara, kita tengok dulu apa alatan yang diperlukan untuk kerja-kerja membuka dan memasang semanggang.
  • allen key
  • tukul getah (rubber mallet)
  • gris
  • sawing guide
  • gergaji besi
  • kikir
  • pemotong kabel


CARA-CARA MEMBUKA DAN MEMASANG SEMANGGANG
Langkah Tindakan
1
Buka top cap pada penutup steerer.


2
Longgarkan bol yang megikat stem. Bila sudah cukup longgar, cabut stem bersama dengan bar hendal dan kaum kerabatnya daripada steerer.

3

Buka brek depan. Perhatikan kabel/hos brek. Jika ada bahagian yang diikat pada semanggang, bukakan. Sekiranya ada meter kelajuan jenis wayar, tanggalkan juga daripada kaki semanggang.
4
Cabut stem daripada tiub steerer bersekali dengan bar hendal.  Bar hendal tidak perlu diceraikan daripada stem.
5

Keluarkan spacer.

6

Keluarkan seal dan compression ring set kepala.

7
Cabut semanggang daripada basikal.

Selesailah kerja membuka semanggang daripada basikal.  Teruskan ke langkah seterusnya sekiranya anda ingin memasang semanggang.

8
Keluarkan crown race daripada semanggang yang dicabut.


Abaikan langkah ini jika anda ada crown race lain.


Nota :  Crown race di dalam illustrasi adalah jenis "terputus".  Mudah saja mengeluarkannya.  Untuk yang jenis bulat, mengeluarkan crown race mungkin agak sedikit mencabar kerana crown race jenis bulat melekat kuat pada crown.
9
Pasang crown race ke semanggang baru.
Minyakkan crown race dengan sedikit minyak gris.

Untuk memudahkan kerja, pasang tayar depan pada semanggang baru.

Nota :  Crown race di dalam illustrasi adalah jenis "terputus".  Mudah saja memasangnya.  Untuk yang jenis bulat, memasang crown race agak lebih  mencabar kerana crown race perlu diketuk masuk sehingga rapat pada crown.
10

Masukkan semanggang baru ke basikal.  Jolok tiub steerer dari bawah melalui lubang pada set kepala hingga tembus ke atas.


Pastikan kemasukan sempurna dengan crown race masuk rapat dengan set kepala seperti di gambar kanan.
11
Pasangkan kembali compression ring dan top seal set kepala. 

Nota : Pastikan compression ring dimasukkan dengan sempurna ke celahan di antara tiub steerer dan bearing.

12

Pasangkan kembali spacer.

Nota : bilangan spacer yang hendak dipasang bergantung kepada tinggi mana stem yang anda kehendaki.  Pemasangan spacer adalah mengikut pilihan dan selera anda.
13
Pasangkan kembali stem berserta dengan bar hendal.
14

Tandakan aras atas stem dengan menggunakan pen marker atau yang seumpama.

Cabut stem selepas penandaan dibuat.




15
Berpandukan tandaan tadi, buat satu lagi tandaan kira-kira 5mm di bawah tandaan pertama.  Tandaan kedua ini akan menjadi panduan untuk memotong tiub steerer.
16

Berpandukan tandaan kedua tadi, pasangkan "sawing guide" supaya tempat gergaji setentang dengan tandaan kedua.

17

Gergaji tiub steerer menggunakan gergaji besi.


Nota :  Apabila hampir putus, teruskan menggergaji dengan cermat dan elakkan daripada mematahkan tiub steerer untuk mendapatkan pemotongan yang rata.

Tiub steerer siap dipotong
 
18
Gunakan kikir untuk melicinkan permukaan yang dipotong tadi.
19
Pasang star-nut.  Bol di dalam gambar bukan bol yang akan digunakan untuk mengunci top cap.  Ketuk pada bol supaya ketukan sekata dan star-nut masuk dengan sekata ke dalam lubang tiub steerer.  Ketuk sehingga kelopak atas star-nut berada kira-kira 5mm di dalam tiub steerer.
 
20

Pasang kembali stem dan bar hendal pada tiub steerer.  Laraskan supaya stem selari dengan tiub atas.
21

Pasang top cap.  Ketatkan bol pengikat sehingga terasa rintangan.  Angkat bahagian depan dan periksa pergerakan steering supaya tidak terlalu longgar atau tidak terlalu ketat.  Ketatkan atau longgarkan bol untuk mendapatkan pergerakan steering yang paling sedap.
22

Ketatkan bol pengikat stem.  Ketatkan bergilir-gilir bol atas dan bol bawah untuk mendapat cekaman yang kemas.
23

Pasang brek depan.

Selesai kerja-kerja pemindahan semanggang. 

Semanggang ada remote lockout?  Kalau ada, teruskan dengan langkah seterusnya.  Kalau tidak, tunggu apa lagi, pergilah pandu uji semanggang baru.  Eh...nanti dulu, semanggang perlu disetup sebelum digunakan.  Bab setup tidak termasuk dalam panduan ini.  Jumpa lagi dalam siaran lain berkenaan setup dan penalaan semanggang.
24


Pasang tuas remote lockout.

Pasang tuas di bar hendal sebelah yang ada tuas lockout pada semanggang.  Kalau nak sebelah lainpun boleh.  Awak punya sukalah.  Basikal awak.
25


Potong housing kabel untuk kabel remote lockout.
26


Buka penutup tuas lockout pada semanggang.
27


Longgarkan bol pengikat (A).  Masukkan kabel melalui lubang pada (B).

Pastikan tuas remote dilepaskan.  Tarik kabel dan kuncikan kabel dengan mengetatkan bol (A). 
28

Pasang balik penutup tuas lockout pada semanggang.

SELESAI!!!

Tuesday, June 26, 2012

Hilang Angin!

Hilang angin boleh membuatkan kita mati angin, lama-lama naik angin sebab tak boleh pergi makan angin. Pam Topeak JoeBlow Sport II yang saya beli pada bulan Februari tahun lepas dah hilang angin. Menolak tarik pelocoknya terasa ringan tak melawan langsung. Tiada desis angin menderu keluar di kepalanya. Ishhhhh...


Gegelang O yang sudah haus dan kecut
Sistem pemasangan mudahnya membolehkan penutup silinder utama dibuka dan diperiksa. Diagnosis kepada penyakit hilang angin ialah kerana gegelang O pada pelocok pam ini sudah keras dan mengecut. Tidak lagi menampan dan memampan udara bila disorong tarik.

Diagnosis sudah. Rawatannya bagaimana? Tempat pertama dirujuk ialah laman web Topeak. Ada kit gantian untuk pam ini. Harga pula berapa? Ada kawan yang bagi tahu harga mencecah RM80. Haaaaa! Tak berbaloi beli kit pembaikan RM80 untuk pam yang berharga RM125.

Ada kawan-kawan yang menyarankan supaya pergi balik ke Rodalink. Ya tak ya juga. Kan Rodalink yang mengedar barangan Topeak? Kadang-kadang minda dan akal memang suka berfikir secara rumit dari mengikut jalan mudah yang terbentang.

Hanya dengan satu panggilan telefon, masalah hampir selesai. Rodalink Sri Hartamas minta dibawakan pam ke kedai untuk diperiksa dan dibaiki. Legaaaaa. Dalam kelegaan sementara, terlupa untuk bertanya anggaran kos.

Jadinya semalam, selepas puas bermain di Kiara, saya singgah di Rodalink Sri Hartamas. Diunjukkan pam pada mekanik bertugas. Dia perhatikan sekejap kemudian dengan wajah tak berapa seronok dia bagi tahu kedai tak ada alat ganti. Saya sendiri terasa muka saya jadi mencuka. Mujur cepat dia redakan suasana.


Kit - Gegelang O, getah pelapik kepala kecil dan besar.
"Kedai kat Bangsar ada bang", katanya macam tak pasti. Muka yang mencuka tertawar kembali. Ada harapan. "Boleh call Bangsar untuk pastikan. Saya tak mau drive ke sana sia-sia.". Dengan senang hati dia call dan memang sahih ada alat ganti di Bangsar.

Ke Bangsar pada tengahari Ahad satu cabaran besar untuk mencari parkir. Mujur rezeki saya baik terus dapat parkir tak jauh dari Rodalink. Sebaik melangkah masuk, disambut dengan ramah mesra oleh pekerja bertugas. Tak perlu bercerita banyak kerana sudah ditelefon sebelum datang. Pekerja (minta maaf tak tanya nama) mengambil satu kotak yang mengandungi bermacam jenis alat ganti untuk bermacam jenis dan model pam Topeak.

Kit datang dengan 3 komponen. Gegelang O, lapik getah twinhead untuk kepala kecil dan kepala besar. Harganya cuma RM14 termasuk upah pasang dan sedikit pelinciran. Sangat berpatutan. Gegelang O diganti sementara getah lapik disimpan dulu sebab yang ada masih baik. Legaaaaa...

Sunday, April 08, 2012

Hanger Sang Bara Rabak!

Hanger rabak!!!
B aru mula menerjah pendakian FRIM laluan Sungai Buloh, terasa ada sangkutan pada RD.  Baru sempat menjeling sambil menarik brek, tau-tau RD dah terkelepek.  Hanger sudah patah.  Alamak!

Masalah hanger patah antara masalah biasa di dalam denai.  Dek kerana ke"biasa"annya itu, ramai guru MTB menyarankan supaya dibawa hanger gantian semasa berkayuh.  Satu saranan yang aku turuti buat sekian lama.

 
Hanger gantian segera ke tempat kejadian kerana khidmat diperlukan

Mujur, sangat mujur kerana dituruti saranan itu.  Sebab bila rabaknya hanger Sang Bara siang tadi, aku tidak perlu kaget, kelam kabut tak tentu arah.  Mujurlah juga hanya hanger yang patah.  Sebab aku pernah melihat natijah dahsyat hanger patah yang merembat jejari patah riuk tiga empat batang.  Mujur dalam kes aku hanya hanger yang patah.  RD dan komponen lain dalam keadaan baik.





Siap berganti dalam masa 5 minit.
 Dikeluarkanlah beg doraemon aku yang aku selalu bawa bila berkayuh.  Hanger Pyre dikeluarkan dan diganti.  Proses penggantian ambil masa lima minit saja.  Dan kayuhan untuk hari itu selamat dan boleh diteruskan.  Mujur (berapa banyak mujur daaaaaa) aku ikut saranan guru-guru MTB...Selamatttttt.  Anda bagaimana?  Hanger tu tak berat manapun kalau menumpang dalam beg anda.

Monday, November 28, 2011

Kembali Melantun Semula!

 Fork Magura Rond 2 Stroke ini sudah sekian lama terbarai dan terperok.  Tinggalan seorang kenalan setelah minyak meleleh keluar melalui celahan pengedapnya.  Sudah tersadai hampir 2 tahun.  Tiada yang istimewanya pada fork ini.  Hanya fork biasa ampaian spring dengan pelaras pra-beban.  Tiada kawalan canggih seperti pengunci, pelaras lantunan atau pelaras mampatan.


Usianya yang mencecah 10 tahun menjadikannya istimewa.  Warisan teknologi Jerman daripada Magura terasa sayang untuk dibiarkan begitu saja.  Aku tak pandai langsung bab-bab fork ni.  Tapi, alang-alang benda dah rosak, kalau aku rosakkan teruspun tidak menjadi hal.

Jenuh la jugak meng"Google" mencari rujukan.  Tak banyak rujukan yang didapati.  Mungkin sebab barang model lama.  Lama sangat.  Aku agak-agak saja berdasarkan dokumen .pdf yang didapati daripada beberapa website.

Tak banyakpun yang aku buat untuk fork ini.  Pertama, aku londehkan bahagian kaki fork.  Kerja mudah hanya dengan membuka bolt pengikat pada setiap kaki.  Bila kaki sudah ditanggalkan, minyak dikeluarkan.

Kedua, menanggalkan pengedap.  2 pengedap habuk dan dua pengedap minyak.  Pengedap minyak dikunci pada tempatnya dengan klip pengunci.  Juga kerja mudah.

Kerja membongkar aku terhenti setakat itu sahaja.  Aku tak berjaya meleraikan komponen dalam stanchion.  Segala spring dan bushing di dalam tidak berjaya dikeluarkan.  Selepas beberapa lama mencuba, aku menyerah kalah.  Biarkanlah saja spring dan bushing di dalam tu tak berusik.

Kemudian datang bahagian yang payah.  Payah sungguh nak mencari pengedap gantian.  Jenuh aku berkawad ke beberapa kedai alat ganti yang kononnya ada menjual bermacam jenis pengedap.  Semua hampa.

Akhirnya, seorang kawan, Riza, memberikan pautan ke Enduroforkseals.  Sebab sudah buntu, aku celapak ke situ dan terus memesan set pengedap untuk fork Magura stanchion 30mm.  Servis cepat dan bagus.  4 hari selepas pembayaran, barang sudah sampai ke rumah.  Kos semuanya hampir RM120.  Selesai satu perkara.

Kerenah seterusnya ialah mencari minyak fork yang sesuai.  Ikut pada manual, perlu guna minyak fork SAE30 50ml kaki kiri dan 145ml kaki kanan.  Sekali lagi aku berkawad mencari minyak pulak.  Tak berjumpa.  Yang aku jumpa ialah minyak fork jenama Revoil di sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Sentul.  Fikir punya fikir, hantam sajalah.  Harga sebotol minyak 150ml ialah RM5 sahaja.  Aku henjut 2 botol.

Bahan sudah cukup (walaupun tak sempurna), maka kerja pemasangan balik dimulakan.  Pengedap minyak disumbat ke kedudukannya.  Kelip dipasang.  Kemudian pengedap habuk dimasukkan.  Bahagian stanchion dimasukkan.  Masuk 3/4 jalan sahaja.  Fork diterbalikkan atas ke bawah.  Minyak dimasukkan seperti disarankan.  Setelah selesai semua itu, bolt pengunci stanchion dipasang dan dikemaskan.  Siaplah kerja-kerja senggaraan dan baik pulih fork ini.

Sekarang tergantung megah di dinding.  Belum ada kerangka yang sesuai untuk dipadankan dengan fork ini.  Dalam kepala sudah terbayang satu single speed...Boleh kot???   




Monday, April 18, 2011

Harapan Seorang Kawan...

M elagang roda bukan satu kerja mudah. Satu kerja yang perlu ketelitian, ketekunan, kehalusan dan kesabaran. Salah adun, salah anyam roda jadi gelong, jadi lonjong. Kalau pasang di basikal, boleh terasa enjut-enjut macam tarian poco-poco. Panjang pulak mukaddimah aku...Ni baru separuh ni. Sambung lagi...Aku pernah la pasang set roda dua tiga set sebelum ini. Jujur dan ikhlas aku cakap,aku sendiri belum berpuas hati tahap ketrampilan aku dalam bidang melagang set roda ini. Jenuh dan terkial nak siapkan satu roda. Berapa kali terbabas, tersalah masuk lubang jejari. Buka semula. Pasang balik. Naik jelak...Tapi, aku gagahkan juga. Dan...aku tak berani lagi nak sorongkan pipi untuk membuat set roda untuk orang lain...

Datang kawan aku si Pian. Dia ni tinggal nun di Penang nun. Di atas pulau tu, ada banyak kedai basikal dengan mekanik yang hebat-hebat. Tak cukup di pulau, di Seberang Perai tu, banyak juga kedai basikal yang juga hebat-hebat. Tak mau dia suruh depa buatkan set roda untuk dia. Tak mau...Tak tau apa pasal. Tak semena-mena dia datang kat aku...datang membawa harapan...

Dua ketul harapan yang dibawa...Hope Pro II.

Aku jadi gementar...Tak berani aku memikul harapan yang dibawa. Terlalu berat untuk aku letakkan harapan itu di atas batu jemala aku. Tangan dan jari-jemari aku masih keras kaku dalam seni melagang dan menganyam roda. Aku cuba menolak secara halus dan sopan, namun dia tetap dengan harapannya. Sehingga dia membuat perakuan yang apa saja hasil kerja tangan aku, dia akan terima tanpa soal bicara dan aku diberi luang masa sesuka hati aku untuk mengerjakannya...barulah aku sanggup menjunjung harapan itu. Berattttt...

Dua ketul harapan dihantar keribaan aku. Hope Pro II depan dan belakang. Warna GunMetal. Ketikan bunyi ratchet freehub body menggetarkan sukma. Membuat mata susah mau terpejam dan terlena.

Harapan dipasangkan dengan roda dari ZTR. Pian yang sudah semakin lasak lagi ganas memilih Crest untuk digandingkan dengan Hope Pro II. Satu gandingan yang ringan tapi lasak memadai untuk kayuhan XC-Trail dia. Rim ZTR Crest diperolehi daripada Greasebike.

Hub sudah ada, roda sudah ada, jari jemari belum. Aku luangkan satu petang untuk mencari jejari yang sesuai. Ukuran panjang jejari sudah diberikan. Untuk hub depan 262mm kiri dan kanan. Untuk belakang, 262mm kiri dan 258mm kanan. Aku sudahkan pencarian di Kedai Basikal R.N. Samy, Batu Caves sahaja. Tak berapa rajin untuk aku menjelajah ke kedai lain di Lembah Kelang. Jejari DT Swiss tak pasti model mana, warna hitam diangkut pulang. Kos meminang RM2.50 sebatang termasuk puting.

Bahan-bahan untuk diadun menjadi segunung harapan...

Roda ZTR Crest
  • Saiz : 26" x 24.4mm
  • Lubang : # 32
  • Berat : 340g
  • ISO : 559 x 21
  • ERD : 541
  • Lebar pita : 21 atau 25mm

Jejari dari DT Swiss. 48x261mm + 16x258mm.

Buku resipi aku...
Ramuan sudah siap. Aku tambah gementar. Ramuan santapan diraja nih. Mana mungkin aku, tukang masak picisan boleh mengadun, menumis, menggulai santapan diraja. Bahan disusun di atas meja. Moga dengan melihat susunan bahan akan tercetus ilham, tergamit keyakinan dan keberanian untuk memulakan kerja. Lazim tukang masak picisan akan terpaksa merujuk resipi untuk memasak. Aku keluarkan nota lakaran kasar aku bagaimana melagang roda. Aku amati betul-betul biar khatam. Kemudian tarik nafas dalam-dalam, dengan lafaz Bismillah...jejari pertama masuk ke lubang di hub. Dimulakan dengan hub depan kerana dirasakan lebih mudah. Jejari sama panjang kiri dan kanan. Jejari dimasukkan ke lubang di hub berselang seli. Atas, bawah, atas, bawah...
Menjolok jejari ke lubang roda. Berlapik kusyen tuuuu...

Selesai jejari dimasukkan ke hub, tiba masa memasukkan jejari ke lubang di roda. Tiga jejari pertama adalah kritikal. Dua jejari harus di halakan supaya lubang injap berada di antaranya. Kalau tersalah, jejari akan bersilang di atas lubang injap. Susah untuk kerja mengepam nanti. Berpandukan nota, kerja melagang jejari dimulakan.

Format lagangan ialah silang 3 (3 cross) untuk 32 jejari. Dipanggil 3 cross sebab setiap jejari merentas batang jejari lain. Memasukkan jejari ke lubang roda peringkat awal memang mudah. Jolok saja jejari hingga terjulur keluar dari lubang, sekerukan puting. Makin banyak jejari dimasukkan, akan berlaku tarikan. Jejari tidak lagi boleh dijolok keluar. Kerja menggentel puting jadi tambah rumit. Mujur aku pernah menuntut dengan seorang otai, Abang Da'i dari Dr Cycle. Dari dia aku dapat ilmu membuat alat menggentel puting jejari. Alat mudah yang memudahkan kerja menggentel puting. Nanti aku cerita pasal alat tu...Nanti tau.

Kerja menjolok dilakukan ikut sisi. Siapkan sisi demi sisi. 16 batang ikut susunan pada lubang. Silangan mesti betul supaya hasil akhir akan memberikan regangan yang cukup. Sisi yang terkedalam, sisi yang ada lubang cakera brek untuk hub depan dan sisi yang ada freehub body untuk hub belakang, di dahulukan, kemudian baru sisi yang satu lagi. Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah memastikan jejari masuk ikut off-set lubang yang betul bagi roda yang lubangnya digerudi sendeng, bukan di tengah-tengah bahagian tulang tengah roda. Sebab aku risaukan takut hub dan roda yang baru tercalar, kerja melagang jejari dibuat di atas kusyen. Tu diaaaa...Dan selesailah satu proses awal membina roda. Masakan masih belum siap. Baru separuh masak.

Roda depan tertenggek di atas alat imbangan. Yang merah macam tanduk tu penakat melintang. Yang merah hampir melekat pada roda itu, penakat menegak.

Jejari sudah ditempatnya. Tapi masih longgar dan kendur. Bentuk roda sudah terserlah. Tapi belum nampak tampan gagah. Tiba masa untuk alat imbangan dan jajaran roda bekerja. Set Minoura True-Pro Combo 2 dengan penuh gembira bangun dari tidurnya yang lama. Maklum, jarang-jarang guna. Dah berabuk berdebupun haaaa...

Roda yang bagus perlu seimbang kiri dan kanan dan perlu bulat sebulat-bulatnya, tidak lonjong. Itulah sasaran yang mesti dicapai dalam membuat imbangan roda ini dan Minoura True-Pro akan membantu. Alat saja pro, aku masih amatur hingusan. Seimbang bukan bermakna jejari sama panjang dan sama tegang kiri dan kanan. Seimbang bermakna roda perlu berada di tengah-tengah pada kerangka. Disebabkan bentuk hub, jejari akan panjang sebelah. Ini membuatkan kerja imbangan lebih mencabar.

Bermula dengan roda depan dulu kerana tahap kesukaran lebih rendah berbanding roda belakang. Perbezaan tahap regangan tidak terlalu besar seperti roda belakang. Roda ditenggekkan di atas mesin imbangan. Jejari sisi kiri diketatkan dulu. Ketatkan separuh menggunakan pemutar mesin. Kalau pulas sendiri dengan tangan, boleh, tapi lambat la. Lepas tu sisi kanan pula. Lepas diketatkan separuh, bermulalah bahagian paling mencabar...imbangan (ketar nih...ketar nih).

Penakat melintang(satu alat penanda had imbangan) diletakkan. Roda diputar. Kegelongan awal itu biasa. Berpandukan penakat, kawasan roda yang terkeluar dan termasuk dikenalpasti. Roda akan bersagat dengan penakat kalau terkeluar. Kerja tukang ialah untuk menghilangkan sagatan. Pelarasan dibuat dengan mengetatkan jejari yang berada di sisi bertentangan dengan bahagian roda yang menyagat. Pelarasan dibuat sedikit demi sedikit dengan puting diputarkan ikut arah jam. Pelarasan dibuat dalam suku atau setengah putaran. Tidak dibuat beberapa putaran sekaligus. Proses ini dibuat berulang-ulang pada jejari kiri dan kanan sehingga permukaan roda tidak lagi menyagat alat penakat dan roda berputar tegak pada paksi tanpa gelongan. Tukang yang mahir mungkin boleh mendapat hasil imbangan 100%. Tukang karut macam aku cukuplah dengan syarat minima 3mm kelegaan. Itupun jenuh berhempas pulas. Eh...tak ada hempas,cuma pulas saja.

Setelah imbangan dicapai, lonjongan pula dikerjakan. Penakat melintang direhatkan tugas. Penakat tegak pula melapor diri. Berupa satu kepingan yang dirapatkankan kepada bulatan luar roda. Roda diputar untuk mengukur lonjongan roda. Bahagian yang lonjong akan menyagat penakat menegak. Bila itu berlaku, sagatan kena dihilangkan. Ini dilakukan dengan mengetatkan puting jejari pada bahagian yang lonjong. Kali ini, jejari di kedua-dua belah diketatkan pada kadar yang sama. Pengetatan dibuat berdikit-dikit. Dalam suku atau setengah putaran. Proses diulang hingga sagatan hilang. Proses yang sama dilakukan pada tempat-tempat yang bersagat. Juga diperhatikan tempat yang jarak dengan penakat jauh melebihi 3mm. Ini berlaku kerana jejari diketatkan terlebih dari yang sepatutnya. Untuk bahagian ini, puting dilonggarkan. Juga berdikit-dikit. Begitulah prosesnya, hingga roda menjadi bulat. Sekali lagi, saya hanya mampu mendapat hasil ketepatan dalam lingkungan 3mm. Belum cukup mahir untuk dapat 100%.

Imbangan untuk roda belakang juga melalui proses yang sama. Setelah siap, aku cuba pasang roda pada fork dan frame untuk memastikan roda berada di tengah-tengah fork dan frame. Roda belakang cantik. Roda depan agak memberat ke kiri. Masuk balik roda depan ke mesin imbangan untuk mendapat "dishing" yang lebih tepat.

Dah siap!

Lega yang amat bila proses selesai. Aku sendiri masih tak berapa puas hati dengan hasil kerja aku. Nak aku godeh lagi takut jadi seperti pengalaman lepas. Benda dah agak elok digodeh langsung jadi kurang elok. Terpaksa aku telan saja rasa tak puas hati aku.

Sementara menunggu barang diserahkan kepada pemiliknya, set roda segunung harapan ini dibungkus rapi dengan plastik "shrink wrap" yang biasa orang guna untuk membungkus makanan. Siaplah sudah masakan aku. Entah apa rasa agaknya. Harap nanti, puaslah hati kepada yang empunya barang. Harap nanti berjayalah aku memenuhi harapan seorang kawan.