Usianya yang mencecah 10 tahun menjadikannya istimewa. Warisan teknologi Jerman daripada Magura terasa sayang untuk dibiarkan begitu saja. Aku tak pandai langsung bab-bab fork ni. Tapi, alang-alang benda dah rosak, kalau aku rosakkan teruspun tidak menjadi hal.
Jenuh la jugak meng"Google" mencari rujukan. Tak banyak rujukan yang didapati. Mungkin sebab barang model lama. Lama sangat. Aku agak-agak saja berdasarkan dokumen .pdf yang didapati daripada beberapa website.
Kerja membongkar aku terhenti setakat itu sahaja. Aku tak berjaya meleraikan komponen dalam stanchion. Segala spring dan bushing di dalam tidak berjaya dikeluarkan. Selepas beberapa lama mencuba, aku menyerah kalah. Biarkanlah saja spring dan bushing di dalam tu tak berusik.
Kemudian datang bahagian yang payah. Payah sungguh nak mencari pengedap gantian. Jenuh aku berkawad ke beberapa kedai alat ganti yang kononnya ada menjual bermacam jenis pengedap. Semua hampa.
Akhirnya, seorang kawan, Riza, memberikan pautan ke Enduroforkseals. Sebab sudah buntu, aku celapak ke situ dan terus memesan set pengedap untuk fork Magura stanchion 30mm. Servis cepat dan bagus. 4 hari selepas pembayaran, barang sudah sampai ke rumah. Kos semuanya hampir RM120. Selesai satu perkara.
Kerenah seterusnya ialah mencari minyak fork yang sesuai. Ikut pada manual, perlu guna minyak fork SAE30 50ml kaki kiri dan 145ml kaki kanan. Sekali lagi aku berkawad mencari minyak pulak. Tak berjumpa. Yang aku jumpa ialah minyak fork jenama Revoil di sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Sentul. Fikir punya fikir, hantam sajalah. Harga sebotol minyak 150ml ialah RM5 sahaja. Aku henjut 2 botol.
Sekarang tergantung megah di dinding. Belum ada kerangka yang sesuai untuk dipadankan dengan fork ini. Dalam kepala sudah terbayang satu single speed...Boleh kot???