Wednesday, February 03, 2010

KEMBAS2010 - Kembara Basikal Merentas 2 Negeri

Jika ditanya "Apa yang seronoknya berkayuh basikal beratus kilometer ni?". Aku akan jawab "Memang tak seronok. Letih, sakit badan. Nak seronok pergi funfair laaa". Habis, kalau tak seronok kenapa buat? Kenapa bersusah payah? Ah...bahagian itu yang tidak tergambar dengan perkataan. Jauh di dalam jiwa terasa satu kenikmatan, kepuasan, rasa sungguh "hidup". Itu sebabnya kenapa aku sanggup berkayuh beratus kilometer, melihat alam pada kelajuan perlahan...Lebih banyak yang dapat dilihat berbanding kalau memandu.

MUKADDIMAH

Perancangan dibuat lebih daripada sebulan. Hasil berminggu meneliti Google Map dan Garmin© Mapsource, lahir KEMBAS2010. Jarak perjalanan menjangkau 270km. Dari Gombak ke BTP, kemudian Kuala Selangor, Teluk Intan, Bota, Seri Iskandar dan berakhir di Ipoh. Dari Ipoh akan pulang semula ke Kuala Lumpur dengan keretapi. Dua negeri akan direntasi. Tarikh 30/01 dan 31/01/2010 dipilih kerana 1 Feb hari Wilayah jatuh pada hari Isnin. Ada satu hari tambahan sebagai langkah berjaga-jaga. Aku curiga dan was-was sama ada boleh tercapai matlamat. Aku bertekad terjah sahaja dan cuba penuhi perancangan sedaya mungkin.

Pengumuman dibuat. 6 tampil menyahut cabaran. Aku sendiri, Langgark (BBB), Adam (ARB), Shuk (GLC), Dino (GLC) dan Subki (GLC). Saat akhir, Shuk terpaksa menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Tinggallah kami berlima macam al kisah Hang Tuah bersaudara.

Mungkin pada orang lain yang sudah menjelajah seluruh Malaysia malah hingga ke Thailand, Indonesia, Singapura malah Asia dan dunia, projek KEMBAS2010 ini hanyalah mainan dihujung jari. Tapi, untuk yang kali pertama macam aku, 270km bukan macam main guli. Aku hidangkan kisah di sini sebagai catatan pengalaman kali pertama berkembara dengan basikal. Mungkin ada yang berminat, tetapi teragak-agak, boleh menjadikan kisah ini sebagai panduan.

Persediaan dibuat ke atas basikal dan pengayuh. Dua kayuhan pelaziman dibuat. Kayuhan Gombak > Kuala Selangor pada 9 Januari 2010 dan Gombak > Kuala Kubu Bharu pada 16/01/2010. Basikal juga dipersiapkan untuk perjalanan jauh - pedal ditukar kepada pedal dengan penyarung kaki (toe-clip), penambahan cermin sisi yang memang sangat perlu untuk berkembara dan beberapa penambahan lain. Perlu satu posting lain pulak untuk bercerita tentang RnB.


HARI 1 - 30/01/2010 (SABTU)


Gombak > Bdr Tasik Puteri (36km)


Garis mula. Depan Shell Greenwood circa 0720hrs. Subki, BC Kelolo, Dino, Shuk
Seawal 0645hrs, Dino sudah tercongok di depan pagar rumah. Basikal Kona Cinder Cone dengan MTB - XC setup jadi tunggangan. Shogun yang sepatutnya bertugas, tak sempat disiapkan. Subki menyusul kemudian. Aku buru-buru bersiap. 0710hrs, tika mentari masih di balik tabir, 3 basikal meinggalkan Taman Melewar. Anak isteri mengiring hingga ke pintu pagar.

Singgah di Shell Greenwood kerana Azmi dan Shuk menunggu di situ. Azmi dengan moto, bukan dengan basikal. Atas semangat setiakawan, walau tak dapat ikut berkayuh, dapat ikut sekejap dengan motopun jadilah. Shuk mengikut juga, tapi sampai ke Tasik Puteri sahaja. Jadilah, dapat lepas geram.

Tarikh kebetulan sama dengan Thaipusam. Laluan akan melalui Batu Caves. Ada ruangkah? Sebentar lagi terjawab. Kesemua 4 basikal bersiap sedia. Motor iringan juga memberi isyarat...Dengan lafaz bismillah dan doa naik kenderaan, KEMBAS 2010 bermula.


Mencelah kesesakan Thaipusam
Greenwood ditinggalkan. Kayuhan dengan kelajuan sekitar 20km/j. Sebaik naik laluan bertingkat, sudah nampak dari kejauhan kesesakan di depan kuil Batu Caves. Basikal dengan mudah mencelah ruang-ruang sempit yang ada. Tiada halangan. Basikal dengan beg sarat di belakang dihiasi kerlipan lampu mencuri perhatian seketika. Kesesakan berterusan hingga ke bulatan. Dan sebaik bulatan dilepasi, laluan lega. Kenderaan banyak tapi tidak sesibuk hari bekerja.

Azmi setia mengiringi sehingga ke susur keluar ke Hospital Selayang. Iringan tidak bersahaja, rakaman video dan gambar sempat diabadikan. Azmi melambai selamat jalan dan kami teruskan kayuhan. Di hadapan, tercongok, tersergam pendakian lanjut dan panjang mencapai ketinggian 180m. Maklum kayuhan baru saja bermula. Tenaga masih segar. Masing-masing meluru mencelapak bukit. Tinggal Dino saja di belakang dek kerana basikalnya yang bertayar gemuk. Pengayuh muda Subki dan Shuk saling kejar mengejar. Tak daya aku nak mengikut rentak mereka. Aku biarkan saja...


Subki galak mengejar Shuk...
Berlegar sebentar bila di puncak menunggu Dino sampai. Kemudian meluru turun dengan membiarkan saja basikal meluncur di bawa graviti. Dingin bayu pagi berbaur angin kederasan menyapa kulit. Sejukkkk...

Sekonyong aku perasan sebuah kereta perlahan saja di belakang. Lampu "hazard" menyala. Apa hal pulak? Nak toleh ke belakang, basikal tengah laju. Mujur ada cermin pandang belakang. Baru nampak jelas kereta Unser yang dipandu isteri. Dah sampai mereka...

Batu 16 Rawang menyusul kemudian. Makin sesak kawasan itu dengan tertegaknya Tesco. Reef di sebelahnya masih dalam pembinaan. Jam 0800hrs, baru melepasi susur keluar ke Jalan Batu Arang. Risau bersarang dalam dada kerana masa telah terbabas. Sepatutnya kami sudah sampai ke pintu masuk Bandar Tasik Puteri. Aku tercicir sekejap sebab terlepas lampu isyarat. Mereka yang lain menonong ke depan. Jenuh mengejar kemudian berjumpa kembali di depan Petronas Sg Bakau. Aku teruskan saja kayuhan. Sebaik melepasi Bayu Permai ternampak kelibat Tok Ngulu BBB dan Ayahanda Jepp dari arah bertentangan. Mereka menyusul kami rupanya. Tok Ngulu memberi isyarat "Teruskan" sebaik terpandang aku. Aku akur...Yang lain-lain menyusul kemudian.

Bdr Tasik Puteri semakin dihampiri. Sebaik melipat masuk sudah ternampak kelibat ramai berbaju oren BBB. Meriahhhhh...Rasa macam VIP sungguh! Terima kasih BBB. Dengan iringan peloton jersi oren, gerombolan berkayuh masuk ke BTP. Berkayuh ramai-ramai begitu memang menyeronokkan. Jam hampir 0900hrs. Sempat juga berhenti bergambar beramai-ramai di gerbang masuk BTP. Sesi bergambar riuh rendah ditambah rencah karenah Tuan Haji Belacan yang nakal dan kelakar. Tak kering gusi dibuatnya.


Peloton jersi oren

Gambar gambar gambar...beramai di gerbang BTP

Kawalan trafik cemerlang

0915hrs, Medan Puteri jadi gegak gempita dengan kehadiran jersi oren. Meja sajian sudah tersedia di warung Zul. Murah rezeki pagi itu kerana Syuq (bukan Shuk) kebetulan menyambut hari ulang tahun. Birthday boy (walau dah tua) dengan murah hati telah menaja sarapan. Adam dan Langgark, dua peserta dari BBB sudah siap menunggu. Kumpulan pertama berehat sekejap untuk menjamah lempeng (ya, lempeng!) dan roti canai yang terhidang. Suasana meriah sungguh! Tamat perkayuhan takat 1 - Gombak - BTP. Jarak 36km. Masa diambil 1j 45m. Masih jauh menanti...

Bdr Tasik Puteri > Kuala Selangor(32km)


Sarapan on the house by birthday boy
Ah...kalau bersembang sambil makan memang leka. Memandangkan perkayuhan masih jauh, dan masa sudah terbabas, aku terpaksa menghentikan keasyikan makan dan sembang. Dengan suara serak-garau-manja, aku melaung "LIMA MINIT!". Bertaburan dan lintang pukang semua yang ada. Roti canai segera dihabiskan. Lempeng yang berbaki lesap ditelan. Gerombolan berserta pengiring siap siaga meneruskan kembara. 5 peserta KEMBAS dengan beberapa pengayuh BBB serta kereta Unser pengiring mengesot meninggalkan Medan Puteri. Menyusur jalan ke laluan belakang Tasik Puteri ke Batu Arang. Ramai juga yang memerhati dan melambai dari pangsapuri berdekatan. Sasaran, Kuala Selangor, 32km lagi...


Lagi 3 saat untuk berlepas...
Laluan melalui Kota Puteri diambil. Selamat daripada pendakian curam panjang kalau ikut jalan "Menara". Peloton masih besar. Kereta iringan masih bersama. Jalan teduh di bawah rimbunan pohonan rendang sekejap saja. Kemudian dilontar ke jalan terbentang. Panas mula membahang. Garis pemisah ditempuh di persimpangan Kota Puteri - Jalan Kuala Selangor. BBB yang mengiring berpatah balik. Shuk juga meneruskan berseorangan kembali ke Sentul melalui Paya Jaras. Kereta sokongan Unser juga. Isteri sempat berpeluk, bercium diiringi esak tangis hiba (sikit punya drama ka?) melepaskan kekanda pergi...


Simpang Kota Puteri - Jalan Kuala Selangor
5 basikal meneruskan kayuhan ikut jalan Kuala Selangor dengan bergilir-gilir ke depan "menarik" yang lain. Laluan asal ke Asam Jawa ditukar selepas Ijass memaklumkan kemungkinan jalan sesak kerana Thaipusam. Semua ahli dimaklumkan. Simpang Kampung Kuantan diambil. Baru sekejap membelok masuk Dino minta supaya berhenti sekejap. Punggungnya tak boleh tahan, katanya. Kebetulan di depan pintu masuk Kelab DiRaja Golf Kampung Kuantan. Kawasan teduh terakhir yang ada sehingga ke simpang Kampung Kuantan. Kampung Kuantan, kampung pelancongan yang terkenal dengan kelip-kelip.

Matahari makin galak memancar. Trafik tenang. Menghampiri lampu isyarat, kereta berderet. Basikal dengan selamba menyusur saki baki jalan meneruskan kayuhan ke depan. Tiba-tiba sebuah kereta membelok kiri tanpa amaran. Mujur pada kelajuan perlahan. Sempatlah aku mengelak. Kereta tu siap sempat hon marah lagi! Aik! Akukah yang bersalah?

Bila sudah berada di atas jalan Kuala Selangor, tak semena datang tenaga entah dari mana. Laktik yang melenguh melesu kaki bagi hilang semerta. Aku memecut laju ke hadapan meninggalkan yang lain. Lupa diri seketika. Breakaway la konon! Tahan kejap saja sebab hanya nafsu yang besar, kederat tiada. Semput balik bila sampai simpang ke Bandar Malawati. Aku gelakkan diri sendiri. Kaki Bukit Malawati berbalam dari kejauhan. Sekali lagi mari letusan tenaga galak. Sekali lagi aku memecut. Dan kali ini aku gagahkan sampai nampak kelibat Ijass dengan basikal kuningnya. Yang lain menyusul kemudian. Tamat 32km. Kuala Selangor dalam catatan. Jam 1145hrs.

Kuala Selangor > Sungai Nibong(39km)


Ijass dengan basikal Singer
Berehatlah kami sekejap sementara menunggu yang lain-lain sampai. Air ditogok. Botol air ditambah. Pundi-pundi air dikosongkan. Sempat juga mengamati basikal Singer Ijass. Klasik sungguh dengan pelana tebal empuk. Sementara itu, yang lain-lain semua sudah sampai. 5 orang semua - Ijass, Nasir, Saei, Asari dan Asmadi. 2 tourer dan 3 roadie. Macam dijanji-janji, 5 orang setiap kumpulan. Jadilah macam kisah sepuluh budak hitam...


Menyeberangi jambatan Kuala Selangor
1215hrs, gerombolan mula bergerak meninggalkan kaki Bukit Malawati. Matahari terpacak di atas kepala. Peluh belum sempat mengering. Sebagai tuan rumah, Ijass mendahului. Kerana teruja barangkali, dia tarik sehingga 28kmj. Yang lain-lain tercicir kat belakang. Siap Subki sampai hampir kejang dek penangan Ijass. Terpaksalah dikerahkan roadie yang laju untuk memintas dan memperlahankan dia.


Saei dari KUSCYC
Aku pulak diminta ke depan atas alasan basikal aku ada cermin pandang belakang. Besar pulak tu. Mau tak besar, rembat motor punya. Kembali berderetan 10 basikal di atas jalan. Sesekali aku menjeling dalam cermin memastikan jarak optima. Bila menghampiri Tanjong Karang, peloton mula putus. Aku ambil keputusan berhenti sekejap untuk merapatkan kembali jarak. Petronas Tanjong Karang disinggahi. Sempat la menogok sebotol Revive sementara menunggu yang lain semua sampai.


Tanjong Karang
Pekan Tanjong Karang menyambut kami dengan deretan kenderaan. Jalan yang sekian lama landai, bertukar mendaki sedikit bila memanjat jambatan Tanjong Karang yang merentang Sungai Tengi. Jalan lebar dua lorong terus diukur di bawah terik mentari. Kawasan teduh memang sukar dijumpai. Peluh mencurah tanpa henti. Sesekali datang angin depan dan angin lintang mengusik. Basikal terasa berat seolah diseret dari belakang. Sesekali terpaksa berhenti. Masalah kecil yang melanda Dino makin melarat. Punggungnya menanggung siksaan berat. Tampak perit muka menahan kesakitan, namun digagahkannya. Satu peringatan untuk masa depan - gunakan pelana yang sesuai untuk berkembara. Pelana lumba nipis sempit tidak sesuai.


Adehhhhh...Penderitaan jelas terbayang di wajah Dino
Deretan warung di jalan jadi tempat persinggahan. Ada jambu, ada mangga enak jadi santapan. Sedappp...tumpang makan mangga Dino. Dalam hati pasang angan-angan nanti nak beli lagi. Sekinchan sudah di dalam pandangan. Cadangan untuk makan di Sekinchan diterima tanpa bangkangan. Singgah makan tengahari di gerai sebelah kiri jalan sebelum pekan Sekinchan. Jam 1400hrs.


KUSCYC - depan Nasir, Saei. Belakang - Asaari, Asmadi
Persinggahan satu pelarian, pelarian daripada tarmac hitam, pelarian daripada deru kenderaan, pelarian daripada kehangatan rembang tengahari yang membakar. Kelegaan sementara...Makan tengahari seadanya ditaja oelh Ijass. Terima kasih. Kemudian beredar ke masjid Nurul Alaniah, Sekinchan. Yang wajib, wajib dipenuhi. Tiada alasan, tiada basa-basi. Kesempatan untuk membersihkan dan menyegarkan badan. Aku siap sempat mandi. Satu perkara yang aku nak kongsi sangat-sangat, badan dan otot yang sengal dan lenguh rasa lega dan terubat dalam pergerakan solat. Setiap rukuk, sujud, duduk antara dua sujud bagai terapi mereda dan mengendurkan otot. Subhanallah...Subhanallah...Solat jama' ta'dim ditunaikan. Menggabungkan zuhur dan asor dalam satu waktu. Satu ruksyah (keringanan) yang Allah s.w.t berikan pada hambaNya bila bermusafir lebih dari 2 marhalah(lebih kurang 84km).

Parkir Masjid Nurul Alaniah...

KUSCYC - Asaari dan Asmadi

Saei, Asaari, Asmadi

Jam 1530hrs, kayuhan diteruskan. Jalan masih melandai. Mentari masih galak bersinar. Sesekali diterpa angin hadapan dan angin lintang yang sering berlaku di kawasan landai dan lapang. Olakan bayu dari laut barangkali...


Hentian bersama KUSCYC terakhir
Iringan sahabat dari KUSCYC hampir ke penghujung bila sampai di Sungai Nibong. Berhenti rehat sebentar sambil menghimbau kembali kayuhan bersama hampir 50km. Terima kasih KUSCYC kerana sudi bersama. Terasa lebih meriah. Bersalam-salaman mereka berempat yang akan berpatah balik ke Kuala Selangor. Asmadi akan terus ikut sehingga Sabak Bernam, balik ke kampungnya. Yang tinggal berenam meneruskan kayuhan. Rancangan asal untuk bermalam di Bota dikaji semula. Perkiraan atas kertas menunjukkan kami hanya mampu sampai ke Teluk Intan sahaja sebelum kelam malam menutup hari.


Sungai Nibong > Kpg Seri Perkasa(30km)


Antara 2 negeri. Di atas jambatan sempadan Selangor - Perak
Adam, Subki dan Asmadi, meluru pergi. Meninggalkan kami, orang lama slo-mo terkulat-kulat di belakang. Bontotitis yang menyerang Dino makin menular. Masuk tahap 3. Kritikal. Lama juga kami berhenti di simpang Jalan Supar untuk pemulihan. Usul supaya khidmat kenderaan sokongan digunakan diketepikan dulu. Tekadnya masih kuat untuk cuba meneruskan cabaran. Kami teruskan kayuhan dengan perlahan. Mentari semakin memberati ufuk...Hampir 60km masih perlu ditempuh untuk ke Teluk Intan.


Menghampiri Sabak Bernam
Hampir jam 1800hrs, baru menjejak Sabak Bernam. Adam, Subki dan Asmadi rupanya menunggu di Petronas Sabak Bernam. Kembali berkayuh dalam satu kumpulan. Selepas itu tiba giliran Asmadi pula untuk mengucapkan salam perpisahan. Dia telah sampai ke destinasinya. Jalan dua lorong menguncup jadi satu lorong dua hala. Sempadan Selangor Perak dihampiri. Dari kejauhan lengkung jambatan tersergam. Jam 1815hrs, negeri Selangor ditinggalkan. Tanah Darul Ridzuan dijejak. Adam dan Subki telah jauh di hadapan. Langgark dan Dino menyusul dari belakang. Aku sedang elok di tengah-tengah menghampiri Kampung Seri Perkasa.



Kpg Seri Perkasa > Teluk Intan(30km)

Jarak di antara pengayuh yang terlalu jauh merisaukan. Aku ambil keputusan menunggu saja. Lama juga baru kelibat Langgark muncul. Langgark masih steady, walau kelajuan sudah menurun. Maklum dah sehari suntuk berkayuh. Langgark jalan dulu sementara aku terus menunggu Dino. Lama juga baru Dino muncul. Wajahnya tak berseri langsung. Dengan sugul dia memaklumkan. "Aku dah call support vehicle. Kau jalan dululah". Akhirnya dia terpaksa akur dengan keadaan. Dengan berat hati, Dino aku tinggalkan. Sempat juga berpesan minta tolong carikan tempat penginapan di Teluk Intan nanti.


Lega merentasi sempadan...
Aku kembali atas pelana. Kederat aku juga sudah mencapai tahap kritikal. Perut dah mula minta diisi. Jalan Hutan Melintang sudah berubah wajah. Jalan sudah dinaiktaraf jadi dua lorong dengan laluan kecemasan yang cukup lebar dan selesa untuk berkayuh. Aku kembali bersaing dengan Langgark di sekitar kawasan Jenderata. Kayuhan diisi dengan sembang-sembang penghilang bosan dan letih.

Bila semakin dekat dengan Hutan Melintang, perut aku semakin berlagu. Aku memecut meninggalkan Langgark untuk mencari sesuatu buat mendiamkan berontakan perut. Petronas Hutan Melintang jadi sasaran. Sebotol Revive dan sekeping coklat laju saja masuk ke dalam perut. Lega sikit terasa sambil duduk di bangku hentian bas menunggu Langgark lalu. Hari makin gelap dan mentari tenggelam terus di ufuk barat. Sekonyong telefon berbunyi. Dino rupanya. Rupanya sudah berada di dalam kereta. Aku tanya sama ada dia nampak Langgark. Dia kata tak nampak. Hati aku rasa tak sedap. Memang aku dah terlepas pandang. Langgark sudah jauh ke depan rupanya bila aku telefon dia. Azan maghribpun berkumandang. Aku periksa lampu-lampu untuk memastikan semuanya berfungsi lalu aku terjah sederas termampu untuk mengejar Langgark. Kerlipan lampu dari kejauhan sungguh melegakan bila berjumpa kembali dengan Langgark yang menunggu di simpang ke Lekir.

Masih ada 9km ke Teluk Intan. Jam sudah 2000hrs. Langit sudah gelap pekat. Rintik halus hujan turun menyirami bumi melengkapkan suasana. Aku dan Langgark berkayuh bersama. Hotel Anson sudah ditempah. Adam dan Subki sudah siap check-in. Hanya aku dan Langgark masih terkial di jalan.


Basikal VIP. Hotel Anson memberikan ruang parkir di lobi.
Jenuh juga mencari lokasi hotel. Bandar Teluk Intan masih hidup dan sibuk terutama di sekitar kawasan Dataran Menara Condong. Berpandukan arahan daripada Dino, jalan dicilok meredah dan menongkah arus mencari jalan pintas ke Hotel. 2030hrs, kami selamat sampai. Basikal diberikan parkir istimewa di dalam lobi. Sudah selamat satu kerisauan. Dengan badan yang letih, segala beg diseret naik ke tingkat 3. Fuhhhhh...lega. Tamat acara kayuhan untuk hari pertama. Dah sampai aku ke Teluk Intan.


Pagoda condong Teluk Intan
Dino tidak bermalam di situ sebaliknya pulang ke rumah mertua di Langkap. Aku pada mulanya malas nak keluar lagi berubah fikiran selepas mandi dan menyegarkan badan. Dataran Menara Condong dijengah. Sibuk sekali dengan aliran manusia. Kebetulan ada semacam ekspo di situ. Kami tak sempat berlama kerana harus segera makan kemudian tidur dan rehat secukupnya. Perjalanan masih jauh esok. Sekitar 120km.

Sambil makan, kami berempat menghimbau kembali pengalaman hari itu. Jerih juga nak menghabiskan 150km pertama. Syukur selamat sampai tanpa ada satupun mala petaka. Aku sarankan supaya laluan dikaji semula berdasarkan pengalaman hari pertama. Yang lain setuju. Setelah sembang-sembang dengan pekerja hotel tentang laluan, keputusan diambil untuk mengikut laluan Langkap > Kampar > Gopeng > Ipoh sahaja. Balik ke bilik hotel, tak ada apa yang dilakukan. Letih! Sempat telefon keluarga sekejap bertanya khabar dan kemaskini status perjalanan. Jam 2300hrs, aku dah hanyut dalam dengkuran...

HARI 2 - 31/01/2010 (AHAD)

Hari pertama telah selamat dilalui. Rasa macam tidur lena sekejap saja, tau-tau sudah jam 0600hrs. Badan yang diselimuti gebar tebal dalam kamar berhawa dingin terasa berat untuk bangun. Terbayang di dalam angka 120km yang perlu diharung hari itu membuatkan badan terasa makin berat. Digagahi juga untuk bangun. Terasa lega sikit bila badan dijamah air panas.


Menyiapkan basikal

Siap untuk menyahut cabaran hari 2

Abadikan kenangan. Di depan Hotel Anson

Pagoda condong Teluk Intan

Seawal jam 0700hrs, aku sudah tercongok di lobi. Segala beg dipasang. 2 botol air diisi penuh-penuh. Hari semalam mengajar aku betapa pentingnya bekalan air minum. Yang lain-lain menyusul kemudian. Sempat ambil gambar sedikit sebanyak buat kenangan. Basikal parkir kat lobi hotel woooo, bukan senang. Penginap yang lain memerhati sahaja kami bersiap sedia. Barangkali tertanya ke mana arah tujuan agaknya...

Tangki yang kosong perlu di isi. Sarapan di cari. Kembali berlegar di sekitar Dataran Menara Condong. Satu kemestian agaknya untuk bergambar dengan basikal di depan menara. Alang-alang dah sampai. Kalau tak diambil peluang, entah bila pula akan lalu di situ dengan basikal. Mungkin ini yang pertama dan terakhir...Mungkin. Kedai berdekatan nampak macam dikunjungi ramai. Kami tambatkan kuda-kuda di situ lalu ikut sama menghabiskan aneka sajian sarapan. Nasi lemak sepinggan disulam dengan telur separuh masak 2 biji jadi santapan. Agak cukup kot bekalan hingga ke Ipoh. Sambil bersarapan, sambil buat taklimat ringkas dan apa yang bakal ditempuh dalam kayuhan hari kedua. Yang paling penting, bab pertukaran laluan.

Teluk Intan > Langkap(25km)

Alhamdulillah...perut dah kenyang. Badan masih lagi mamai. Mintak ditidurkan. Mana boleh! 0820hrs, kayuhan hari ke 2 bermula. Dari warung sarapan, menyelinap di antara penjual-penjual pekan hari, menuju ke Jalan Changkat Jong. Dalam kayuhan perlahan itupun, Subki tercicir. Mujur pandai dia mencari jalan. Tau-tau muncul di depan. Mentari pagi masih tersembunyi di balik tompokan awan. Ah...sedapnya cuaca. Terang tapi redup.

Kayuhan dalam formasi rapat bersaing dua-dua. Ruang kecemasan yang lebar memungkinkannya. Bandar Teluk Intan ditinggalkan. Ansur-ansur pemandangan berubah dari kawasan kepadatan tinggi dengan deretan bangunan dan rumah kedai ke kawasan lapang benderang terang. Asalnya ladang kelapa sawit. Tetapi, kelapa sawit yang ada di tepi jalan semuanya sawit muda yang baru ditanam semula. Kalau matahari sudah keluar, tentunya panas membara. Jalan masih landai dengan kenderaan sesekali berlalu.


Kampung Goh Hong
Kampung Changkat Jong dilalui. Lega sikit terasa kerana ada teduhan. Pokok kelapa sawit di sini sudah besar dan tinggi. Kemudian simpang kiri diambil. Langkap dalam sasaran. Laluan ini lebih menyelesakan. Jalan tar kampung dengan pokok-pokok di kiri kanan. Suasana dan pemandangan nyaman tapi terusik sedikit bila sebuah kereta membuatkan darah kami tersirap bandung kerana memotong di atas jambatan sempit. Mujur kami tak disodok.


Menghampiri Langkap. Kampung Chikus dan Attaduri.
Kaki dan punggung mula terasa lenguh lepas sejam berkayuh, dan hentian bas yang teduh di bawah naungan pokok getah nampak cukup menyelerakan. Hentian pertama untuk Hari 2. Kampung Goh Hong. Adam yang memang kurang bercakap, nampak suka dan teruja."Saya suka jalan macam ni, tenang dan tak banyak kereta", komen Adam. Kayuhan diteruskan melepasi simpang Chikus dan Attaduri. Sengaja aku abadikan nama dua tempat ini kerana keunikan namanya. Jam 1000hrs, Langkap ditempuhi. Berhenti sekejap di Petronas Langkap kerana Langgark perlu melegakan dirinya. Lagipun, ada misi memulangkan jam Dino yang tertinggal di hotel malam tadi.


Langkap > Kampar(29km)


Langkap. Kembali berlima seketika.
Dino muncul dengan Kona Cinder Conenya. Rumah mertuanya tak jauh dari Petronas Langkap. Dia sempat mengiringi kami ke sempadan pekan Langkap. Ah...ada cawangan restoran Mastan Ghani di situ. Kalau tak kerana mengejar masa, mau singgah dulu pekena mee rebus Mastan Ghani. Di Teluk Intan tak berkesempatan. Kempunan lagi!.


Air Kuning
Langkap ditinggalkan dan Dino berpatah balik. Kayuhan diteruskan melalui jalan kampung yang tenang. Hanya sesekali kenderaan lalu. Mungkin bagi orang di sini, mereka hanya kenal jem yang dimakan bersama roti. Tak pernah kenal jem perisa deretan kereta tersengguk-sengguk dan terhegeh atas jalan. Jam 1045hrs, tiba di Air Kuning. Berhenti sekejap di Petronas untuk mengisi air dan membuang air. Air Kuning menunjukkan 50km lagi ke Ipoh. Jauh juga lagi tu...


Lagi 50km!
Jalan yang melandai sepanjang hari mula berubah sifat setelah mencecah Mambang Di Awan, 9km dari Air Kuning. Mungkin sebab nama tempat Mambang Di Awan, jalannya mula menuju ke awan. Jalan kampung berubah rupa menjadi jalan lebar 2 lorong. Dan...jalan landai mula mendaki. Panjang dan lanjut. Pelik aku rasa bila kaki tak semena mula berputar lebih ligat bila ternampak cerun. Mungkin sebab kayuhan putaran rendah bila mendaki terasa lebih meletihkan. Lebih menambahkan semangat bila papan tanda menunjukkan Kampar sudah dekat. Jalan melalui Pusat Kesihatan Kampar dan akhirnya...berjumpa simpang jalan yang rasanya macam pernah kulihat...YAAAAA! Jalan KL - Ipoh. Jalan persekutuan nombor 1.


Kampar > Ipoh(33.5km)

Telah masuk kawasan Kampar. Ambil laluan ke kiri dengan hati-hati sebab kenderaan mula bertali arus di jalan ini. Aku dengan Subki di depan. Diikuti Adam, manakala Langgark di belakang. Tempo diperlahankan bila Adam dan Langgark tidak kelihatan. Pekan Kampar masih lagi menyimpan warisan sejarah silam dengan deretan rumah kedai lama zaman kolonial di kiri dan kanan jalan. Sebaik sampai di depan sekolah Methodist (ACS) Kampar, ternampak kelibat Langgark. Sempat dia melaung "Ayarg nyok! Ayarg nyok!". Nampak dia penjual air kelapa di tepi jalan. Kamipun tak perasan! Tengah panas dan berpeluh begitu, nampak air kelapa, selera jadi terbuka. Singgah berhenti sekejap untuk membasahkan tekak dengan air kelapa yang diidam Langgark sedari tadi. Dapat juga tunaikan hajat. Sedapppppp. Jam terpacak 1200hrs.


Nyog muda!

Tourer istimewa dari Kampar

Antara 2 kelapa. Kelapa biasa vs kelapa pandan

Melapah kelapa


Rabak kasut Langgark
Masih ada lebih 30km untuk ke Ipoh. Bila nak mulakan kayuhan selepas minum "ayarg nyok", dah nampak kelibat jalan yang agak mendaki. Tengah hari rembang pulak tu. Nak tak nak terpaksa terjah. Jalan seterusnya begitulah gaya. Beralun di bawah limpahan terik mentari. Perit kulit jangan ceritalah. Bila sampai ke Jeram rasa sedikit lega. Banyak pokok besar di kiri kanan jalan. Adalah sedikit teduhan. Kasut Langgark yang dah menunjukkan senyuman dari semalam, tewas akhirnya. Tapak tertanggal dari badan. Tak cukup dengan itu, sarung tangannya juga terkoyak sedikit. Penangan 200km. Mujur Langgark dah memang bersedia. Ada kasut spare dalam beg Doraemon dia. Padan la beg pannier dia besar dan gemuk.


Gopeng makin dekat. Ipoh makin Rapt.
Jam 1350hrs, melepasi satu lagi batu tanda, bandar GopenHagen...Ha..ha. Pekan kecil yang masih menyimpan banyak khazanah zaman kolonial. Rumah kedai lama yang sudah usang masih lagi tercongok di kiri dan kanan jalan. Kalau waktu malam,mesti menyeramkan. Gopeng ditinggalkan. Ipoh sudah bau-bau bacang. Dah terasa tempias Bandaraya Ipoh bila melintasi Simpang Pulai. Panas masih membara. Di latar sudah tersergam banjaran Titiwangsa, tulang belakang Semenanjung.


Pulai, Pulai...macam nak terkulai
Bau Bandaraya Ipoh yang semakin kuat itu bagaikan suntikan steroid pada Subki yang meluru pergi hilang dari pandangan. Kami bertiga orang lama ini hanya mampu berkayuh dengan irama nusantara saja. Tenang dan santai. Apatah lagi perut sudah mula bernyanyi-nyanyi mintak diisi. Nasi lemak dengan telur separuh masak Teluk Intan sudah habis dibakar.

Berjumpa balik dengan Subki di kawasan Gunung Rapat, berhampiran tempat jualan limau bali (pomelo). Siap dia sempat baca suratkhabar lagi sementara menunggu kami sampai. Gunung Rapat bagaikan pintu gerbang ke Ipoh dari selatan. Melintasi Gunnung Rapat bagaikan tanda sempadan Ipoh telah dilepasi. Lega sungguh terasa... Selamat juga sampai ke Ipoh setelah 2 hari berjuang. Sayang masa terhad, kami tidak masuk ke pusat bandaraya. Hanya "mencuit" sedikit sahaja Bandaraya Ipoh. Laluan Harimau (Tiger Lane) diambil untuk ke garisan penamat. Taman Chepor Raya, di Chemor. 1430hrs, berhenti rehat sebentar di tepi Laluan Harimau untuk "merasa" jejakan kaki ke Ipoh. Masing-masing dah merungut lapar. Aku terpaksa bertegas untuk meneruskan kayuhan ke Chepor. Satu keputusan yang meletakkan aku dalam carta tercorot orang popular hari itu.

Ipoh > Chemor (16km)


Laluan Harimau (Tiger Lane). Hanya ini bahagian Ipoh yang kami cuit.
Peringkat laluan terakhir. Jarakpun tak sejauh peringkat-peringkat lain. Tapi...titisan yang hujung inilah yang terasa berat. Matahari terus memancar terik. Sedang duduk-duduk, datang awan berarak menutup matahari. Aku cepat melaung kepada yang lain suruh bergerak sementara redup. Jalan memang sibuk dengan kenderaan. Kena pulak memanjat laluan bertingkat. Tinggi dan lanjut. Untuk masuk ke laluan saja sudah mencabar.

Jalan Sultan Azlan Shah terus disorot sehingga bertemu dengan Lebuhraya Utara - Selatan. Terjadi sedikit kekeliruan bila ada yang menyangka laluan melalui Tasek untuk ke Chemor. Mujur penjelasan dapat diterima dan kayuhan diteruskan ikut jalan yang seiring dengan lebuhraya. Sungguh tidak selesa berkayuh di jalan itu. Jalan lebar luas terbuka terbentang. Lurus dan sayup mata memandang. Di langit, mentari galak bersinar membakar apa yang ada di atas muka bumi. Memang mental cukup tercabar. Ditokok pula dengan perut yang lapar dan tahap tenaga yang tinggal rizab.

Tak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan terpaksa mengadap satu pendakian lagi untuk menyimpang kanan keluar dari lebuhraya. Terjadilah satu lawak tak sengaja bila Langgark tiba-tiba hilang dari pandangan. Aik...ke mana menghilang. Puas ditinjau, tak nampak bayang. Mujur dia telefon. Dia dah ke depan rupanya ikut laluan bawah. Nak elak climbing katanya. Dia tak tau yang laluan memang kena panjat. Terpaksalah dengan berat hati memanjat juga simpang bertingkat.


...Taman Meru Damai.
Selepas lampu isyarat, jalan meluncur turun. Legaaaaa...Subki macam biasa, memecut laju ke hadapan. Seronok sekejap saja sebab lepas tu mendaki balik. Terhegeh-hegeh la balik. Simpang jalan Chemor - Jelapang tak juga kelihatan. Hari tu lalu dengan kereta rasa dekat saja. Dah tentu la...Kereta main tekan minyak saja.

Bila dah lepas Taman Meru Damai, baru nampak simpang. Dah rasa lega tersangat. Dah dekat dah. Biasalah bila dah dekat, kaki laju saja memecut. Entah dari mana datang tenaga simpanan. Lepas 2 belokan, dah nampak kubah surau sekolah. Simpang ke rumah Ash terbentang depan mata. Berhenti sekejap di situ menunggu Langgark takut nanti dia terlepas simpang. Dan akhirnya pada jam 1540hrs, 31 Januari 2010 kayuhan KEMBAS2010 sampai ke garisan penamat. Lega dan syukur. Lega sebab kayuhan sudah berakhir. Syukur sebab tiada bala bencana sepanjang perjalanan hatta tayar pancitpun tiada. Jarak tercatat 276km. Alhamdulillah...


I S O T O N I K ! ! !
Ash menyambut ketibaan kami dengan penuh mesra ramah tamah. Terima kasih sahabat. Air isotonik segera dijamu. Ditogok dengan lahap oleh 4 orang yang telah seharian di atas basikal. Ada seorang lagi saudara hari itu, saudara Zam, dari Ulu Kinta yang ikut sama menyambut ketibaan kami. Zam juga seorang tourer. telah menjelajah hingga ke Thailand dengan basikalnya. Dan dia ada di situ untuk menerima penghantaran beg touringnya yang dibeli dari aku. Penghantaran istimewa beg dia tu. Hantaran dari Gombak ke Ipoh dengan basikal!

Agenda diteruskan dengan mengisi perut pula. Isteri Ash telah bersusah payah masak laksa untuk menjamu kami. Dan kami dengan malu dan segan telah makan seorang dua tiga pinggan. Nasib baik segan. Kalau tak segan, mahu terbalik mangkuk kuah laksa dikerjakan.


Ash, tuan rumah yang peramah dan pemurah.
Kotak untuk basikal juga telah siap Ash sediakan. Kami ambil keputusan untuk menyiapkan bungkus basikal sebelum pergi bersantai di Ulu Chepor, satu kawasan perkelahan berdekatan. Basikal dilondeh dan dimasukkan ke dalam kotak. Kerja berpakat ramai-ramai jadi selesai sekejap saja. Masa untuk santaian! Ulu Chepor jadi sasaran. Air sungai yang mengalir dari gunung dingin dan menyegarkan. Terasa lega sungguh badan bila dapat berendam di situ.


Basikal-basikal yang kepenatan

Bungkus basikal

Masa santai!!!

Kedebushhhhh!!!

MUKTAMAD


Kotak basikal siap untuk dinaikkan ke keretapi
Sambil menunggu masa berlalu, termenung aku sekejap. Menghimbau kembali peristiwa yang telah berlaku. Macam tak percaya yang aku telah berkayuh lebih 270km. Kerana masih letih, kami tak banyak bersembang. Ash sekali lagi bersusah payah meminjam kereta Unser jiran untuk menghantar kami ke stesen keretapi. Tak terbalas jasa brader seorang ni. Terima kasih brader. Jasamu dikenang!

4 kotak besar berisi basikal dinaikkan ke keretapi jam 2130hrs. Mujur ada ruang untuk meletak kotak. Staff pemeriksa tiket jadi hairan tengok kotak besar. Bila diberitahu yang kotak berisi basikal, dia beritahu yang kami kena bayar untuk muatan lebih. Hai, apa cerita. Waktu saya tanya masa nak beli tiket, memang diberitahu kalau barang naik bersama penumpang dan dibungkus rapi, tidak dikenakan bayaran. Sebab malas nak cerita banyak,kami bayar saja caj RM10.00 untuk setiap kotak.


Penjaga basikal atas keretapi
Badan memang terasa letih. Digagahkan juga untuk bertahan seketika. Bila gerabak mula bergerak meninggalkan stesen Ipoh, aku sempat tengok gambar-gambar yang diambil sambil membuat sedikit catatan. Belumpun separuh, tau-tau dah lelap...Lelap dan lena dalam kepuasan. Puas kerana satu impian telah berjaya dizahirkan...

Rakaman penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat. Teman seperkayuhan, isteri dan anak-anakku, Dino dan isteri, kawan-kawan dari BBB, teman-teman dari Kuala Selangor Cycling Club, Ash dan isteri. Maaf aku pohon atas segala kesilapan dan kekurangan. Maaf juga aku pohon kalau terkasar bahasa tersilap kata. Dan mohon juga dihalalkan apa yang termakan terminum terbelanja. InsyaAllah, akan ada lagi projek pada masa depan...Macam mana kalau berbasikal dari utara balik ke KL?



Gambar-gambar kayuhan boleh dilihat di forum GLC. Lihat Album Hari 1 dan Album Hari 2.

Thursday, January 28, 2010

Shifter Baru...errrr...Lama Untuk Rock n Blues

Singgah sekejap di kedai ABC Uncle Ong waktu balik dari kayuhan Kuala Selangor rupanya tidak sia-sia. Satu set shifter lama ikut balik bersama aku.


Shifter Shimano ST-EF28 ezi-fire
Shifter bertakah 7 kelajuan ini masih berfungsi dengan baik. Rupa luaran memang gagal. Warna asal kuning sudah jadi usang kusam. Bahagian besi sudah berkarat sedikit. Namun itu yang membuat aku jadi lebih teruja untuk cuba membuktikan sesuatu.


Shifter Shimano ST-EF28 ezi-fire - selepas mendapat terapi "gosok, jangan tak gosok"
Biasalah aku, kalau barang sudah di tangan, memang tapak tangan terasa gatal. Aku yang bercadang untuk berehat dan tidur awal kerana dah seharian berkayuh, jadi gatal tangan nak kelebek shifter itu. Mungkin gatal tangan dah masuk tahap kronik kerana aku membaraikan semua komponen termasuk mekanisma dalamannya. Kemudian, terpanik seketika kerana tak tau nak pasang balik. Mujur setelah penat berhempas pulas hingga tersengguk-sengguk, berjaya juga dipasang balik.

Selama 3 hari shifter itu diberikan terapi gosokan. Warna asal digosok hingga hilang ghaib. Kemudian komponen di gosok berulang kali dengan kertas pasir grit 800, 1000, 1500 dan 2000, dan lumuran Autosol. Teknik ini aku belajar dari Bro Kuwahara yang memang handal bab gosok menggosok dan cat mengecat. Hasilnya, terserlah warna alu bogel yang memberikan lebih kesan retro kepada shifter ini. Sesuai dengan tema RnB.


Sebelum...shifter kombo Shimano ST-EF297

Selepas - Shifter kombo Shimano ST EF28

Shifter siap bergosok, memancar kilat warna alunya. Shifter asal ST EF297 yang berwarna hitam dan kelihatan "plastik" direhatkann dari tugas. Shifter ST EF28 mengambil singgahsana di atas bar hendal. ST EF28 ini kelihatan lebih cocok dengan rupa luaran RnB. Bagaimana pula prestasinya? Bolehkah orang lama ini berfungsi? Nyata usia bukan faktor penentu. Tukarannya tepat dan pasti dengan bunyi klik-klik padat dan padu. Tapi awas...shifter ini bukan untuk weight weenie. Ia berat kerana badannya padat!



GO RETRO!!!

Tuesday, January 19, 2010

Berbasikal Seharian...Gombak - Kuala Selangor - Gombak

Bagaimana rasanya bila seharian berbasikal. Dari 7.00 pagi hingga 7.00 petang? Letih, lenguh, kebas, kematu semua bercampur aduk. Macam mana boleh tergamak dan terdorong untuk berkayuh seharian? Kerja gila apakah ini?

Semua bermula apabila tercetus idea untuk mengembara dengan basikal. Cita dan angan besar. Jadi, aku mulakan dengan projek kecil dulu. Tercetuslah KEMBAS2010. Untuk berkayuh sejauh itu, tidak bolehlah diterjah sembarangan. Terasa ada perlunya membiasakan diri dengan kayuhan jarak jauh sebagai persediaan KEMBAS2010. Destinasi Kuala Selangor dipilih. Jarak yang tidak terlalu jauh, jalannya kebanyakan landai. Sesuai sebagai medan pelaziman.

Pengumuman yang dibuat bagai tidak bersahut. Datang pagi yang dijadualkan, 9 Januari 2010, hari Sabtu. Semua yang ingin turut serta menarik diri pada saat akhir. Mujur satu SMS yang masuk pada awal pagi selepas fajar sadiq menyinsing menyelamatkan suasana. Shuk bersedia menyahut cabaran. Aku yang dah lepak sebab ingat akan berkayuh sorang diri, kelam kabut bersiap sebab Shuk sudah on the way. Fino juga akan ikut serta, tapi dengan kereta. Ada juga support car.


Shuk dengan CIOCC, aku dengan Rock n Blues. Depan Shell Greenwood circa 0725hrs.
Lazim berjumpa bersalaman. Sebuku roti jadi sarapan. 0730hrs kayuhan di mulakan. Langit redup. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Sedikit dingin terasa bila angin pagi menjamah kulit. Trafik pagi dah mulai sibuk memenuhi lebuhraya MRR2. Greenwood ditinggalkan. Berkayuh dalam kelajuan 22.2km/j. Sedikit was-was dan curiga berbaur dalam hati. Bolehkah aku berkayuh lebih 100km nih?

Susah juga pada mulanya berkayuh dengan kenderaan laju menderu di sisi. Dengan Shuk di depan, menarik kayuhan, aku cuba mengawal diri daripada berasa terganggu dengan kenderaan yang menderu. Jiwa yang mulai tenteram, terganggu sekali lagi bila melewati bulatan untuk ke Selayang. Bulatan dihampiri dengan hati-hati. Terasa sungguh lama berkayuh sebelum dapat keluar pada susur keluar pukul 3. Lega bila dapat keluar dari situ dengan selamat.

Kemudian barulah dapat berkayuh dengan tenang dan malar sebelum ritma berubah mendera pada pendakian menghampiri Templer. Panjang dna lanjut. Kelajuan pada GPS mencatat penurunan demi penurunan. Sementara nafas makin kencang disertai degup jantung. Satu nikmat bila sampai ke puncak. Bebanan terasa terangkat dan basikal meluncur laju menuruni bukit pada kelajuan melebihi 30kmj.


Menghampiri Rawang. Nampak tanah gondol di sodok? Projek LATAR - Lebuhraya Templer - Asam Jawa.
Punya la lajaknya sampai melepasi Templer Golf Club masih ada lajak lagi. Dah lebih setengah jam berkayuh, rasa seriau pada kenderaan yang banyak menderu dah ansur-ansur hilang. Kawasan Batu 16 makin sibuk dengan Tesco yang sudah hampir siap. Di sebelahnya pula projek Reef. Kami kayuh terus hingga ke susur Jalan Batu Arang. Mata sempat memerhati jalan lingkaran luar Rawang yang dah hampir siap. Nanti, kenderaan ke Utara tak perlu lagi masuk ke pekan Rawang.

Kami membelok ke kiri, ke Jalan Batu Arang - Batang...Opppsss...dah tukar nama ke Bestari Jaya. Apa pulak Batang Berjuntai ya? Kenderaan berpusu-pusu, nak ke lebuhraya. Lepas simpang ke tol Rawang, kenderaan mulai surut. Langit masih lagi redup. Sedap sungguh berkayuh. Sesekali datang angin kepala (headwind), seolah menolak kami ke belakang...Ishh..penat lawan angin.


Dah nak sampai Bdr Tasik Puteri
Lawan angin tidaklah sampai naik angin. Kayuhan diteruskan melepasi Emerald, Country Homes, Velox dan kubur...Assalamualaikum ya ahlil kubur. Semoga tenang bersemadi. Simpang Tasik Puteri di depan mata. Aku melaung pada Shuk supaya membelok kiri. Shuk angguk-angguk dan mengambil tindakan membelok ke kiri.

Jalan Bdr Tasik Puteri dua lorong sehala macam lebuhraya. Pagi hening dengan mentari makin galak bersinar. Terguris hati melihat paya mengkuang yang sudah banyak ditimbus. Kawasan paya itu dulunya kawasan bangau bersarang. Siap diwartakan sebagai kawasan perlindungan burung. Malah menara pemerhati juga dibina untuk peminat pemerhati burung. Menara masih tercongok di situ tapi paya sudah ditimbus. Mana perginya kekuatan warta? Kayuhan sepanjang jalan itu menghimbau kembali memori silam berkayuh seorang diri di situ...

0845hrs, Medan Puteri dijejaki. GPS mencatat 36.1km. Tompokan gerai menawarkan aneka hidangan pagi. Perhati juga sekeliling kot ada sorang dua ahli BBB yang nak ikut. Satu kelibat basikalpun tak kelihatan. Kami berehat seketika sementara menunggu Fino sampai. Kesempatan diambil untuk mengisi tangki yang tadi di isi setakat simpanan saja. Kesian kue tiau jadi mangsa Shuk. Akupun belasah juga. Kuih seri muka buat awet muda dan nasi lemak pengawet perut. Fino sampai kemudiannya. Hai...bawa keretapun sampai kemudian dari basikal?


Di bawah naungan gerbang rimbunan hijau
0930hrs, Medan Puteri ditinggalkan. Laluan diubah sedikit setelah mendapat tahu laluan Batu Arang - Kota Puteri sudah dibuka. Legaaaaaa...Kenapa? Tanya geng BBB pasal laluan menara...Dari BTP ikut jalan belakang ke Batu Arang. Dalam galak, Shuk terbabas. Nasib baik naik basikal. Sedas saja buat U-turn pusing balik. Simpang kiri ke Kota Puteri diambil. Jalan diteduhi gerbang rimbunan pohonan. Namun, itu hanya sementara. Bila masuk ke Kota Puteri, jalan luas terbentang dengan dedahan langsung tanpa segan silu. Berdenyut rasa kulitku yang gebu ini dimamah mentari.

Laluan hangat Kota Puteri bertemu dengan Jalan Kuala Selangor (54). Kami membelok kanan menghala ke Ijok. Jalan dua hala melandai sepanjang jalan. Satu kelegaan kerana lorong kecemasannya lebar memberi ruang selesa untuk berkayuh. Dalam perjalanan terpandang pengayuh-pengayuh berjersi LeTua dari arah berlawanan. Mereka sudah dalam perjalanan balik sedang kami baru terhegeh-hegeh nak ke Kuala Selangor. Bergilir la kami berdua dok "menarik" satu sama lain. Pakatan awal kelajuan antara 20 - 20km/j jadi terbabas sikit bila masing-masing jadi bertambah galak. Maklum la jalan landai...


Di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor
Kelegaan yang hakiki datang menerpa bila ternampak papan tanda Asam Jawa. Bermakna Kuala Selangor dah makin dekat. Dah boleh bau Kuala Selangor. Lampu isyarat Asam Jawa jadi saksi. Seronok sebentar cuma bila sebenarnya sasaran yang dituju jauh lagi. Jalan Kuala Selangor sibuk dengan kenderaan tak seperti Jalan Ijok - Asam Jawa tadi. Kayuhlah kami pelan-pelan dengan saki baki tenaga yang ada. Lega yang amat bila sampai ke kaki Bukit Malawati. Jam terpacak 11.20 pagi. Tamat kayuhan hala pergi. Jarak dicatatkan 69.40km. Dan di mana lagi kalau tidak Bukit Malawati, mercu tanda Kuala Selangor, dijadikan tempat rehat santai berhenti penat. Tapi...sebelum boleh berehat, kena dera kali terakhir berkayuh memanjat Bukit Malawati. Bukan pembasikal sejati kalau naik Bukit Malawati dengan trem.

Sempat diluangkan masa sekejap berehat kat situ melihat alam sekeliling ciptaan Allah s.w.t. Monyet-monyet dari spesis Lotong (bulu hitam, muka putih) banyak kelihatan. Semua melepak pada ranting dan dahan pokok. Aku difahamkan lotong ni dari spesis beradab. Baik kelaku, tak mengambil barang orang sebarangan. Memang ya aku perhatikan. Mereka tak usik kacang panjang yang dijual melainkan kalau dihulur. Sudah puas berehat dan bergambar, kami berkayuh turun (sebenarnya tak kayuhpun, cuma bergolek turun saja). Sedang elok di kaki bukit ada restoran (tak ingat la pulak nama). Ikan bakar yang dipamerkan menggamit selera dan kami ambil keputusan untuk makan tengahari di situ. Fino dengan support car tiada khabar berita. Tahu-tahu muncul waktu makan. Rupanya, dia dah lama sampai siap sempat beli ikan di tambatan. Ikan bakar, pajri terung dan aneka lauk pauk jadi santapan. Bahan bakar untuk enjin bekerja bagi 70km kayuhan balik.

Jam 1300hrs, gandingan 2 pengayuh meninggalkan kaki Bukit Malawati. Menyusur kembali jalan Kuala Selangor. Haluan balik tidak mengikut Asam Jawa, sebaliknya mengambil laluan Bestari Jaya melalui kampung Kuantan, kampung yang terkenal dengan kunang-kunang. Mentari tengahari yang galak membakar tiada simpati. Berbelang tanganku dengan jelaga kehitaman. Terasa juga peritnya. Kereta sokongan sempat singgah beli air dan jambu di tepi jalan, sementara dua pengayuh terkial-kial menunjal pedal untuk mendapatkan 22km/j. Mujur laluan landai sepanjang jalan melewati estet kelapa sawit, kampung-kampung dan beberapa hentian bas baru yang jelas besar tertera penajanya dari "pusat". Limpahan pilihanraya kecil gamaknya.


Saling bersandaran...Masjid Bestari Jaya
Kayuhan ritma nusantara diteruskan. Dari kejauhan nampak jalan muali membukit naik. Tanda ucapan selamat datang dari Bestari Jaya. Cerun menaik seolah mencabar dan mengejek dua pembasikal yang kian letih longlai. Cabaran tidak disahut semerta sebaliknya kami membelok ke kiri. Jam sudah pukul 2.00. Singgah di masjid untuk mengusaikan tuntutan wajib. Support car sudah santai berteduh di bawah pokok di luar pagar masjid. Shuk sempat mandi menyegarkan diri. Aku berpuashati cuma dengan berwudhuk dan bersolat. Sungguh dalam lenguh-lenguh urat itu, gerakan solat rukuk, sujud, duduk antara dua sujud membantu menyegarkan kembali tubuh. Subhanallah...Maha mengetahui ke atas ciptaanNya.


Cerun "Selamat Datang" Bestari Jaya
Hampir jam 1430hrs, dua basikal meninggalkan perkarangan masjid. Support car dah lama ruyup. Kena cepat, kalau tidak ikan busuk. Bukit yang tadi dielak, terpaksa ditempuh. Shuk memang suka mengasah betis memanjat bukit. Mencanak CIOCCnya dipacu. Aku hanya mampu mengikut dengan kelajuan gemalai pada gear rendah. Berjaya juga menggagahi walau Shuk dah jauh ke depan. Kemudian meluncur laju turun sebelum terbantut dengan lampu merah. Jalan susur cilok dicelapak untuk mengelak lampu isyarat dan berkayuh langsung melepasi simpang ke Unisel, Bestari Jaya. Jalan lebar luas. Panas tidak lagi terlalu menyengat kerana langit sudah dilapisi awan. Lega sikit rasanya berkayuhan landai santai...Sampai bila landai begitu?


Selangor Fruit Valley
Tak perlu tunggu lama untuk menjawab soalan itu. Tak lama lepas tu bermula pendakian. Nampak macam mudah, tapi makin lama gear makin rendah sampai terpaksa gunakan piring tengah pada engkol. Shuk nampak tenang dan selamba saja mendaki. Aku buat-buat tenang tapi kaki dah menggeletar, dada dah rasa sesak. Kawasan lapang terbuka dan gondol dipanah mentari petang. Memang azab...Ada 3 atau 4 bukit yang perlu dikerabat. Tak seronok langsung. Mujur digagahi, habis jugak semua bukit selamat dikayuh.

Jalan lebar terlentang terentang tamat. Jalan kembali sempit dua hala cantik berhias dengan bengkang bengkok naik dan turun. Aku terpaksa akur yang aku dah tua. tak berdaya lagi dah. Beri isyarat pada Shuk supaya berhenti sekejap. Lega kaki, tangan, ponggong, dada dan seluruh anggota sekejap. Mujur bahagian itu sudah teduh kerana diselubung pohonan rimbun. Kawanan beruk dan monyet macam kehairanan memerhati gelagat kami. Keletihan membuatkan aku dah tak peduli di mana aku duduk. Akibatnya, beberapa ekor semut api mensedeqahkan gigitan bisa pada tangan aku. Adoiiiii...berdenyut, pedih dan gatal.

Semut memang sengaja tak kasi peluang aku rehat lama-lama. Basikal dicelapak dan kayuhan diteruskan menggunakan tenaga rizab. Laluan bengkang-bengkok beralun naik turun. Memang kalau banyak kederat sedap melayan jalan Fruit Valley - Batu Arang. Oh, sebelum terlupa, laluan itu adalah sebahagian laluan LTDL - Le Tour de Langkawi. Mujurlah rimbunan pohonan menjadikan kayuhan sedikit nyaman.

Lepas simpang ke Batu Arang, laluan bertukar corak menerpa turun. Kenderaan banyak termasuk lori-lori besar yang lapar...asyik makan jalan. Kami layan semahunya lauan bengkang bengkok dengan cerun menurun. Lazatttt...Tapi kena hati-hati sebab kenderaan banyak. Kegalakan berterusan hingga melepasi simpang ke Tasik Puteri.

Sebaik melepasi jambatan dan bertemu simpang ke Kundang, datang idea spontan untuk menikmati hirupan air kelapa gula merah. Terbayang saj sudah sedap. Tambahan dalam keadaan berpeluh hangit dan keletihan. Imaginasi semakin meliar...Shuk bersetuju dengan cadangan dan kami menyimpang ke kiri untuk ke Kundang. Jam sudah 1500hrs.

Sebenarnya aku dah tak berapa larat untuk berkayuh. Tapi, demi ayarg nyok gula merah, aku gagahkan juga. Kelajuan makin lama makin menurun. Mujur jalan landai sepanjang tasik. Bila menyimpang masuk ke Kundang, kaki makin protes. Terasa perlu berhenti sangat-sangat. Tapi ramai la pulak orang di tepi jalan. Segan la...Mujur lepas selekoh di pekan kecil itu, jalan lengang. Terus aku bagi isyarat pada Shuk untuk berhenti. Dapat berhenti sekejap jadilah. Urat kaki dikendurkan. Urat pinggang rasa macam nak putus. Lepas 5 minit, kayuhan diteruskan. Misi ayarg nyok kena dipenuhi. Ish...jalan memanjat pulak. Lanjut saja panjatannya melepasi pekan Kundang.


Selamat. Dua gelas besar air kelapa gula merah dan sepinggan pisang goreng jadi mangsa kerakusan.
Bila sampai ke kawasan Kelab Golf Kundang, tak semena aku mula memecut. Bayangan ayarg nyok gula merah makin kuat. Terkejut beruk Shuk bila aku memecut sehingga 25km/j. Masih ada kederat simpanan. Dada memberontak, kaki memprotes. Aku tak peduli lagi. Ayarg nyok gula merah...ayarg nyok gula merah. Dan lega yang amat sangat bila Tasik Biru berada di depan mata. Terus aku melibas masuk dan meletak RnB di depan gerai. "Air kelapa gula merah satu!", pesanan dilaung sebelum sempat punggung dilabuhkan. Dengan pantas abang gerai menghantar pesanan. Shuk juga memesan air yang sama. Ahhhh....nikmat sungguh menyedut air kelapa gula merah yang disulam dengan pisang goreng panas-panas...


Kembali garang selepas isian semula.
Kesedapan minum dan makan terpaksa dipendekkan. Perkayuhan masih jauh. Tasik biru kami tinggalkan dengan catatan jarak 122km. Bukan jalan mudah meninggalkan Kundang. Terkuang-kuang kami di Kuang seketika. Dua bukit terpaksa digagahi sebelum sampai ke Rahman Putra. Kemudian melalui kawasan perindustrian Sungai Buloh. Kenderaan petang Sabtu menderu. Jalan kotor berdebu. Langit pula mula diwarnai kelabu. Tanda akan runtuh ribuan liter air dari langit. Kami cemas seketika. Kaki digagahi berkayuh hingga terasa tak berdaya. Sempat melencong seketika ke Sri Damansara, singgah di kedai ABC Uncle Ong.

Singgahan sekadar menunjukkan kepada Shuk di mana kedudukan kedai. Sambil aku mencuri masa untuk mengendurkan urat kaki yang makin lenguh, letih, sengal. Tak sia-sia singgah kerana terjumpa bahan menarik untuk RnB. Satu combo shifter usang terbiar sesuai dengan RnB. Aku sambar saja dengan pembayaran secara buku 555. Mujur Uncle Ong senang dibawa berkira.

Kayuhan bersambung kembali. Kenderaan menuju MRR2 pada petang Sabtu makin banyak dan menderu. Tak berani kami ambil laluan atas. Terpaksa mengesot saja ikut laluan bawah lebuhraya yang tiangnya dibaiki dengan kosa jutaan ringgit.

Sebaik lepas simpang ke Kepong, langit memuntahkan muatan. Sela masa dari renayi ke lebat sungguh pantas. Tau-tau sudah kuyup kami berdua. Kami gagahkan memecut sehingga stesen minyak Petronas untuk berteduh. Elok la jugak berhenti di situ. Sambil berteduh, solat Asar ditunaikan. Khalas...


Kayuhan lembap.
Bila hujan mereda, kayuhan disambung. Jalan yang digenang air bersekongkol dengan tayar basikal memercikkan air kepada kami. Tak dipedulikan sangat lagi dah. Kepala dimotivasikan dengan bayangan rumah. Kami keluar pada susur kuil Batu Caves. Menyusur di bawahnya mengikut jalan Perusahaan, kemudian mengikut Jalan Batu Muda 16, mengikut laluan biasa kayuhan malam GLC. Titik perpisahan semakin hampir. Kami berpisah kemudiannya selepas saling mengucapkan tahniah ringkas kerana berjaya menamatkan kayuhan. Shuk meneruskan kayuhan ke Taman Pelangi. Aku membawa haluan sendiri. Bau rumah semakin kuat.


Testimoni
Aku meredah laluan Taman Koperasi Polis, mencari lorong untuk memanjat jejantas ke sebrang jalan untuk ke Taman Koperasi Polis Fasa 1. Jalan Lembah Melewar diambil melepasi Taman Koperasi Polis dan Taman Rowther sehingga bertemu dengan Jalan Marmar. Membelok ke Jalan Marmar 1 dengan penuh rasa kelegaan sehingga akhirnya berhenti di depan pintu pagar rumah. Tamat seharian di atas basikal. Greenwood > Kuala Selangor > Taman Melewar. Jam menunjukkan pukul 6.44 petang. Jarak dilalui 150km. Letih...tapi puas.


T A M A T

Gambar-gambar lagi boleh dilihat di Album Kayuhan Kuala Selangor.

Tuesday, January 12, 2010

Potong Sajalahhhh...

Memotong kabel brek, gear dan perumahnya memang menyulitkan kalau tiada alat yang sesuai. Guna playar biasa memang boleh, tapi hasil potongannya serabai. Kabel berbulu dan perumah kemik terkelepek. Cukup menyusahkan pemasangan kabel.

Aku dah ada satu pemotong kabel Shimano TL-CT10. Dah lebih dari cukup untuk kerja-kerja memotong kabel dan perumah aku.

Sekali,aku termasuk ke dalam kedai hardware kat Keramat. Kedai depan Pejabat Agama Daerah Gombak. Nama kedai aku tak ingat. Aku ternampak benda alah ni. Shell cable cutter. Rupa gaya macam cable cutter untuk basikal yang aku pernah nampak kat internet. Harganya cuma RM30 lepas tawar menawar. Jauh berganda murah daripada cutter Shimano aku. Gatal saja tangan aku menyambar cutter ini.



Shell cutter ST-608 - bertutup dan berkunci.


Shell cutter ST-608 - ternganga dan siap melahap kabel dan perumah kabel anda

Pemotong yang baik harus memberikan potongan yang bersih. Tak berbulu, tak berserabut. Matanya harus cukup keras supaya tidak melebek setelah digunakan berulang kali. Pemotong dari Shell ini memenuhi keperluan tersebut sebaik pemotong Shimano. Kekurangan berbanding pemotong Shimano ialah ia lebih berat dan spring tendang-baliknya lebih kuat. Pengguna harus gunakan lebih tenaga berbanding Shimano. Tetapi dengan harga yang jauh lebih murah daripada pemotong Shimano (kira-kira ¼ harga Shimano), anda tak harus merungut.

Panjangnya 190mm dan mampu memotong kabel biasa,kabel berjalin, perumah kabel setebal 9mm. Jika anda jenis yang suka pomen dan kaki buat-sendiri, anda patut ada satu di rumah. Kenalan saya, Alamanda,terus berlari ke kedai mendapatkannya. Sekarang dah tinggal satu...Kalau mau, cepat!!!

Monday, January 11, 2010

Projek KEMBAS 2010 - Kembara Basikal 2010

Mimpi yang tidak tergapai tangan, mimpi yang hanya hadir dalam tidur tidak menggusarkan. Kerana akal tahu tidak akan kesampaian. Tapi mimpi yang tergapai dek tangan memang mengharukan. Bikin jiwa kacau. Kerana mimpi itu boleh dicapai di dalam jaga.

Aku punya impian mahu berbasikal jelajah Malaysia. Sesuatu yang pada sifir dan kira-kira aku boleh dicapai. Tambah meluap lagi bila aku mendapat satu basikal, Specialized HardRock, yang sesuai untuk tujuan itu. Makin meluap dan gelora impian.

Bila impian makin membara, gelora dan kacau jiwa makin kuat meruntun untuk direalisasikan. Namun aku tidak mahu terburu nafsu. Harus ada perancangan teliti sebelum impian mahu dinyatakan. Untuk itu, sebagai permulaan,aku merancang KEMBAS - Kembara Basikal 2010. Pusingan pertama memadai dengan berkayuh ke Ipoh melalui jalan pantai. Jarak anggaran lebih kurang 270km. Jika anda berminat untuk menyertai, di alu-alukan.

RENCANA KEMBARA

  • TARIKH : 30/01 - 31/01/2010
    Tarikh ini dipilih kerana 1 Feb adalah cuti umum Hari Wilayah Persekutuan. Jadi ada satu hari tambahan sebagai pengalas jika perancangan terbabas satu hari.
  • FORMAT KAYUHAN
    Kayuhan dalam format touring santai. Bukan perlumbaan. Anggaran kelajuan berkitar dalam 20km/j - 25km/j. Jika laju, matlamat berkembara tidak tercapai. Ini bukan Le Tour de Parit. Tidak ada jersi kuning ditawarkan. Hanya satu rasa kepuasan yang sukar digambarkan.
  • LOGISTIK
    Kayuhan ini adalah sokongan kendiri. Tiada kenderaan sokongan. Semua barangan, peralatan, pembaikan dilakukan sendiri.
  • LALUAN

    Dari Greenwood ke Ipoh melalui jalan pantai. 270km. Ada berani?
    Laluan pantai dipilih. Menelusuri Kuala Selangor, Sabak Bernam, Teluk Intan, Bota, Seri Iskandar hingga ke Ipoh. Jarak lebih kurang 270km. Tempoh perjalanan dijangka 2 hari. Kayuhan sehala sahaja. Perjalanan pulang dengan keretapi dari Ipoh. Tak lalu rasanya nak pergi baliik dengan basikal. Lagipun, ini baru projek pertama...

    Pergerakan awal akan terbahagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan 1 akan bergerak dari Gombak ke Bdr Tasik Puteri kemudian bergabung dengan Kump 2 yang akan memulakan kayuhan dari Bdr Tasik Puteri. Seterusnya, berkayuh bersama hingga ke destinasi. Kayuhan akan berehat satu malam di penanda 220km di Bota Kanan. Kayuhan diteruskan ke Ipoh keesokan harinya.

    • Leg 1 - Greenwood - Bdr Tasik Puteri

      Leg 1 : Greenwood - BTP
      JARAK : 36.2KM
      J/MASA : 1:45
      MULA : 0700HRS
      TAMAT : 0845HRS

      Laluan melalui MRR2 > Jalan Ipoh hingga ke Rawang. Kemudian membelok kiri ke Jalan Batu Arang hingga ke Bandar Tasik Puteri. Kebanyakan laluan landai melainkan bila menghampiri Templer. Ada sedikit pendakian lanjut.

    • Leg 2 - Bdr Tasik Puteri - Kuala Selangor

      Leg 2 : BTP - Kuala Selangor
      JARAK : 32KM
      J/MASA : 1:30
      MULA : 0900HRS
      TAMAT : 1030HRS

      Kump 1 berehat seketika sementara menunggu Kump 2 bersiap. Berehat sambil menjamah aneka sarapan lazat di Medan Puteri. Buat bekalan tenaga berkayuh.
      Laluan melalui Batu Arang, Kota Puteri dan jalan Kuala Selangor. Sengaja dipilih laluan Kota Puteri untuk mengelak laluan mendaki ke menara yang mencungap. 99 peratus landai. Jalan tar dua hala dengan lorong kecemasan yang lebar. Selesa untuk berkayuh.

    • Leg 3 - Kuala Selangor - Sg Nibong

      Leg 3 : Kuala Selangor - Sg Nibong
      JARAK : 39KM
      J/MASA : 1:45
      MULA : 1045HRS
      TAMAT : 1230HRS

      Akan melalui Kuala Selangor - Tanjong Karang - Sekinchan - Sg Nibong. Laluan dua lorong dengan trafik sederhana. Landai 100 peratus.

      Kuala Selangor Cycling Club (KSCC) telah berbesar hati untuk ikut sama mengiringi dari Kuala Selangor. Terima Kasih!!!

    • Leg 4 - Kpg Sg Nibong - Kpg Seri Perkasa

      Leg 4 : Sg Nibong - Kpg Seri Perkasa
      JARAK : 30.5KM
      J/MASA : 1:30
      MULA : 1230HRS
      TAMAT : 1400HRS

      Melalui Sabak Bernam hingga melewati sempadan Selangor Perak. Berhenti rehat untuk makan tengahari, solat. KSCC akan kembali ke Kuala Selangor.

    • Leg 5 - Kpg Seri Perkasa - Teluk Intan

      Leg 5 - Kpg Seri Perkasa - Teluk Intan
      JARAK : 31.5KM
      J/MASA : 1:30
      MULA : 1500HRS
      TAMAT : 1630HRS

      Melalui Ladang Jenderata, simpang Hutan Melintang hingga ke Teluk Intan. Berlegar sebentar di Dataran Pagoda Condong, Teluk Intan.

    • Leg 6 - Teluk Intan - Bota Kanan

      Leg 6 - Teluk Intan - Bota Kanan
      JARAK : 55.1KM
      J/MASA : 2:30
      MULA : 1630HRS
      TAMAT : 1900HRS

      Leg paling panjang. Menyusur sepanjang Sungai Perak. Melalui kawasan kampung dan sawah padi. Berakhir di Bota Kanan. Tamat kayuhan untuk Hari 1. Berhenti rehat, makan, solat dan tidur. Penginapan sama ada di masjid Bota atau Pusat Pemeliharaan Tuntung, Bota Kanan

    • Leg 7 - Bota Kanan - Ipoh

      Leg 7 : Bota Kanan - Ipoh
      JARAK : 43.1KM
      J/MASA : 2:00
      MULA : 0730HRS
      TAMAT : 0930HRS

      Hari 2. Leg terakhhir berbasikal. Laluan akan melalui Seri Iskandar sebelum berakhir di Ipoh. Bergantung kepada jadual keretapi, mungkin ada sikit masa untuk putar-putar Bandaraya Ipoh dengan basikal. Jumlah jarak perjalanan 268km

Sunday, January 10, 2010

Rock n Blues - Dua Wajah

Orang lama ini biasa-biasa saja. Tiada yang istimewa. Tiada komponen canggih mahal berkilau bling-bling padanya. Namun ia mendapat perhatian lebih dari aku semenjak dua ini. Aku luang banyak masa bersama. Sama ada berkayuh atau masa kelebek-kelebek basikal. Agak kalau basikal yang lain boleh bercakap, mesti mereka cemburukan orang tua ini. Dan orang tua ini juga aku namakan. Apa namanya?

Lahirnya sekitar tahun 80-an. Ketika zaman remaja aku. Ketika zaman muzik rock jadi kegilaan remaja. Sama ada kebetulan atau mempunyai maksud yang lain, Specialized menamakan model ini HardRock. Warnanya biru gelap. Biru...Blue...Blues. Ternukillah nama ROCK n BLUES pada "orang lama" ini. Satu nama yang nostalgik...(sekurangnya untuk aku)

Orang lama ini sungguh versatile. Usia tidak menjadi penghalang untuk terus menabur khidmat. Dari basikal tunggangan harian - ke kedai, ke pejabat dan ke mana sahaja jarak dekat. Cuma aku belum mengheretnya bermain denai lagi. Entahnya bagaimana agaknya? Dengan sedikit penambahan dan pengubahsuaian, fungsinya bertambah lagi. Specialized HardRock vintage dalam dua wajah...Limo dan Tourer


Wajah 1 - Limo


Specialized HardRock mode Limo. Profil kanan

Specialized HardRock mode Limo. Profil kiri

Dalam mode ini, ia dipakaikan child carrier dari jenis Beto. Child carrier ini ehsan seorang kawan yang anaknya semua sudah besar-besar. Putera bongsu aku masih lagi layak menaiki kerusi ini. Sesekali, RnB ini akan menjadi limo diraja membawa putera muda berputar ke sini sana.


Wajah 2 - Tourer


Specialized HardRock mode tourer. Profil kanan

Specialized HardRock mode tourer. Profil kiri

Kokpit RnB mode tourer
Wajah RnB dalam mode tourer. Siap untuk berjalan jauh merentasi maya dan masa. Sama ada aku mampu atau tidak untuk membawanya? Carrier digantikan dengan beg pannier set Topeak. Baru terduga untuk perjalanan dekat dan ke pejabat. Sayang, beg tidak kalis air. Ada penutup hujan untuk beg ini dari Topek. Kena keluar modal sikit laaa...Buat masa ini hanya isi sahaja dilindung dari air.

Perubahan besar berlaku kepada kokpitnya. Bar hendal mendapat anak angkat. Minoura Swing Grip bertenggek menambah ruang untuk disangkut segala macam gejet. Buat masa ini hanya tapak GPS dan lampu bertenggek di situ. Boleh juga diguna untuk menyangkut teh tarik sebungkus dua buat bekal berkelana.

Turut menambah seri pada kokpit ialah dua batang tanduk (bar end) jenis Truvativ. Ini juga ehsan seorang rakan, Keroll, sebagai sagu hati kerana menolong dia memasang drivetrain pada Norco Kokaneenya. Nyata tanduk sangat berguna untuk mengurangkan rasa kebas pada pergelangan dan tapak tangan. Selain itu, membantu bila mendaki kerana memberikan pautan untuk merengkuh apabila menaiki bukit. Juga berguna untuk menakutkan anjing-anjing nakal dan bapak-bapak beruk yang suka menyergah bila kita melalui kawasan mereka.

Sudah ada beberapa rencana menanti untuk dipikul RnB. Cerita menyusul. Tunggguuuuuu!